Series
1536
Dahlia terduduk kaku di birai katil. Jari-jemarinya yang sedikit tergetar masih menggenggam kemas pinggir folder kulit hitam itu. Helaian kertas bernilai jutaan ringgit di tangannya kini terasa begitu berat. Seberat beban kenyataan yang baru sahaja menghimpit bahunya.
Mata di sebalik bingkai cermin matanya dipejam rapat-rapat. Dia menarik nafas panjang, membuang bauan woody-spicy milik Zayn yang seakan-akan masih melekat pada ruang nafasnya.
'Cagaran? Sanggup boss buat saya macam ni?' Hatinya meletus dengan pelbagai soalan yang tiada jawapan.
Majikan yang selama ini disanjung rupa-rupanya hanya menjadikan bakat dan titik peluhnya sebagai cagaran untuk menutup ketamakan sendiri.
Dahlia membetulkan letak cermin matanya yang melorot. Setelah selesa, dia mendongak kembali memandang sekeliling kamar tidur elit itu. Lampu warm dim yang membiaskan cahaya keemasan pada dinding plaster bercorak moden, tilam king size yang begitu empuk serta perabot premium yang tersusun kemas. Di mata dia semuanya tidak lagi kelihatan indah tetapi sebuah sangkar.
"Tak... aku tak boleh mengalah macam ni," bisik Dahlia pada diri sendiri, perlahan namun sarat dengan tekad.
Dia tidak boleh membiarkan maruah dan kerjayanya digadai sebegitu mudah. Jika Zayn Iskandar mahukan pematuhan, dia akan berikan pematuhan yang berstrategi. Jika lelaki itu mahukan kecekapan, dia akan tunjukkan sejauh mana kecekapan seorang Nur Dahlia.
Dengan azam yang baru, Dahlia bingkas bangun dari birai katil. Dia meletakkan folder hitam di atas meja kerja yang terletak di sudut bilik. Di situ, sebuah iPad pro bertatah cemerlang sudah pun sedia terpasang, memaparkan ratusan fail kewangan dan dokumen transaksi Chin's Sdn Bhd yang telah dimuat naik.
Dahlia menarik kerusi ergonomik di hadapan meja kerja tersebut lalu duduk. Dia mengambil clipboard miliknya dan pen yang terselit di poket kemeja. Cermin mata ditolak rapat ke pangkal hidung.
Anak matanya mula meneliti skrin iPad dan helaian dokumen hitam itu secara serentak. Abjad demi abjad. Angka demi angka. Transaksi demi transaksi. Sebagai seorang pereka dalaman yang terbiasa dengan ketelitian saiz ukuran hingga ke milimeter, mata Dahlia cukup tajam untuk mengesan kejanggalan dalam nombor.
"Kalau klausa 14.3 ni diluluskan atas dasar dokumen penipuan akaun... perikatan contract ni boleh dibatalkan," gumamnya ringkas sambil jarinya lincah mencatat beberapa kod transaksi dan tarikh penting di atas kertas kerja.
Malam semakin larut. Di dalam kamar mewah yang terasing dari dunia luar itu, Dahlia mula bertarung dengan masa. Dia perlu membuktikan kewujudannya di situ bukan sekadar catur yang boleh digerakkan sesuka hati oleh Zayn Iskandar tetapi pemain yang mampu mengubah jalan permainan.
Bunyi papan kekunci maya pada skrin iPad Pro menghempas kesunyian malam. Jari-jemari Dahlia bergerak pantas, berselang-seli antara paparan skrin dan catatannya pada clipboard. Setiap kali pennya menggores kertas, satu demi satu titik gelap skandal kewangan syarikat mula terbentuk secara jelas.
Zayn Iskandar mungkin seorang ahli perniagaan yang genius tetapi lelaki itu terlalu angkuh. Zayn terlepas pandang satu perkara penting iaitu seorang pereka dalaman bukan sekadar melukis ruang yang indah tetapi dilatih untuk membaca struktur, mengesan kecondongan dan mencari kelemahan yang terselindung di sebalik binaangah.
Dan dokumen Chin’s Sdn Bhd ini mempunyai terlalu banyak retak menanti masa untuk runtuh.
"Lapan ratus ribu ringgit ditransaksikan ke akaun luar negara atas nama bayaran material flooring premium..." Dahlia bergumam sendiri. Kelopak matanya mengecil di sebalik cermin mata.
"Tapi kod pembekal ni guna invois syarikat hantu."
Bibirnya tersenyum nipis, senyuman penuh kejituan yang bersalut kepahitan. Zayn ingat dengan memenjarakannya di kamar mewah ini dan meletakkannya sebagai cagaran, Dahlia akan menangis teresak-esak merayu simpati?
Tidak sama sekali.
Jari Dahlia menolak cermin mata yang kembali melorot ke pangkal hidung. Dia menyilang maklumat antara dokumen fizikal di dalam folder hitam dengan fail digital pada skrin. Penanda warna merah pada catatannya semakin memanjang. Dia tidak hanya menjumpai penipuan akaun tetapi juga klausa tersembunyi yang direka khas untuk menjatuhkan seluruh beban perundangan ke atas bahunya jika projek gabungan ini gagal.
"Zayn..." bisik Dahlia, nada suaranya tenang namun sarat ketegasan.
"Awak tersalah pilih lawan."
Pintu bilik tidur tiba-tiba berbunyi. Detakan solenoid kunci elektronik yang terbuka.
Dahlia tidak terkejut. Dia langsung tidak berpaling. Tubuhnya kekal tegak di kerusi ergonomik, jari masih meliuk-liuk menulis kod transaksi terakhir pada kertas kerja. Bauan woody-spicy yang biasa menyapu deria hidungnya serta-merta memenuhi ruang pintu, membawa bersama aura dingin yang amat dikenali.
Bunyi derapan langkah berfokus mendekati meja kerja. Zayn berdiri tidak jauh di belakang kerusinya, memeluk tubuh dengan lengan kemeja hitam yang disingsing hingga ke siku. Pandangan mata helang lelaki itu tajam merenung ke arah susunan dokumen dan susun atur kerja Dahlia yang terlalu kemas untuk seorang 'banduan'.
"Kau patut tidur, Dahlia," suara husky serta seksi Zayn Iskandar si kacak itu memecah keheningan yang Nur Dahlia ciptakan.
"Bukan buat kerja gila tengah-tiga pagi."
Dahlia meletakkan pen di atas clipboard dengan ketukan berimpak. Dia berpusing perlahan, mendongak memandang lelaki yang memegang kawalan ke atas kebebasannya ketika ini. Tiada lagi riak gentar atau mata berair. Hanya ada sepasang mata yang dingin dan tajam di sebalik bingkai cermin matanya.
"Kerja gila?" Dahlia bersuara lembut, tetapi setiap kata dituturkan dengan penuh disiplin.
"Bukan ke Encik Zayn yang serahkan dokumen ni pada saya? Awak mahukan saya patuh, kan? Jadi saya cuma buat apa yang seorang pekerja cekap patut buat."
Zayn melangkah setapak ke hadapan, tunduk sedikit menongkat kedua-dua belah tangan pada penjuru meja, memenjarakan ruang pandang Dahlia.
"Kau ingat kau boleh cari jalan keluar dari kontrak ni dengan analisis budak sekolah kau tu?"
Dahlia tidak beranjak walaupun seinci. Dia menarik fail hitam itu, membaliknya tepat ke muka surat 14 dan menunjuk pada garisan perenggan ketiga dengan tajam.
"Ini bukan analisis budak sekolah, Encik Zayn. Ini klausa 14.3," kata Dahlia tenang tanpa sedikit pun getaran.
"Kalau dokumen penipuan akaun dari Chin's Sdn Bhd ni dibawa ke lembaga pengarah esok pagi bukan saja perikatan contract ni batal serta-merta tapi nama Zayn Iskandar sendiri akan dimasukkan dalam senarai hitam pengubahan wang haram."
Anak mata Zayn membesar seraut cuma. Riak angkuh pada wajah cakar itu terhenti seketika. Dahlia menyandarkan badan ke kerusi, menyilangkan tangan di dada sambil membetulkan posisi cermin matanya.
"Saya mungkin cagaran awak malam ni," sambung Dahlia sambil menatap terus ke dalam anak mata Zayn yang mula bergelora. Zayn juga membalas tetapi lebih kepada pergerakan bibir basah itu.
Zayn tidak beranjak walaupun sedikit. Sebaliknya, senyuman senget yang penuh rahsia mula terbit di ulas bibirnya. Pandangan matanya bertukar menjadi satu renungan mengancam.
Lelaki itu menegakkan tubuh tetapi pandangannya langsung tidak terlepas daripada anak mata Dahlia. Jemari Zayn bergerak perlahan ke leher kemeja hitamnya, merungkai butang teratas sebelum melipat kemeja hingga ke siku. Setiap gerakannya diatur penuh kawalan, sengaja menunjukkan kekuasaan mutlak yang dipegangnya di dalam bilik itu.
"Klausa 14.3..." Zayn bergumam rendah.
Dia merapat dan terus melingkari kerusi ergonomik yang diduduki Dahlia. Haba tubuhnya mula memindahi belakang bahu Dahlia, disulami keharuman woody-spicy yang semakin menyesakkan dada. Zayn membongkokkan badan, mendakap kedua-dua pemegang kerusi dengan tangannya, memenjarakan Dahlia sepenuhnya di situ.
Dahlia serta-merta kejung. Jantungnya berdegup begitu kencang sehingga dadanya terasa sakit. Nafasnya tersekat di kerongkong kerana dia kini terperangkap dengan susuk fizikal Zayn Iskandar.
"Kau ingat kau tengah lawan aku, Dahlia?" bisik Zayn lembut, betul-betul di tepi telinganya. Hawa nafas hangat yang menyapu leher membuatkan bulu roma Dahlia meremang.
"Kau ingat, aku ni kejam sangat ke hanya kerana mengambil kau bekerja dekat sini?" bisik Zayn sambil perlahan-lahan memutar kerusi ergonomik supaya Dahlia kembali menghadapnya.
Dahlia mencengkam tepi meja. Apabila kerusi berhenti bertentangan dengan Zayn, lelaki itu melutut sebelah kaki di hadapan kerusi Dahlia. Kedudukan itu membuatkan paras mata mereka sejajar tetapi aura dominan Zayn masih mengatasi ruang udara di antara mereka.
Tangan Zayn naik menyentuh tepi bingkai cermin mata Dahlia, membetulkan posisinya yang sedikit melorot dengan kearifan yang penuh kepura-puraan. Hujung jarinya menyapu lembut kulit pipi Dahlia untuk sesaat, cukup untuk membuatkan Dahlia menahan nafas akibat gelombang cemas yang menyerang.
"Kau bijak, Dahlia. Sangat bijak," kata Zayn dengan nada suara yang begitu tenang.
Zayn memegang pula kedua-dua belah penyandar kerusi Dahlia, merapatkan jarak wajah mereka sehingga Dahlia dapat melihat pantulan wajahnya sendiri yang pucat di dalam anak mata coklat pekat milik lelaki itu.
"Dokumen yang kau pegang tu... aku yang sengaja biarkan kau jumpa. Sebab aku tahu hanya kau seorang yang cukup teliti untuk kesan permainan Chin's Sdn Bhd," sambung Zayn cuba bermain emosi.
"Aku tak jadikan kau cagaran untuk hapuskan kau, Dahlia. Aku letak kau dekat sini untuk lindungi kau... dan untuk uji sejauh mana kau boleh berdiri di belakang aku."
Dahlia terbeliak. Kata-kata itu menusuk halus ke dalam mindanya, mencetuskan rasa keliru yang amat sangat. Antara rasa terancam dan rasa terhutang budi, dadanya berombak kencang menahan gelora emosi yang menghimpit.
"Jadi, jangan berlagak seolah-olah kau dah perangkap aku," kata Zayn sambil berdiri tegak semula seraya memandang Dahlia dari atas.
Share this novel