Bab 1

Romance Series 29055

“SALAM takziah, Dian.” Seorang wanita menepuk lembut bahunya. Dian hanya mengangguk perlahan. Kemudian, wanita itu pergi meninggalkannya sendiri.

Batu putih di hadapannya dibelai penuh kasih. Ada kerinduan yang tak terucap dalam hati gadis 16 tahun itu. Berjubah serba putih dan selendang yang menutupi rambut, Dian duduk bersimpuh di samping pusara ibunya. Awan yang mula berarak mendung pun tak diendah. Berhadapannya, Dian memandang ayahnya, Encik Hilmi. Bacaan surah Yassin kedengaran perlahan dan begitu sayu di bibirnya. Air mata yang mengalir di pipi lelaki itu dibiar tidak diseka.

Awan semakin mendung, namun tak terlawan mendung jiwanya ketika ini. Tiada lagi kata sayang dan rindu selain doa yang dititip buat isteri tercinta.

Hujan mula menitik membasahi tanah merah. Setitis dua juga menompok pada bahu dan selendang Dian. Tatkala itu juga, Dian rasa diteduh. Dia menoleh ke sisi.

“Dian, kita balik ya. Nak hujan ni.” Perlahan suara Encik Hilmi yang sedang memayunginya.

“Baik, ayah.” Dian perlahan bangun sambil Encik Hilmi memeluk bahunya dari belakang. Mereka berjalan beriringan. Sebelum pergi, Dian menoleh ke pusara itu buat ke sekian kalinya.

Tempatkan ibuku tercinta, Delailah di samping-Mu serta orang-orang soleh, bisiknya dalam hati.

“ABANG. Dalam banyak-banyak waktu, Laila paling suka waktu hujan.”

“Kenapa?” soal Encik Hilmi sambil menoleh.

“Hujan seperti portal masa, banyak kenangan kita di waktu hujan. Walaupun hujan selalu dianggap kesedihan, bagi Laila hujan memberi kehidupan.” Senyuman manis diukir mahu ayat itu sampai kepada suaminya seiring dengan senyuman itu.

Encik Hilmi termenung memandang keluar tingkap rumahnya. Perasaan sunyi tak tergambar. Inilah kali pertama dalam hidupnya, dia berasa sesunyi ini. Hujan yang menyembah tak henti menambahkan lagi pilu di dada. Tiada kata yang terucap.

Tatkala itu, Encik Hilmi tercium bau kopi yang menyentaknya ke realiti.

“Ayah.” Suara gemeresik halus itu membuat Encik Hilmi menoleh. Bayangan Delailah menjauh.

Cawan kopi diletakkan di meja sisi. Dia menoleh, hanya melihat anak tunggalnya menghampiri. Encik Hilmi menyorok haru dalam senyuman. Direnungnya raut Dian yang saling tak tumpang raut Delailah.

Sebagai anak tunggal, pasti kehilangan seorang ibu terasa hebat. Hilang separuh hidupnya, tempat dia bermanja.

“Dian buat kopi untuk ayah. Minum ya.” Senyuman diberikan kepada Encik Hilmi. Menggantikan senyuman yang hilang.

“Terima kasih.” Mereka duduk bersebelahan sambil merenung alam.

“Kalau hujan macam ni, ibu yang selalu buatkan secawan kopi untuk ayah.”

Dian setia memasang telinga.

“Ibu dan ayah akan duduk dan berbual tentang hal lalu macam memori indah, kelakar dan sedih, sambil-sambil tu hirup kopi.”

“Ibu memang suka waktu hujan. Katanya, hujan memberi kehidupan.”

Encik Hilmi tersenyum mendengar kata-kata Dian. Dia mengambil cawan kopi dan menghirupnya. Dia kini faham benar kenapa Delailah cukup sukakan waktu hujan.

“Dian nak tahu tak kenapa sebenarnya ibu sukakan waktu hujan?”

“Eh, ada sebab lain ke? Kenapa ayah?”

“Waktu hujan beginilah, ayah melamar ibu Dian dahulu. Dan waktu hujan juga Dian dilahirkan.”

Dian tertunduk terharu. Tak sangka, waktu hujan begini juga, ibu meninggalkan mereka.

SEBELAH kakinya disarung kasut berwarna hitam. Pagi itu, Dian kurang bersemangat hendak ke sekolah, namun digagahkan jua kakinya untuk melangkah.

“Dian pergi dulu ayah.” Dia melambai sebelum melangkah keluar.

“Hati-hati Dian, belajar elok-elok.”

“EH, Dian dah pergi sekolah? Bukan ke, dua hari lepas…”

“Shhh… Kau jangan tanya apa-apa.”

Dua sahabat itu menanti untuk menyambut rakan mereka.

“Hai Dian.” Alya melambai dari jauh dan disertai Sara. Ceria wajah mereka.

Dian selesai memarkir basikalnya terus berlari ke arah Alya dan Sara. Terus saja dia memeluk erat dua sahabatnya itu. Dian benar-benar perlukan kekuatan dan sokongan. Tak mahu dia terlihat sedih di hari yang indah itu. Dalam diam, air matanya memutik.

“Kitorang rindu kau, Dian,” ucap Sara ikhlas. “Betul tu. Stay strong okay,” tambah Alya pula. Semakin laju air mata Dian dibuatnya. Mereka erat berpelukan.

KRIIING…

Para pelajar berpusu ke kantin ketika loceng menandakan waktu rehat berbunyi. Kerana perut lapar, mereka saling menolak satu sama lain.

“Eee, cepat sikit jalan. Nanti orang ambil meja kita.” Seorang gadis memakai riben merah jambu memarahi kembarnya. “Sabarlah, kasut aku nak tertanggal ni.” Marah kembarnya lagi seorang, yang memakai riben ungu di kepala.

Belum habis dia mengetatkan tali kasut, lengannya ditarik kasar. “Lembaplah kau ni!”

“Eh, aduh!” Dalam kekelam-kabutan itu, bahunya berlanggar seseorang. Hampir saja dia terjatuh lalu bertempik. “Buta ke? Tak nampak orang tengah berjalan?”

“Ah, maaf kak. Saya tak sengaja.” Dian membongkok tubuh meminta maaf. Walhal, dia yang dilanggar, tapi dia pula yang disalahkan.

Bulat mata pasangan kembar itu. Mahu saja dia menengking Dian di situ, namun bila terlihat dua rakan yang ada bersama Dian. Tidak jadi mereka mahu menengking dan bergaduh dengan Dian. Yalah, pelajar paling disayangi.

Pasangan kembar itu menjeling tajam wajah Dian dan berlalu pergi.

TENGAH hari itu, Encik Hilmi selesai dengan lawatannya di tapak pembinaan. Cuaca yang terik daripada kebiasaan membuat perutnya tiba-tiba terasa lapar pula.

“Rasanya pagi tadi, aku ada nampak satu warung dalam perjalanan ke sini.” Encik Hilmi masuk ke dalam kereta dan mula memandu. Berbunyi-bunyi perutnya minta dikasihani. Tekak pun kekeringan.

Sesampainya di warung, ditilik satu per satu lauk yang dihidang. Encik Hilmi terliur ketika terlihat lauk rendang kerang yang masih panas. “Hmm, sedapnya bau.” Spontan mulutnya memuji.

Wanita pemilik warung itu tersenyum manis kerana dipuji. “Ya, nak nasi lemak lauk apa? Makan ke bungkus?”.

“Lauk kerang ni ya. Dengan kopi O. Makan sini.”

“Baik. Tunggu sekejap ya.” Lembut saja perkataan dituturkan.

Encik Hilmi duduk sementara menanti pesanannya dihidang. Dia membuka dompet, terus hilang segala lelah yang membukit di bahu. Sekeping foto diselit di dompet. Wajah dua orang yang paling dia cinta, Dian dan Delailah.

MALAM berlabuh. Suasana di meja makan hanya diisi bunyi pinggan berlaga dengan sudu garpu. Belum ada perbualan yang tercetus antara anak dan ayah itu.

Encik Hilmi perlahan mengangkat muka ketika sedar Dian sudah meletakkan sudu dan garpunya mendatar. Hairan dia kerana nasi di pinggan Dian macam tak luak tak terusik.

“Dian.”

“Ya, ayah?”

Pandangan mereka bertaut. “Dian kenapa tak makan?”

Dian tersenyum hambar. Tak tahu dia nak jawab apa.

“Dian tak lalu makan?”

“Tak adalah. Dian cuma…” Jawapan itu dibiarkan berlalu.

“Ayah faham. Tapi, tak elok Dian berlapar. Ingat, ibu selalu ingatkan Dian suruh makan secukupnya.” Encik Hilmi tersenyum. Benar, Delailah tak suka kalau tahu anak tunggal mereka berlapar atau mengikat perut.

Dian merenung kolam mata ayahnya. Banyak yang ingin dia ungkap, tapi lidahnya terasa kelu.

“Dah, habiskan nasi tu ya. Tak elok biar perut kosong. Nanti masuk angin.”

Dian tersenyum nipis dan mengangguk. Sudu dicapainya semula.

“Ayah tak nak Dian jatuh sakit, sebab ayah dah janji dengan ibu untuk jaga Dian sebaik mungkin. Kalau ada apa-apa yang menimpa Dian, ayah akan bantu dan sentiasa ada di sisi Dian.”

Kata-kata itu membutirkan air jernih di kelopak mata Dian.

“Dian adalah permata ayah dan ibu. Selagi hayat dikandung badan, ayah tak akan izinkan apa-apa pun melukakan Dian. Kalau ibu sentiasa di hati Dian, ayah pula akan berada di sisi Dian,” ucap Encik Hilmi ikhlas.

“Terima kasih, ayah…”

Encik Hilmi turut sedih, tapi harus menjadi kuat demi Dian. Inilah cahaya terindahnya bersama Mahani, cahaya yang akan terus menerangi hari-harinya walau Delailah tidak lagi bersama.

“DIAN, ibu nak bagi ini pada Dian.” Delailah menghulur kotak kecil berwarna merah.

“Eh? Apa ni ibu? Untuk Dian ke?”

“Ya, untuk Dian.” Kotak itu diambil dan dibuka. Teruja Dian ketika menatap loket emas dengan ukiran yang begitu halus dan indah.

“Wah, cantiknya!”

Tersenyum Delailah melihat riak wajah Dian. “Ini loket emas ibu. Ibu nak minta Dian jaga loket ni elok-elok.”

Dian buat muka pelik. “Tapi, kenapa bagi Dian? Inikan ibu punya.”

“Boleh Dian janji dengan ibu untuk jaga loket ni baik-baik?” Sengaja dia tidak membalas persoalan anaknya itu.

Dian hanya ternganga.

“Simpan dan jangan tunjuk pada orang. Loket ni kalau dilihat mata yang salah, boleh jadi orang berniat tak baik pada Dian. Ingat pesan ibu.” Tangan anaknya digenggam erat bersama loket itu. Dian yang terpana, perlahan mengangguk.

“Baik ibu, Dian janji akan jaga baik-baik.”

Loket emas di dadanya digenggam erat. Membawanya terus ke dunia nyata. Kenangan yang membelai jiwa, loket emas pemberian ibunya itulah menjadi pengubat rindu Dian. Separuh kekuatannya pada ayahnya, dan separuh lagi pada loket itu. Dekatnya loket itu di jantung, sedekat itu ibunya sentiasa di hati.

“Dian janji ibu.” Perlahan bibirnya menitip kata-kata itu. Sambil jiwanya terus didakap kenangan dan mimpi, Dian akhirnya dibuai lena.

WAKTU tengah hari adalah waktu yang terpaling ramai pelanggan datang ke warungnya. Lagi-lagi pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di bangunan berdekatan. Puan Jasmin memastikan semua yang ada di kedai cukup dan teratur supaya tidak menyusahkan pelanggan-pelanggannya.

Dia memerhatikan dua orang pekerjanya sibuk melayan pelanggan yang ada. Benar, dia kekurangan pekerja. Namun, dia tidak mahu mengeluarkan duit lagi untuk mencari pekerja. Dia keresahan menunggu dua orang pekerja yang tidak berbayarnya datang.

Dari jauh dia terlihat dua orang gadis yang masih berbaju sekolah datang menghampiri warungnya.

“Ha! Apa yang lambat sangat tu? Mama tunggu dari tadi tahu? Bukannya jauh pun sekolah dengan warung ni.” Puan Jasmin membebel melihat anak kembarnya. “Cepat, tolong kemas pinggan-pinggan tu.”

“Eee, mama ni kan…” Serentak dua orang gadis itu bersuara.

“Apa!?” Puan Jasmin menahan suaranya. Matanya dijegilkan. Dua orang gadis itu laju membuat kerja.

Puan Jasmin ke depan dan melihat lelaki yang datang tempoh hari melambai tangan untuk membuat bayaran. Terus saja Puan Jasmin memaniskan wajahnya yang dikatakan seperti pelaris kepada warungnya.

“Saya kira 12 ringgit je. Makan selalu sikit sangat,” tegur Puan Jasmin.

Encik Hilmi hanya tersengih. Mana mungkin untuk dia beritahu hatinya sedang bersedih dan berduka lara. Duit dihulurkan dan terus saja dia berlalu pergi.

Puan Jasmin memandang Encik Hilmi dengan lama. Siapalah wanita yang bertuah kahwin dengannya, pasti gajinya besar dengan berkereta besar.

“Oi, jauh tengok boss kami tu kak,” tegur sorang pekerja kontrak sambil tersengih.

Puan Jasmin hanya tersenyum untuk menutup malunya. “Tak biasa tengok dia makan sini. Hmm, kau punya 10 ringgit.”

Pekerja kontrak tu berbisik perlahan. “Sekarang dah jadi duda kak. Duda anak satu.”

Entah kenapa berita yang didengarinya ini bagaikan satu berita yang baik dan seperti memberikannya satu nafas dan idea baru untuk jalan takdirnya. Terus saja duit RM10 yang dihulurkan oleh pekerja kontrak itu ditolak sambil tersenyum.

“Tetiba rasa nak bersedekah. Akak belanja.” Puan Jasmin menghadiahkan senyuman paling manis. Oh, duda ya…

Mesti kesepian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience