191611
21:00
Titt...
Tanda pintu dibuka dari luar menampakkan satu susuk manusia berpakaian serba putih yang bersih mendekati subjeknya yang tertunduk dan terikat dibangku ditengah-tengah ruangan itu.
Dia mencangkung dihadapan subjeknya. Menundukkan pandangan matanya sedikit untuk melihat wajah subjeknya yang tertunduk dan tertutupi rambut pendeknya.
Kedua belah mata yang sentiasa menarik perhatiannya kini tertutup. Cukup untuk memberitahunya bahawa subjeknya sedang tidur dan langsung tidak terganggu dengan kehadirannya disini.
Sesuatu yang diluar kebiasaan subjeknya. Biasanya subjeknya akan terjaga sebaik saja pintu bilik ini dibuka.
Oh, mungkin disebabkan ubat tidur yang sengaja dia berikan pada subjeknya petang tadi. Hanya untuk membantu supaya subjeknya dapat tidur yang lena dan berkualiti.
Satu tarikan nafas diambil sebelum dilepaskan secara singkat dan kembali bangun. Mencapai sebuah kerusi plastik dan duduk dengan tenang dihadapan subjeknya tanpa bersuara. Hanya memerhati.
Selang beberapa minit. Tubuh yang terikat mula menampakkan pergerakan kecil. Tanda yang subjeknya mula sedarkan diri dan dia masih lagi duduk memerhati bersilang kaki bersama raut wajah yang tenang.
Terlalu tenang untuk seorang manusia sepertinya.
Perlahan-lahan kepala subjeknya terangkat. Memandang ke arahnya dengan mata yang dikecilkan dan berkelip beberapa kali untuk menjernihkan pandangan mata. Subjeknya mula memandang sekeliling sebelum pandangan matanya kembali jatuh pada dirinya yang duduk bersilang kaki dihadapan dengan jarak 4 atau 5 langkah dari kedudukan subjeknya.
Satu senyuman diberikan.
" Lena tidur?"
Satu soalan dilontarkan dan perlu menunggu beberapa detik untuk dia kembali mendapat jawapan. Walaupun hanya sebuah gerakkan kepala saja.
Suasana ruangan itu kembali seperti sediakala. Sunyi dan mencengkam. Tiada satu pun bunyi yang dikeluarkan untuk menghentikan suasana itu dari terus bermaharajalela di situ.
Membiarkan suasana itu menggigit si subjek dengan segala resah dan kekhuatiran yang membelenggu fikirannya. Namun menenangkan bagi dirinya yang merupakan pemangsa di sini. Pandangan matanya yang redup tapi tajam, tersirat berjuta kali maksud tersembunyi, dengan raut wajah yang tenang menyembunyikan sesuatu rancangan yang besar yang bakal dilakukannya.
Tanpa peduli akan akibat dari setiap tindakan yang diambil.
" Kalau aku offer kau jadi model aku, kau nak?"
Sunyi tanpa jawapan. Hanya gerak geri ketakutan yang dapat dia tangkap dari tubuh subjeknya. Perkara biasa yang akan dia lihat setiap kali dia membuka mulut untuk bertanya atau mengatakan sesuatu pada subjeknya.
" Kalau kau nak, aku akan lepaskan kau lepas kerja aku selesai."
Tubuh subjeknya diam. Terlihat gerakan anak mata subjeknya melirik kearahnya walaupun tidak kerap. Dia tersenyum tipis.
" Kalau kau setuju nak jadi model aku, aku akan lepaskan kau lepas kerja kau sebagai model selesai." Dia bangun dari duduknya. Kedua tangannya di masukkan ke dalam poket seluar dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya bila tahu, topik kali ini berjaya menarik perhatian subjeknya.
" Fikirkanlah. Aku datang balik lepas tiga jam nanti. Lebih cepat kau setuju, lebih cepat kau bebas."
Tap.
Tap.
Tap.
Tap.
Tap.
Tap.
Tap.
Tap.
Tap.
Krreekkkkk......
Titt...titt...tittttt..
Pintu ditutup. Meninggalkan subjeknya di tengah ruang sendirian.
00:00
Tiga jam telah berlalu. Pintu yang tadinya tertutup kini kembali dibuka. Menampakkan susuk tubuh orang yang sama mendatangi bilik itu. Kali ini tangannya penuh dengan semua peralatan lukisan.
Diletakkan dan susun dengan baik di tempat yang dia duduki tiga jam lepas. Tidak mempedulikan sepasang mata yang memerhati setiap gerak gerinya.
Setelah segalanya selesai diletakkan dia kembali duduk dengan tenang tapi tidak memandang ke arah subjeknya. Kali ini matanya lebih tertumpu pada kain kanvas yang masih putih tanpa noda warna mahupun peralatan lain. Hampir menutupi pandangannya pada subjek.
" Jadi macam mana? Apa jawapan kau?"
Sunyi.
" Kau...ak...akan te...tetap...bu..bunuh ak..aku kkk..kan?"
Dia tersenyum seketika sebelum kembali memasang raut yang sama. Tenang. Kepalanya digerakkan ke kiri sedikit. Bagi memperjelas penglihatannya pada subjek. Memandang tepat pada sepasang mata yang berkaca.
" Bergantung pada keinginan kau untuk hidup tapi aku janji akan lepaskan kau. Bila kerja selesai."
Subjeknya kembali senyap. Dia mula berdiri. Memandang pada sepasang sepatu putih yang dipakai pada kakinya. Menanti suara subjek yang akan dikeluarkan dari celah bibir kering itu. Tentunya bukan jeritan atau rayuan melainkan jawapan.
Dia tersenyum tipis. Memandang pada subjek yang masih lagi terdiam.
" Aku anggap kau setuju."
Papp!
Dia menepuk tangannya sekali. Sebelum berjalan mendekati satu sudut untuk mengambil sesuatu sebelum kembali mendekati subjek di tengah ruang.
Crak..!
Perlahan. Sengaja supaya dapat menghasilkan bunyi yang boleh dikatakan mengerikan untuk telinga subjeknya. Berdiri tegak dibelakang subjeknya. Tubuh itu menegang sebaik rasa sejuk dari bilah tajam pisau cutter menempel pada leher putih subjeknya.
Bibirnya mula menghasilkan sebuah senyuman tipis melihat tindakan balas yang sudah dijangka.
Dia mula bersiul dalam satu bentuk nada yang berlagu. Tidak pasti lagu apa tapi cukup untuk menggambarkan betapa bahagianya perasaannya saat ini.
Seiringan dengan itu, rasa perih yang muncul pada leher subjeknya mula membuat sepasang mata indah itu terbuka lebar. Ingin meraung kesakitan tapi satu tangan yang berhasil membukam mulutnya membuatkan dia menelan bulat-bulat jeritannya.
Hanya air mata yang dapat dia keluarkan. Menggambarkan betapa pedih dan sakit dirinya bila kulit lehernya dikelar secara perlahan-lahan dan berhati-hati dalam keadaan dirinya masih bernyawa. Atau kata lain. Kulit lehernya dia kelar hidup-hidup.
Adakah...ini pengakhiran kehidupannya...?
01:00
Dia mula menjauhkan dirinya dari subjeknya. Memandang dengan puas hasil karyanya pada leher itu.
Tapi senyuman itu perlahan hilang. Terganti dengan raut wajah yang tak terbaca.
Bukan. Bukan rasa takut atau panik yang dia gambarkan.
Namun, kecewa.
Satu helaan nafas dia lepaskan. Lebih kepada mengeluh. Bila melihat susuk tubuh subjeknya sudah tidak bergerak. Dada subjeknya juga sudah tidak menunjukkan tanda-tanda yang subjeknya masih lagi bernafas.
Dia memiringkan kepalanya ke kanan. Dahinya berkerut.
Berfikir.
Apa...dia tekan terlalu dalamkah?
Hum...???
Rasanya dia hanya melarikan mata pisau pada kulit subjeknya dengan perlahan dan berhati-hati supaya tidak membuatkan subjeknya mati dalam jangka waktu yang terdekat.
Rasanya lah...
Cukup sekadar membuat leher putih subjeknya dibanjiri dengan warna merah. Membentuk satu demi satu lingkaran seperti rantai yang bercorak dengan harapan dapat menambahkan lagi kecantikan subjeknya.
Jangan risau sebab harapannya menjadi untuk urusan itu.
Baiklah. Setelah penelitian yang dibuat dengan segala faktor yang telah diingat kembali. Dia yakin. Kematian subjeknya kali ini adalah disebabkan kesalahan subjeknya.
Iye.
" Subjek yang terlalu lemah."
Bibirnya melengkung keatas. Tanda sedih.
" Malam ni takkan ada lukisan yang menarik. Haa~.... Sayang betul. Hum... tapi kalau difikir-fikir balik takdelah sayang mana kan? Isi dalam kau rasanya masih boleh digunakan untuk orang lain kan? Hum... Takpe-takpe. Aku boleh check kan untuk kau."
Dia keluar dari situ. Mulutnya mula bergumam nada yang tidak pasti lagu apa dan dari mana asalnya. Hanya sekadar untuk memberitahu bahawa hatinya sekarang ini tidak sabar untuk misi yang satu ini.
Mencari dan menyediakan peralatan yang dia rasa boleh digunakan untuk membongkar tubuh subjeknya.
Share this novel