SEBUAH perodua Myvi diparkingkan betul-betul di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Seorang gadis remaja bertudung pink dan berbaju blouse labuh keluar dari kereta. Perlahan dia mengeluh kecil dan tersenyum. Tangan kanannya menekan punat kunci kereta. Dia berjalan mendekati pintu pagar rumah.
“Assalamualaikum.” gadis itu memberi salam. Apabila terdengar seseorang menjawab salamnya, segera gadis itu membuka pintu pagar rumah.
“Awal Intan hari ini?” tegur seorang wanita separuh umur sambil mempelawa Intan masuk ke rumahnya. Mereka bersalaman.
“Biasalah, Mak Esah. Kalau bukan giliran Intan hari ini, alamatnya memang lewatlah kami.” seloroh Intan. Mak Esah hanya tertawa.
“Aisyah dah bangun, Mak Esah?” Soal Intan sambil melihat keliling rumah mencari kelibat teman baiknya itu.
“Tadi ada Mak Esah kejutkan dia. Pergilah Intan tengok dia. Entah-entah berdengkur lagi,” Intan ketawa sambil menggelengkan kepala.
“Biasalah. Kalau turn Intan memang suka dia tu. Intan naik atas dulu ye, Mak Esah,” Intan meminta izin dan terus menaiki tangga ke tingkat atas.
Sampai saja di hadapan bilik tidur Aisyah, Intan terus memulas tombol dan menolak daun pintu. Perlahan dia berightifar apabila dilihatnya Aisyah masih lagi berselimut di atas katil. Intan bergegas mengejutkan Aisyah.
“Syah, bangun Syah. Kita dah lambat ni. Cepatlah pergi mandi!” Intan menggoyangkan tubuh Aisyah berulang-ulang kali sehingga Aisyah terkebil-kebil membuka matanya.
“Awal lagilah, Intan. Sinilah. Baring sebelah. Aku tahu kau mengantuk lagi.” Ujar Aisyah sambil mengengsot memberi ruang untuk Intan baring.
“Eh, tak naklah aku. Cepatlah bangun. Kita dah lambat ni!” Gesa Intan.
“Lambat apanya. Kelas kita pun lambat lagi.” Ngomel Aisyah.
Tiba-tiba alarm telefon bimbit Aisyah yang sengaja diletak di bawah bantal berbunyi. Aisyah mengerling melihat jam di skrin gajet itu. Lapan tiga puluh minit pagi.
“Tengok! Alarm pun dah bunyi. Itu kau kata lambat lagi? Ha, Nak tunggu kau punya bersiap tu, kucing pun boleh bertanduk tahu. Dah, cepat siap! Aku tunggu kau kat bawah.” Bebel Intan.
Aisyah menjeling Intan. Membebel je tahunya. Tanpa banyak bunyi, Intan terus bangun dari katil, mencapai tuala dan segera masuk ke bilik air.
“Ha, tu jeling-jeling tu kutuk akulah tu.” Ngomel Aisyah sendiri.
Intan terlihat buku di atas meja Aisyah. Segera diambil buku itu dan turun ke tingkat bawah menuju ke ruang makan. Mak Esah sedang ralit menyiapkan sarapan untuk anak tunggalnya, Aisyah.
“Tak bangun lagi dia tu?” soal mak Esah sebaik Intan duduk di kerusi makan.
“Baru bangun, Mak Esah. Sedang nak mandi katanya.” ujar Intan. Tangannya rancak membuat gaya orang mandi. Matanya galak melihat juadah yang terhidang di atas meja.
“Hai, bilalah budak ni reti bangun sendiri. Nak harapkan orang saja, umur dah tua 19 tahun tapi perangai budak-budak lagi.” bebel mak Esah. Sikap Aisyah sememangnya terlalu manja.
Mak Esah terus duduk di kerusinya sambil menuang minuman ke dalam cawan. Intan hanya ketawa sambil menikmati teh o panas.
“Intan dah makan? Makanlah mihun goreng ni. Banyak Mak Esah masak. Pakcik kau tu terpaksa keluar awal sebab ada meeting. Tak ada siapa nak habiskan nanti,” pelawa mak Esah.
Intan tersenyum luas. Pucuk dicita ulam mendatang. Memang dia tunggu dipelawa untuk menikmati sarapan itu. Tak malu betul. Hihihi. Persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah lagi membuatkan Intan tidak lagi kekok dengan keluarga Aisyah. Malah, Mak Esah sendiri sudah menganggap Intan macam anak sendiri.
“Terima kasih, Mak esah. Intan tunggu Aisyah makan sekali.”
“Pukul berapa kelas hari ini?” soal Mak Esah.
“Pukul sepuluh Mak Esah.” jawab Intan. Intan mengambil pinggan dan meletakkan mihun goreng di atas pinggan untuknya, Aisyah dan mak Esah.
“Hah, mengumpat!?” sergah Aisyah.
“Mana ada. Kan tak baik mengumpat,” seloroh Intan.
“Macamlah aku tak dengar. Dah jom makan. Lapar ni. Kang lambat pula,” Aisyah terus duduk di sebelah Intan dan menyuap mihun goreng yang tersedia untuknya.
“Kalau lambat pun sebab awak jugak Cik Aisyah oi.” bidas mak Esah.
Terledak ketawa Intan mendengarkannya. Aisyah memandang tajam ke arah Intan dan pantas jari Aisyah mengetam lengan Intan sehingga Intan terjerit kesakitan.
“Padan muka. Gelak lagi.” rajuk Aisyah.
“Ala... Gurau je pun tak boleh ke?”
Intan menjuihkan bibirnya sambil matanya dikebil-kebilkan. Terletus tawa Aisyah sehingga tersembur sisa mihun goreng yang dikunyah. Macam muka itik nak bertelur. Kelat.
Cepat-cepat Mak Esah mengelak mihun goreng yang hampir terkenanya. Dia yang sedang menikmati sarapan terasa ingin marah. Namun, amarahnya tenggelam apabila terpandang gimik muka Intan.
*****
Usai bersarapan, Intan dan Aisyah bergegas ke kolej. Kereta yang dipandu Intan sengaja dibawa sederhana laju. Biar lambat asal selamat. Setiba di kolej, Intan mencari tempat parking untuk meletakkan keretanya.
Di ruang fakulti penuh sesak dengan pelajar-pelajar yang bergegas masuk ke kelas masing-masing, di satu sudut yang lain kelihatan Fakrul, kekasih Aisyah bersama Mira dan Azman, menanti kedatangan Intan dan Aisyah. Rutin biasa sebelum mereka masuk ke kelas.
“Itu dia Panboy dah sampai.” sindir Azman. Bibirnya sengaja tersenyum sinis sambil badannya bersandar di tembok tinggi, berlagak poyo.
Fakrul hanya memandang kosong ke arah dua gadis yang sedang menghampiri mereka itu.
“Apalah kau ni, Man. Tak habis-habis dengan panboy kau tu.” balas Mira yang berdiri di sebelah Azman.
“Betullah. Sorang tu sopan lemah lembut je, sorang lagi tu tomboy macam jantan.” Azman yang tidak mahu mengalah membalas kata-kata Mira.
Mira hanya menjeling sambil menggelengkan kepala.
“Sorry, gang. Kita orang lambat sikit.” ucap Aisyah.
“Hai sayang.” tegur Fakrul kepada Aisyah. Sapaan biasa setiap kali mereka berjumpa. Aisyah hanya membalas sapaan itu dengan senyuman manis.
“Hah Syah. Kau dah print ke?” tanya Mira.
“Ada. Kau jangan risaulah. Selamat dalam beg aku ni ha!”
Beg yang digalas diselongkar untuk mengeluarkan kertas kerja berkumpulan mereka. Semakin lama semakin berkerut muka Aisyah apabila yang dicari tak dijumpa. Tangannya semakin galak menyelongkar.
“Eh, tak adalah. Alamak, macam mana ni? Habislah.”
“Kau jangan main-main, Syah! Aku tak bawa copy ni,”
Mira mengambil alih menyelongkar beg Aisyah. Mana tahu mungkin Aisyah terlepas pandang. TIADA! Aisyah pandang Mira. Mira pandang Aisyah.
“Dah! Ada ni kat aku. Aku tahu sangat Syah ni mesti lupa. Aku nampak atas meja kat bilik kau tadi,” Intan mencelah. Dia mengeluarkan kertas kerja dari dalam beg sandangnya.
“Fuh.. Lega. Kau memang terbaiklah, Intan. Kalau kau tak ambil tadi memang haru kita semua kena buat balik pakai tangan. Tak mampu aku,” Aisyah memeluk bahu Intan. Seraya mereka semua ketawa. Intan menjeling.
Dalam jelingan itu, Intan perasan pada pandangan Fakrul yang sedari tadi asyik memandangnya. Terus jelingannya beralih. Intan mula rasa tak selesa. Dia berdehem.
“Aku masuk dalam dululah. Nak duduk. Lenguh dah kaki tangan aku memandu tadi. Manual pula tu.” Intan berpura mengeluh dan masuk ke dalam kelas.
“Ha, eloklah tu. Aku pun dah penat tunggu panboy yang datang lambat ni ha.” Rungut Azman.
Mira mencubit lengan Azman tanda protes. Azman mengaduh.
“Panboy-panboy pun kawan kau juga! Yang selalu tolong kau time susah tu pun Panboy ni, ha!” bidas Mira.
“Dah! Jangan gaduh. Suka sangat kau orang ni gaduh. Pantang jumpa betullah. Aku kahwinkan kau orang dua baru tahu.” sergah Aisyah.
Amira mencebik. Terus Aisyah menarik lengan Amira dan masuk ke kelas.
“Kau ni pun satulah. Agak-agaklah.” tegur Fakrul.
“Aku gurau je. Bukan buat apa pun. sensitiflah dia orang ni.”
“Sensitif tak sensitif. Nama pun orang perempuan.” jawab Fakrul.
Terletus ketawa keduanya. Serentak mereka masuk ke dalam kelas.
©KaryaSitiNadiahShahron (March, 2021)
Share this novel