1

Romance Series 2719

BUNYI paip air di sinki memecah kesunyian di pantri. Haikal memandang susuk tubuh Puan Raisya sedang mencuci tangan sambil memegang gelas kopi yang belum sempat dihirup.

Selesai Puan Raisya mengelap tangannya, Haikal dapat melihat sepasang mata yang cantik milik Puan Raisya. Mata cantik itu sedang meliar mencari sesuatu.

"Cari apa Puan?" tegur Haikal, lembut.

"Awak nampak tak botol air saya? Saya rasa letak sini tadi," tanya Raisya tanpa menoleh.

"Nampak. Tadi ada tangan yang lebih laju ambil dulu,” jawab Haikal, selamba.

Haikal pusing dan letakkan semula di atas meja. Serentak itu dia menjeling ke arah Puan Raisya. Ada senyuman manis terbit di bibir Puan Raisya ketika mencapai botol air di meja.

"Jadi pekerja bawahan pandai menjeling, ya?” sindir Raisya, spontan.

Raisya ketawa kecil dan mendekati Haikal sedang duduk di kerusi. Penutup botol air dibuka dan diteguk.

Bau minyak wangi Puan Raisya cukup buatkan Haikal senyum meleret. Bukan sebabkan Haikal suka dengan bau itu tetapi disebabkan diri rasa seperti dapat baca perasaan Puan Raisya hari ini.

Puan Raisya bukan seorang yang suka bergurau dengan pekerja bawahan sejak dia memegang gelaran isteri Tengku Zafran. Bagi Haikal bila Puan Raisya mahu berbual dan bergurau, itu tandanya Puan sedang cuba sembunyikan sesuatu. Haikal sendiri tidak pasti apa tapi entah mengapa ada rasa ingin tahu terbit di dasar hatinya.

Haikal bangun dan menyandarkan badan ke dinding pantri. Lagaknya nampak tenang dan matanya kini mula melirik ke arah Puan Raisya dengan pandangan nakal.

"Puan Raisya haus sangat ke sampai curi air orang?”

"Air ni saya punya."

"Pasti ke? Kalau saya kata yang Puan minum tu saya punya dan yang dekat sana tu Puan punya macam mana?"

Puan Raisya terdiam. Sedetik kemudian dia memandang botol air di tangannya dengan dahi berkerut.

"Ini saya punya. Saya kenal la barang saya. Lagi pula, siapa suruh awak beli warna sama dengan saya?”

"Siapa suruh Puan suka war...."

Belum sempat Haikal menghabiskan ayat mengusik, pintu pantri tiba-tiba ditolak kasar.

"Puan Raisya!”

Suara itu buatkan Haikal dan Puan Raisya automatik berpaling. Tengku Zafran. Berdiri tegak di depan muka pintu dengan kemeja biru gelap. Wajahnya seperti biasa tenang tapi menyimpan seribu satu maksud yang tersirat.

"Tengku," ucap Haikal, perlahan.

Tangan Haikal perlahan-lahan mencapai gelas kopi di belakang Puan Raisya. Dia tahu dia perlu diam sekarang.

"I nak bincang tentang cadangan media plan semalam. You free, kita bincang sekarang di bilik I."

Haikal mengangguk perlahan. Dia hanya mampu melihat cara Tengku Zafran memandang Puan Raisya. Lagak Tengku seperti mahu telan Puan Raisya hidup-hidup. Haikal cuba berlagak tenang dan tidak masuk campur perbualan mereka. Kopi di dalam cawan ditenung kosong.

"Boleh. I ke sana sekarang,” jawab Raisya, ringkas.

Raisya dengan cepat meloloskan diri keluar pantri di depan Tengku Zafran manakala Haikal sedar yang Tengku Zafran menjelingnya selepas Puan Raisya melintasinya. Sejujurnya Haikal faham dengan jelingan itu.

"Fuh, takutnya! Kena jeling dengan bos," omel Haikal sendirian di sini.

Nafasnya dihela kasar apabila pintu tertutup dengan sendiri. Haikal bersandar semula ke dinding. Gelas di tangan ditenung sekejap.

"Tak sangka bos besar kau pandai main mata la Kal. Bos tu tak tahu ke, aku lagi tak reti nak kalah bila kau jeling. Aku cuma nak kawan je pun dengan isteri dia. Takut sangat dah kenapa?" rungut Haikal sambil menghirup kopi yang sudah sejuk.

"Mungkin dia rasa terancam agaknya dengan kau Haikal. So... itu masalah dia, bukan masalah aku. Tengku takut kalah eh dengan aku," gumam Haikal disulami tawa kecil.

..
..
Kakinya melangkah ke meja sedikit laju setelah selesai urusan di bilik kecil. Apa yang buat Haikal rasa kelakar di Farh Holdings tempat dia kerja sekarang, tiada siapa yang ambil kisah tentang pekerja bawahan macam dia dan rakan sekerjanya.

Bagi mereka terutama bos besar Farh Holding, kumpulan kerja Haikal dianggap semut ataupun habuk yang tidak beri apa-apa keuntungan kepada syarikat.

"Tahu tak... tak semua semut tu kecil. Ada semut hitam, semut ipoh dan yang paling best semut api. Kena tu pedih dia sampai ke dalam hati," bisik batin Haikal.

Mujurlah ada Puan Raisya yang masih berdiri tegak di hadapan dia dan rakan seperjuangan yang lain pertahankan bahagian ini.

"Wei, bos gaduh lagi dengan isteri dia. Kau dengar tak?” bisik Wardah ke Mika sambil membuka fail.

Bisikan Wardah itu bukan hanya untuk Mika semata-mata. Bisikan itu tidak ubah seperti pembesar suara sedang buat pengumuman.

"Dengar? Satu aras ni macam panggung drama live wei... apa kes?”

Kepala Mika sibuk menjenguk ke arah bilik pejabat Puan Raisya.

Pada masa sama Haikal duduk dan turut buat-buat sibuk tengok email. Serentak itu juga telinga Haikal masih tajam menangkap setiap butir gosip yang melintas di halwa telinganya. Sebenarnya Haikal bukan penyibuk, dia cuma jenis suka nak tahu apa yang berlaku di sekeliling supaya mudah kelak.

"Puan Raisya dah lama tak datang event syarikat. Dulu bukan main berdua, sekarang bos datang sorang je. Confirm ada something,” sambung Wardah dengan penuh emosi dan mimik muka yakin.

Haikal memilih untuk diam sambil mendengar gosip liar yang tersebar sekarang. Sejujurnya nama Puan Raisya buat jantungnya berdegup laju. Perempuan elegan, sopan dan bersikap profesional. Walaupun hanya dapat berbual dengannya cuma 3minit bagi Haikal itu sudah cukup gembirakan hatinya. Bakinya hanya boleh tengok dari jauh. Dia masih sedar diri yang Puan Raisya sudah kahwin.

Walaupun ada khabar angin mengenai rumah tangga Puan Raisya dengan Tengku Zafran sedang retak menunggu belah, Haikal lihat Puan Raisya sentiasa menjaga air mukanya dari dipijak Tengku Zafran yang sombong dan perasan bagus.

"Eh, Haikal. Kau dengar ke tak ni?”

"Dengar… tapi tak tahu nak komen. Aku komen terus jadi PA, gaji naik nak la juga.”

Berderai tawa mereka mendengar jawapan Haikal. Kepalanya digaru terasa segan tapi memang itu caranya di pejabat.

Entah mengapa ada masa Haikal terfikir mahu jadi penyelamat dalam drama hidup Puan Raisya. Sayangnya dia tahu, semut macam dia mana layak campur urusan orang istana.

..
..
Beg galas ditarik dan melangkah keluar dari pejabat. Lampu mula malap satu demi satu sebagai tanda semua disuruh balik. Haikal melambai ke rakan sekerjanya dan keluar mengikut tangga kecemasan. Setiap kali tamat waktu kerja Haikal lebih gemar guna tangga turun ke bawah. Lebih tenang dan nyaman.

"Bapaku pulang dari kerja, bapakku beli kan... apa tu? Macam kenal."

Langkah Haikal mati ketika terpandang susuk tubuh yang cukup dia kenal. Haikal mendekati susuk tubuh yang sedang bersandar di sudut dinding yang jarang pekerja atasan lalu.

"Puteri mana turun sini ni," bisik batin Haikal.

"Puan, Puan Raisya," tegur Haikal, selamba.

Sangkaan Haikal tepat. Kali ini Haikal dapat lihat dengan jelas Puan Raisya menundukkan kepalanya dan bahunya sedikit bergetar.

"Puan okey tak ni?" soal Haikal sekali lagi.

Puan Raisya pantas mengelap hujung mata dengan tisu dan berpaling daripadanya. Bagi Haikal, Puan tidak cukup hebat untuk sembunyikan tangisannya.

"Saya… saya okey. Mata saya pedih pula tiba-tiba," balas Raisya.

Senyuman Puan Raisya tidak seperti senyuman biasa tapi Haikal memilih untuk mengangguk sambil senyum senget.

"Biasalah, mata kita pun ada perasaan Puan. Kadang-kadang. Ada masa mata tu dia nak menangis sendiri, kita tak boleh halang."

Tawa kecil Puan Raisya jelas masih bersisa sebak dan Haikal memilih untuk diam dan berpura-pura tidak nampak.

"Saya tunggu driver mama datang ambil.”

"Ohh… driver mama ya.”

Haikal menganggguk lagi dengan gaya seperti dapat info penting untuk fail sulit. Pandangannya meliar ke arah sekeliling tapi kelibat yang dia cari tiada. Mungkin dia terlambat seminit tengok drama Puan Raisya dengan Tengku.

"Erkk... Puan nak saya teman kejap ke? Saya boleh je. Saya teman boleh tapi jujur saya cakap, saya tak ada lesen nak pujuk. Lesen motor je ada.”

Haikal tengok Puan Raisya diam. Tidak mengangguk, tidak pula dia menggeleng. Hanya pandangannya sahaja seakan kosong. Itu sudah cukup buat Haikal rasa sakit Puan Raisya seakan pindah kepadanya sekarang. Percaya atau tidak sebenarnya dia lebih suka perasaan ini.

"Puan, kalau Puan tak jawab tu saya anggap ya. Saya ni jenis suka syok sendiri sikit,” tambah Haikal sambil bersandar di tembok bertentangan. Satu kaki letak di tembok, satu tangan seluk poket seluar dan satu lagi pegang helmet.

Raisya tunduk dan senyum segaris.

Haikal dapat rasa sejak akhir-akhir ini dirinya kerap dapat senyuman seperti ini daripada Puan Raisya. Suasana sunyi tanpa bicara dan Haikal reda. Dia hanya bersiul dan bernyanyi perlahan hiburkan Puan Raisya sedang berduka.

Setengah jam kemudian, bunyi enjin kereta mewah kedengaran makin mendekat. Haikal membetulkan postur badannya dan berdiri tegak. Rambutnya diraup ke belakang.

"Puan, saya nak pesan. Mata Puan tu andai kata dia menangis lagi lepas ni, saya tak kisah kalau jadi tisu yang tak nampak tapi selalu ada," ucap Haikal, spontan.

Raisya ketawa kecil dan menggeleng.

"Awak ni Haikal. Ada je idea nakal awak nak usik saya," balas Raisya.

"Nakal saya sekurang-kurangnya boleh buat Puan senyum, kan?” Haikal sengaja menjongketkan keningnya bertubi-tubi.

"Sudahlah, kereta dah sampai. Saya balik dulu."

Haikal mengangguk dan melambai Puan Raisya hingga hilang dalam kereta cermin gelap itu. Dia menarik nafas panjang dan menjengket-jengket menghilangkan resah di dada.

"Balik Haikal, balik. Dia tak pandang kau pun bila dah masuk kereta," gumam Haikal dengan perasaannya sendiri.

Sedetik.

"Haikal, terima kasih!"

Tubuh Haikal kaku selepas berpaling. Suara Puan Raisya buat dia tersenyum lebar sebelum menoleh semula ke arah pemilik suara tadi. Haikal dapat lihat dengan jelas, tingkap diturunkan dan ada tangan cantik melambai ke arahnya.

Hari ini Haikal mula sedar yang dia sudah mula jatuh lagi. Jatuh hati ke orang yang tidak sepatutnya.

Jangan segan2 tinggal komen. :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience