Completed
405
Liza menarik nafas payah.
“Abang mau dia belajar dengan suka.”
“Tapi Zah bimbang.”
“Bimbang apa?”
“Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit. Hal-hal negatif melalui internet.”
“Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi kita. Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran akan diperolehnya nanti melalui internet.”
“Macam mana abang boleh yakin?”
“Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya. Dan apabila dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.”
Liza diam.
Sirhan balik memandang pada pen yang terbaring di atas mejanya.
“Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu kenapa?”
“Pen itu mengganggu emosi abang.”
“Kenapa?”
Mata Sirhan bulat pada wajah isterinya Liza .
“Kenapa bang?”
“Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?”
“Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.”
“Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.”
“Lalu?”
“Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,” Sirhan memandang wajah isterinya.
Liza sadin.
“Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti tergantung,” kata Sirhan.
Liza tunduk.
Sirhan memandang kepala Liza yang tunduk. Dia kemudian mencapai terjemahan al-Quran. Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia membaca. Dan penumpuan Sirhan terus pada ayat tujuh, ‘Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).’ Sirhan terus kepada ayat lapan, ‘Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya’).
Nabi membaca pula nota kaki di bawah, ‘Dua ayat itu menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun. ‘ ( Rujukan: Tafsir Ar-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri m/s 1714.)
Sirhan ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz Zuki. Dia sendiri juga sudah berkali-kali membaca ayat itu. Lalu Sirhan balik memandang pen di atas meja yang amat berjasa padanya.
Sirhan ingat benar bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah melakukan satu dosa yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu.
Berkali-kali pula mulut Sirhan kemudian membisikkan nama Pak Abu. Kedai Pak Abu sudah tidak ada. Pak Abu sekarang sudah tua. Sekali-sekali dia jumpa Pak Abu pada hari Jumaat di masjid dengan kerusi. Pak Abu hanya ke masjid pada hari Jumaat. Dia sudah terlalu uzur. Pak Abu sembahyang dengan duduk di atas kerusi.
Sirhan ingat jasa pen itu. Dia lulus dalam semua peperiksaan. Pen itu juga membawanya ke meja kerjanya sebagai PTD. Jasa pen itu membolehkannya menerima gaji ribuan ringgit tiap-tiap bulan. Jasa pen itu yang membolehkan mengumpulkan wang hingga mampu menghantarkan ibunya ke tanah suci Makkah dan ibunya meninggal ketika wukuf di Arafah.
Sekarang dia pula hendak ke Makkah.
Wangnya mesti dari sumber yang halal.
Sirhan ingat sangat itu.
Sirhan ingat dia menghadap Ustaz Zuki. Dia tidak malu menceritakan bahawa dia mencuri sebatang pen dari kedai Pak Abu. Sirhan terangkan jasa pen itu.
Dia nampak wajah Ustaz Zuki senyum lembut padanya.
Tuan kena bersihkan. Sirhan ingat kata Ustaz Zuki.
Sirhan ingat dia mendongak pada wajah Ustaz Zuki.
Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak jumpa Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu. Kalau boleh tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu.
Wajah Sirhan masih pada wajah Ustaz Zuki.
Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu.
Sirhan ingat dia mengangguk.
Dan Sirhan ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia membeli sebatang pen Parker siap dengan kotaknya sekali. Sirhan membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen Parker. Dia genggam kotak itu.
“Abang ingatkan apa dengan pen itu?”
Sirhan menoleh pada Liza isterinya di sebelah.
“Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.”
“Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?”
Sirhan mengangguk.
“Tak malu ke abang?”
Sirhan diam.
“Bekas DO mengaku mencuri pen?”
“Abang malu pada Allah,” desis Sirhan.
Liza meluaskan matanya pada wajah suaminya Sirhan.
“Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai pencuri sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja. Tapi Zah kena ingat pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen sebatang yang abang curi itu. “
Liza berdiri lalu keluar dari bilik kerja Sirhan.
Share this novel