Bab 2

Romance Series 29055

“ASSALAMUALAIKUM…” Suara Encik Hilmi lembut menyapa.

Dian bergegas ke pintu hadapan untuk bersalaman dengan ayahnya. “Waalaikumsalam.” Tangannya dihulur ke bapanya. Encik Hilmi menyambut tangan puterinya sambil tersenyum. “Lambatnya ayah balik hari ni.”

Encik Hilmi tersenyum, menggosok kepala Dian, menyerabutkan rambut anaknya. “Sorry, ayah sibuk dekat site tadi.”

Pelik. Mata Dian mengikut pergerakan ayahnya yang ke sofa. Dah lama dia tak nampak ayahnya tersenyum begini sejak kematian ibunya. Sudah 4 bulan ibunya pergi meninggalkan dunia ini, membawa juga senyuman ayahnya. Namun, dia merasakan ada sesuatu yang disimpan Encik Hilmi? “Ayah?”

“Dian, sini sekejap.” Encik Hilmi memanggil anaknya juga. Dia hanya akur arahan ayahnya. Encik Hilmi tersenyum menepuk ruang kosong di sebelahnya.

“Ada apa, ayah?” soal Dian. Dalam hatinya, dia masih curiga dengan apa yang menyebabkan ayahnya tersenyum sebegitu lebar. Nanti, dia pasti akan korek.

Senyuman Encik Hilmi bersisa kerana masih teringat akan cerita lawak yang diceritakan oleh Puan Jasmin tadi. Mereka terserempak di jalanan dan sempat pulak Puan Jasmin bergurau senda dengannya. Entahlah dia merasakan Puan Jasmin sangat menghiburkan. Mereka juga sudah seperti kawan semenjak Puan Jasmin rajin melayannya ketika makan di warung wanita itu.

“Ayah? Ayah!” panggil Dian.

Suara Dian yang kuat memanggil menyentak Encik Hilmi sedar daripada lamunannya. “Dian panggil ayah ke?”

Dian mengetap bibir, menggeleng kepala. “Ayah ni kenapa balik-balik kerja jadi pelik? Dian panggil pun boleh termenung lama. Senyum-senyum pulak tu.” Dian menyilang tangan memeluk tubuh.

“Salah ke ayah senyum?” usik Encik Hilmi, menyiku perlahan lengan anak perempuannya itu.

“Dian tak kata salah. Tapi biasanya Dian panggil ayah sekali je ayah dah jawab…” Dian saja memancing untuk merajuk.

Encik Hilmi ketawa kecil. Belakang tubuh Dian diusap. “Alah, ya ke? Sorrylah, ayah betul-betul tak perasan Dian panggil. Ayah penat sangat kut…” ujarnya ceria. “Sekolah macam mana? Okey?” Encik Hilmi mengambil hati semula.

“Okey je. Macam biasalah. Oh! Ayah, kejap ya,” Dian bangun dan berlari ke biliknya. Encik Hilmi tercengang melihat anaknya tiba-tiba melompat dan berlari ke bilik. Tak lama kemudian, Dian kembali dengan sekeping kertas. “Nah.”

Kertas dihulur ke tangan Encik Hilmi. “Apa ni?”

“Ayah bacalah!” ujar Dian, teruja.

“Hari Anugerah Kecemerlangan…” Encik Hilmi memandang Dian sekilas. “Jumaat ni?”

Dian mengangguk. “Ayah boleh datang, kan?” soal Dian, berharap.

Encik Hilmi tersenyum, masih memandang kertas jemputan yang diberi. “Mestilah boleh,” jawabnya. “Dian dah tahu ke markah exam?”

“Hehe…” Dian tersengih lebar. “Mestilah dah! Tapi Dian tak nak bagitau ayah lagi. Nak surprise. Jumaat nanti ayah tengok Dian naik pentas, tau!” Sengihnya bangga.

Terus saja Encik Hilmi menarik Dian ke dalam pelukannya. Lagi indah jika arwah isterinya bersama mereka.

“YATI, ni cawan dengan pinggan semua ni nanti keringkan. Aku dah basuh,” laung Puan Jasmin yang sememangnya lantang dalam bersuara. Wajahnya yang cantik bersolek itu tidak mencerminkan langsung tutur bicaranya.

“Baik, buk…” Laju tangannya beroperasi melaksanakan apa yang diperintah Puan Jasmin. Puan Jasmin mengeringkan tangan pada apron yang dipakainya dari pagi tadi.

Matanya terpandang bayangan Encik Hilmi yang sedang berjalan kaki menghampiri gerainya. Topi keselamatan berwarna putih terang dikepit antara badan dan lengan. Puan Jasmin segera mengemaskan diri. Meja yang selalu diduduki Encik Hilmi dilap bersih sebelum Encik Hilmi melangkah ke kedai itu. Sudah 3 bulan mereka sering berbual dan boleh dikatakan mereka kini sering bertegur sapa dan boleh dibawa bergurau.

Dalam sedang Puan Jasmin mengelap meja bersih, Encik Hilmi menarik kerusi pada meja itu dan terus melabuhkan punggung. Sempat Jasmin tersenyum kepada Encik Hilmi. “Macam biasa ke?”

“Macam biasa,” jawab Encik Hilmi serentak mengangguk. “Nasi lemak kerang satu, boleh?” soalnya sambil menunjukkan satu jari kepada Jasmin.

Puan Jasmin mengangguk dan tersenyum. “Satu di hati.” Gurau Puan Jasmin. “Kejap lagi saya hantar.” Terus saja Puan Jasmin masuk ke bahagian nasi untuk mengambil nasi.

“Air apa tuan itu?” soal Seri, lembut.

“Kopi O. Kau buat, letak je atas tu. Nanti aku hantar,” arah Jasmin. “Yati, nanti kau bersihkan meja yang dah tak ada pelanggan, ya?” Jasmin berterusan mengarah sambil tangannya sibuk menyediakan sepinggan nasi lemak kerang yang dipesan oleh Encik Hilmi sebentar tadi. Sambal kerang saja diletak lebih dari yang selalu diletak pada sepinggan nasi lemak yang dijualnya.

Lebih kurang seminit kemudian, Jasmin tiba di tepi meja Encik Hilmi. Sepinggan nasi lemak dan secawan kopi O panas dihidangkan di depan Encik Hilmi. “Nasi lemak kerang dengan kopi O… Siap.” Senyum Jasmin.

“Terima kasih,” ujar Encik Hilmi. “Eh, banyak betul sambal kerang? Bangkrap nanti.”

“Kalau saya bangkrap awaklah selamatkan saya,” kata Puan Jasmin tersipu-sipu.

Encik Hilmi berkerut wajah, tanda tidak faham. “Saya mana pandai meniaga. Buat bangunan pandailah.

Terus tergelak Puan Jasmin. “Boleh jugak tu. Bangunan rumah tangga kita.” Letusan ketawanya dibuat-buat.

Senang betul Encik Hilmi dengan perwatakan Puan Jasmin yang bersahaja ini. Sering menemaninya untuk makan dan selalu ada saja perbualan yang kelakar dan mengisi harinya. “Busy ke?”

“Kenapa?” tanya Puan Jasmin yang masih berdiri.

Encik Hilmi tersengih. “Kalau lapang, duduklah. Boleh teman saya makan.”

Laju saja Puan Jasmin duduk di hadapan Encik Hilmi.

“Anak awak macam mana? Sihat?” tanya Puan Jasmin kepada Encik Hilmi. Inilah yang sering buatkan Encik Hilmi suka berborak dengan Puan Jasmin. Selalu bertanyakan tentang Dian dan berkongsi cerita tentang anak-anaknya juga. Nasib dia dan Puan Jasmin hampir serupa. Ditinggalkan pasangan dan membesarkan anak berseorangan.

“Alhamdulillah, sihat. Semalam dia bagi surat dari sekolah.” Ceria wajah Encik Hilmi bercerita lebih lagi tentang Dian.

“Surat apa tu?” soal Jasmin ingin tahu. Kena ambil tahu, kalau nak ambil hati.

Encik Hilmi tersenyum bila teringatkan apa motif surat yang diberi oleh Dian kepadanya semalam. “Dian dapat anugerah pelajar cemerlang,” ujarnya tersenyum memandang Jasmin sambil menjamah nasi lemak kerangnya.

“Pelajar cemerlang? Pandai awak besarkan dia. Tak macam saya. Yalah, saya pun bukan belajar tinggi,” luah Puan Jasmin cuba meraih simpati.

“Eh, macam tu pulak. Anak-anak kita semuanya ada kelebihan sendiri. Kita sebagai orang tua kena doakan yang terbaik untuk mereka.”

“Anak-anak kita?” soal Puan Jasmin menduga.

Encik Hilmi termalu sendiri. Penggunaan ayatnya disalah ertikan.

“Esok dia jemput saya pergi sekolah untuk tengok dia naik pentas. Bangga betul saya dengan Dian.” Tersenyum Encik Hilmi lagi.

Jasmin terkedu. Esok? “Esok?”

Encik Hilmi mengangguk.

“Jadi esok awak tak datang macam biasalah?”

DIAN melompat-lompat riang. “Ayah! Surprise tak?” tawa Dian ceria. Encik Hilmi memandang tersenyum.

“Surprise, Dian,” ujar Encik Hilmi sambil membawa beg sekolah Dian dengan sebelah tangan. “Ayah dah tahu dah, Dian mesti nombor satu lagi.”

“Mestilah! Kalau bukan sebab ayah dengan arwah ibu, siapalah Dian, kan?” Dian mula beremosi. Manakan tidak selalunya, ibunya pasti akan menjadi orang yang paling teruja sekali dan akan memasakkannya makanan yang sedap.

Beep!

Telefon Encik Hilmi berbunyi. Dian terus diam memandang ayahnya yang laju mengeluarkan telefon untuk membaca mesej yang diterimanya. Lama Dian merenung reaksi wajah ayahnya dan tanggapannya benar. Ayahnya tersenyum. “Siapa, ayah?” soal Dian, curiga.

“Kawan,” ujar Encik Hilmi, sambil tersenyum membalas mesej pada telefonnya. Dian tak berpuas hati dengan jawapan yang diberi ayahnya.

“Yalah tu kawan,” ujar Dian dengan nada mengusik, dalam pada masa yang sama, curiga. “Ayah sorok sesuatu ni, kan?”

Encik Hilmi memasukkan telefon ke dalam poket semula. Sepatutnya tiada rahsia antara dia dengan Dian. “Sebenarnya ayah nak bawak Dian jumpa seseorang.”

Tak perlu penerangan. Dian bukan budak kecil. Dia tahu maksud ayahnya. Riak wajah Dian berubah. “Dian tak nak. Dian sedih.”

“Dian…”

“Ayah… Dian tahu ibu dah meninggal dunia. Tapi, Dian cuma mintak bagi kita dua masa untuk bagi orang lain gantikan ibu. Dan, Dian tahu ayah pun nak bahagia jugak.” Dian memandang ayahnya sambil bergenang air matanya.

Encik Hilmi menggeleng, meletakkan tangan pada bahu Dian. “Dian, bukan macam tu… tiada siapa boleh gantikan tempat ibu Dian. Tiada. Ayah sayang arwah ibu. Ayah cuma nak Dian jumpa kawan ayah ni sebab sekarang ni ayah kawan dengan dia. Kalau Dian tak suka, ayah tak kawanlah,” terang Encik Hilmi.

Perasaan Dian akan selalu menjadi keutamaan dia. Lagipun dia hanya ingin kenalkan dengan siapa dia berkawan kepada Dian. Walaupun dia tahu daripada gerak-geri Puan Jasmin, Puan Jasmin sememangnya ada hati dengannya.

Lama Dian merenung wajah ayahnya. Dia inginkan kepastian, lagipun ayahnya ini tidak pernah melukakannya dan sering mengutamakannya. Kenapa dia perlu mementingkan dirinya sendiri. Bukan saja ayahnya perlu menjaganya, dia juga perlu menjaga ayahnya.

Anggukan diberi dan senyuman risau terukir.

“Nama aunty ni Jasmin. Dia pun macam ayah, dia ibu tunggal. Tapi ada anak kembar tau, perempuan. Setahun lebih tua daripada Dian. Katanya satu sekolah dengan Dian tau.” Encik Hilmi mulakan perbualan.

Teruja juga buat Dian. Ada juga orang senasib dengannya. “Wah, kalau ayah jadi dengan aunty tu. Dian ada dua orang kakak kembarlah? Best jugak!”

Encik Hilmi mengangguk dan tersenyum. Entah kenapa dia terfikirkan ada baik juga kalau dia bersama dengan Jasmin.

DIAN memandang Puan Jasmin dan kedua-dua anak kembarnya. Dia bagaikan kenal dengan dua orang ini. Tidak sangka pula mereka ini kembar kerana wajah mereka sememangnya tidak seiras.

“Jangan nak buat perangai, ya? Behave sikit,” bisik Jasmin kepada anak kembarnya. “Kalau sekali kamu berdua buat perangai, mak akan buang semua mekap kamu,” ujar Puan Jasmin, mengamaran keras mereka berdua.

Rafidah dan Hamidah memandang Dian dan terus melontarkan senyuman lebar kepadanya. “Hai, Dian! Aku Rafidah!”

“Aku Hamidah!” ujar mereka dengan penuh semangat walau kedengaran agak janggal.

“Saya Dian.” Lembut Dian menjawab. Memandang dua orang di hadapannya ini membuatkan Dia tersenyum kerana dua-dua senang diingati kerana Rafidah yang memakai pakaian merah jambu dan Hamidah berwarna ungu.

“Pemalu rupanya Dian ni,” ujar Jasmin, tersenyum mesra.

Encik Hilmi menyambut dengan tawaan mesra. “Dia ni memang kalau awal-awal jumpa, malu, pendiam. Tapi nanti dah lama kenal, tak ada malunya. Manja adalah,” ujar Encik Hilmi.

“Samalah macam dua orang ni, nampak awkward, tapi diorang ni baik je. Bila saya cakap je nak jumpakan diorang dengan Dian, diorang seronok. Yalah, diorang tak pernah merasa ada adik. Paling pun diorang berdua jelah. Bolehlah dorang ni jadi kawan, Dian boleh ajar kakak-kakak ni. Yalah nak SPM dah kakak berdua awak ni,” jawab Puan Jasmin sambil tersenyum bahagia.

Lama Dian merenung tiga beranak itu. Ikutkan kata hatinya, dia enggan menerima orang baru untuk menggantikan tempat arwah ibunya tapi… Dian memandang ayahnya yang kelihatan gembira. Encik Hilmi kelihatan sangat-sangat teruja untuk mulakan hidup baru. Mungkin dia perlu menerima? Lagipun asyik kegembiraan dia sahaja perlu diutamakan. Sekurangnya, kalau dia terima ayahnya hendak memasang baru, ayahnya akan lebih kerap tersenyum, bukan?

Dan, dia akan mempunyai dua orang kakak. Tidaklah dia bosan jika ditinggalkan nanti oleh ayahnya, bila ayahnya ke kerja. Wajahnya dimaniskan memandang Rafidah dan Hamidah.

BEBERAPA bulan kemudian, Encik Hilmi dan Jasmin disahkan menjadi suami isteri. Di samping itu, Dian pula gembira ayahnya tersenyum lebih lebar. Majlis perkahwinan mereka sangat meriah tetapi pada mata Dian, senyuman ayahnya lebih bersinar berbanding semua warna dan semua cahaya yang ada pada majlis kahwin mereka.

Rumah mereka semakin meriah dengan kehadiran Jasmin, Rafidah dan Hamidah. Mereka juga selalu ada di rumah terutamanya bila Dian habis waktu persekolahan. Encik Hilmi pun selalu pulang lebih awal untuk makan malam bersama mereka.

Dian seronok. Pergi ke sekolah ada teman, pulang dari sekolah juga berteman.

Tetapi keseronokkannya seperti mahu berlalu pergi.

“Sebab sekarang ni pekerja kurang, ayah kena libatkan diri dalam projek pembinaan. Jadi ayah akan balik lambat. Banyak benda nak ditelitikan, sebab ini projek pembangunan yang sangat memakan modal dan usaha.”

Mereka sangkakan lambat yang dikatakan oleh Encik Hilmi mungkin sekitar jam 9.00 malam tetapi salah. Encik Hilmi sering pulang sekitar jam 2.00 pagi.

“Ni dah malam ke berapa ayah balik lewat?” soal Dian sendiri sambil merenung ke luar tingkap, memandang langit malam.

“Dian, menung apa tu?” soal Rafidah yang sambil masuk ke bilik Dian. Hamidah mengikut dari belakang.

“Kakak…” Dian berpusing memandang si kembar berdua. “Tak ada, Dian risau ayah selalu balik lambat. Sampai tak terkira dah berapa malam ayah tak balik awal,” ujar Dian lagi. Wajahnya dipenuhi kerisauan.

“Alah, kau tak payahlah fikir pasal ayah sekarang ni. Ayah baliklah tu nanti,” ujar Hamidah, selamba.

“Tapi… Dian risau.”

Rafidah duduk di atas meja belajar Dian. “Daripada kau risau tak buat apa, apa kata kau tolong kitorang?”

“Tolong? Tolong apa?”

Pak!

Sebakul baju yang dipegang oleh Hamidah dihempas ke lantai bilik Dian. “Disebabkan kau tengah free tak buat apa-apa, kau tolong lipatkan baju kitorang. Kitorang sakit-sakit badan tadi lepas mandi,” ujar Rafidah.

“Nanti susun dalam almari baju kitorang kalau dah siap. Kitorang tunggu!” ujar Hamidah. Tanpa menunggu sebarang respons daripada Dian, mereka melangkah keluar dari bilik Dian.
Dian dibiar terkedu dan tergamam dengan arahan yang diterimanya.

“Hah? Apa…” Dian memandang bakul baju yang berisi pakaian yang berwarna ungu dan merah jambu. Telinganya menangkap suara ketawa Rafidah dan Hamidah yang semakin perlahan menjauhi.

Dian cuba menghadam apa yang sedang berlaku, kenapa Rafidah dan Hamidah melayaninya seperti ini? Terus saja dia teringatkan tentang satu kisah.

Kisah… Cinderella?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience