Completed
405
SESIAPA sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah juga yang membabitkan dirinya dengan manusia lain.
Sirhan mengingati frasa itu di meja kerjanya. Frasa itu lahir dari mulut Ustaz Zuki di masjid tempat selalu Sirhan solat berjemaah lima waktu. Di hadapan Sirhan sebatang pen yang sudah berusia tiga puluh tahun lebih. Tetapi pen itu sudah tidak digunakan lagi. Alat mengepam dakwatnya sudah rosak. Lalu pen itu hanya terbaring di atas meja kerja di rumahnya. Pen itu kadang-kadang mengusik jiwanya. Pen itu kadang-kadang menyentuh kalbunya.
Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah melangsaikan segala arahan dan suruhan Allah. Sirhan faham maksudnya, iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun kecil hendaklah bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah bersih. Maksudnya ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan zakat dulu.
Sirhan ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan hubungan sesama manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Sirhan termenng panjang.
Berkelahi membabitkan manusia lain.
Bertengkar membabitkan manusia lain.
Mengutuk orang membabitkan manusia lain.
Mengumpat orang membabitkan manusia lain.
Mencuri barang orang membabitkan manusia lain.
Semuanya membabitkan dosa sesama manusia lain yang mesti dibersihkan.
Sirhan ingat.
Dia tidak pernah berkelahi.
Dia tidak pernah bertengkar.
Dia tidak pernah membuat kutukan.
Dia tidak pernah melakukan umpatan.
Tiba-tiba Sirhan nampak pen di atas meja yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun itu. Pen itu banyak berjasa padanya. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah rendah. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah menengah. Dan dengan pen itu juga dia mencatat apa saja nota semasa dia di universiti dan seterusnya menduduki peperiksaan yang membolehkannya menggenggam ijazah pertama, Sarjan Muda Dengan Kepujian. Kemudian dia bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sebuah kementerian. Akhirnya dia dilantik sebagai Pegawai Daerah (DO) di negerinya.
Lama Sirhan merenung pen sebatang itu.
Lama Sirhan menilik pen sebatang itu.
Lama Sirhan pandang pen itu.
Lama Sirhan tengok pen itu.
Sirhan nampak dirinya dalam kedai Pak Abu di kampungnya. Ketika itu dia dalam darjah lima sekolah rendah. Dia nampak dirinya mencapai pen di dalam almari kaca di kedai Pak Abu ketika Pak Abu ke belakang mengambil gula. Sirhan nampak dia memasukkan pen itu ke dalam saku seluarnya kemudian membayar harga gula lalu pulang ke rumahnya.
Sebelum mendapatkan pen itu, dia berkali-kali meminta ibunya membelikannya sebatang pen. Tetapi ibunya menjawab tidak ada duit. Dia terus meminta. Tetapi ibunya mendiamkan diri. Berkali-kali dia minta dibelikan pen. Ibunya tidak indahkan juga.
Lalu apabila dia berjaya mencuri pen di kedai Pak Abu itu, Sirhan tidak lagi merungut kepada ibunya hendakkan pen. Dia terus belajar. Sirhan terus ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terus membawa bekal nasi goreng dengan sebotol air kosong ke sekolah hari-hari kerana ibunya tidak memberinya wang saku.
Dalam berjalan ke sekolah, Sirhan nampak wajah ibunya yang uzur. Ayahnya entah ke mana. Dia tahu ayahnya sudah bertahun-tahun tidak pulang. Lalu ibunya yang uzur itu menyara hidup dan dirinya dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sirhan menjaga pen itu seperti menjaga emas. Dia gunakannya dengan cermat. Kalau pen itu basah dia lapkan dengan sapu tangan. Apabila pulang ke rumah pen itu diletakkan di tengah-tengah meja. Sirhan bimbang pen itu jatuh ke lantai.
Sirhan terus ke sekolah menengah berasrama penuh setelah mendapat lima A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Sirhan mendapat biasiswa penuh setelah siasatan terhadap keluarganya dijalankan. Lalu dia belajar dengan tekun. Sirhan berjimat dengan wang. Kalau ada wang lebih belanja, dia kirimkan kepada ibunya. Sirhan bawa bersama pen curiannya. Dia sudah lupa sama sekali bahawa pen itu adalah pen curi.
Apabila Sirhan memasuki universiti, pen itu dibawanya lagi. Hingga beberapa tahun dia bekerja pun, pen itu masih menemaninya hinggalah pen itu rosak pamnya dan tidak ada pam penggantinya. Lalu pen itu Sirhan simpan di atas mejanya.
Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Sirhan. Dia menoleh. Dia nampak isterinya, Liza .
“Milah telefon, dia nakkan komputer,” kata Liza .
“Okey.” jawab Sirhan.
“Abang okey saja dengan kehendak Milah.”
Sirhan mendongak pada wajah isterinya Liza .
“Nanti manja budak tu.”
Sirhan menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa dengan abang?”
“Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.”
Liza diam.
“Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang untuk belajar dulu.”
Liza menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Sirhan. Wajahnya pada wajah suaminya itu yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman silam. Dia menunggu.
“Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu,” kata Sirhan.
Liza memandang pen itu. Dia tahu pen itu sudah lama di situ. Dia ingat juga bahawa dia tidak boleh mengalihkan pen itu ke tempat lain. Suaminya melarang dia menyentuh pen itu. Batangnya sudah berkarat. Dia hairan juga. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana ia cuma sebatang pen, apalah sangat arahan suaminya itu, mudah untuk dia turutkan. Bukannya perempuan yang harus dia merasa cemburu.
“Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam darjah abang semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang malu kerana selalu diperli. Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu. “
“Ah! Cuma sebatang pen, bang.”
“Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini, terasa.”
“Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang penuhi?”
Sirhan mengangguk.
Share this novel