Bab 4

Romance Series 29055

DEGUP jantung menendang Dian ke realiti. Kelopak matanya dibuka, perlahan-lahan ruang pandangan matanya melihat keadaan sekeliling. Semuanya kelihatan kabur. Nafasnya berat dihela seperti ada satu beban pada dadanya. Kepala turut terasa berat.

Telinganya berdesing. Saat dia cuba untuk duduk, cubaan untuknya duduk dihentikan. Kepalanya sekali lagi bersua dengan bantal. “Mama?” Suaranya serak.

“Baring,” ujar Jasmin dengan muka kosong, tak kisah. Dian tak terlihat kelibat Jasmin. Kepalanya sakit, menyebabkan dia memejam mata sahaja.

“Mama, memang Dian kena ambik ke ubat tu? Dian penatlah asyik kena ambik ubat tu, asyik pengsan je lepas ambik…” ujar Dian, sayu bercampur kesakitan.

“Eh, kau ni… Siapa yang jaga kau? Aku yang jaga kau, aku tahulah kau kena ambik ubat ni bila. Selagi aku kata kau kena ambik, kau ambik. Kalau kau sakit, kau menyusahkan aku,” ujar Jasmin, kasar.

Ruang pandangan Dian masih kabur. Inilah yang kerap dilaluinya, dalam seminggu, dia perlu mengambil ubat yang diberi oleh Jasmin. Menurut Jasmin, Dian sakit dan perlukan ubat itu. Tapi Dian pelik. Sakit yang dia lalui hanya selepas mengambil ubat yang diberi oleh Jasmin. Jangankan sakit, dia perlu mengambil ubat itu seminggu sekali dan setiap kali dia diarahkan untuk memakan ubat itu, dia akan pengsan. Katanya itu adalah kesan sampingan seperti ubat tidur untuk merehatkan badan. Mungkin benar.

“Maaf, mama…” Perlahan suara Dian meminta maaf. Dian sedih. Sekurangnya kalau arwah ayahnya masih ada, mungkin ayahnya akan memberitahu apa masalah kesihatan yang dihidapinya tanpa menaikkan suara atau berbunyi kasar. Sekurangnya begitulah, tapi dia hilang tempat mengadu kasih dan hanya mampu untuk menyimpan semuanya sendiri.

Tengoklah bila dia dibenarkan keluar lagi. Mungkin itulah peluang untuknya untuk melawat kubur arwah ibu dan ayahnya. Tapi buat masa ini, dia cuma mampu memejam mata dan diperap dalam rumah sehingga dia diberi kebenaran untuk keluar.

Ibu… Ayah…

LANGKAH kaki dibuka seribu.

Dian berlari keluar dari kawasan sekolah sehingga ke kawasan tanah perkuburan. Air mata menyaluti bebola mata, ditahan dari gugur ke pipi. Saat itu, Dian tidak mengenal erti lelah. Dalam hatinya, dia cuma teringatkan arwah ibu dan ayahnya.

Bila sampai di pusara ibu dan ayahnya yang bersebelahan, Dian jatuh melutut. Nafasnya lancar. Wajahnya bersinar. Sekeping kertas dan sijil dipegang erat dalam tangan. “Ibu… Ayah… Dian datang…” ujarnya perlahan.

Kertas yang dipegang serta sijil hampir teremuk. “Dian baru balik dari sekolah, ambik keputusan STPM.” Ya, kini dia sudah berumur 20 tahun, sudah 3 tahun dia memeluk gelaran yatim piatu itu. Dian memandang semula kesemua subjek yang diambilnya. Lulus kesemua subjek. Kesemua subjek dia berjaya mendapat gred A, dan untuk MUET pula dia mendapat keputusan band 5.

“Ibu dengan ayah bangga tak dengan Dian?” soalnya sambil mengesat air mata dengan lengan bajunya. Walaupun Dian berada di antara pusara ibu dan ayahnya, Dian masih rasa kehilangan bapanya, seolah-olah Encik Hilmi tiada di situ.

Mana tidaknya, kuburnya wujud tanpa menyimpan jasad. Hanya batu nisan yang terpacak mengingatkan kematiannya. Dian melepaskan satu helaan nafas panjang. Matanya sayu memandang kertas yang dipegangnya. “Ibu, ayah… Dian sedih… Kawan-kawan lain semua nak sambung belajar…”

“Bukan Dian tak nak, tapi mama tak bagi… Dia kata, kalau Dian sambung belajar, siapa nak tolong dia.” Dian diam seketika, terasa berat hatinya. “Tapi Dian teringin nak sambung belajar… Kak Rafidah dengan Kak Hamidah tu dah nak sambung masuk degree dah… Dian rasa tertinggal sangat…” luahnya, rasa tidak adil.

Bukankah Jasmin ada dua orang pekerja yang diupah untuk menguruskan gerai? Dia juga ada keinginan untuk mengejar cita-citanya.

“MAMA! Mama!”

“Mama!” tergopoh Rafidah dan Hamidah berlari ke arah Jasmin yang sedang sibuk menyiram pokok bunga di tepi rumah. Si kembar merempuh Jasmin.

“Eh! Apa ni?!” Jasmin terus menembak kedua anaknya dengan air dari getah paip. Air tersembur, membasahi baju mereka.

“Ah!!! Mama! Mama!” jerit Hamidah, menahan air dengan telapak tangan. Yang dilindung hanya muka tetapi pakaiannya habis lencun manakala si Rafidah pula terpekik memanjang.

“Jauh! Jauh! Hish!” Jasmin kembali menyiram pokok bunga sambil menggeleng-geleng kepala.

Rafidah menghentak kaki, geram. Rambut yang basah dihayun ke tepi, terkena muka Hamidah. “Aduh! Mama! Fida pukul muka Mida dengan rambut dia!” rungut Hamidah seperti kanak-kanak.

“Mana ada.” Rafidah menolak bahu kembarnya.

“Ada!” jawab Hamidah, defensif. “Mama! Dia taknak mengaku!” rungut Hamidah sambil menghentak-hentak kaki.

Sekali lagi mereka ditembak dengan air. “Ahhh!!!” serentak mereka menjerit terkejut.

“Boleh tak kalau korang berdua ni tak bergaduh sehari? Memekak tak sudah!” marah Jasmin, geram. “Lama-lama aku boleh kena darah tinggilah dengan korang berdua ni.” Jasmin mendengus marah. “Ada apa? Cakap cepat.”

Si kembar memandang satu sama lain. Akhirnya Rafidah yang membuka mulut. “Ma…”

“Mama! Boleh tak kalau mama daftarkan si Dian tu sama course dengan kitorang untuk degree nanti?!” Hamidah terus memotong Rafidah.

“Ish! Kau kata aku yang cakap!” Rafidah memukul lengan Hamidah. Jasmin mengacu getah paip ke arah mereka. Serentak mereka menjerit kecil walaupun tak ditembak dengan air.

“Tak boleh.” Pendek jawab Jasmin. Rafidah dan Hamidah saling berpandangan.

“Tapi kenapa tak boleh?” soal Rafidah.

“Ah! Bazir duit aku je labur kat budak tu! Baik aku guna duit tu buat beli emas ke handbag. Tengok kau berdua pun sama. Aku bayar yuran mahal-mahal pun belajar main-main! Asyik repeat paper je! Dahlah repeat paper tak lulus-lulus!” Sekali lagi mereka disembur air paip.

“Tapi ma!” Jasmin berhenti melakukan pembaziran air, memberi peluang kepada Rafidah untuk bercakap. “Kalau mama masukkan dia dalam course kitorang, takdelah mama bazir duit lagi dah!”

Hamidah turut tersenyum, melompat-lompat dengan harapan rayuan mereka berjaya. “Ha’ah, ma. Kalau dia ada dalam kelas kitorang, bolehlah kitorang guna dia untuk lepaskan semester. Kak Fida kata siapkan assignment, semua tulah!”

Jasmin terdiam seketika. Mungkin ada betulnya. Sudah berapa puluh ribu ringgit dia laburkan untuk tampung pendidikan mereka, asyik gagal sahaja. Mana tau kalau adanya Dian, dia mampu mengeluarkan anak-anaknya dari lubang kegagalan? Hah!

“Dah tu, bisnes aku?” soal Jasmin kepada mereka berdua. “Korang nak buat ke?”

Rafidah mendecit-decit sambil menghayun jari telunjuknya bangga, seperti ada idea yang bernas dalam kepalanya. “Mama ni macam tak biasa je… Suruh je dia yang buat. Kalau dia tak buat, mama dendalah dia macam biasa.” Rafidah ketawa.

“Okey, nanti mama pertimbangkan. Sekarang ni, kau berdua pergi masuk tukar baju. Jangan aku masuk nanti basah-basah lantai!” Amarannya kepada anak daranya.

“Alah, mama ni, kitorang suruhlah si yatim tu lap,” ujar Rafidah tanpa rasa serba salah. Bukannya nak sedar, dia pun anak yatim juga.

Dalam Jasmin hendak menyambung menyiram bunga, matanya tertangkap kelibat Dian yang menghampiri rumah. “Eh, kau sini!” panggil Jasmin kasar, seperti biasa. Dian perlahan menghampiri, menukar arahnya ke Jasmin sambil memegang keputusan STPM. “Engkau dari mana?” soal Jasmin, dingin.

“Dari kubur arwah ibu dengan ayah…” perlahan Dian menyahut.

Wajah Jasmin berubah. “Siapa yang izinkan kau pergi kubur? Aku dah kata lepas ambik keputusan, terus balik! Engkau ni memang anak tak sedar diuntung betul!”

“Maaf, mama… Dian cuma nak bagitau ibu dengan ayah yang…”

Kata-kata Dian laju dipotong oleh Jasmin. “Buat apa bagitau dekat diorang? Diorang dah mampus! Bukan boleh dengar pun apa kau cakap!” getah paip dihempas ke tanah. “Kerja-kerja yang aku bagi kau pagi tadi kau dah buat ke belum?”

Perlahan Dian mengangguk. “Dah, mama…”

Hendak Jasmin marah Dian lagi tetapi dia teringat pujukan anak-anaknya. Matanya tajam memandang kertas keputusan STPM Dian serta sijil keputusan. Jasmin berdehem. “Kau lulus ke gagal?” soal Jasmin.

Dian bingung. Tiba-tiba nada Jasmin berubah lembut. “Dian dapat four flat, mama…” ujar Dian lembut, sedikit risau dengan tindakan seterusnya Jasmin.

“Hmm.” Dian dipandang dari hujung rambut ke hujung kaki. “Kau nak sambung belajar?” soal Jasmin, mencurigakan. Dian hanya mengangguk. Lama Jasmin diam, mencekak pinggang dengan muka yang separa bengis. Ah, mukanya memang bengis pun. “Okey, aku boleh nak izinkan kau sambung belajar, tapi!” Jasmin menyergah.

Tubuh Dian terkaku apabila mendengar sergahan suara Jasmin. “Syaratnya kau kena ambik course yang sama dengan kakak-kakak kau. Bisnes.”

“Tapi, mama, Dian...”

“Tak ada tapi-tapi! Itu je pilihan kau. Kalau kau tak nak jugak, aku takkan bagi kau peluang untuk sambung belajar. Pilih.” Sengaja dia memberi Dian tekanan perasaan sebegitu sekali. Padanya, mana-mana pun dia takkan rugi. Yang penting, dia akan terus menyusahkan Dian.

NAFAS ditarik sedalam-dalamnya.

Tak sangka akhirnya dia berjaya masuk ke universiti sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda. Walaupun dia terpaksa mengambil bidang yang tak disukainya, sekurangnya dia boleh melarikan diri seketika daripada Jasmin.

Jasmin sahajalah, tidak si kembar berdua itu. Sangkaannya betul, dia hanya dibenarkan untuk menyambung pembelajaran hanya untuk dipergunakan untuk menyiapkan tugasan sahaja. Mahu atau tidak, dia terpaksa bersetuju untuk menyiapkan kerja mereka.

Sedar tidak sedar, Dian sudah pun memulakan semester ketiga. Selama dia berada di situ, dia dilarang untuk membuat kawan. Setiap kali Dian berkomunikasi dengan seseorang, mereka akan memisahkan mereka.

Tidak ada peluang sekalipun mereka izinkan Dian untuk bercakap dengan sesiapa kecuali pensyarah. Itu pun, mereka akan mencuri-curi dengar perbincangan mereka. Ini menyebabkan Dian semakin rasa rendah diri. Sudahlah pemakaiannya gelap, tak ada kawan pulak tu.

Kehidupan Dian di universiti jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan kakak-kakak tirinya. Popular. Tapi… Popular mereka bukanlah satu perkara yang positif. Mereka popular dengan imej kembar kalut di kolej.

Setiap hari, warga kolej akan nampak mereka berlari-lari sana sini. Tapi satu benda yang mereka tak tahu, mereka lari untuk mengejar Dian.

Ada satu hari, mereka mengejar Dian untuk menyiapkan kerja mereka. “Ish… Diorang ni tak boleh ke tak kacau aku?” gumam Dian melangkah dua anak tangga dalam satu masa. Langkahnya dibesarkan untuk percepatkan proses menghilangkan diri daripada jejak kakak-kakak tirinya.

Dalam Dian sedang lari menuruni tangga yang sunyi, tiba-tiba dia bertembung dengan seseorang yang entah datang dari mana. Barang yang dipegang terus jatuh berteraburan. “Ah…” Lelaki tadi menggosok lengannya yang berlanggar dengan Dian. Dian pula sudah jatuh terduduk di atas lantai.

“Sorry, saya tak sengaja,” ujar Dian perlahan sambil perlahan menggosok kepalanya yang bertutup dengan topi. Ah, hampir dia ingat dia berlaga dengan dinding. Bila teringat yang dia sedang dikejar dengan kedua-dua kakak tirinya, Dian segera mengutip barang yang berada di lantai. Dalam dia sedang mengutip barangnya, dia ternampak dompet lelaki yang dilanggarnya tadi.

Darah dalam tubuh terasa sejuk. Seumur hidupnya, Dian tak pernah membeku begitu sekali bila membaca nama orang tetapi ini adalah kali pertama.

Tengku Noah Am…

Belum sempat Dian membaca habis nama yang tertera, dompet itu disambar laju menyebabkan Dian terkejut. “Sorry,” ujar Dian perlahan sambil kembali berdiri. Matanya cuba memandang wajah lelaki yang dilanggarnya tadi tetapi sebaik mata mereka bertaut, Dian rasa wajahnya menjadi panas. Tanpa teragak-agak, Dian terus cabut lari.

“Eh! Tunggu!”

Panggilan itu diabaikan. Dian terus berlari pergi, tidak ingin berjumpa dengan sesiapa. Wajah lelaki itu sama dengan wajah lelaki dalam kad pengenalan yang dilihatnya sebentar tadi. “Tengku?” gumam Dian sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience