Rate

Bab 3

Romance Series 288128

“Baiklah, Nek.” Eleesya menjawab dengan nada yang tenang.

Walaupun Nenek Sarah sangat baik kepadanya, Eleesya tahu bahawa Amzar tetaplah cucu kandungnya, sementara dirinya hanya seorang cucu menantu. Kalau terjadi konflik, mungkinkah keluarga suaminya akan memihak kepadanya?

Eleesya tidak yakin.

Sama seperti mertua kakaknya.

Sebelum menikah, mereka sangat baik kepada kakaknya, sehinggakan anak perempuan kandung mereka sendiri merasa cemburu.

Namun, selepas menikah, sikap mereka berubah. Setiap kali kakaknya bertengkar dengan suaminya, ibu mertua kakaknya pasti akan menyalahkan kakaknya sebagai isteri yang tidak baik.

Jadi, anak kandung tetap keluarga sendiri, manakala menantu hanyalah orang luar.

“Kamu ada kerja, kan? Kalau begitu, Nenek tak nak ganggu lagi. Nenek akan minta Am jemput kamu nanti, kita makan malam bersama.”

“Nek, kedai saya tutup malam nanti. Mungkin saya tak sempat balik untuk makan. Kalau hujung minggu boleh?”

Hujung minggu biasanya sekolah cuti, jadi perniagaan di kedai bukunya akan sepi. Dia boleh ambil masa untuk bersantai dan bertemu dengan Nenek Sarah.

“Boleh, tak ada masalah.” Suara Nenek Sarah terdengar penuh perhatian. “Kalau begitu, kita jumpa lagi hujung minggu nanti. Kamu kerja dulu ya.”

Nenek Sarah kemudian menamatkan panggilan tersebut dengan penuh pengertian.

Bukannya terus menuju ke kedai, Eleesya menghantar mesej kepada rakannya, Junita Tasneem, untuk memberitahu bahawa dia akan ke kedai sebelum waktu pulang sekolah.

Setelah selesai melakukan salah satu perkara terbesar dalam hidupnya, Eleesya segera pulang ke rumah untuk memberitahu kakaknya, kemudian bersiap untuk pindah.

Sepuluh minit kemudian, Eleesya tiba di rumah kakaknya.

Abang iparnya sudah pergi kerja, sementara kakaknya sedang menjemur pakaian di balkoni. Melihat Eleesya pulang, kakaknya bertanya, “El, kenapa balik? Hari ni tak buka kedai?”

“El akan ke sana tengah hari nanti. Tengah hari biasanya ramai. Afiq masih belum bangun?”

Afiq adalah anak saudara Eleesya yang baru berusia dua tahun, dan sedang berada dalam fasa nakal.

“Belum lagi. Kalau dia dah bangun, mesti dah bising dah rumah ni.”

Eleesya membantu kakaknya menjemur pakaian sambil bertanya tentang kejadian malam tadi.

“El, abang ipar kamu tu bukannya nak halau. Cuma sekarang ni dia stress sikit sebab kerja,” Aliya Putri menjelaskan bagi pihak suaminya.

Eleesya tidak menjawab. Dia tahu, abang iparnya itu memang mahu dia keluar dari rumah ini.

Abang iparnya bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat dan berpendapatan tinggi. Kakaknya merupakan rakan sekelasnya di universiti. Mereka mula bekerja di syarikat yang sama sebelum akhirnya berkahwin. Selepas berkahwin, abang iparnya berkata kepada kakaknya, “Aku akan tanggung hidupmu. Kamu rehat saja di rumah dan bersedia untuk dapatkan anak.”

Kakaknya merasa telah berkahwin dengan lelaki yang tepat, jadi dia benar-benar meletakkan jawatan dan menjadi suri rumah. Setahun selepas berkahwin, dia melahirkan seorang anak lelaki. Sejak itu, dia sibuk menjaga bayi mereka dan mengurus rumah, sehingga tidak lagi punya masa untuk berdandan atau menjaga dirinya sendiri. Dia juga tidak dapat kembali bekerja.

Dalam tempoh tiga tahun, Aliya berubah dari seorang wanita muda yang cantik menjadi seorang suri rumah yang gemuk dan tidak lagi secantik dulu.

Eleesya dan kakaknya memiliki perbezaan usia lima tahun. Ketika Eleesya berusia sepuluh tahun, ibu bapa mereka meninggal dalam kemalangan kereta. Sejak itu, mereka hanya bergantung dengan satu sama lain.

Wang pampasan yang mereka terima setelah kemalangan itu sebenarnya cukup untuk mereka menamatkan pengajian, tetapi datuk dan nenek dari sebelah ayah dan ibu mereka masing-masing meminta bahagiannya. Akhirnya, mereka terpaksa hidup berjimat dengan baki wang yang sedikit sehingga mereka berjaya tamat pengajian universiti.

Rumah peninggalan ibu bapa mereka didiami oleh datuk dan nenek sebelah ayah, jadi mereka sentiasa menyewa rumah di luar, hingga akhirnya kakaknya berkahwin dan mereka tidak perlu lagi menyewa.

Aliya sangat menyayangi Eleesya. Sebelum berkahwin, Aliya sudah memberitahu suaminya bahawa Eleesya akan tinggal bersama mereka, dan suaminya setuju. Namun, kini, lelaki itu tidak suka Eleesya tinggal di situ.

“Kak, El minta maaf kerana menyusahkan kakak.”

“Tak, El. Kamu jangan fikir macam tu. Ibu bapa kita meninggal ketika kita masih kecil, jadi El hanya boleh bergantung pada Kakak.”

Kata-kata kakaknya itu membuat hati Eleesya tersentuh. Dulu, kakaknya menjadi tempatnya bergantung. Sekarang, dia ingin menjadi tempat bergantung bagi kakaknya.

Setelah diam sejenak, Eleesya mengeluarkan sijil nikahnya, menyerahkannya kepada Aliya, dan berkata, “Kak, El dah kahwin. Baru saja selesai uruskan sijil nikah. El balik untuk beritahu Kakak. Lepas ni El akan kemas barang dan pindah ke rumah suami El.”

“Hah!? Kamu dah kahwin?” Suara Aliya sedikit meninggi. Hampir saja dia menjerit.

Dia menatap adiknya dengan penuh ketidakpercayaan sambil cepat-cepat mengambil sijil nikah itu dan membukanya. Ternyata benar, ada foto Eleesya bersama seorang lelaki asing di dalamnya.

“Eleesya, kenapa ni? Sejak bila kamu ada teman lelaki?”

Lelaki yang ada di dalam sijil nikah itu sangat tampan, tetapi tatapannya tajam dan ekspresinya terlalu dingin. Nampaknya dia bukanlah orang yang mudah didekati.

Sepanjang perjalanan pulang, Eleesya sudah memikirkan kata-kata yang harus dia ucapkan. Dia menjawab dengan tenang, “Kak, El dah lama ada teman lelaki. Namanya Amzar. Tapi dia selalu sibuk, jadi belum sempat datang jumpa Kakak.”

“Dia melamar El, dan El setuju untuk berkahwin. Kami pun pergi ke Pejabat Agama untuk menguruskan sijil nikah. Kak, dia lelaki yang baik. Dia layan El dengan sangat baik. Kakak jangan risau.”

Aliya masih belum boleh menerima kenyataan ini.

Selama ini, dia tidak pernah mendengar Eleesya berkata bahawa dia mempunyai teman lelaki. Tiba-tiba sahaja adiknya itu berkata bahawa dia sudah berkahwin.

Dia teringat tentang pertengkarannya dengan suaminya malam tadi, dan adiknya ini mendengarnya.

Mata Aliya terus memerah. Dia berkata kepada Eleesya, “El, Kakak dah beritahu suami Kakak yang El ada beri wang makan. Jadi, El tak perlu risau untuk tinggal di sini.”

“El tak perlu cepat-cepat kahwin atau cepat-cepat pindah.”

Aliya yakin, adiknya ini pasti belum lama mengenali lelaki yang dikatakan teman lelakinya itu. Kalau tidak, sudah pasti Eleesya akan memberitahunya lebih awal.

Eleesya cuba memujuk kakaknya sambil tersenyum, “Kak, keputusan El untuk berkahwin bukan disebabkan oleh kakak atau suami kakak. Kami saling mencintai. El akan bahagia. Kakak sepatutnya gembira.”

Aliya terus menangis.

Eleesya memeluk kakaknya dengan penuh kasih sayang. Setelah kakaknya tenang, Eleesya berjanji, “Kak, El akan selali balik melawat Kakak. Rumah Amzar ada di Lotus Residence, tak jauh dari sini. Naik kereta ambil masa sepuluh minit je.”

“Bagaimana latar belakang keluarga lelaki itu?”

Semuanya sudah terjadi, jadi Aliya hanya boleh menerima kenyataan. Dia pun bertanya tentang latar belakang keluarga adik iparnya.

Eleesya sendiri tidak begitu tahu tentang keluarga Amzar. Walaupun dia sudah kenal dengan Nenek Sarah selama tiga bulan, dia tidak pernah bertanya tentang keluarga Amzar. Kalau Nenek Sarah bercerita, dia hanya mendengar. Apa yang dia tahu, Amzar adalah cucu sulung dalam keluarga itu dan masih ada banyak adik lelaki di bawahnya, termasuk sepupu-sepupunya.

Amzar bekerja di salah satu syarikat terbesar dalam negara, ada kereta dan rumah, dan keluarganya juga kelihatan berada. Eleesya memberitahu kakaknya apa yang dia tahu.

Mendengar bahawa adik iparnya sudah membeli rumah, Aliya berkata, “Itu harta sebelum kahwin, El. Bolehkah kamu minta dia letakkan nama kamu dalam geran rumah itu?”

Kalau nama adiknya dimasukkan ke dalam geran rumah, sekurang-kurangnya akan ada jaminan untuk masa depannya.

Share this novel

nurdianjuljiri
2024-10-18 12:17:28 

hello saya Nurdian boleh tak tolong ajar saya macam mana nak jadi penulis novel

Shaz Mateen
2024-08-27 17:24:56 

senangnye dy nikah? wali mane?


NovelPlus Premium

The best ads free experience