BAB 24

Romance Series 3223

Rina merapi-rapikan pisau dan sudu di atas meja. Dibetul-betulkan kedudukan pasu bunga kecil berisi bunga matahari. Dia akan memesan makanan sejurus Lukman tiba. Diperhatikan jarum jam.
“Saya awal satu jam.” Rina ketawa. “Tak apa saya menunggu.”
Beg kertas di bawah meja, diambil. Kotak kecil berisi jam tangan mewah, jenama kegemaran Lukman. Nampaknya Rina benar-benar puas hati dengan pemilihan hadiah itu.
“Awak mesti akan terkejut dengan hadiah saya, sayang!”
Sudah terbayang-bayang reaksi wajah Lukman. Rina mengambil keputusan meluangkan masa tersisa dengan membelek-belek album perkahwinan mereka.
“Awak memang segak dalam pakaian apa-apapun. Tapi, dalam persalinan nikah ni, aura awak lain macam!”
Rina tergelak-gelak. Gembira dapat mengimbas kenangan lama. Sesekali melirik jam tangan.
Shazwan meneguk air kosong sambil mengawasi Rina. Dia duduk selang dua meja. Kemudian, Shazwan melihat ke sudut paling hujung. Seorang lelaki memakai topeng muka dan beanie hitam serta berjaket denim biru tidak lepas memerhati Rina. Shazwan tahu dia siapa.
Seorang pelayan lelaki sedang menolak troli berisi kek hari lahir untuk pelanggan berhampiran Rina.
“Janganlah lari!” Seorang pelanggan perempuan menjerit. Anaknya berusia lima tahun tidak mendengar arahan langsung. “Maafkan saya.”
Malangnya, kanak-kanak itu tetap sahaja berlari-lari. Hampir satu restoran dironda sehingga mengganggu ketenteraman pelanggan.
Lagi 5 langkah pelayan itu mahu tiba ke meja sepatutnya, kanak-kanak itu terus menolak troli berisi kek. Paling merumitkan keadaan, seorang lagi pelayan perempuan sedang menatang hidangan berkuah muncul di depannya dalam masa yang salah. Maka, berlakulah perlanggaran.
Hidangan berkuah panas tertumpah terus ke arah Rina. Spontan Rina menjerit akibat terlalu terkejut. Tentu-tentu akan terkena kepadanya. Dia menutup mata.
“Aku tak basah?” Perlahan-lahan Rina membuka kelopak mata. Terus terbeliak. “Awak siapa?”
Lelaki bertopeng hitam melindungi Rina daripada terkena sup panas.
“Awak tak apa-apa?” Shazwan menerpa ke arah Rina.
Automatik lelaki tadi pergi. Ghaib.
“Cepatnya dia pergi!”
Rina mahu mengejar namun lekas ditahan Shazwan.
“Bau minyak wangi ni? Bau ni macam kenal!” Rina mengerah fikirannya.
“Macam mana awak buat kerja? Mujur tak kena perempuan ni!” Shazwan memarahi pelayan perempuan tadi.
“Maafkan saya.”
“Maafkan anak saya.”
Rina kembali duduk. Dia tidak peduli pun perbualan itu. Bola matanya rancak mencari kelibat tadi. Akhirnya, dia melupakan begitu sahaja. Menanti Lukman penuh sabar.

Rina menongkat dagu di meja. Hampir tertidur. Hari sudah menjelang tengah malam. Pekerja-pekerja sudah melakukan proses pembersihan.
Shazwan turut menguap. Dia tahu, Rina takkan puas hati selagi tidak melihat kelibat sang suami.
“Puan…” tegur seorang pekerja, serba salah apatah lagi air muka Rina kelihatan begitu sayu.
“Hmmm?”
“Kami nak tutup dah ni, puan.”
“Suami saya belum datang.”
“Jangan macam ni puan. Maafkan kami. Puan harus pergi.”
“Tak apa. Biar saya uruskan.” Shazwan mendekati mereka.
Pekerja itu berlalu pergi.
“Rina, jom balik. Suami awak takkan datang. Awak sendiri tahu sebab dia takkan datang. Dalam masa yang sama, kita tak boleh susahkan pekerja-pekerja restoran.”
“Dia… dia takkan datang?” Rina terlalu kecewa.
Shazwan mengangguk.
Rina bangkit. Dia setuju untuk pulang.

“Pada hari ulang tahun perkahwinan kita, awak tak datang.”
Rina merenung bulan penuh. Dia berbaring di atas katil dengan tingkap bilik dibiarkan terbuka seluas mungkin. Pada bulan terang, kelihatan Lukman sedang melambai-lambai tangan sambil tersenyum lebar.
“Awak, selamat ulang tahun buat kita.”
Rina terbangun. Dia cuba untuk menggapai. Bayangan Lukman bersama tiupan angin kencang yang mencengkam tulang. Sejuk.
“Saya rindu awak.”
Rina menangis sepuas-puasnya. Lama.
Menyedari tangisan tidak menyelesaikan apa-apa, dia menuju ke bilik air. Mahu mengambil wuduk dan mengerjakan solat malam. Dia berdoa lama selepas itu.
“Ya Allah, pertemukan aku dengan suamiku. Aku tak tahu kenapa aku yakin dia masih hidup!”
Jiwanya kembali tenteram. Novel N. Mikah di meja sebelah katil dicapai. Dia terlupa untuk menyambung pembacaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience