Completed
6580
AKU melihat emak yang sedang ligat berperang di dapur. Selepas Harriz berangkat pergi kerja, terus aku memandu ke rumah emak. Hanya emak dan umilah tempat aku bermanja sekarang. Kalau dekat rumah emak atau rumah umi, mesti aku akan dilayan bagai seorang puteri. Satu kerja apa pun mereka tak bagi aku buat. Kalau di rumah, semuanya aku kena buat sendiri. Harriz langsung tak hiraukan aku.
“Saya teringin nak makan sushi,” beritahuku pada Harriz yang sedang menenyeh mata.
“Pergi lah makan. Kenapa bagitau aku?”
“Kan dah malam. Awak tolong la belikan.”
“Jangan harap!”
Pintu biliknya ditutup kasar. Aku terkesima. Kalau suami orang lain mesti sanggup keluar tengah-tengah malam demi memenuhi keinginan isteri yang mengidam. Tapi aku? Air mata yang hampir mengalir aku kesat. Aku tak boleh lemah. Aku kena kuat demi anakku.
Langkah kaki ku halakan ke dapur dan tanganku ligat mencari cara membuat sushi di telefon bimbit. Setelah hampir satu jam aku berhempas-pulas di dapur, sushi yang ku idamkan sedia untuk dimakan.
Aku membuka mata apabila terasa badanku digoncang hebat. Terpisat-pisat aku memandang Harriz yang sudah lengkap berseragam juruterbang.
“Kenapa kau tidur kat sini? Dapur ni bersepah sangat kenapa?”
Aku melihat keadaan dapur. Takde lah bersepah mana pun. Cuma sinki je yang penuh dengan periuk dan pinggan sebab aku tak basuh lagi lepas buat sushi semalam. Sebab letih sangat boleh pulak aku tertidur dekat meja makan.
“Nanti saya kemas. Awak dah nak pergi kerja?”
“Kenapalah kau ni bodoh sangat? Dah aku pakai macam ni mesti lah pergi kerja.”
Jantungku terasa bagai direntap. Pedih dan memilukan. Harriz membuatkan aku terasa sangat kerdil. Aku bangun dan menuju ke bilikku di tingkat atas. Tak ingin aku terus-terusan mendengar kata-katanya yang berbisa. Lagi lama aku di situ, lagi parah jiwaku. Tambah-tambah lagi emosiku sangat tidak stabil sejak berbadan dua. Harriz pula langsung tidak ada tanda-tanda untuk menjaga hatiku.
“Kau jangan nak pengsan pulak bila aku takde. Jangan nak menyusahkan aku!” Laungnya dari dapur. Serta-merta air mataku mengalir laju. Aku sedar kehadiranku dalam hidupnya hanya menyusahkan.
Aroma tom yam yang menusuk hidung membawaku kembali ke alam nyata.
“Nah… Tom yam ni mak buatkan special untuk bakal cucu mak.” Emak meletakkan semangkuk bihun tom yam yang masih berasap di hadapanku.
Aku memandang wajah emak.
“Untuk cucu mak? Bukan untuk anak mak?” tanyaku dengan nada berjauh hati. Melihat emak mengangguk, terus mati seleraku. Aku menolak mangkuk tom yam itu ke tepi. Adakah emak pun dah tak sayangkan aku? Air mataku mengalir setitis demi setitis. Semakin lama semakin laju.
“Kenapa ni Min? La… janganlah ambil hati. Untuk cucu mak tu maksudnya untuk anak mak jugaklah,” pujuk emak sambil mengusap bahuku.
“Jangan lah macam ni sayang. Min nak ke nanti anak Min lahir muka dia macam ni….”
Aku memandang wajah emak yang sedang memasamkan wajahnya. Hatiku rasa tercuit. Pantas aku menggeleng laju. Ibu mana yang mahu anaknya berwajah masam apabila dilahirkan.
“Ha… Macam tu lah anak mak. Dah takmau sedih-sedih, makan ni.”
Emak menyuakan sesudu tom yam ke mulutku. Tanpa berfikir panjang terus aku membuka mulut. Masakan emak memang tip to the top!
“Mak… Lepas ni mak temankan Min pergi check-up ya?” rengekku manja.
Waktu ini sahajalah aku dapat merasa pergi check-up ditemani seseorang.
Selalunya aku hanya pergi sendirian. Takkan aku nak ajak emak temankan aku masa Harriz tak kerja. Nanti apa pulak kata mak.
Emak mengangguk dan tersenyum senang.
Aku memandang wanita yang sarat mengandung itu berjalan keluar dari bilik doktor sambil dipimpin suaminya. Di sebelahku pula, si suami sedang mengusap perut isterinya yang membuncit. Aku jadi cemburu. Cemburu kerana suamiku tidak seperti mereka. Cemburu kerana aku juga inginkan perhatian dan kasih sayang.
“Min janganlah sedih. Harriz tak dapat temankan Min sebab dia pergi kerja. Cari rezeki untuk Min, untuk baby,” ujar emak sambil mengusap perutku penuh kasih.
Aku hanya tersenyum. Emak macam tahu-tahu je apa yang sedang bermain di fikiranku. Kalau Harriz ada pun tak mungkin dia akan temankan aku buat check-up. Kalaulah mak tahu hakikat itu…
HARRIZ mendukung bayi lelaki yang telah selamat dilahirkan dua hari lepas. Walaupun dia tak ada masa aku melahirkan, aku tetap bersyukur kerana dia masih sudi menatap wajah anak yang tidak bersalah itu. Lega hatiku apabila Harriz kelihatan sangat teruja dengan kehadiran anak kami.
“Faez anak papa…” ujar Harriz lalu mencium pipi anak kecil yang masih tidur.
Aku mengerutkan dahi. Betul ke apa aku dengar ni. Faez?
“Siapa Faez?”
“Faez nama baby lah. Aku dah pilihkan. Aku nak nama Faez Imran,” katanya tanpa sedikitpun bertanyakan pendapat aku.
“Tapi saya suka nama Harraz Naufal…”
“Harraz Naufal? Kau nak ke baby ni nanti jadi playboy macam Harraz Naufal tu? Banyak tengok drama lah kau ni.”
Banyak tengok drama? Aku rasa dia yang asyik tengok drama Tundukkan Playboy Itu tu sampai sanggup bukak Tonton sebab nak tengok episod yang dia terlepas. Aku suka nama Harraz Naufal sebab macam senada dengan nama Harriz Nazmi. Harraz Naufal bin Harriz Nazmi, ha kan sedap tu.
“Faez Imran, bangunlah main dengan papa ni. Asyik tidur je…” Dia mencubit-cubit pipi anak kecil itu.
Aku senang melihat penerimaanya. Tak kisahlah Harraz Naufal ke Faez Imran ke, yang penting Harriz Nazmi bahagia! Dari reaksinya aku tahu Harriz akan menjadi seorang ayah yang baik buat Faez. Dan aku harap semoga dengan kehadiran Faez dalam hidup kami Harriz dapat menerima aku sebagai isterinya.
Share this novel