DOMPET dibelek beberapa kali. Hanya tinggal beberapa keping note sepuluh yang terselit di dalam beg duitnya. Keluhan terlepas daripada mulut gadis itu.
Baru awal bulan dah tak cukup duit. Gerutu hati Ayumi. Tubuh disandar ke dada kerusi sambil mengenang nasib diri.
Teringat kembali seminggu yang lepas, tunangnya Fadhli meminta wang sebanyak seribu untuk membayar hutang yang lelaki itu pinjam daripada kawannya. Mahu atau tidak, terpaksa jugalah Ayumi menghulurkan duitnya kerana lelaki itu berjanji akan ganti semula secepat mungkin.
Sudahlah setiap bulan, Ayumi membayar hutang superbike yang dibeli olehnya untuk lelaki itu. Kini, duit belanjanya juga diperas sama.
“Woi, menung macam orang mati laki ni, apa hal?” Bella, rakan sepejabat yang duduk di hadapan Ayumi mula bersuara setelah melihat Ayumi termenung dan mengeluh sejak dari tadi. Menganggu fokus kerjanya.
Ayumi angkat muka menatap pada wajah Bella yang sedang menjengah ke tempatnya. Dia sekadar tersenyum segaris tanpa riak ceria seperti selalu.
“Kau apa hal ni?” ulang Bella ingin tahu. Dia mula bangun daripada duduknya dan menghampiri Ayumi.
Bella berdiri di sisi Ayumi sambil tangannya memaut bahu kerusi. Direnung wajah gadis yang berkulit putih melepak itu. Mata Bella tertancap pada dompet yang dipegang oleh gadis itu. “Kau nak pakai duit ke?” soal Bella lagi.
Pantas Ayumi menggeleng. Dompet disimpan kembali ke dalam beg tangan miliknya. “Aku ada duit,” perlahan sahaja ayat itu dikulum keluar daripada mulutnya.
Bella mencebik dengan riak tak percaya. “Berapa lagi si Fadh tu ketuk kau?” tebak Bella. Bukan dia tidak tahu hal antara Ayumi dan tunangnya, Fadhli. Semua dalam poket seluar!
Ayumi ketawa hambar. Susah nak menyorok hal peribadi daripada Bella. “Dia janji nak bayar minggu depan,” jawab Ayumi bersahaja. Kemudian, dia menekan butang on di skrin komputernya. Tetikus dicapai dan kata kunci dimasukkan.
Sebaik sahaja komputer berfungsi, terpampang gambar Ayumi sewaktu mengikat tali pertunangan bersama Fadhli setahun yang lepas. Ayumi tersenyum pahit saat matanya menatap pada gambar itu.
“Entahlah. Aku menyampah dengan si Fadh ni. Sorry lah ek. Terpaksa berterus terang.” Bella bersuara lagi. Ayumi sekadar ketawa kecil. Bukan kali pertama Bella meluahkan kebenciannya pada Fadhli. Sudah berkali-kali. Namun, sedikit pun Ayumi tak ambil hati. Dia tahu Bella tak suka dengan sikap Fadhli yang seolah-olah mengambil kesempatan atas kebaikannya.
“Kalau aku jadi kau, bye bye lah si Fadh tu,” sambung Bella masih belum puas meluahkan rasa geramnya. Ayumi diam tidak membalas kata-kata itu. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Kau fikirlah baik-baik Yumi sebelum kau kahwin dengan lelaki macam Fadh tu. Takut makan hati je nanti,” Bella mula berjalan kembali ke tempat duduknya dan punggung dihenyak ke kerusi.
Ayumi masih diam tidak bersuara. Tetapi, segala kata-kata Bella membuatkan dia berfikir. Ada benarnya kata gadis itu. Tetapi, apa yang dia boleh lakukan?
Pertunangan mereka bukan atas dasar cinta. Tetapi, Ayumi bersetuju untuk mengikat tali pertunangan kerana keluarga Fadhli yang telah menjaganya sejak daripada kecil lagi selepas kematian ibu dan ayahnya dalam satu kemalangan. Keluarga Fadhli lah yang telah menyara Ayumi sehingga dewasa.
Ayumi serba salah. Dia tak mampu nak menolak permintaan keluarga Fadhli. Dalam masa yang sama, dia cuba memupuk perasaan cintanya terhadap Fadhli. Setiap hari dia berusaha untuk sukakan lelaki itu, tetapi, setiap hari juga lelaki itu sering buat Ayumi geram dan sakit hati dengan sikap yang suka mendesak.
Ayumi mengeluh berat. Tiada siapa yang boleh membantu dirinya melainkan diri sendiri.
PAP!
Sebuah dokumen tiba-tiba sahaja dihempas ke mejanya membuatkan bahu Ayumi terangkat dek kerana terkejut. Terus dia menoleh pada sosok tubuh yang menghempas dokumen itu.
Encik Malique!
“Cek semula ayat dalam surat ni. You banyak buat salah dan tak cek sebelum hantar pada I semalam,” satu per satu ayat itu dituturkan oleh Malique dengan nada yang mendatar. Sekilas mata lelaki itu memandang pada skrin komputer Ayumi. Dia sungging senyum sinis lalu terus melangkah pergi dari situ.
Ayumi terkebil-kebil. Belum sempat dia mengucap kata maaf, lelaki itu sudah pun masuk ke bilik pejabatnya. Cepat-cepat Ayumi membelek dokumen yang diberikan padanya itu lalu disemak satu per satu. Dia menepuk dahi dengan perlahan saat membaca setiap helaian di dalam dokumen itu. Mujur lelaki itu tak marah seperti selalu. Jika tidak, mahu menangis Ayumi dibuatnya.
“Banyak ke yang kau salah taip?” soal Bella, menyibuk.
Ayumi tersengih seperti kerang busuk. “Banyak juga. Nasib baik dia tak tempik aku,” ayat itu dikulum perlahan seakan berbisik. Bimbang didengari oleh Malique walaupun pintu pejabat lelaki itu tertutup rapat. Tetap sahaja Ayumi takut kalau-kalau lelaki itu dengar akan percakapannya.
“Mood dia baik kut hari ni,” balas Bella turut berbisik.
Ayumi sekadar tersenyum pahit. Kemudian, dia terus membetulkan semula dokumen yang diberikan padanya tadi.
Suasana pejabat kembali sunyi.
Tanpa sedar, Malique merenung sosok tubuh Ayumi dari celahan tingkap biliknya. Dia tersenyum nipis saat melihat gelagat gadis itu.
Tiada siapa tahu hatinya sudah lama terpaut pada Ayumi. Tetapi, sayang, tunangan orang. Sewaktu mengetahui Ayumi telah bertunang, Malique terkejut. Tetapi, sedaya upaya dia mengawal reaksi wajahnya daripada kelihatan kecewa.
Malique kembali duduk ke sofa pejabat sambil tangan mencapai termos yang berisi air kopi yang dibawa dari rumah. Dia termenung sejenak sambil berfikir-fikir aktiviti tahunan untuk pekerja-pekerjanya nanti.
“Hiking ke camping? Family day biasa sangat,” gumam Malique sendiri. Dia seorang yang sukakan aktiviti lasak. Tetapi, rata-rata pekerjanya sudah berkeluarga dan hampir majoriti daripada mereka adalah wanita.
“Leceh bawa perempuan pergi hiking. Banyak songeh,” sambung Malique lagi. Tetapi, entah mengapa hatinya meronta-ronta mahu menjalankan aktiviti hiking itu bersama pekerjanya. Jari jemari diketuk ke sofa sambil fikirannya menderas berfikir tentang aktiviti itu.
Dia nekad sebelum habis waktu bekerja nanti, dia akan berbincang dengan semua pekerjanya mengenai hal itu.
Kemudian, Malique bangun dari sofa dan kembali ke meja untuk meneruskan kerja-kerja yang tertangguh.
MATA Ayumi meliar mencari sosok tubuh Fadhli yang berjanji akan menjemputnya makan tengah hari bersama. Namun, hampir setengah jam, batang hidung lelaki itu tidak juga kelihatan. Ayumi mengeluh perlahan. Perutnya sudah bergendang kelaparan. Berkali-kali dia melirik pada jam tangan yang dipakai.
“Hai, tak sampai lagi ke tunang kau tu?” soal Bella yang sudah pun pulang daripada makan tengah hari. Dia bercekak pinggang memandang ke tengah jalan raya turut mencari kelibat Fadhli walaupun dia sendiri yakin yang lelaki itu tidak akan muncul.
Ayumi menggeleng perlahan. Bella mencebik geram. Sebungkus beg plastik diserahkan pada sahabatnya itu. “Nah, nasib baik aku ada belikan nasi bungkus untuk kau. Aku dah agak dah dia mesti tak datang,” bebel Bella, selamba.
Berkerut dahi Ayumi saat melihat bungkusan beg plastik merah itu. “Untuk aku ke?” soalnya seakan tak percaya.
“Iyalah untuk kau. Nak harapkan tunang kau tu, kebulurlah kawan aku ni!” ujar Bella dengan geram.
Ayumi melepaskan keluhan berat. Lalu dia membuntuti Bella masuk semula ke dalam bangunan pejabat mereka.
Dengan langkah longlai, Ayumi berjalan menuju ke pantri pejabat untuk menjamu selera. Kakinya kaku seketika saat melihat sosok tubuh Malique turut berada di situ. Lelaki itu sekadar menoleh sekilas pada Ayumi dengan riak wajah yang serius. Tangan Malique ligat membancuh sesuatu di dalam gelas yang dipegang.
Ayumi pula masih tercegat di muka pintu pantri tanpa sedikit pun berganjak dari tempat dia berdiri.
“Sampai bila nak berdiri dekat situ?” suara garau Malique mula memenuhi ruang pantri.
Ayumi telan air liur saat suara lelaki itu menyapa gegendang telinga. Terkedip-kedip matanya cuba memberi respon biasa. Namun, gagal. Kulit muka terasa seakan tertarik ke tepi. Janggal dengan kehadiran lelaki itu di situ.
“Makan cepat. Nak habis waktu lunch dah ni,” tutur Malique lagi sambil melintasi Ayumi di muka pintu. Aroma kopi yang ada di tangan lelaki itu sempat menyapa hidung Ayumi.
Setelah Malique berlalu pergi, barulah Ayumi bergerak masuk ke pantri dan duduk di meja pantri. Plastik merah yang dipegang diletak ke atas meja. Air mineral bersize kecil yang ada di atas meja pantri dicapai. Lalu, dibuka dan diteguk beberapa kali.
Kemudian, dia membuka bungkusan makanan yang diberikan oleh Bella padanya sebentar tadi. Tangan ditadah sambil membaca doa makan. Setelah itu, dia menjamu selera.
Dalam masa yang sama, Ayumi merasa sedih dengan sikap Fadhli yang memungkiri janjinya. Sepanjang dia menjamah makanan itu, fikirannya ligat memikirkan tentang hubungannya dengan Fadhli. Entah sampai bila lelaki itu akan melayan dia seperti ini. Dia sendiri tidak tahu.
“Tak elok termenung depan rezeki,” sekali lagi Malique masuk ke pantri.
Bahu Ayumi terangkat dek kerana terkejut disapa secara tiba-tiba. Terus dia menoleh pada sosok tubuh Malique yang sedang menambah sesuatu dalam minumannya.
“Pahit sangat,” tiba-tiba lelaki itu bersuara lagi walaupun tidak ditanya oleh Ayumi.
“Oh,” Ayumi menjawab sekadarnya. Kemudian, dia kembali menyambung suapan.
Tanpa dipelawa, Malique tarik kerusi dan duduk di depan Ayumi.
Sekali lagi Ayumi kaku membeku di situ. Serba salah mahu meneruskan suapan. Sungguh dia tidak biasa saat lelaki garang itu ada di situ. Wajah Ayumi semakin menunduk ke meja.
Malique buat tak endah. Selamba sahaja dia menghirup air kopi bancuhannya itu sambil matanya dipasak pada Ayumi.
Malique tersenyum dalam hati. Terhibur melihat gelagat gadis itu. “Makan cepat. Nak habis waktu dah ni,” sekali lagi Malique mengingatkan gadis itu.
Nadanya yang garau bisa membuatkan Ayumi gementar. Tanpa menghabiskan makanan, Ayumi terus bangun dari situ. Malique kerut kening. “Makanan tu tak habis lagi. Tak elok membazir,” tegur Malique bersahaja.
Ayumi masih diam tidak membalas kata-kata Malique. Dia terus membasuh tangannya di sinki pantri dan berlalu pergi dari situ.
Sungguh dia pelik apabila Malique tiba-tiba sahaja ramah. Tak selesa dibuatnya. Dia sudah tidak peduli jika lelaki itu terasa saat dia pergi dari situ. Dia sendiri serabut memikirkan masalah dia dengan Fadhli. Lagi mahu fikir masalah lain. Takda masa!
Share this novel