“BIY… I nak gerak balik KL dah ni.” Yara rekod panggilan suara dan hantar ke WhatsApp Fahri untuk beritahu yang kursus dia sudah tamat dan mahu bergerak pulang ke Kuala Lumpur.
Kaki Yara laju melangkah keluar dari lif lobi. Nasib baik untuk sesi hari ini tamat seperti dalam tentative yang ditetapkan. Yara pula malas nak berada di Melaka lama-lama. Pukul 12.00 tengah hari terus dia check out dari hotel.
Yara mahu sampai ke Kuala Lumpur dengan cepat supaya dia ada masa untuk berehat kerana esok tetap dia perlu masuk kerja. Walau Melaka dengan Kuala Lumpur tidak jauh tapi kalau jalan sesak, nak keluar dari Melaka ini pun akan ambil masa berjam-jam.
Fahri masih belum membalas panggilan suaranya. Mungkin Fahri tengah sibuk. Yara pun selama berkursus ini jarang berkomunikasi dengan Fahri kerana habis satu sesi dia terus penat dan tidur. Hanya mesej penting saja yang Yara hantar seperti dah sampai dan nak pulang. Fahri pun faham.
“Yara…” laung Safura yang berada di tengah lobi hotel bersama dengan dua orang wanita yang turut memandang Yara juga.
Safura menghampiri Yara menahan dia terus pulang.
“Yara jom la join kitorang lunch together,” ajak Safura yang sudah mahu menarik lengan Yara.
Yara menolak tangan Safura perlahan. “Sorry. I nak terus balik,” tolak Yara lembut.
“Ala awal lagi nak balik. Jom la makan-makan dulu. Dah la semalam sehari suntuk tak boleh merayap ke mana-mana. So hari ni jom la kita pusing-pusing Melaka dulu.” Safura masih gigih mengajak Yara untuk ikut serta. Baginya apa salah mereka menghabiskan masa di Melaka dulu sebelum pulang.
Aku datang sini bukan nak pusing-pusing tawaf satu Melaka, gerutu Yara dalam hati.
“You lunch dengan siapa je tu?” soal Yara apabila matanya terperasan ada tiga orang lelaki menghampiri dua wanita yang bersama dengan Safura tadi.
Safura tersenyum melihat siapa yang Yara soal.
“Hisy…Takkan you tak kenal. Dorang tu kan satu company kita juga tapi department lain. Bukan department kita je yang kena hantar pergi kursus kat sini,” jawab Safura.
Yara memang tahu bukan jabatan mereka saja yang perlu hadir ke kursus di Melaka tapi yang Yara musykil sekarang serapat mana Safura dengan mereka sampai mahu pusing satu Melaka bersama-sama.
“That’s why you kena join kitorang. Boleh la you buat kawan dengan colleagues sendiri,” perli Safura yang merasakan Yara jenis suka buat hal sendiri.
Buat kawan? Tak kuasa Yara nak cari kawan dekat jabatan lain. Cukup setakat berurusan hal kerja saja kalau diperlukan.
“Sorry. I tak berminat nak buat kawan. Lebih baik I balik terus lepak kat rumah dari merayap dengan sesiapa,” balas Yara selamba. Sungguh Yara tak kenal seorang pun mahu yang lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan tersebut. Entah macam mana si Safura ini boleh kenal dengan mereka kerana gaya macam dah memang kenal rapat. Bukan kenal sebab hadiri kursus ini sama-sama.
“Eleh you ni! Balik awal pun bukan ada laki kat rumah. Tak bosan ke lepak sorang-sorang hadap dinding,” perli Safura dengan geram kerana susah betul nak ajak Yara keluar lepas dari waktu bekerja.
Safura cuba hapuskan jurang dengan Yara kerana dia rasa Yara seperti meletakkan jurang antara mereka. Hubungan mereka hanya terhad waktu bekerja sahaja. Luar dari pejabat Yara mahu buat hal masing-masing. Tapi Safura pula memang mahu rapat dengan Yara dalam ofis mahupun luar ofis. Siapa je yang tak nak berkawan dengan perempuan cantik dan karisma seperti Yara? Sudah tentu Safura takkan malu jika perkenalkan pada orang lain.
“Habis tu you?” Yara angkat kening.
Safura buat muka tak faham.
“You bukan ada laki kat rumah ke?” soal Yara.
Yang sibuk nak lepak dengan lelaki lain buat apa? Balik sajalah rumah terus, omel Yara dalam hati.
Safura ketawa. “You ni jangan la kolot sangat. Takkan la keluar makan ramai-ramai pun nak kecoh. Bukan I keluar berdua dengan lelaki lain pun. Keluar makan je pun apa salahnya,” ujar Safura sinis yang merasakan Yara seperti mahu mengutuk dirinya akan statusnya sebagai isteri orang tapi tetap suka melepak dengan orang lain di luar terutamanya ada lelaki.
“Suka hati you! So I pun nak ikut suka hati I juga. Dah I nak gerak. Tolong tepi sikit,” ujar Yara sinis.
Nak tak nak terpaksa Safura ke tepi kerana Yara seperti mahu rempuh dirinya sahaja yang berdiri di hadapan Yara.
“Eleh…konon nak tunjuk setia sangat la tu,” kutuk Safura apabila Yara sudah beredar.
Yara pula malas nak pedulikan Safura. Kalau kawan baiknya berperangai sebegitu sudah pasti Yara akan beri tazkirah percuma walau ilmu di dada masih sikit.
Ini bukan soal fikiran moden atau kolot. Dah kenapa nak buang masa dengan orang yang dia tidak kenal. Dengan kawan lelaki sendiri pun Yara tiada masa nak keluar melepak bersama kalau tak ada sebarang acara pertemuan sekolah.
Nasib baik Yara tetap dengan pendiriannya terus pulang kerana sudah hampir waktu Isyak, Yara sampai ke rumah. Jalan punyalah sesak macam balik dari cuti sambut hari perayaan sedangkan orang ramai pergi bercuti walau hujung minggu saja.
Masuk dalam bilik terus Yara rebahkan diri di atas katil. Badannya sungguh letih sampai tak peduli perutnya masih belum diisi lagi. Tadi Yara hanya singgah di perhentian rehat sekali saja untuk makan.
Tanpa tunggu lama, mata Yara terus terlelap tanpa sedar telefon bimbitnya berbunyi.
HUSBABY
Sayang dah sampai rumah kan?
FAHRI hulurkan segelas air pada Fakhri yang bertandang ke rumahnya malam ini. Fakhri cuma datang seorang saja tanpa membawa isteri dan anaknya. Tiba-tiba saja adik bongsunya itu datang tanpa menghubunginya terlebih dahulu. Nasib baik dia ada di rumah.
“Bini kau tak balik sini ke ngah?” tanya Fakhri yang beza umur cuma dua tahun saja daripada Fahri.
Fakhri lihat sekeliling rumah abangnya itu yang nampak kemas dan selesa walau Fahri tinggal bersendirian. Besar pula tu.
“Yara ada kursus,” jawab Fahri pendek.
“Tapi kau yang rajin pergi KL kan ngah?” tanya Fakhri lagi yang ingin ambil tahu tentang abangnya yang selama ini langsung dia tidak kisah hal rumah tangga Fahri.
Fahri tak jawab tapi dia pula yang menyoal kedatangan adiknya itu.
“Kau dah kenapa tiba-tiba datang rumah aku ni? Kat rumah ummi pun aku jarang nampak muka kau. Ni rajin pula kau datang rumah aku malam-malam.” Fahri rasa musykil dengan kedatangan Fakhri.
Bukan Fahri tak kenal perangai Fakhri bagaimana? Adiknya itu akan munculkan diri kalau ada sebab. Kalau tak, namanya duduk dekat tapi lebih kerap berselisih di bandar berbanding di rumah keluarga mereka. Fakhri ini boleh dikatakan lebih berat dengan keluarga belah isteri berbanding keluarga sendiri. Nasib baik ummi mereka, Puan Fatimah tak terasa hati.
Puan Fatimah pun tak kisah jika Fakhri dan isterinya jarang datang ke rumahnya. Padahal Fakhri dulu boleh dikatakan anak kesayangan. Maklumlah anak bongsu. Tapi sekarang sudah terbalik, Puan Fatimah lebih rapat dan selalu ketemu Fahri di mana dulu dialah yang selalu buat hal sendiri kerana sibuk dengan kerjayanya.
“Angah kau tak nak tinggal dengan ummi ke? Ummi kan dok sorang kat rumah. Kau pun sama. Kan elok kau tinggal sekali dengan ummi. Bukannya Yara balik sini pun. Kau je yang rajin ke KL jumpa dia.”
Fahri cuba kawal riak wajahnya kerana terkejut tiba-tiba saja Fakhri menyuruhnya tinggal serumah dengan Puan Fatimah sedangkan sebelum kahwin lagi Fahri sudah tinggal sendiri.
Tiba-tiba Fahri terfikir sesuatu. Mungkin ada kaitan dengan kedatangan Fakhri tanpa diundang.
“Kalau aku stay dengan ummi habis rumah aku ni nak buat apa? Nak bagi orang duduk? Siapa? Kau?” tanya Fahri selamba.
Fakhri sudah terkulat-kulat kerana niatnya dapat dibaca oleh Fahri.
“Aku bukan apa ngah. Kesian ummi tinggal sorang kat rumah tu. Baik kau dok dengan ummi. Ada juga orang boleh tengok-tengokkan ummi. Kau pula tak payah nak bazir bayar bil api air semua. Boleh dapat duit lagi kalau kau sewa kat orang lain,” ujar Fahri menggunakan alasan kesian pada Puan Fatimah.
Sebenarnya Fakhri yang terdesak mahu cari rumah sewa yang lain. Gara-gara Linda, isterinya yang tak habis-habis merungut mahu meminta Fakhri mencari rumah yang besar sikit memandang anak mereka makin membesar. Sekarang ini bukan senang nak cari rumah lain dengan harga yang murah. Sebab itu Fakhri mahu menyuruh Fahri tinggal bersama Puan Fatimah supaya dia boleh membodek Fahri sewakan rumah padanya dengan harga yang murah sikit berbanding orang luar.
Fahri cuba tahan ketawa kerana kelakar dengan alasan Fakhri yang menggunakan Puan Fatimah sebagai alasan. Kalau Fakhri risau sangat kenapa bukan Fakhri saja yang tinggal sekali dengan Puan Fatimah dari menyewa tempat lain. Sekurang-kurangnya rumah yang Fahri duduk sekarang memang rumah yang telah dibeli olehnya sebelum kahwin lagi. Malah Fahri sendiri dah duduk lama di rumah ini dari sebelum kahwin lagi.
“Kalau angah nak sewa, kau boleh sewa kat aku je ngah. Kau pun tak payah risau rumah kau orang jaga elok ke tak.” Akhirnya Fakhri usulkan niatnya juga.
“Dari kau bazir duit menyewa lebih baik kau yang duduk dengan ummi,” ujar Fahri selamba.
Fakhri sudah tak senang hati kerana nampak tiada tanda-tanda Fahri bersetuju dengan pendapatnya.
“Aku ada anak bini, ngah. Mana selesa nak tinggal sekali. Kau lain la. Bukan bini kau ada selalu pun,” jawab Fakhri dengan muka tak puas hati. Dia suruh Fahri tapi boleh pula Fahri menyuruhnya pula.
Fahri tahan bengang. Apa Fakhri seorang fikir keselesaan anak isterinya. Dia pula? Tak fikir keselesaan Yara. Sudahlah mereka jarang bertemu jadi takkan Fahri tak perlukan ruang privacy bersama Yara.
Di Kuala Lumpur pun Fahri sanggup sewakan Yara sebuah apartment untuk isterinya tinggal walau boleh saja Yara tinggal bersama keluarganya tapi kerana Yara mahu ruang privacy sendiri jika Fahri pulang jadi dia buat keputusan sewakan rumah untuk Yara.
“Kau tak payah la nak kesian kan ummi tu. Bukan aku dengan along tak rajin balik rumah sana tengok-tengokkan ummi. Kitorang ada je tidur sana gilir-gilir teman kan ummi. Bukan tak ada langsung. Ummi pun okey je macam tu,” ujar Fahri yang buatkan Fakhri terasa kerana dia saja yang tidak pernah pulang tidur ke rumah keluarganya seperti kakak dan abangnya jika bukan waktu perayaan.
Fahri bukanlah cuba tak nak bantu Fakhri tapi seeloknya Fakhri sendiri kena berusaha. Bukannya mengharapkan orang lain untuk kesenangannya saja. Fahri sendiri boleh bantu cari rumah sewa yang lain untuk Fakhri.
Fakhri punya pasal terus Fahri dan Yara tidak berhubung malam ini. Kemungkinan Yara pun sudah ketiduran dan Fahri malas nak mengganggu isterinya.
Fahri menghantar Fakhri ke pintu rumah apabila adiknya itu mahu pulang segera kerana tidak mendapat hasil keinginannya.
Angin malam yang menampar lembut di pipinya membuatkan rindu Fahri pada Yara makin membuak-buak apabila mengenangkan Yara suka melihat langit malam di dalam pelukannya. Angin bawalah rinduku kepadanya…
Share this novel