DATIN ZAHLIA memandang orang gajinya lama. Sungguh dia berasa serba salah waktu itu untuk melepaskan Mak Jah.
“Mak Jah memang betul ke nak berhenti kerja ni?” soal Datin Zahlia.
“Maaf Datin. Saya terpaksa berhenti. Anak saya dah tak bagi saya kerja lagi. Dia suruh saya duduk kampung je.”
Datin Zahlia mengeluh perlahan. “Tak apalah. Dah Mak Jah cakap macam tu, saya pun tak boleh nak halang.”
“Terima kasih ya Datin, sebab bagi saya kerja sini hampir 10 tahun.”
“Sama-sama. Terima kasih juga pada Mak Jah, sebab sudi bekerja dengan kami.”
Datin Zahlia memeluk tubuh Mak Jah. Selepas ini dia terpaksa mencari orang gaji yang baru.
Selepas beberapa hari, Datin Zahlia sudah pun mendapatkan orang gaji yang baru, tetapi orang gajinya tidak tahan bekerja di situ. Bukan kerana tidak tahan apa, tetapi tidak tahan dengan sikap Zill Hakim yang suka mengamuk di dalam bilik. Katanya dia tidak mahu orang lain masuk ke dalam biliknya. Dia mahukan Mak Jah. Padahal Mak Jah sudah seminggu berhenti kerja.
Datin Zahlia memicit kepalanya. Muncul Datuk Syakir yang baru pulang dari kerja.
“Assalammualaikum,” ucap Datuk Syakir.
“Waalaikummussalam abang.”
“Kenapa tu? Macam pening kepala je saya tengok.”
“Zilllah. Siapa lagi.”
“Kenapa dengan Zill?”
“Dah dua orang, orang gaji lari. Sebab tak tahan dengan sikap Zill tu. Suka sangat nak mengamuk je. Penat saya macam ni tau?”
“Hmm, tak payahlah cari orang gaji lagi. Awak jelah buat kerja dalam rumah ni.”
“Eh, awak ni. Cuba tengok rumah kita ni. Berapa tingkat? Tiga tingkat tahu tak? Setakat nak kemas tingkat satu bolehlah. Ni nak kemas sampai ke tingkat tiga. Tak mampu saya macam ni. Penat. Ni pun dah patah pinggang saya ni ha.” Datin Zahlia memegang pinggangnya.
“Carilah dua orang gaji.”
“Tak payah sampai dua. Satu dah cukup. Saya pun buat kerja rumah juga masa time Mak Jah ada. Ni dah tak ada Mak Jah, tinggallah saya sorang buat kerja. Mana mampu saya. Tu ha Zill tu, dah setahun dah Vina dengan Zarith pergi. Tak habis-habis nak berkurung dalam bilik. Cuba awak tengok muka dia tu. Dah tak macam orang. Dah macam nak jadi orang zaman batu. Berjambang. Dengan rambut panjangnya. Nasib baik dia tak pakai seluar dalam koyak-koyak. Kalau dia pakai macam tu, duduk pulak dalam gua tu. Ha, confirm jadi orang zaman batu.”
“Apalah awak ni. Merepek je. Nak ke anak lelaki awak tu duduk dalam gua?”
“Ya, memang saya dah merepek. Entah-entah saya yang gila! Bukannya Zill!”
Datuk Syakir menggelengkan kepalanya berulang
kali. “Sudahlah Lia, saya pun dah tak tahu nak buat apa juga ni. Tu nasib baik company dia saya tolong tengok-tengokkan. Kalau tak, boleh bankrup tahu?”
“Entahlah.” Datin Zahlia mengeluh perlahan.
“Ni ha, berapa tahun lagi si Zaid tu nak balik
Malaysia?”
“Tahun ni dia habis belajar. Kenapa?”
“Tak adalah apa. Saje je nak tahu. Ingat nak suruh dia handle company Zill je.”
“Apalah awak ni. Dia pun study perubatan. Mestilah jadi doktor. Takkan pula kerja dekat company Zill. Tapi Insya-Allah, lambat-laun Zill akan reda juga. Cuma sekarang ni, mungkin dia susah nak lupakan Vina dengan Zarith.”
“Saya pun harap macam tu juga.”
“Ni ha, esok saya nak ke pasar raya nak beli barang dapur. Ada apa yang awak teringin nak makan?”
“Awak beli jelah apa yang awak nak beli. Saya tak kisah.”
“Yalah. Dah alang-alang saya sampai sana nanti, saya nak try tampal iklan cari orang gaji.”
“Apalah, cari orang gaji pun nak tampal iklan.”
“Awak ingat nak cari orang gaji, kena pergi tanya orang ke apa?”
Datuk Syakir menjongketkan bahunya.
“Ha sebab tu jangan menyampuk bila saya bercakap.”
“Ha, melawan-melawan.” Datuk Syakir menggelengkan kepalanya.
“Yalah saya salah. Ampunkan patik tuanku. Terlajak perahu boleh diundur, telajak kata, buruk padahnya.”
“Apa-apa jelah. Ni awak masak apa?”
“Gulai kari ikan, dengan sayur bendi tumis je.”
“Tu anak awak orang zaman batu dah makan belum?”
“Apa awak ni? Panggil anak orang zaman batu?”
“Awak yang cakap tadi anak awak tu orang zaman batu.”
“Saya bagi perumpamaan je.”
“Dahlah, saya nak naik atas, nak mandi. Lepas tu saya nak ke masjid.”
“Hmm, yalah.” Datin Zahlia memandang ke arah kolam ikan miliknya.
Datuk Syakir berjalan menaiki anak tangga. Sehingga kakinya berhenti di hadapan pintu bilik anak lelakinya. Kelihatan ada dulang yang berisi pinggan kosong dan cawan. Datuk Syakir menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Sampai bilalah kamu nak macam ni Zill. Berkurung je dalam bilik,” gumam Datuk Syakir.
Setiap hari begitulah sikap anaknya. Makan siap berhantar. Pakaian kotor Zill Hakim akan diambil setiap pagi oleh isterinya, apabila anaknya duduk di dalam bilik air. Sebenarnya sudah penat dia menasihati anaknya tetapi langsung tidak dilayan.
“KAMU nak ke mana Aqis?”
“Nak cari kerja.”
“Tak dapat-dapat lagi ke?” soal Badriah.
“Tak. Semuanya tak nak bagi.” Keluhan berat dilepaskan.
Sudah merata tempat Balqis mencari kerja. Semuanya tidak mahu mengambilnya. Alasan yang diberi mereka, Balqis baru habis sekolah, dan mungkin mahu bekerja sementara sahaja. Jadi, disebabkan itu Balqis tidak diambil bekerja.
“Ni nak cari dekat mana?” soal Badriah.
“Cari jelah dekat mana-mana ibu. Ada rezeki adalah.” “Ha, yalah,” jawab Badriah.
Balqis menyalami tangan ibunya, lalu berlalu keluar dari rumah. Dia berharap ada kerja kosong untuknya nanti.
DATIN ZAHLIA, meletakkan barang-barang yang dibeli tadi di atas kaunter pembayaran. Dalam masa yang sama dia sudah bersedia untuk menampal jawatan kosong di luar sebentar lagi.
Kebetulan Balqis sedang berjalan masuk ke dalam pasaraya. Dia berhenti di hadapan kaunter pembayaran.
“Assalammualaikum kak, ada kerja kosong tak?” soal Balqis.
Juruwang tersebut memandang Balqis. “Umur berapa ni?”
“18 tahun. Baru habis SPM.”
“Baru habis SPM. Ni confirm nak kerja kejap ni. Lepas tu dapat gaji berhenti.”
“Eh, tak... tak... saya memang nak kerja. Lagipun SPM saya tak lulus. Gagal,” jelas Balqis dengan nada perlahan.
“Tak apalah dik. Kita orang memang tak nak pekerja yang baru habis SPM ni. Nanti dah siap-siap buat kad pekerja, bagi baju semua, tiba-tiba nak berhenti pula. Nanti alasan, sebab nak sambung belajar.”
Datin Zahlia dari tadi memerhatikan perbualan juruwang tersebut bersama seorang gadis yang baginya terlalu cantik dan sejuk mata memandang apabila melihatnya.
“Tapi saya memang nak kerja. Saya tak akan berhenti. Memang saya tengah cari kerja ni. Saya tak kisah kerja apa. Saya boleh buat.”
“Sorry ya dik. Memang tak ada kerja kosong dekat sini. Adik try pergi cari tempat lain.”
“Tapi, semua tempat tak nak ambil saya.” Balqis mencuba lagi.
Juruwang tersebut langsung tidak melayani Balqis lagi. Akhirnya Balqis akur. Terus dia berjalan keluar dari situ.
