TEPAT jam 12 pagi. Baheera tidak dapat melelapkan mata. Diambil telefon pintar di atas meja kecil bersebelahan dengan katilnya. Dia membuka lagu kegemarannya.
Lupakanlah semua kenangan ini,
Hancurkanlah semua mimpi-mimpi,
Bait-bait lirik lagu Pergi Hilang Dan Lupakan nyanyian Remember of Today, Baheera hayati. Lirik lagu itu seperti permintaan yang terbuku di hati. Hapuskanlah kesengsaraanya, lumpuhkanlah ingatannya daripada mengingati memori silam yang menyakitkan.
Baheera terus mematikan telefon pintar keluaran terbaru jenama Apple iaitu iPhone 12 Pro Max.
“Pagi esok, aku dah start sekolah. Macam mana aku nak hadap mereka?” omel Baheera sendiri.
“Permudahkanlah urusanku, ya Allah. Bersihkan hatiku dari perasaan kotor itu.” Usai berkata, Baheera terus melelapkan mata.
PAGI yang indah disinari cahaya mentari terang menembusi kornea mata Baheera. Pagi ini dia bangun agak lewat. Sudahnya stokinnya hilang entah ke mana, semalam pula keletihan melayan perasaan sendiri. Bingung sebentar seakan semuanya tidak kena.
Baheera menetap di rumah agam milik mak saudaranya. Baheera juga bukan calang-calang orangnya. Berasal dari keluarga yang tidak kurang hebatnya. Memiliki banyak syarikat hasil usaha seluruh ahli keluarganya. Beribu-ribu hekar tanah yang mereka miliki. Tidak dikira lagi, berapa jumlah wang yang mereka ada. Dalam masa yang sama, mereka juga membantu rumah anak yatim dan sentiasa menyumbang pelbagai kemudahan serta wang ringgit pada golongan yang memerlukan.
“Heera bangun!” laung Aunty Ita dari dapur.
Ya, Baheera menumpang rumah dan kasih sayang mak saudaranya.
“Heera pergi dulu aunty.”
Baheera berlalu pergi tanpa salam, tanpa kucupan tangan pada tangan wanita 30 an itu. Heera sudah terlewat. Sarapan pagi yang dibuat oleh Ita tidak dijamah. Bukannya dia ingin bersikap biadap tapi kerana dia terlalu lewat.
“Ha itulah, bangun lewat lagi. Semalam layan sangat perasaan. Kan aunty dah kata, kuat Heera, kuat!”
Baheera tidak hiraukan omelan Ita.
“Harap-harap cikgu tak marah aku. Setengah jam masa dia aku terlewat dan... terlepas.”
Selang 5 minit kemudian...
Pagar sekolah yang sudah ditutup ditatap gelisah.
Habislah!
Keadaan sekeliling diperhati. Panik. Manik-manik peluh merenik di dahi. Jantung berdegup kencang bagai mahu pecah. Pengawal keselamatan yang berada di pondok itu menggeleng kepala saja melihat Baheera yang terlewat.
Pemandunya yang dipanggil Pak cik Udin dipandang.
“Pak cik Udin tolong doakan Heera tau. Walaupun Heera sekolah swasta yang bila dipandang dari luar nampak gah dan kaya tapi diaorang semua tak suka Heera. Kata mereka, Heera kaya sahaja tapi tak ada rupa.”
Pak cik Udin tidak memberi respon. Sudah masak dengan perangai Baheera yang suka ambil serius tentang pandangan orang lain terhadap dirinya.
Baheera melangkah masuk.
Kedengaran suara cikgu mengajar di setiap blok dan dia terhenti di hadapan kelasnya. Sekali ketukan pintu, semua orang di dalam kelas itu memandangnya. Turut terpampang wajah cikgunya yang sedang menerangkan sesuatu pada papan putih atau dipanggil white board yang berada dihadapan rakan-rakannya yang lain. Kemudian, cikgu itu berhenti mengajar dan datang ke arahnya.
“Err... assalamualaikum. Maaf, saya terlambat.” Tergagap-gagap Baheera dibuatnya. Kakinya dilajukan maju kehadapan sehinggalah sampai ke mejanya.
“Stop! Berdiri dekat situ.”
“Kenapa, teacher?”
“Wah, awak tanya saya balik? Awak buat-buat lupa atau memang nyanyuk? Guys, bagitahu dia apa salah dia.”
“Masuk kelas lambat!” Hazel, gadis berambut perang ala-ala mat saleh, persis seorang diva yang mulutnya pedas malah becok itu sentiasa iri hati dengan Baheera. Agaknya hobi dia hanyalah mengkritik dan mempersendakan ciptaan Allah.
“Dasar kaki ponteng! Tahulah diri tu bodoh tapi janganlah tunjuk kebodohan tu.”
“Entah apalah minah ni buat dekat rumah. Entah-entah picit jerawat batu dia tu. Tengok tu, berlubang lah muka dia!”
Perlian, cacian, makian, semua Baheera terpaksa telan.
“Kalau benci saya sekalipun, janganlah sampai menghina,” ucap Baheera tenang.
“Teacher!” Panggil Faz atau Fazrina.
“Ya, kenapa Faz?”
“Saya rasa Heera ada masalah sebab itu dia terlewat. Maafkan dia, teacher. Sebelum ni, dia tak pernah datang lewat. Dia tak sengaja.”
Baheera mengucapkan syukur. Faz satu-satunya sahabat yang dia ada. Yang mampu mempertahankannya dan menerima seadanya kekurangan dirinya. Usia persahabatan mereka sudah hampir 20 tahun. Dari bangku sekolah rendah lagi dan sekarang umur mereka 17 tahun. Tahun terakhir di sekolah itu.
“Mungkin. Baheera, kali ini awak terlepas but... next time kalau awak buat perangai lagi, saya tak teragak-agak denda awak ya. Saya suka picit bebola tapi batu pun boleh meletup kalau kena picit tau. Sorry ya, saya bergurau saja.”
Ya, dia tahu cikgunya itu sedang memerli rupa parasnya yang berjerawat batu dan banyak parut-parut hitam.
“It's okay, teacher. Maafkan saya.” Baheera pergi ke mejanya. Faz yang duduk bersebelahan dikerling sekilas lalu dia mendekatkan kepalanya bersebelahan kepala Faz.
“Thanks Faz sebab tolong backup aku. Kalau kau tak ada, mesti teacher tak berhenti-henti soal aku. Thanks again.”
Faz memandang wajah Baheera. Dia tersenyum.
“Small matter lah! Kau tu jangan sedih lagi disebabkan diaorang. Bukannya aku tak dengar diaorang mengata kau. Aku ni sampaikan kena pekakkan telinga sebab aku takut...”
“Takut apa?”
“Ish, kau ni! Aku tak habis cakap lagi kau dah potong. Aku takut kalau aku terhempuk kepala-kepala kera, monyet, beruk dan lutong dalam kelas ni. Kau tahu kan aku ni bukan jenis gadis melayu terakhir. Aku mana ada tahap kesabaran setinggi kau!”
Faz, gadis yang berpewatakan seperti lelaki sedikit. Percakapan agak kasar tapi disebalik kekasaran itu ada kelembutan tersendiri.
“Hahaha! Kau samakan diaorang dengan haiwan macam itu? Kalau diaorang dengar, mesti kau dah kena campak masuk dalam loji ataupun muka kau diaorang lumur dengan sampah!”
Faz menjulingkan bebola matanya ke atas.
“Sudah lah! Sebelum muka aku kena lumur dengan sampah, baik kau tengok depan sekarang sebelum muka kau kena lumur dengan air liur teacher. Kau lupa ke macam mana dia sembur kau hari itu?”
“Aku tak lupa. Wangi apa air liur dia?”
Faz meletakkan jari telunjuk di mulutnya tanda menyuruh Baheera senyap sebelum singa betina di hadapan mereka mengaum tak tentu pasal!
WAKTU persekolahan sudah pun habis. Baheera mengemas buku-buku dan pen yang berselerakan di atas meja sederhana besar itu.
“Heera, cepatlah! Aku nak pergi kafe. Nanti makanan favourite aku habis!”
“Boleh tak sabar sikit? Bukannya makanan kau tu ada kaki boleh lari.”
Faz bercekak pinggang di pintu masuk.
“Banyak cakap pula minah ni. Meh sini aku picit jerawat besar kau tu. Baru kau tahu betapa seksanya aku tunggu kau yang lambat macam kura-kura tua,” ucap Faz sambil ketawa terbahak-bahak.
Wajah Baheera tiba-tiba muram. Terasa dengan kata-kata Faz.
“Kau kenapa, Heera? Kenapa muka kau monyok je? Tadi bukan beria membebel dekat aku. Aku ada buat salah ke?”
Faz mengingati semula percakapan dan perbuatannya.
“Oh, jerawat? Kau terasa sebab tu ke? Aku minta maaf lah. Aku tak sengaja. Kalaulah mulut aku ada suis off dan on. Off bila aku gurau kasar, loyar buruk dan on bila aku bercakap benda yang baik saja. Tak adalah kau tersakiti disebabkan kebodohan aku, kan?”
“Tak ada maknanya aku nak terasa hati. Aku tahu muka aku penuh dengan jerawat. Setiap hari jerawat aku bertambah. Tak ada hari yang berkurang. Lagipun, aku sedar diri. Aku tak secantik kau!”
“Sekurang-kurangnya kau ada muka, Heera. Apa kau tidak bersyukur dikurniakan muka?”
“Aku bersyukur lah. Kau lagi cantik tau daripada aku!”
“Aku cantik? Aku buruklah. Bak sikit jerawat kau tu. Bagi yang besar-besar. Nak juga aku merasa ada jerawat,” bidas Faz.
“Peliklah perempuan ni. Perempuan lain semua tak nak jerawat dan engkau? Boleh pula nak. Kau tahu tak betapa sakitnya muka aku menahan tumbukan, sepakan, tendangan, tandukan jerawat ni?”
“Kau diam sekejap. Aku rasa sesuatu lah.”
Baheera menaikkan keningnya ke atas. Kadang-kadang aneh perangai perempuan sengal macam Faz ni!
“Nampaknya makanan aku hampir habis dan jomlah kita serbu kafe sekarang!” Faz menarik pergelangan tangan Baheera.
“Tercabutlah tangan aku! Kalau ya pun lapar, jalanlah perlahan sikit. Ada orang cakap, kalau jalan laju-laju nanti otak akan jadi biru.”
“Siapa orang yang cakap tu?”
“Hehehe, aku!” Baheera tersengih-sengih.
“Banyaklah kau biru! Jangan sampaikan aku birukan badan kau. Awas ya!”
“Uuu takutnya! Nak lebamkan badan aku? Marilah, sikit pun aku takut!”
“Banyak songeh pula minah ni. Cepatlah, aku lapar tahap tak makan satu abad ni,” ujar Faz
“Ok, nanti sampai kafe kau lahap sekali kafe tu tau. Baru kenyang sampai kiamat!”
Faz mencebik. Dalam sangat tu maknanya!
Dalam diam, Baheera bersyukur dikurniakan sahabat seperti Faz. Walaupun Faz seringkali bergurau kasar tetapi dia sudah terbiasa. Sekasar-kasar Faz, Faz akan jadi selembut gadis melayu terakhir yang akan memujuk Baheera sehinggalah gadis itu kembali tersenyum.
Sedih tidak dipinta tetapi bahagia yang tidak disangka muncul bagai pelita. Yang akhirnya mampu mencerahkan hidup yang dahulunya gelap gelita. Begitulah Faz, pengganti selepas arwah ibunya. Pelita yang disangkakan malap pada awal pertemuan tetapi bercahaya terang apabila fungsinya dihargai oleh alam semesta.
Share this novel