1

Romance Series 1808

Fakhar sudah bersiap-siap untuk melangkah keluar. Cadangnya dia ingin makan tengahari bersama Mawar. Sebenarnya sudah hampir seminggu mereka tidak bertemu kerana Fakhar telah diarahkan bertugas di luar kawasan. Walaupun berat hatinya untuk melangkah ke negeri di Bawah Bayu itu, namun dia tahu ada hikmah disebalik pemergiannya ke sana.

Telefon Fakhar berdering sebaik dia memasuki kereta. Segera matanya menjeling ke arah skrin telefonnya. Nama Julia terpapar di skrin. Fakhar menjawab panggilan tersebut.

“Assalammualaikum Jue.” Fakhar memberi salam. Salamnya tidak dijawab. Suara halus dihujung talian kedengaran agak cemas. Bunyi keriuhan dibelakang amat mengganggu pendengarannya.

“Jue.. Are you okay?” Soalnya. Hatinya mula dicarik cemas. Suara halus itu tenggelam-timbul. Fakhar pasti ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Fakhar masih berusaha memberi sepenuh perhatian dan pendengarannya terhadap bunyi riuh dan bising tersebut. Panggilan itu terputus.

Tidak lama selepas talian dari Julia terputus, masuk satu pesanan ringkas ke talian WhatsApp Fakhar. Segera Fakhar membukanya. Ternyata ianya dari Julia. Satu info lokasi yang diberikan oleh Julia kepadanya. Mungkin Julia memerlukan bantuan aku. Desis hati Fakhar. Hendak atau tidak, Fakhar terpaksa membatalkan makan tengaharinya bersama Mawar. Dalam situasi ini, Julia mungkin lebih memerlukan aku.

*****

Fakhar memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kediaman Julia. Dia memerhati keadaan sekitar rumah tersebut. Kelihatannya tiada apa yang mencurigakan berlaku di situ. Pintu pagar bertutup elok. Kereta Julia juga ada di bawah garaj. Fakhar cuba menghubungi Julia. Ingin memastikan agar wanita tersebut benar-benar didalam keadaan yang selamat. Namun wanita tersebut tidak dapat dihubungi. Berkemungkinan besar telefon bimbitnya kehabisan bateri.

Fakhar menuju ke pintu pagar. Perlahan-lahan dia membukanya. Lalu kakinya melangkah lagi terus ke muka pintu. Ketukan demi ketukan yang dilakukannya tidak mendapat tindakbalas dari tuan rumah. Perlahan-lahan tangannya memegang tombol pintu. Dia serba salah. Separuh hatinya menyuruhnya membuka pintu dan masuk ke dalam lalu melihat apa sebenarnya yang telah berlaku di dalam rumah tersebut. Namun separuh hatinya pula melarang. Mana tahu jika dia masuk, ianya akan membahayakan dirinya pula.

Namun akhirnya Fakhar memutuskan untuk masuk. Apa hendak jadi, jadilah. Julia harus diselamatkan sekiranya benar dia sedang berada didalam bahaya. Dia tidak mahu ditimpa rasa bersalah sekiranya sesuatu berlaku kepada bekas tunangnya itu. Walaupun mereka sudah tiada apa-apa hubungan, namun perhubungan mereka masih baik dan tidak pernah bermusuh. Dia tidak akan pernah mahu memutuskan tali silaturrahim tersebut.

“Assalammualaikum... Jue.. “ Panggil Fakhar. Julia tiada. Hatinya mula berasa bimbang. Dari ruang tamu, dia melangkah ke dapur, ke bilik air. Namun Julia tiada. Fakhar berlari ke tingkat atas, mana tahu jika Julia ada disitu. Sambil belari, Fakhar memanggil-manggil nama wanita yang pernah bertakhta dihatinya itu.

Sebaik kakinya memijak lantai tingkat atas kediaman Julia, mata Fakhar terpaku pada sekujur tubuh yang terbaring lesu di atas lantai. Tubuh itu kaku.

“Jue!!!” Fakhar terus meluru ke arah tubuh Julia yang terbaring di atas lantai. Kesan calar-calar di tubuh dan lengan gadis itu amat jelas kelihatan. Ditamparnya perlahan-lahan pipi gadis tersebut dengan niat mengejutkannya dari pengsan. Keadaan bilik yang sedikit berterabur seolah-olah menandakan terdapatnya kesan pecah masuk.


Sepuluh minit setelah Fakhar menghubungi ambulans, ambulans tiba dengan beberapa orang staff KKM. Julia dibawa ke hospital dengan segera. Fakhar mengikuti ambulans dari belakang. Di dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar Julia tidak apa-apa. Pertemuan dengan Mawar untuk makan tengahari bersama gadis genit kesayangannya itu terpaksa dibatalkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience