KEM 3

Drama Series 238762

BIBIR Malique mengukir senyum nipis. Lampu isyarat merah yang masih menyala itu membuatkan matanya meliar mencari kelibat seseorang. Setelah beberapa hari susuk tubuh gadis itu tidak kelihatan, baru hari ini dia dapat melihat si gadis melintas di situ.

“Pink,” gumamnya perlahan menyebut warna baju yang dipakai oleh si gadis.

Setiap hari tanpa gagal, Malique akan berada tepat pada waktunya di lampu isyarat yang sama dan menanti kemunculan si gadis. Cuma adakalanya dia terlepas, mungkin kerana gadis itu lebih awal melintas di situ atau pun terlewat.

Setiap langkah gadis itu diperhati dengan renungan tajam. Ada masanya gadis itu kelihatan tergesa-gesa. Ada masanya kelihatan santai dan bersahaja. Tetapi, hari ini, langkah gadis itu kelihatan lemah dan tidak bermaya.

Malique tertanya-tanya di dalam hati. Apa yang membuatkan gadis itu seakan tidak bersemangat? Berkerut alis mata Malique saat ini. Dari dalam keretanya jelas kelihatan wajah suram si gadis.

Jari jemarinya mengetuk perlahan stereng yang dipegang. Mata masih melekat kuat pada sosok tubuh si gadis tanpa dia menyedari lampu isyarat sudah pun bertukar hijau.

PINNN!!!

Kereta belakang sudah pun membunyikan honnya menggesa Malique bergerak.

Malique tersentak. Cepat-cepat dia menekan minyak dan meneruskan pemanduannya. Sempat dia melirik pada susuk tubuh gadis itu melalui cermin pandang belakang. Setelah itu, dia terus membelok dan memasuki ke parkir bangunan pejabatnya.

AYUMI menarik kerusi tempat duduk dan menghenyak punggungnya di situ. Beg tangan yang tersangkut dibahu diletak ke atas meja kerja. Dia tarik nafas dan berehat beberapa detik sebelum memulakan kerjanya.

Badannya terasa lesu pagi ini. Panggilan telefon daripada Mak Jah malam tadi menganggu tidurnya. Disebabkan itu, sehingga ke pagi Ayumi tidak bisa melelapkan mata. Dia mengelamun teringat kembali perbualannya bersama Mak Jah malam tadi.

“Yumi, kalau minggu ni Yumi balik, mak ingat nak bincang pasal tarikh kahwin Yumi dengan Fadh,” ujar Mak Jah. Ayumi yang sudah setengah jam terlena dan masih mamai itu terus membulat matanya saat menjawab panggilan telefon itu. Sempat dia melirik pada jam yang tergantung di dinding bilik.

Pukul satu pagi.

Perlahan keluhan berat terlepas daripada bibirnya. “Fadh suruh Yumi balik sorang mak. Fadh ada hal katanya,” jawab Ayumi dengan nada malas.

“Laa… Mak pesan pada dia suruh balik sekali dengan Yumi. Hal apa dia tu? Lama sangat dah tak balik kampung ni!” bebelan Mak Jah kedengaran jelas dihujung talian.

Ayumi termenung sejenak. Dia sendiri tidak tahu hal apa yang Fadhli sibukkan. “Entahlah mak. Dia cakap ada kerja je,”

“Yumi pujuklah dia ikut Yumi balik. Beritahu dia mak nak bincang pasal tarikh kahwin ni,” desak Mak Jah tanpa mempedulikan apa-apa lagi.

“Yumi dah cakap tadi. Tapi, Fadh cakap tak boleh. Dia ada kerja penting kena settle kan,”

Mak Jah terdiam beberapa ketika. Wanita itu merengus kasar. “Apa yang disibukkan Fadh tu? Nak dekat sebulan korang berdua tak balik kampung ni. Dah lupa keluarga ke?” marah sungguh Mak Jah saat ini.

Ayumi membungkam seribu bahasa. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia cakapkan lagi tentang anak lelaki wanita itu. Bukan Mak Jah tidak tahu sikap Fadhli. Anak sendirikan!

“Nanti Yumi cubalah pujuk Fadh balik dengan Yumi,” akhirnya Ayumi mengalah. Dia tidak mahu membuatkan wanita itu terasa hati dan membebel di tengah malam sebegini.

“Hah, iyalah. Pujuk dia. Perkara penting nak bincang ni,” bersungguh Mak Jah menitip pesan tanpa memikirkan perasaan Ayumi.

“Baik, mak,” itu sahaja jawapan yang keluar daripada mulut Ayumi.

Lamunan Ayumi terhenti apabila dia disapa seseorang. Terus Ayumi menoleh pada suara garau yang menganggu lamunannya.

Encik Malique!

“Iya Encik Malique?” terus Ayumi menyoal. Terkebil-kebil matanya menatap wajah lelaki itu. Seperti selalu, Malique kelihatan kemas dan segak dengan suit lengkap berwarna hitam.

“Pagi-pagi termenung. Ada masalah apa?” soal Malique, tiba-tiba.

Ayumi terkedu seketika. Tidak pernah-pernah lelaki itu menyoalnya sebegini. Entah apa yang membuatkan Malique bertanyakan sedemikian padanya.

Mimpi apa dia ni malam tadi? Tercekik bulu tangkis ke? Detik hati Ayumi. Pelik dengan sikap mesra yang dipamerkan oleh Malique secara tiba-tiba itu.

“Takda apa,” jawab Ayumi sambil menggeleng pantas. Dia tidak selesa disoal sebegitu oleh Malique. Dia bukan biasa dengan lelaki itu. Hendak pula, lelaki itu garang dan tidak mesra. Lagilah janggal dibuatnya.

Malique sungging senyum sinis. “Masa hiking nanti, cuti semua dibekukan. Sesiapa yang nak balik kampung ke, nak kahwin ke, bertunang ke, cukur jambul ke, bersunat ke, cepat uruskan,” tiba-tiba Malique bersuara dengan nada yang agak tinggi seakan memberi arahan pada semua pekerja yang ada di situ.

Ayumi pejam mata kejap. Nafas ditarik sedalamnya. Terkejut dek suara yang tiba-tiba meninggi itu satu hal, sakit hati kerana cuti dibekukan pun satu hal. Betul kata Bella. Malique akan menggunakan kuasanya untuk buat semua orang mengikut arahannya.

Malique tersenyum puas apabila melihat tiada sorang pun yang berani membantah arahannya. Termasuklah Ayumi. Dia melirik pada gadis itu sebelum kakinya dibawa melangkah ke arah biliknya.

Sebaik sahaja lelaki itu menghilang, Ayumi menghela nafas lega. Boleh sesak dada dibuatnya kalau Malique masih berada di situ lagi.

Ayumi berdecit geram. “Memang kena ikutlah nampak gayanya ni. Aduhh…” pelipis dipicit perlahan. Keluhan Ayumi didengari oleh Bella. Gadis itu ketawa perlahan sambil leher dipanjangkan menjengah ke tempat Ayumi yang ada di depannya. “Kan aku dah cakap. Boss kau tu takkan kasi chance punya,” ujar Bella dengan tawa yang masih bersisa.

Ayumi mencebik geram. “Nak tak nak terpaksalah ikut juga,” gumam Ayumi sendiri.

Sudahlah masalah antara dia dan Fadhli masih tidak selesai, mahu mengadap Mak Jah pula. Dan sekarang timbul masalah baru. Terasa seakan malang sungguh nasibnya saat ini.

Ayumi menongkat dagu sambil matanya meliar memandang pada meja kerjanya. Alis mata Ayumi berkerut apabila dokumen yang diberikan oleh Malique semalam sudah tiada di atas meja itu. “Mana file semalam ni?”

Pantas tangannya mencari dokumen tersebut. Tetapi, tiada. Dicari pula di bawah meja. Juga tiada. “Bella, kau ada ambil tak file yang Encik Malique bagi pada aku semalam? Yang dia suruh aku betulkan tu?” soal Ayumi. Kepala dijengah ke tempat Bella.

Dahi Bella berkerut seribu cuba mengingat kembali tentang dokumen yang dimaksudkan oleh Ayumi itu. “Oh, semalam lepas kau balik, Encik Malique ada datang dekat meja kau. Dia ambil semula lah kut file tu,” teka Bella. Memang semalam Malique ada berdiri di meja Ayumi. Tetapi, Bella tidak pasti apa yang lelaki itu lakukan di situ.

“Ye ke? Masalahnya aku tak betulkan apa-apa pun lagi dalam tu. Aduhhh…”

“Urgent file ke?” soal Bella pula.

“Kalau urgent biasa dia bagi tahu siap-siap. Tapi, semalam takda pula dia pesan apa-apa. Ke aku yang tak dengar?” Ayumi cuba mengingat kembali kalau-kalau lelaki itu ada berpesan apa-apa padanya semalam. Tetapi, dia sangat yakin memang Malique hanya menyerahkan dokumen itu tanpa apa-apa pesanan.

Bella terdiam seketika. “Pergilah tanya,” cadang Bella.

“Tanya?” Ayumi mengeluh berat.

Malas sungguh untuk dia menyoal Malique kerana dia tahu lelaki itu akan menjawab pertanyaannya dengan sinis. Bukan mereka tidak kenal perangai Malique. Suka menyindir!

“Aduuhh... takutnya aku nak tanya. Telinga aku ni tak kebal nak dengar sindiran dia,” rungut Ayumi dengan muka yang berkerut risau.

Bella mengekeh ketawa. Kesian melihat sahabatnya itu.

“Aku tunggu dia cakap je lah,” balas Ayumi.

“Kalau kau tak tanya pun nanti dia sindir kau juga,” sengaja Bella mencetuskan rasa tidak selesa di hati Ayumi.

“Aarrgghhh…” Ayumi mencengkam rambutnya. Serabut sungguh dengan masalah yang ada ditambah pula masalah baru.

Mahu atau tidak, terpaksa juga Ayumi melangkah ke bilik Malique untuk bertanyakan tentang dokumen itu.

Dengan hati yang berdebar hebat, pintu bilik lelaki itu diketuk dengan berhati-hati. Beberapa saat dia menunggu Malique bersuara mengizinkan dia masuk.

“Come in!” suara garau itu kedengaran sayup dari dalam bilik. Ayumi tarik nafas dalam-dalam sebelum dia memulas tombol pintu.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik itu, mata Malique merenung tajam padanya membuatkan Ayumi kecut perut. “Apa hal?” soal Malique dengan renungan yang seakan membunuh semangat Ayumi.

“Aaa… File yang… yang encik bagi... pada saya semalam tu… encik dah ambil balik ke? Sebab saya... tak betulkan apa-apa lagi dalam tu,” tersekat-sekat suara Ayumi menjelaskan kehadirannya di situ.

Bukan saja-saja dia nak masuk ke situ kalau bukan bersebab.

Malique tersenyum segaris. “Iya. I dah ambil semula,” jawab Malique bersahaja.

Ayumi terkebil-kebil. Bibir yang terasa kering dibasahkan dengan hujung lidah. “Aaa… Boleh Encik Malique bagi saya semula? Saya betulkan sekarang,” pinta Ayumi dengan sopan.

Malique tidak terus menjawab. Sebaliknya dia merenung Ayumi atas bawah. Tidak lama selepas itu, bibirnya mengukir senyum tanpa sebab. Ayumi mula merasa tidak selesa dengan pandangan lelaki itu terhadapnya.

“Encik Malique…” belum sempat Ayumi meneruskan kata-katanya, Malique bersuara, “Dokumen tu tak urgent. You siapkan yang ni. Urgent. I nak sebelum balik nanti,” satu dokumen dihalakan ke arah Ayumi.

Perlahan kaki Ayumi melangkah menghampiri meja Malique dan dokumen yang ada di tangan lelaki itu, diambil sambil matanya melirik pada muka Malique. Senyuman Malique yang begitu manis membuatkan Ayumi terpempan. Tidak berkedip matanya menatap senyuman lelaki itu. Renungan yang cukup menggoda juga turut menjadi santapan mata Ayumi saat ini. Jantungnya serta merta berdetak kuat.

Saat jari jemarinya bersentuhan dengan Malique, Ayumi merasakan seakan satu perasaan meresap masuk ke dalam tangkai hatinya secara tiba-tiba. Air liur diteguk kasar.

Senyuman Malique masih menghiasi wajah lelaki itu. “Dokumen ni urgent,” gemeresik suara Malique mengulang ayat tadi. Nadanya seakan berbisik lembut ke telinga Ayumi.

Tersentak Ayumi apabila pintu bilik pejabat Malique diterjah seseorang. Serentak mereka memandang pada sosok tubuh yang masuk tanpa kebenaran itu.

“Hai, Malique,” sapa wanita berpakaian ketat dan seksi itu sambil matanya melirik pada Ayumi. Dengan selamba wanita itu menarik kerusi yang ada di hadapan Malique dan dia menghenyak punggungnya di situ.

Terus berubah riak muka Malique seakan tidak selesa dengan kehadiran wanita itu. Ayumi pula lantas mengambil dokumen tersebut seraya berkata, “Aaa… saya keluar dulu,” kata Ayumi dengan sopan.

Malique sekadar mengangguk perlahan. Wajah lelaki itu kelihatan sedikit tegang.

Tanpa menunggu, Ayumi terus berjalan menuju ke pintu keluar dan meninggalkan pasangan itu di situ.

“Kenapa masuk tak ketuk pintu?” soal Malique sedikit keras nadanya. Sungguh dia tidak suka diterjah sebegitu.

“Apa yang you risau sangat kalau I tak ketuk pintu? Takut I nampak you mengurat staff you?” sindir wanita itu dengan senyuman sinis.

Malique merengus kasar. “You nak apa datang sini?” soal Malique mengubah topik perbualan.

“My fiance sibuk. Tak dapat teman I breakfast. Jom teman I. My treat,” balas wanita itu.

“Kayra, I baru masuk office. Lagipun I dah breakfast tadi. Pergi cari orang lain teman you,” selamba sahaja Malique menjawab. Acuh tak acuh gayanya saat ini.

Kayra ketap bibir geram dengan balasan lelaki itu.

“I nak ajak crush you. Lepas tu, I nak bagi tahu yang you selalu skudeng dia,” ugut Kayra dengan riak wajah yang bersungguh-sungguh.

Terhenti kerja Malique. Mata dibawa menatap tepat pada muka Kayra. “You punya perangai ni, kalau tak ugut I tak boleh ke?” marah Malique.

Kayra melepas tawa. Terhibur melihat muka Malique yang menahan marah itu.

“Kalau I ajak orang lain nanti, you mengadu bukan-bukan pada Johan pula. So, kalau you tak nak teman adik you ni pergi breakfast, jangan salahkan I, kalau I ajak your crush and reveal pasal perasaan you pada dia,” Kayra angkat kedua-dua belah keningnya tanda nekad.

Ingat aku tak berani nak cakap dekat perempuan tu? Gerutu Kayra di dalam hati.

Malique serta merta bangun dari duduknya. Telefon bimbit dicapai dan dia berjalan terus ke pintu keluar. “Hurry up. I banyak kerja nak buat hari ni,” tegas Malique.

Kayra tersenyum lebar. Dia ketawa besar di dalam hatinya.

“Alright, brother!” terkedek-kedek Kayra membuntuti Malique dengan sengihan tanpa rasa bersalahnya.

Dia menang lagi. Mudah sahaja mahu mengugut abangnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience