AULIA menyelak helaian demi helaian majalah fesyen yang popular di tanah air. Seronok melihat wanita-wanita cantik ini, tapi terkadang merasa penat bila memikirkan bagaimana mahu menghilangkan kesan mekap itu.
Mata Aulia mengecil seperti mengenali model di dalam majalah itu.
“Nia, tengok ni,” panggil Aulia sambil menunjukkan majalah itu kepada Rania.
“Apa dia?” Rania berjalan mendekati Aulia.
“Ni Nisa kan? Seksinya.” Aulia menghulurkan majalah itu pada Rania.
Rania mengambil majalah itu. Ditelek gambar seorang gadis berpakaian dress paras lutut.
“Ha'ah,” jawab Rania pendek.
“Ish, aku tengok dia ni makin lama makin seksilah pulak.”
“Entahlah Lia. Aku pun tak tahu. Biarlah dia. Lagipun nak kahwin dah bulan depan. Lepas kahwin nanti berubahlah tu agaknya.” Rania malas mahu mengulas hal-hal berkaitan orang lain. Masing-masing sudah tahu dosa pahala dan masing-masing ada pilihan sendiri.
“Mak ngah kau tak cakap apa-apa pulak Nia?”
“Tak ada pulak. Kau tahu jelah kan Nisa tu keras kepala sikit. Bukannya nak dengar cakap mak ngah.” Bukan tiada yang menasihati tapi ini yang dipilih oleh Anisa. Selagi dia pandai jaga diri, baguslah. Ayat ini juga yang dia dengar daripada mak ngahnya iaitu emak kepada Anisa.
“Kau tak ada nasihat dia?” Aulia seperti tidak berpuas hati. Dia mahu mengorek lebih lagi.
“Aku ni bukan sesiapa pun Lia nak nasihat dia. Kalau mak ngah cakap pun dia tak dengar, apatah lagi aku. Aku ni pun menumpang kasih je dalam rumah tu.”
Rania ialah anak yatim piatu. Ibu dan bapanya meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan ketika dia berumur 4 tahun. Hanya nenek dan mak ngahnya tempat dia menumpang kasih sayang.
“Ni kalau sepupu aku, dah lama aku bebel dekat telinga dia. Pakai seksi-seksi macam ni, gila glamour.” Aulia luah tidak puas hati.
Rania menepuk perlahan bahu Aulia.
“Cik Aulia Maisarah, yang awak mengata tu sepupu saya tau. Cili mulut tu baru tahu.” Perlahan Rania menguis mulut Aulia. Biarlah Anisa itu, mungkin satu hari nanti dia akan berubah menjadi lebih baik daripada semua orang.
“Ops. Sorry.” Aulia menutup mulutnya.
“Nak ikut tak aku balik kampung bulan depan?”
“Ermm, tak tahu lagi. Tengok cuti dulu.”
Rania mengangguk faham.
ROSSA mengetuk perlahan pintu bilik Zharif.
“Masuk,” jerit Zharif dari dalam.
“Ada apa Rossa?” soal Zharif pada PA nya.
“Encik Zharif, Cik Anisa nak jumpa encik,” balas Rossa.
Zharif mengeluh perlahan. “Suruhlah dia masuk.”
“Baik encik.” Rossa terus keluar memanggil Anisa.
“Sayang...” Anisa terus melangkah masuk ke dalam bilik Zharif.
“Hmm. Kenapa datang ni?” Sikit pun Zharif tidak memandang Anisa. Biar dia juga mahu merajuk. Bila sudah habis kerja, baru mahu mencarinya.
Anisa mengeluh panjang. Kena pujuklah ni.
“Sayang, saya sanggup datang cari awak kat office tau. Awak boleh cakap macam tu pulak.” Anisa datang ke kerusi Zharif sambil menunduk mahu memeluk Zharif. Pantas Zharif bangun dan mengelak. Anisa ke tepi dan beri laluan.
“Kerja awak kan lagi penting Nisa. Saya penatlah macam ni.” Zharif pandang Anisa dengan wajah serius. Ya! Dia penat. Penat untuk meyakinkan dirinya yang perkahwinan ini akan bakal merubah perangai Anisa.
“Saya tahu saya salah Zharif. Saya minta maaf. Okey? Awak tak sayang saya ke?” Anisa memeluk lengan Zharif dan membuat muka kasihan sambil mengelus wajah Zharif. “Sorry sayang. Awak cakap awak takkan marah saya lama-lama. Ni dah lama sayang.”
Zharif menjeling manja Anisa. Ya, dia selalu kalah dengan Anisa. “Yalah. Jangan buat lagi.”
Anisa tersenyum. Berjaya juga dia memujuk Zharif. Bukan mudah untuk memujuk lelaki apabila sudah merajuk. “Terima kasih sayang. Love you.”
“More than?” sambut Zharif.
“You. Just you. Jom kita pergi lunch,” ajak Anisa. Cuba mengelak daripada soalan dugaan Zharif. Dia merindui Zharif juga sebab itu dia mencari lelaki ini.
Zharif mengangguk. Dia terus bangun daripada duduknya. Langkah diatur mengikut Anisa. Merajuk lama-lama juga tidak membuahkan hasil bagi Zharif. Mereka bukan sentiasa ada masa bersama. Jadi, salah seorang harus mengalah. Dan… dialah orangnya.
Anisa tersenyum ceria sambil memaut lengan Zharif.
ANISA hanya memerhati Zharif makan sejak tadi. Suka benar dia melihat bakal suaminya itu makan dengan penuh berselera. Bagaimanalah mereka boleh bercinta dan memutuskan untuk berkahwin, semuanya bagaikan berlalu dengan cepat.
Cinta?
Ya, mencintai lelaki di hadapan ini. Sepenuh hati.
“Kenapa tak makan?” soal Zharif. Dia perasan Anisa bagaikan termenung sebentar tadi. Bagai ada sesuatu bermain di fikirannya. Tentang hal perkahwinankah?
“Diet,” jawab Anisa sepatah. Cuba senyum dengan serba salah. Sebab dia yang ajak makan tengah hari tadi.
Zharif mengeluh kecil. Menyampah dia mendengar ayat itu. “Nisa, awak tu dah kurus. Nak diet apa lagi?”
“Saya kenalah jaga badan saya. Mana boleh makan sesuka hati.” Anisa jadi marah sebab Zharif bagai tidak memahami kerjayanya sebagai seorang model. Mana boleh dia makan sembarangan. Semua pemakanan perlu ditimbang tara terlebih dahulu.
“Asyik jaga badan je bila pulak nak jaga aurat?” soal Zharif pedas.
Zappp. Soalan yang keluar dari mulut Zharif menyentap hati Anisa. Anisa tahan marah, mahu saja dia hamun Zharif yang bukannya sempurna. Ada hati mahu perli dirinya.
“Sayang. Awak ni kan... Saya cantik untuk awak jugak,” bidas Anisa. Rasa menyampah betul bila diaju soalan sebegitu macamlah dia bagus sangat. Entahlah rasa menyampah mula menyapa.
Zharif tergelak kecil. “Untuk saya?” Rasa macam tak percaya.
Anisa mengecilkan matanya.
“Satu dunia dah tengok kecantikan awak, Nisa…” balas Zharif dengan suara yang mula kendur. “Nisa awak tahu kan keluarga saya tak suka kalau awak pakai seksi-seksi ni. Tak salah kan awak tutup aurat.”
“Ni kerja saya Zharif. Kenalah terima. Lagipun saya kahwin dengan awak bukan dengan keluarga awak.” Anisa membidas lagi. Kenapa hal-hal berkaitan aurat ini sering dibangkitkan. Kalau tutup semua tapi hati busuk apa guna juga.
“Nisa, bila awak kahwin dengan saya ini bermakna awak kahwin jugak dengan keluarga saya.”
Anisa mengeluh perlahan. “Bila dah sampai serulah, Zharif. Look, kita tak kahwin lagi. Family I pun tak kisah dengan penampilan I. Sedangkan sekarang ni mereka lebih layak untuk menegur saya. Lagipun, saya hanya berpakaian seksi tapi saya tak pernah nak buat jahat, Zharif. Tuhan menilai apa yang kita buat dulu,” kata Anisa dengan penjelasan yang panjang.
Zharif menganguk. Ya, ada benar apa yang dikatakan oleh Anisa. “Awak sayangkan saya atau kerja awak?”
“Okeylah saya makan.” Anisa menjawab sambil memanggil pelayan makanan untuk oder makanan. Soalan Zharif dibiar sahaja. Sudahnya nanti dia bergaduh lagi dengan Zharif. Bukannya mudah untuk memujuk lelaki itu.
RANIA terkocoh-kocoh membuka kedai bunga miliknya. Pagi ini dia terlewat bangun gara-gara tidur lewat malam tadi.
“Sorry Salleh, Nia lewat bangun.”
Sudah sejam Salleh menanti Rania. Cemberut sahaja wajahnya.
“Yalah Nia. Nasib baik Nia ni bos Sally tau. Kalau tak...”
“Kalau tak apa Salleh?” soal Rania.
Salleh tersengih-sengih memandang Rania.
“Dah jom masuk.”
Mereka berdua masuk ke dalam kedai bunga milik Rania. Sudah dua tahun kedai bunga itu dibuka. Berbekalkan modal daripada nenek Rania, Rania kini membuka kedai bunga sendiri.
Hanya Salleh pekerjanya. Bagi Rania cukup seorang. Bukan kerana tidak mampu membayar gaji pekerja tetapi Salleh saja sudah memadai.
“Salleh dah breakfast?” soal Rania.
“Belum. Hey, janganlah panggil Salleh. Sally lah.”
Rania mengekek ketawa.
“Dalam IC Salleh Bin Hamid kan. Mana datang Sally?”
Salleh menarik muncung sedepa.
“Nia nak keluar beli breakfast sekejap. Salleh nak makan apa? Nia belikan.”
Salleh sudah tersenyum lebar. Orang nak belanja siapa tak nak kan. Bak kata orang rezeki jangan ditolak.
“Nasi lemak dengan teh tarik.” Salleh mengelip-ngelipkan matanya.
“Yalah. Jaga kedai elok-elok ya.” Rania terus berlalu keluar dari kedai menuju kedai makan berdekatan.
“Untung aku dapat bos baik macam si Nia tu,” kata Salleh sendirian. Dia terus menyiapkan kerja-kerjanya. Bos dah baik jangan pula ambil kesempatan dalam kesempitan.
ZHARIF berjalan keluar menuju ke kereta selepas berjumpa dengan Malik yang mahu memberinya buah tangan dari Jepun. Sebenarnya dia tidak kisah pun bila-bila untuk bertemu dengan Malik, tapi hatinya pagi ini malas untuk masuk awal ke pejabat. Dia mahu berborak dengan Malik yang sentiasa ceria.
Semakin langkah mendekati kereta, dia terlihat seorang gadis yang pernah dia lihat dulu, kecil matanya cuba mengeceam wajah gadis itu sehingga tidak perasan jalannya mula kembali ke tengah jalan.
Dia tersenyum melihat, benarlah. Itu gadis yang dia pernah terlihat dulu. Cantik dan manis betul dengan dress panjang yang dipakainya. Namun, belum sempat Zharif mahu sedar ke dunia nyata.
Pin!!!
Sebuah kereta menghampirinya dan ketika itu dia terlihat. Gadis itu memandangnya dengan wajah yang sukar ditafsirkan.
Share this novel
rania memang wanita berhati baik ❤️❤️
anisa perempuan egois dan mementikan diri..
anisa terlalu memikirkan kariirnya..cam mana nnti kalau sdh bekawin..