Datin Zahlia yang mendengar perbualan tadi, terus cepat-cepat membuat pembayaran. Setelah itu, terus dia berlari mencari gadis tadi. Nampak gadis itu sedang berjalan perlahan.
“Dik, dik,” panggil Datin Zahlia.
Balqis berpusing. Kedengaran ada satu suara yang memanggilnya dari arah belakang.
“Ya auntie?”
“Kamu tengah cari kerja ke?”
“Ha’ah, ya. Memang tengah cari kerja.”
“Kamu nak kerja dengan saya tak?”
“Eh, nak. Memang saya nak. Kerja apa tu?”
“Kamu tak kisah ke kalau kerja dengan saya?”
“Saya tak kisah. Tapi kerja apa tu?”
“Orang gaji? Nak ke?”
Balqis terdiam sejenak. “Orang gaji?” gumam Balqis.
“Macam mana? Kamu nak ke? Kamu jangan risau. Gaji nanti saya bagi banyak. Sebulan 4K.”
“Ha?” Terbuntang mata Balqis mendengar jumlah yang disebut wanita di hadapannya.
“Kenapa?”
“4K. Nilai gaji terlalu tinggi. Macam tak kena pula, kerja yang auntie bagi.”
“Saya ikhlas nak bagi lebih. Lagipun rumah saya tiga tingkat, berbaloi dengan gaji yang saya nak bagi ni. Macam mana? Awak nak ke?”
Balqis berfikir sejenak. “Kalau macam tu, saya setujulah.”
“Eh, betul ke ni? Awak takkan berhenti kerja kan?”
“Insya-Allah tak.”
“Baik. Ni ambil name card saya. Esok pagi pukul
8.00 awak datang ya?”
Balqis mengambil kad nama, dari tangan wanita tadi. Terkedu dia melihat nama Datin Zahlia di situ.
“Err, Datin? Maaf saya terpanggil auntie pula.”
“Tak apa. Saya tak kisah pun. Jangan lupa, esok datang ya.”
“Baiklah. Esok saya datang,” jawab Balqis. Datin Zahlia tersenyum.
“KENAPA kerja sebagai orang gaji? Ibu tak izinkan.”
“Bolehlah ibu. Gaji dia bagi banyak ibu. 4K. Bolehlah.”
“Tak ada kerja lain ke kamu nak kerja? Kenapa mesti orang gaji?”
“Habis tu dah banyak kerja Aqis pergi. Semuanya tak nak ambil. Alasan dia orang takut Aqis berhenti sebab nak sambung belajar. Bolehlah ibu. Bagilah Aqis kerja. Gaji 4K banyak tu ibu. Takkanlah Aqis nak tolak? Bolehlah ya ibu.” Balqis cuba merayu.
Badriah memandang wajah anak perempuannya. Kalau hendak diikutkan, memang gaji RM4 ribu terlalu banyak. Siapa yang tak nak? Tapi kerja sebagai orang gaji agak berat Badriah mahu izinkan.
“Macam mana ibu?”
“Hmm... yalah. Pergilah. Tapi...”
“Ala janganlah tapi-tapi. Bagi ya Aqis pergi. Gaji 4K tu boleh tampung kehidupan kita bertiga. Bazli pun dah masuk tingkatan 4 ni. Tahun depan dia dah nak SPM. Mana tahu dia lulus nanti. Boleh juga dia sambung belajar. Duit gaji Aqis nanti, simpanlah untuk masa depan Bazli nanti.”
Badriah berasa sebak. Lalu tubuh anak perempuannya dipeluk erat. Balqis membalas pelukan ibunya. Dia berharap dengan bekerja nanti, dapat dia membantu ibunya. Jika hendak diharapkan ibunya sahaja yang bekerja di kantin sekolah, langsung tidak mencukupi.
BALQIS tiba di rumah Datin Zahlia dalam pukul 7.45 pagi. Dia hanya menaiki bas, dan selepas itu bas yang dinaikinya akan berhenti di tepi jalan besar. Turun sahaja dari bas, dia perlu berjalan sedikit, lebih kurang dalam 1 KM, untuk tiba di rumah milik Datin Zahlia.
Matanya merenung seisi genap rumah tersebut. Ya, memang betul-betul besar. Terdapat empat buah kereta mewah di luar.
“Jenuh ni nak mencuci tiga tingkat. No wonder dia bagi gaji 4K,” gumam Balqis.
“Baiklah sebelum awak mula kerja ada benda yang perlu saya beritahu.”
“Apa tu Datin?”
“Awak kemas tingkat dua dengan tiga. Tingkat satu saya kemas. Lepas tu masak. Dan lagi satu, setiap jam 9.00 pagi, awak terus naik ke tingkat tiga, masuk bilik anak lelaki saya. Bilik dia betul-betul belah kanan dekat dengan tangga. Sebab dia akan mandi tepat pukul 9.00 pagi. Dan awak diberi masa 20 minit untuk kemas. 9.20, itu waktu dia keluar dari bilik mandi,” jelas Datin Zahlia.
“Maksud Datin, setiap pukul 9.00 pagi saya perlu naik ke bilik anak Datin.”
“Ya, walaupun awak tengah busy buat kerja lain, pukul 9.00 terus je awak masuk dalam bilik dia. Okey?”
“Baik Datin.” Balqis tidak mahu bertanya lebih lanjut. Yang penting pukul 9.00 pagi, dia perlu ke bilik anak Datin Zahlia.
Tidak lama itu muncul Datuk Syakir.
“Abang nak pergi kerja dah ke?” soal Datin Zahlia. “Ha’ah. Yang ni ke pekerja baru?”
“Ya, abang. Yang ni Balqis.”
“Datuk.” Balqis menunduk tanda hormat.
“Ha, awak dah explain ke pasal anak zaman batu awak tu. Karang terkejut dia nanti bila tengok rupa anak awak dah tak rupa orang.”
“Apa awak ni?”
“Dahlah, saya pergi kerja dulu.”
“Hmm, yalah.” Tangan suaminya diraih lalu dikucup lembut.
Balqis pula masih agak keliru. Apa maksud anak zaman batu?
BALQIS sedang mengemas di tingkat dua. Dia mengerling ke arah jam di dinding yang sudah menunjukkan pukul 9.10 pagi.
“Ya Allah. Aku dah terlebih masa sepuluh minit. Mana cukup sepuluh minit nak kemas bilik anak zaman batu dia ni,” jerit hati kecil Balqis.
Terus Balqis berlari naik ke tingkat tiga. Kata Datin Zahlia bilik anak lelakinya sebelah kanan. Perlahan-lahan Balqis menuju ke pintu bilik. Pintu dikuak perlahan. Bilik yang agak begitu besar, tetapi bergelap. Kedengaran bunyi air dari bilik mandi. Mungkin anak lelakinya sedang mandi.
“Bersepahnya bilik dia ni. Aku nak kemas dalam sepuluh minit mana sempat. Baju kotor pulak berterabur dekat atas lantai pulak tu,” gumam Balqis.
Kelam-kabut Balqis mengutip pakaian di atas lantai, lalu dimasukkan ke dalam bakul. Matanya tertancap ke arah bingkai gambar kecil di atas meja dalam keadaan diterbalikkan.
“Biar jelah frame gambar tu. Aduh tak sempat ni.” Balqis berlari ke arah katil pula untuk mengemas cadar yang agak bersepah dengan bantal dan selimut. Baru sahaja dia mahu menarik cadar tilam, kedengaran bunyi pintu bilik air dipulas dari dalam. Balqis yang agak terkejut, terus berlari menuju ke arah langsir, lalu dia menyorokkan dirinya di belakang langsir tersebut.
“Stupid! Kenapa aku menyorok dekat belakang langsir pulak ni?” desis Balqis. Jantungnya berdebar-debar. Tak sama rasa debaran semasa dia mengambil keputusan SPM baru-baru ni.
Zill Hakim berjalan keluar dari bilik air. Rambut yang panjang melepasi bahu dikeringkan menggunakan tuala kecil di tangannya. Dia pelik melihat biliknya yang kelihatan seperti ada orang masuk. Dia memerhatikan sekeliling biliknya. Matanya terpandangkan ke arah satu bayangan susuk tubuh di sebalik langsir.
“Siapa tu! kau tak payah nak menyorok dekat belakang langsir tu!” jerkah Zill Hakim.
Terenjut bahu Balqis waktu itu.
“Mampus! Orang zaman batu, dah nampak aku!” jerit hati kecil Balqis.
Boleh follow ig saya alin_alia88. Dan tak lupa juga, novel Hak Milik Dia, boleh di buat Pre-order sekarang. Boleh click di banner dalam Novelplus untuk pembelian.
Share this novel