“AMBOI ummi…Jimat eh budget peruntukkan kumpulan marhaban ummi tu kalau tolak minyak guna pakai kereta anak sendiri je ke hulur ke hilir hantar sana sini,” perli Farina iaitu kakak sulung Fahri.
“Apa guna kalau ada anak kalau tak boleh minta tolong. Lagipun angah tu jenis anak yang boleh diharapkan jadi apa salahnya ummi minta tolong dia je,” balas Puan Fatima yang baru selesai mengemas rumah. Nak masak, hari masih awal lagi. Nasib baiklah Farina bertandang ke rumahnya. Ada kawan buat berbual untuk hilangkan rasa bosan.
“Ummi…” panggil Farina yang mahu mencungkil sesuatu daripada Puan Fatima.
“Apa dia?”
“Ummi sebenarnya memang suka kan angah dengan Yara PJJ kan? Sebab dapat la ummi berkepit dengan anak laki ummi yang sorang tu kalau Yara tak ada. Betul tak?” terjah Farina.
Berubah air muka Puan Fatima apabila Farina menerjahnya dengan soalan sebegitu.
“Apa yang kau merepek ni ha, long? Kalau ummi nak berkepit pun apa salahnya tu anak ummi. Tak kira la angah tu tinggal sebumbung dengan Yara ke tak. Apa bezanya kalau ummi nak minta tolong dengan angah?” balas Puan Fatima geram.
“Eh, ada beza la ummi. Kalau angah tinggal sebumbung dengan Yara maybe sebulan sekali dua je kut dia bertandang jenguk ummi kat rumah ni. Tu pun kalau tinggal sebumbung kat sini la. Kalau kat KL mungkin setahun berapa kali kut angah balik jenguk macam anak-anak orang kampung yang lain. Ni ummi setiap masa dok call angah tu minta hantar ke sana la ke situ la. Cuma dalam sebulan 2 kali je la ummi tak dapat nak suruh angah sebab time tu je dia jumpa bini dia,” ujar Farina selamba.
Sudah lama Farina perasan perangai Puan Fatimah yang seperti tidak kisah akan cara rumah tangga Fahri dan Yara. Kalau Puan Fatimah jenis yang memang fikiran terbuka tidak apa. Farina takut Puan Fatimah ada niat lain saja. Farina tahulah umminya bagaimana orangnya. Bukan Fahri seorang anak lelaki yang boleh Puan Fatimah harapkan. Masih ada adik lelaki bongsu mereka yang duduk daerah kawasan tempat tinggal mereka juga. Tak pula Puan Fatimah kerap menghubungi adiknya seorang itu. Sebab apa? Sebab adik lelaki mereka juga sudah berkahwin dan tinggal bersama dengan isteri. Beza dengan Fahri.
“Takkan along fikir ummi suka dorang tinggal asing sebab ummi dapat berkepit dengan anak ummi sendiri? Along fikir ummi cemburu kalau Yara tinggal sekali sebab ummi tak dapat control anak ummi sendiri…Macam tu along fikir? Ada ke ummi cemburu dengan bini si Fakhri tu, adik bongsu korang?” tanya Puan Fatimah tak puas hati.
“Along bukan apa ummi…Along pelik jelah. Dengan along punya panjang ummi bagi tazkirah setiap masa suruh jaga suami dengan baik-baik. Jangan abaikan makan minum dia semua. Jangan nak sibuk dengan kerja je tapi dengan Yara… Ummi tak kisah pun angah tu dok sorang kat rumah dia tu walau bini ada nun jauh di KL.”
Dengan bini Fakhri? Lagi ummi macam suruh dorang asyik berkepit je, omel Farina dalam hati.
Puan Fatimah terdiam.
“Tak ada pun ummi nak bebelkan menantu ummi tu? Tak pun si angah tu… macam along kena! Angah tu yang lagi galak kan bini dia sibuk bekerja dan sanggup tinggal berasingan tau,” ungkit Farina.
Puan Fatimah memang selalu bebelkan pada Farina kalau nampak anak sulungnya itu lebih sibuk dengan kerja. Kata Puan Fatima, orang perempuan ini kalau dah bergelar isteri jangan lebih pentingkan benda lain daripada suami.
Tapi dengan Fahri tak ada pun Puan Fatima bising apabila Fahri beri keizinan pada Yara untuk terus bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal berasingan. Sebab itu Farina rasa pelik.
“Kamu tu yang cemburu long sebab budak Yara tu tak kena bebel dengan ummi. Yara tu menantu takkan la ummi nak bebel macam anak sendiri. Biar la mama Yara tu yang bebelkan dia je.”
“Hmmm…harap-harap mama Yara bebelkanlah adik ipar along tu suruh dia pindah sini atau Fahri pindah sana,” jawab Farina selamba.
Puan Fatimah gigit bibir menahan rasa jika apa yang diharapkan oleh Farina itu bakal terjadi. Dia tiada niat yang tak baik cuma dia menggunakan kesempatan yang ada saja. Lagipun Fahri adalah anaknya sendiri.
“WAH! Patut la suruh kita balik rupanya masak lauk favourite Yara la,” ujar Yara yang masuk ke ruang dapur melihat Puan Yasmin sedang memasak makanan malam mereka nanti.
Sudah berapa kali Puan Yasmin ajak Yara datang makan malam di rumah keluarganya dan baru malam ini Yara pulang ke rumah keluarganya kerana Fahri juga tidur di rumah keluarga mertua malam ini.
Jadi adil kerana mereka masing-masing pulang dan bermalam di rumah keluarga sendiri.
“Dah bagi tahu Fahri malam ni Yara tidur sini,” tanya Puan Yasmin sambil mengacau gulai lemak ketam dalam kuali. Bahu saja sudah buat Yara rasa lapar.
“Yara dah bagi tahu awal-awal dah,” jawab Yara.
Puan Yasmin cuma angguk saja. Senang hati kerana anaknya tetap tahu meminta izin suami dahulu. Bukan apa, Puan Yasmin risau kalau Yara abaikan perkara sebegitu kerana tidak tinggal sekali dengan suami.
“Yara naik mandi dulu la ma. Kejap lagi Yara tolong mama okey,” ujar Yara manja.
“Eh tak payah… Anak mama pergi mandi lepas tu rehat je. Semua dah nak siap dah. Lepas maghrib karang turun makan okey,” balas Puan Yasmin tidak mahu Yara menolongnya kerana tahu anaknya itu mesti letih baru pulang dari kerja.
“Okey mama…Yara naik dulu…”
Laju kaki Yara melangkah naik memijak anak tangga menuju ke biliknya sebelum berkahwin. Biliknya masih kekal sama walau hanya sekali sekala saja dia pulang ke sini.
Yara merebahkan diri di atas katil sekejap sebelum pergi mandi. Telefon bimbit di dalam beg tangannya dikeluarkan.
Tersenyum Yara melihat WhatsApp daripada Fahri.
HUSBABY
Parcel has been delivered.
Recipient : Fahri Iskandar Bin Ismail (Your handsome husband)
View Proof of Delivery
Tergelak Yara membaca WhatsApp Fahri. Boleh pula suaminya mengusiknya dengan copy and paste semula mesej yang selalu akan kita dapat bila barang yang kita pesan telah berjaya diterima. Mesej macam kat Shopee.
Yara tengok gambar yang dihantar Fahri sambil memegang kotak besar sebagai bukti penghantaran.
“Balik kerja pun handsome,” puji Yara apabila melihat gambar Fahri. Lama Yara tenung gambar Fahri di skrin telefon bimbitnya.
Sudah gaya macam orang tengah angau bercinta. Oh! Semestinya Yara dan Fahri masih terus bercinta walau sudah 2 tahun berkahwin. Kalau boleh biarlah bercinta sampai ke syurga. Ceh! Macam tajuk lagu.
“Stop tengok gambar laki sendiri sebab dah lapar. Tengok muka biy je tak boleh kenyang,” ujar Yara sendiri.
Cepat-cepat Yara pergi mandi dan solat lepas azan Maghrib berkumandang. Barulah dia turun pergi ke meja makan. Mama dan papa sudah ada menunggunya.
“Huh! Makin lapar Yara tengok ketam mama ni,” seloroh Yara.
“Lama tau ketam ni dok dalam peti ais nak tunggu Yara balik baru mama nak masak,” usik Encik Iman. Puan Yasmin sudah geleng kepala. Ada saja suaminya nak mengusiknya sedangkan baru semalam Encik Iman beli ketam untuk dimasak pada malam ini.
“Sorry papa…Malam ni mama masak semua favourite Yara,” usik Yara pula.
“Macam ni papa kena suruh menantu papa bawa anak papa ni duduk dengan dia la. Baru la mama masak lauk favourite papa pula,” usik Encik Iman lagi. Yara dengan papanya memang suka mengusik antara satu sama lain.
“Dah…dah… makan jelah. Nak bergurau tunggu perut dah kenyang nanti,” ujar Puan Yasmin. Kalau tak dihalang makin berlanjutan usik mengusik anak dan suaminya nanti.
Berselera Yara makan malam ini. Berkali-kalilah Yara menambah nasi ke pinggan. Langsung tak peduli dietnya. Balik rumah mama mestilah wajib cheat day!
Selesai makan, Yara duduk dengan Puan Yasmin dan Encik Iman di ruang tamu. Duduk bersantai sambil makan buah-buahan.
“Bila Fahri balik sini?” tanya Puan Yasmin memulakan topik.
“Next week mama,” jawab Yara sambil makan buah epal.
“Nanti ajak Fahri datang sini. Lama papa tak jumpa dia,” suruh Encik Iman. Dalam sebulan dua ini Encik Iman banyak urusan kerja di luar jadi jarang berada di rumah setiap kali Fahri datang ke Kuala Lumpur sebab itu Encik Iman lama tidak bertemu dengan menantu tunggalnya itu.
“Bagi anak menantu awak ni jumpa puas-puas dulu kalau nak suruh ke mari,” ujar Puan Yasmin tegas.
Yara dan Encik Iman pandang antara satu sama lain. Yara dapat rasa sesuatu bakal disuarakan oleh Puan Yasmin sebentar lagi.
“Gaya awak cakap macam la anak awak ni bertahun tak jumpa laki dia,” ujar Encik Iman sambil ketawa kecil. Saja tak nak bagi serius sangat.
“Orang lain hari-hari jumpa suami. Anak awak ni? Lepas kahwin je dah dok asing-asing,” ujar Puan Yasmin yang masih tak puas hati Yara dan Fahri memilih untuk tinggal berasingan.
Yara telan liur. Nampaknya malam ini mesti Puan Yasmin mahu sekolahkan Yara. Patutlah beria suruh Yara pulang.
“Apa la yang awak nak risau kan…Dorang berdua elok je pun. Tengok anak awak tu relaks je.” Encik Iman menyebelahi Yara.
“Sebab kan anak kita ni relaks je memanjang sebab tu la saya kena risau, bang,” balas Puan Yasmin tak puas hati.
“Mama nak risau apa? Yara dengan Fahri bukannya buat hal masing-masing sampai lupa tanggungjawab sendiri.” Akhirnya Yara buka mulut.
“Kalau awak tahu tanggungjawab awak, kenapa Yara tak tinggal di sisi suami,” soal Puan Yasmin.
“Ma…Ni kan keputusan Yara dengan Fahri bersama. Yara dapat keizinan sendiri dari suami Yara,” balas Yara pertahankan dirinya. Bukannya Yara buat keputusan sendiri sampai abaikan tanggungjawabnya. Semuanya atas keizinan Fahri juga dari hasil perbincangan mereka.
“Mama tak faham la dengan Yara tau. Kenapa nak sangat terus kerja kat KL ni. Kalau Yara tak nak duduk rumah je, bukan Yara tak boleh cari kerja kat sana.”
“Mana sama ma…Kat sana belum tentu lagi Yara dapat tawaran kerja macam kat company sekarang ni,” bantah Yara. Dia bukan budak kecil lagi yang perlu ikut sahaja kehendak mamanya.
“Husband awak tu bukannya sengkek sampai tak boleh tanggung kalau Yara dapat gaji lebih kecik dari sekarang. Ni pun tetap awak, habiskan duit Fahri shopping juga kan walau gaji besar.”
Sentap Yara. Dah duit laki sendiri mestilah Yara yang habiskan. Takkan perempuan lain. Boleh perempuan lain iaitu mak mertuanya saja.
“Bila dah tinggal berasingan macam ni, bila masa nak fikir ada anak semua,” tokok Puan Yasmin lagi.
Encik Iman tergelak kecil. Yara sudah terkulat-kulat kena bebel dengan Puan Yasmin.
Baby…Help me….
“Yang abang gelak kenapa?”
“Next week Yara tak payah la bawa Fahri jumpa papa. Tak pun papa belanja Yara dan Fahri pergi second honeymoon lagi nak? Tapi dengan syarat Yara dengan Fahri kenalah usaha lebih sikit bagi mama cucu. Baru la mama diam nanti,” ujar Encik Iman selamba.
Yara terlepas ketawa. Laju dia tutup mulut apabila mendapat jelingan Puan Yasmin yang sememangnya geram dengan suami dan anaknya yang suka tidak ambil serius apa yang dikatakannya.
“BIY….” rengek Yara manja apabila Fahri berada dalam talian.
“Haaa…siapa buat sayang I ni? Meh sini report kat I,” ujar Fahri yang cuba melayan kerenah Yara malam ini.
“I nak report pasal mama kat you,” ujar Yara geram.
“Oh kalau pasal mama, I tak berani nak terima report you. Takut I nak melawan mak mertua kesayangan,” seloroh Fahri.
“Eeee…biy ni….” Yara mula merengus. Boleh lagi Fahri nak loyar buruk.
Fahri sudah ketawa kecil. Dapat agak wajah Yara masam mencuka sekarang ini.
“Tapi demi isteri tercinta, I sanggup berdepan dengan mak mertua kesayangan I tu, so sayang dipersilakan la mengadu dengan suami tercinta you,” ujar Fahri dengan suara maconya.
Tak jadi Yara nak marah dan dia pula yang geli hati mendengar bait-bait kata Fahri.
“Oh kira berani juga la ni.”
“Demi tidur I lena malam ni,” usik Fahri lagi.
“Eee… memang you tidur lena eh setiap malam tanpa I,” ujar Yara geram kerana Fahri tak habis-habis nak loyar buruk.
Fahri tak balas. Karang terlepas cakap tidurnya lena lain pula jadinya. Fahri cuba tahan gelak bila memikir reaksi Yara.
“Sayang lena tak, tidur tanpa biy…Kita kan sehati sejiwa mesti la kita rasa apa yang sama.” Setelah menjadi suami, Fahri terpaksa menelan kamus ayat-ayat manis untuk beli jiwa isterinya.
“You saja nak beli jiwa I kan,” cebik Yara.
Fahri habiskan sisa tawanya sebelum kembali serius. Kali ini dia dah bersedia untuk mendengar luahan hati isterinya.
“Kenapa sayang?” tanya Fahri lembut.
“Hmmm…mama la…Tak habis-habis dengan dia punya tak puas hati tu. Kita ni dah PJJ nak dua tahun dah tapi mama tetap asyik bising pasal tinggal asing bila nampak muka I. Asyik nak suruh I resign je,” cerita Yara tanpa henti.
“Hmmm…” Fahri sudah dapat agak apa yang Yara tak puas hati dengan Puan Yasmin. Bukan kali pertama Yara merungut pasal sikap mak mertuanya itu yang suka paksa Yara berhenti kerja dan tinggal bersamanya dari dia sendiri sebagai suami yang memang bertolak ansur dan beri keizinan pada Yara untuk terus bekerja meski tinggal berasingan kerana ini bukanlah perancangan mereka selama-lamanya.
“Kadang I jealous tau dengan you biy,” luah Yara.
Fahri masih diam. Bagi ruang pada Yara untuk terus meluahkan padanya. Fahri lebih suka dengar dulu dari terus mengatakan pendapatnya.
“You balik rumah ummi boleh je relaks…relaks…tak payah dengar ummi bebelkan pasal kita tau. Ummi okey je tak bising macam mama. Patutnya I lebih kena tahan telinga dan hati I kalau ummi yang tak puas hati I tak tinggal sekali dengan you. Konon ummi risau makan minum pakai you tak terurus walau ada bini padahal I still uruskan makan dan pakai you dari jauh tau. Ni terbalik pula? Mama yang lagi over dari ummi,” rungut Yara.
Memanglah mereka tinggal berasingan tapi tak bermakna mereka hanya menguruskan hal sendiri kerana Yara dan Fahri tetap melibatkan sesama sendiri dalam rutin kehidupan seharian mereka.
Contohnya, Fahri sendiri akan memesan secara online untuk beli barang dapur bagi keperluan Yara di Kuala Lumpur jika mereka tidak membeli barang bersama ketika Fahri berada di Kuala Lumpur.
Yara pula, selalu saja pesan makan malam untuk Fahri kerana tak mahu Fahri susah payah masak sendiri atau beli jika tidak makan di rumah Puan Fatimah kerana mak mertuanya memang lagi suka ajak Fahri makan malam bersama.
“Sayang…anggap je mama tu cuma risaukan you je. Tambah lagi cuma you je seorang anak dia. Ummi? Dia ada tiga orang anak tau. Tak mampu dia nak bebelkan semua tau. Buat lagi dia penat je.” Sempat Fahri seloroh di hujung ayatnya itu.
Awal perkahwinan dulu Fahri pun agak risau kalau Puan Fatimah juga tak berkenan dengan pilihan mereka kerana umminya itu memang sangat tegas dan amat mementingkan penjagaan rumah dengan rapi. Sebab itu Farina selalu kena tegur dengan Puan Fatimah kalau kakaknya itu culas menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
Tapi rupanya Puan Fatimah tidak banyak cakap dan terima saja pilihan Fahri.
“Lagi satu sayang…you kena ingat yang you tu penyelamat ummi. Kalau you tak muncul tiba-tiba kat kampung and then tak tackle I…sampai sekarang tau ummi risau I tak kahwin-kahwin sampai ke tua. So takkan la ummi nak bising kalau lagi dia bersyukur anak dia dah kahwin. PJJ pun PJJ la asalkan I kahwin,” ujar Fahri melawak.
Tergelak Yara apabila mengingatkan kisah mereka sebelum kahwin dulu.
Ya. Memang Yara yang tak malu langsung mengurat Fahri dulu. Siapa suruh asyik fikirkan pasal kerja saja. Kan Yara dah cuba buat Fahri memikirkan pasal dia juga dalam hidup lelaki itu sampai Fahri betul-betul terjatuh cinta pada Yara sehingga melamarnya.
She fell first, he fell harder…
Yara sudah lupa pasal Puan Yasmin bila bercakap pasal kenangan lepas.
“Okey sekarang ni I pula nak soal you,” ujar Fahri selamba.
“Aik? Biy nak soal apa?” soal Yara musykil.
“Asal dah macam 7 warna pelangi I tengok baju-baju yang you order ni sayang…” rungut Fahri.
Yara ketawa besar. Semestinya Fahri sudah buka kotak penghantaran yang dia terima petang tadi. Mana tidak, Yara belikan beberapa helai baju untuk Fahri dengan setiap satu beza warnanya. Sebab itu Fahri perli 7 warna pelangi.
“Ala biy… kan senang ada semua warna. Senang I nak match kan dengan baju I setiap hari. Tak pening I nak fikir pakai baju apa. I tanya you je hari ni you pakai color apa macam pagi tadi,” jawab Yara selamba. Senang betul dia jumpa jalan penyelesaian untuk masalah sendiri yang selalu runsing tak tahu nak pakai baju apa walau baju bukan main lagi banyak.
Fahri tak terkata apa. Sememangnya Fahri sendiri yang biarkan Yara membeli-belah pakaiannya. Orang kata adalah sentuhan dari pilihan isteri juga.
“Weekend ni biy buat apa je…” tanya Yara manja lepas topik 7 warna pelangi selesai. Kenapalah dia perlu gantikan Lia untuk pergi ke Melaka. Kalau tak, boleh Yara bermanja dengan Fahri.
“Weekend ni I dating dengan ummi. Ganti dating I dengan sayang,” balas Fahri.
“Okey dengan ummi tak apa. Jangan cuba-cuba nak ganti dating dengan perempuan lain. Siap la biy kalau I dapat tau,” gertak Yara bagi amaran.
Fahri sudah ketawa. “Aik? Takkan dah tak percaya kat biy…Kan sayang kata kita kena saling percaya antara satu sama lain.” Fahri cuba ingatkan Yara semula.
“Percaya tetap percaya tapi biy lupa ke yang I ni tetap perempuan. Mulut kata lain. Hati rasa lain. Otak fikir lain,” balas Yara selamba.
Makin kuat ketawa Fahri. Namanya pun perempuan sudah semestilah ada sifat cemburu walau percaya sekali manapun.
“Sayang jangan risau, I takkan musnahkan kepercayaan you.” Janji Fahri dari awal perhubungan mereka sehingga sekarang.
Kepercayaan itu adalah antara teras utama dalam perhubungan. Apatah lagi dalam perkahwinan jarak jauh seperti mereka. Hubungan akan mula goyah jika kepercayaan mula hilang. Dan bagi Yara, kepercayaan itu seperti gelas kaca. Bila jatuh, pecah berderai dan tak mungkin akan bercantum kembali dengan cantik walau menggunakan apa sekali gam untuk membaikinya. Jangan ada antara mereka yang mula fikir untuk mengkhianati kepercayaan itu.
Share this novel