Get the app for full experience
Cuaca pada bulan Oktober masih terik, panasnya membakar kulit. Rasa sejuk cuma dapat dinikmati pada waktu awal pagi dan malam. Pagi itu, Eleesya Putri bangun awal seperti biasa, menyediakan sarapan untuk keluarga kakaknya yang terdiri daripada tiga orang. Setelah itu, dia bersiap-siap untuk keluar secara senyap, seperti seorang pencuri yang tidak mahu dikesan.
Kata-kata abang iparnya yang diluahkan semalam masih terngiang-ngiang di telinganya, menyakitkan hati yang sudah lama terluka.
“Mulai sekarang, semua perbelanjaan rumah ni akan dikongsi sama rata. Beli barang masak, ansuran rumah, ansuran kereta, semuanya dibahagi sama rata! Adik kamu tu tinggal di rumah kita. Minta dia bayar separuh. Setakat bagi kita 300 ringgit je sebulan ingat cukup ke? Apa bezanya itu dengan makan dan tidur percuma?”
Eleesya tahu, dia harus segera keluar dari rumah kakaknya. Namun, dia tidak mahu membuat kakaknya bimbang. Hanya ada satu cara untuk keluar dari kemelut ini, iaitu dengan BERKAHWIN!
Tetapi masalahnya, dia tidak mempunyai teman lelaki. Pilihan yang ada hanyalah menerima tawaran Nenek Sarah, seorang wanita tua yang pernah dibantunya dahulu, untuk berkahwin dengan cucu sulungnya yang belum juga berkahwin walaupun sudah berusia.
Dua puluh minit kemudian, Eleesya turun dari teksi, berdiri di hadapan pintu Pejabat Agama dengan perasaan bercampur baur.
“Eleesya,” sebuah suara tua yang sudah dikenalinya memanggil.
“Nenek Sarah,” balas Eleesya dengan senyuman.
Eleesya berjalan cepat menghampiri wanita tua itu, matanya kemudian tertancap pada seorang lelaki tinggi dan tegap yang berdiri di sebelahnya. Eleesya tahu lelaki ini pasti Amzar, orang yang bakal menjadi suaminya tidak lama lagi. Semakin dekat dia menghampiri, semakin jelas kelihatan wajah Amzar Danial. Satu kejutan bagi Eleesya. Dari cerita Nenek Sarah, dia membayangkan lelaki ini sudah berusia tiga puluh tahun, tetapi masih gagal mendapatkan teman wanita. Hal itu membuatnya berfikir bahawa Amzar pasti seorang lelaki yang tidak menarik.
Namun, setelah melihat sendiri lelaki itu, Eleesya menyedari dirinya telah salah. Amzar sangat kacak, berwajah dingin, dengan tubuh yang memancarkan aura maskulin yang sukar didekati.
Lelaki itu berdiri di sebelah Nenek Sarah, ekspresinya tidak berubah, namun gayanya sangat berkarisma. Eleesya mencuri pandang ke arah sebuah kereta yang diparkir tidak jauh dari mereka. Ia bukanlah kereta mewah, tetapi cukup menunjukkan bahawa Amzar bukan dari golongan yang terlalu berbeza darinya. Ini membuatkan Eleesya merasa sedikit lega.
Eleesya dan kawannya membuka sebuah kedai buku di hadapan sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Pendapatannya cukup bagus. Setiap bulan, dia memberi kakaknya RM1000 untuk kos sara hidup. Namun, abang iparnya tidak tahu apa-apa tentang jumlah sebenar, kerana Eleesya meminta kakaknya untuk menyimpan RM700 daripadanya. Selebihnya dia hanya kata RM300 sebulan.
“Eleesya, ini cucu sulung Nenek. Umur 30 tahun pun masih belum laku. Biarpun muka dia nampak sombong sikit, tapi dia ni baik orangnya. Kamu pernah menyelamatkan Nenek, kita juga sudah kenal selama tiga bulan. Nenek harap kamu percaya dengan Nenek. Nenek tidak akan cadangkan untuk kamu berkahwin dengan cucu Nenek ni kalau dia jahat.”
Amzar melirik ke arah Eleesya dengan pandangan dingin, namun dia tidak berkata apa-apa. Mungkin kerana sudah terlalu kerap mendengar kata-kata neneknya, dia tidak lagi terkesan. Eleesya tahu Nenek Sarah mempunyai tiga anak lelaki, dan setiap seorang daripada mereka memberikannya tiga cucu lelaki. Nenek Sarah tidak mempunyai cucu perempuan, sebab itulah dia selalu menganggap Eleesya seperti cucunya sendiri. Wajah Eleesya agak merona kemerah-merahan, tetapi dia tetap menyapa Amzar dengan sopan, memperkenalkan dirinya sambil tersenyum,
“Apa khabar Encik Amzar. Saya Eleesya.”
Amzar memerhatikan Eleesya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, tatapannya tajam seolah-olah menilai setiap inci dirinya. Hanya selepas Nenek Sarah berdeham sebagai isyarat, barulah Amzar bersuara dengan nada rendah dan dingin,
“Amzar.”
Amzar mengangkat tangan kirinya, memeriksa jam di pergelangan tangan, kemudian berkata kepada Eleesya,
“Saya sibuk. Jom cepat selesaikan ni.”
Eleesya hanya mengangguk. Nenek Sarah segera berkata,
“Kamu berdua cepat masuk dan uruskan sijil nikah. Nenek akan tunggu kamu di sini.”
“Nenek, masuklah ke dalam kereta. Di luar panas,” kata Amzar sambil memimpin neneknya kembali ke dalam kereta.
Eleesya memerhatikan perlakuan lelaki itu. Dia percaya apa yang dikatakan oleh Nenek Sarah. Amzar memang nampak dingin, tetapi hatinya lembut dan prihatin. Walaupun mereka belum saling mengenal dengan rapat, Nenek Sarah memberitahu bahawa Amzar mempunyai rumah miliknya sendiri. Kalau berkahwin dengan Amzar, Eleesya boleh keluar dari rumah kakaknya dan tidak perlu menyusahkan mereka lagi. Perkahwinan mereka hanya sebatas hidup bersama, tanpa perlu ada rasa cinta.
Tidak lama kemudian, Amzar kembali muncul di hadapan Eleesya dan berkata,
“Jom.”
Eleesya mengangguk dan mengikuti lelaki itu masuk ke Pejabat Agama. Ketika mereka tiba di tempat pengurusan sijil nikah, Amzar tiba-tiba bersuara, mengingatkan Eleesya,
“Cik Eleesya, kalau awak tak nak, kita boleh batalkan benda ni. Awak tak perlu risau tentang apa yang nenek saya katakan. Perkahwinan adalah perkara yang besar, bukan main-main.”
Amzar berharap Eleesya akan membatalkannya. Kerana dia sendiri tidak mahu berkahwin dengan perempuan yang baru ditemuinya sekali.
????
Oo