Kepada engkau yang berada di Bumi,
Hai.
Haha aku tahu pemula surat yang pelik sekali lagi daripada aku. Asalnya, aku mahu menulis lokasi yang aku dengar daripada khabar-khabar angin yang dibisikkan ke telinga aku. Tapi, macam mana kalau engkau sebenarnya tinggal di tempat lain pula bila kau membaca surat-surat yang ditulis ini? Tak kira di mana kau berada, kau pasti akan berada di Bumi, bukan? Melainkan kau jadi seorang angkasawan dan bawa buku ini...
Sebentar, buat apa kau membawa buku ini ke angkasa?
Namun...aku tidak rasa yang aku bakal ada keberanian untuk serahkan kepada engkau semua catatan, luahan dan omelan yang aku tulis di dalam buku nota ini. Mungkin aku akan simpan dan jadikan sebagai harta warisan kepada cucu-cucu aku.
Haha, tak adalah. Aku hanya bergurau.
Tapi, kau memang seorang yang istimewa dalam hidup aku. Tak kisahlah sebabnya apa pun.
Aku tak kisah untuk turunkan hikayat engkau kepada mereka. Tak kisahlah pengakhiran cerita ini bagaimana.
Banyak perkara telah terjadi dalam ketiadaan engkau. Namun, aku tidak rasa aku akan mampu memuatkan segala-galanya di dalam surat ini. Justeru, izinkan aku bermula dengan kejadian di tahun 20[#.
Tahun pertama kau tidak berada dengan aku.
Bila ingat balik, tiada apa-apa yang besar pun berlaku pada tahun 20[#. Aku hanya meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
Biasa.
Seolah-olah tiada perkara yang berubah. Makan pun kenyang, tidur pun lena, mandi pun basah. Tiada apa-apa yang berbeza dengan kehidupan seharian aku yang biasa.
Yang berbeza hanyalah aku tidak berjumpa dengan kau lagi seperti dahulu.
Bila orang bertanya kepada aku, bagaimanakah perasaan aku. Aku hanya memberi hujah yang logik.
Sesungguhnya, pemergian kau hanya membuatkan aku berasa kosong. Seolah-olah lopak air yang ditinggalkan hujan kemudian berjumpa dengan sang matahari yang membahang.
Setiap kali mereka mengungkit perihal engkau di dalam perbualan pun tidak mampu membuatkanku berasa apa-apa.
Memang tidak aku nafikan, aku ada juga berasa sedih dan pilu. Itu sesuatu yang pasti. Lagi-lagi engkau ini merupakan seseorang yang telah memberi banyak impak kepada kehidupan manusia biasa ini.
Dan tanpa kau (juga aku) sedar, kau bakal memberi lebih banyak impak dalam perjalananku sehinggalah saat ini.
Kerana itu, aku bersyukur kita pernah berjumpa.
Yang benar,
Aku yang tidak sabar mahu menulis kepada engkau.
Share this novel