BAB 3

Drama Completed 405

Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Sirhan ke rumah Pak Abu yang tidak jauh dari masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah memberi salam, Sirhan dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu.

Agak sejurus Pak Abu keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat duduk di kerusi sebelah Sirhan.

“Allah Tuan,” kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Sirhan lalu menciumnya lembut.

Mata Sirhan pada wajah Pak Abu.

“Apa hajat tuan ke mari,” tanya Pak Abu.

Sirhan segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu.

“Apa ini tuan,” Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen Parker. Lalu matanya pada wajah Sirhan bekas pegawai daerah yang pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu. Lama matanya pada wajah Sirhan.

Sirhan menahan perasaan. Dia mengawal gelodak rasa terharu dalam kalbunya.
“Kenapa tuan?”

“Pak Abu ingat tak mak saya?”

“Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?”

“ Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?”

“Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau secupak beras, tuan bayar tunai,” kata Pak Abu.

Sirhan tidak dapat mengawal dirinya lagi mendengar kalimat itu. Dia memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca dalam matanya itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju.

“Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?” Wajah Pak Abu kehairanan.

Sirhan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pak Abu masih memandang wajah Sirhan.

Sirhan kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu.

“Kenapa tuan?”

“Saya minta maaf dengan Pak Abu,” wajah Sirhan pada kedua lutut Pak Abu.

“Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang,” tangan Pak Abu mencapai lengan Sirhan dan berusaha untuk mengangkatnya.

Sirhan mendongak.

“Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.”

“Apa dia tuan?”

“Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.”

Pak Abu senyum.

Sirhan balik duduk pada mejanya.

“Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu,” kata Sirhan pula.

“Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.”

“Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.”

“Jadi ini, sebagai ganti pen itu?” Pak Abu angkat kotak pen Parker.

Sirhan mengangguk.

“Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.”

“Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.”

“Terima kasihlah tuan,” Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan Sirhan.
Sirhan menyambut tangan Pak Abu. “Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak Abu,” kata Sirhan.

“Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu untuk tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya. Dunia akhirat. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” kata Pak Abu.

Sirhan lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan.

“Terima kasih Pak Abu, “ desis Sirhan. Lalu badan mereka berpisah.

“Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.” kata Pak Abu.

“Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak Abu.”
Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas.

Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Sirhan lalu memohon diri untuk pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa lapang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience