BAB 2

Romance Series 3989

MADISON HOUSE

"Berapa lama lagi kita kena tunggu?" Soal Aileen sambil menilik beberapa helai kertas di dalam fail hitam. Sekali sekala kepalanya akan terangkat memandang ke arah pintu masuk, menantikan kehadiran seseorang yang sepatutnya tiba sejak 30 minit yang lepas.

"Akak dah call dia. Katanya jalan jem."

Geli hati mendengar alasan yang diberikan. Jalan jem apa pada jam 10 pagi. Ini bukan tengah bandar. "Akak nak tahu tak, dia memang tak pandai karang alasan yang lebih baik."

Qasrina membulatkan mata. Lengan Aileen dicubit lembut, tidak menyenangi gurauan yang dibuat gadis itu. Tetapi dalam masa yang sama dia juga mengakui apa yang dikatakan Aileen. Sememangnya 'Encik Mateen' iaitu klien yang akan mereka temui tidak bijak mengarang alasan.

Mahu buat bagaimana, Encik Mateen adalah individu yang penting bagi syarikat. Lama macam mana pun, perlu juga tunggu dengan penuh 'sabar'.

"Aduh, gelak banyak sangat ni. Aileen nak pergi tandas dulu." Ujar Aileen dengan ketawa yang bersisa.

"Itulah, mengutuk orang lagi."

"Itu bukan mengutuk akak, itu fakta..."

"Aip, pergi tandas cepat. Sampai pulak Encik Mateen karang."

"Akak jangan cuba mengorat dia pulak."

"Eh ehhh, macam tahu-tahu je ni."

Sebelum tangan Qasrina berlabuh pada tubuh Aileen, dia terlebih dahulu melarikan diri menuju ke tandas. Usai menyelesaikan hajat, tangan dicuci pada sinki. Dioleskan sedikit lip balm pada bibir supaya tidak kelihatan kering.

Okay, dah lawa macam retis!

Berpuas hati dengan penampilannya, Aileen menapak keluar. Sedang membetulkan jam tangan yang terlilit di pergelangan tangan, secara tidak sengaja dia telah melanggar seseorang.

Dahi yang terasa sengal digosok-gosok. Lalu badan ditundukkan sedikit memohon kemaafan. "Maaf, maaf,”

Jeda.

Mata tertancap pada kasut kulit yang dipakai 'manusia' yang dilanggarnya. Beberapa saat selepas permintaan maafnya, kaki 'manusia' itu bergerak pergi.

Terus badannya tegak dan kaku. Hanya kelopak mata yang berkelip-kelip.

Ada lagi manusia sombong tahap gaban pada zaman sekarang? Sukar sangatkah mahu berkata 'tak apa' atau mungkin sekalipun ada emas di dalam mulut, hanya perlu mengelurkan dua huruf sahaja.

'O' 'K'

Telefon bimbitnya yang berada di dalam handbag berdering. Tertera nama 'Kak Qaisara' di permukaan skrin. Butang hijau diseret ke tepi.

"Ya akak,”

"Okay, Aileen datang sekarang."

Sebelum Aileen mengatur langkah, sempat kepalanya berpaling ke belakang. Mencari figura manusia yang dilanggarnya sebentar tadi. Namun sudah tidak kelihatan. Tidak mahu membuang masa, tergesa-gesa Aileen pergi.

Dari jauh lagi sudah kelihatan seorang lelaki yang memakai t-shirt berkolar bewarna maroon sedang bergaul dengan Qaisara. Mungkinkah itu Encik Mateen?

'Maafkan kesalahan saya,’

Permohonan maaf daripada Qaisara membuatkan dahi Aileen berkerut halus. Sebelah keningnya terangkat. Wajah Qaisara dipandang meminta penjelasan namun wanita itu hanya menatap lantai. Persis seorang pesalah.

"Ada apa akak?" Soalnya dengan rasa ingin tahu.

Qaisara menggeleng perlahan, menegah Aileen daripada bersuara atau bertanya soalan ketika ini. Aileen yang tidak faham dengan isyarat yang diberikan, terus mengajukan pertanyaan.

"Kenapa akak minta maaf?" Kepala dipalingkan ke sebelah kanan, arah lelaki yang dianggap Encik Mateen. "Kenapa kita kena minta maaf dekat dia? Dia yang datang lambat. Dia sepatutnya kena minta maaf dekat kita."

Qaisara menggigit bibir. Lengan Aileen dipegang dan ditarik supaya gadis itu menghampirinya.

"Kenapa encik datang lambat? Tahu tak kami dah tunggu hampir sejam. Dalam masa sejam, banyak lagi kerja yang boleh diselesaikan." Serang Aileen menghamburkan rasa marah dan kesal. Manusia macam Encik Mateen memang tidak layak menerima permintaan maaf. Tak bertanggungjawab!

"Nama you siapa?" Lelaki yang mendiamkan diri sejak tadi akhirnya bersuara. Kedua tangan disilangkan ke dada.

Ewah, ewah... Ingat dia je ke boleh buat macam tu. Aku pun bolehlah.

Aileen tidak mahu kalah. Dia turut melakukan gaya yang sama seperti 'Encik Mateen'. Berpeluk tubuh. Sengaja kepala diangkat sedikit seolah-olah sedang mencabar lelaki itu.

Kite pun reti!

Atas bawah, atas bawah tubuh lelaki itu diperhatikan. Hmm, awek muda jugak ‘Encik Mateen’ ni. Kata kak Qaisara, umurnya dan mencecah 50 tahun. Tapi ini macam 30 tahun.

Dari segi penampilan pun boleh dikatakan ‘not bad’ walaupun sedikit kuno kuno gitu. Tak apalah kalau dia minat style kuno. Tak menyusahkan mana-mana pihak.

Kepala yang hampir tiada rambut, mata yang sedikit bulat, ada tahi lalat kecil sebelah hidung, dan bibir yang sedikit gelap warnanya.

Perokok.

Tak baik untuk kesihatan.

"Aileen, sudah... itu bukan—"

"Nama you?"

"Aileen. Aileen Wafa binti Muhammad Taufiq, bin Muhammad Abduh, bin Sulaiman, bin—"

Sudah, lepas bin Sulaiman bin apa ye?

Taufiq, Abduh, Sulaiman, Ha—

Harun?

Hassan?

"I akan ingat you." Ujar lelaki itu seraya mematikan lamunan Aileen. Tanpa berpamitan, dia mengangkat kaki meninggalkan cafe.

Qaisara terduduk lemah di kerusi dengan wajah lesu. Pandangan di hadapannya putih dan gelap.

Tamatlah riwayat mereka selepas ini...

"Amacam akak? Hebat tak Aileen?" Aileen mendabik dada, bangga kerana berjaya berperang mulut dengan orang tidak bertanggungjawab seperti Encik Mateen.

Perlahan-lahan Qaisara menganggukkan kepala. "Hebat. Hebat sangat Aileen."

"Hehehe, Aileen tahu. Orang macam dia memang kena cuci otak sekali sekala."

"Eh tapikan akak, kenapa Encik Mateen itu semacam je tengok?"

"Nama penuh dia apa akak? Aileen nak cari sampai fb dia sampai jumpak."

"Aidil Lukman."

Aidil Lukman? Aik...

"Aileen tanya yang lelaki tadi tu akak. Akak bagitahu nama bos kita kenapa. Hahaha."

Qaisara berdiri dan menatap lama wajah Aileen. Bahu gadis itu dipegang lalu ditepuk-tepuk. "Itulah bos kita yang jarang nampakkan muka. Sibuk mengalahkan menteri. Aidil Lukman bin Kamal Affendi. Bukan Mateen."

"Bos awak Aileen."

Handbag dicapai Qaisara sebelum melangkah pergi. Aileen masih terpinga-pinga sendiri. Tercengang, terkedu, terpempean, terkejut.

Aku salah dengar ke tadi? Atau aku tengah mimpi?

“Akak, apa maksud akak?!”

KEYBOARD laptop ditekan-tekan tanpa henti. Diharapkan segala kekhuatiran akan menghilang dan lesap dari fikirannya. Namun begitu, kejadian siang tadi semakin jelas segar bermain-main di kepala. Seakan-akan memberi tanda bahasa esok dia akan mendapat e-mail daripada syarikat.

Tak mungkin Encik Aidil akan melepaskannya begitu sahaja. Lelaki itu pasti akan menyimpan dendam atas sikap kurang ajar yang ditunjukkan.

Tapi bukan salah aku. Kenapa dia tak perkenalkan diri dia sebegai Encik Aidil, bukannya Encik Mateen? Cuma salah faham.

Ha, yaa yaa… betul tu.

Kepala yang terasa berpusing dipegang dengan kedua-dua tangan lalu tangan dipakukan ke atas meja. Laptop yang masih bercahaya dipandang kosong. Nafas dihela berat.

Argh, stressnya hidup.

Telefon bimbit jenis Samsung yang berada di sebelah laptop berdering tiba-tiba seraya mengalihkan perhatian Aileen.

011-24633***

Siapa pula yang menelefon pada lewat malam sebegini? Kak Qaisara tukar nombor baru? Atau—

Encik Aidil?

Jangan mengarut Aileen. Takkan Encik Aidil nak telefon kau tengah-tengah malam. Mahu mengamuk bini dia dekat rumah kalau tahu dia telefon perempuan lain.

Belum sempat panggilan tersebut dijawab, panggilan itu sudah mati terlebih dahulu. Beberapa saat kemudian, telefon bimbitnya kembali menjerit meminta diangkat.

Tombol hijau diseret ke tepi. Ikon pembesar suara ditekan dan telefon bimbitnya diletakkan di sebelah laptop yang sedang terpasang.

Beberapa helai kertas laporan diperhatikannya sementara menantikan si pemanggil bersuara terlebih dahulu.

'Selamat malam, maaf menggangu. Boleh saya bercakap dengan Cik Aileen Wafa?'

Kening Aileen terangkat. Suara asing di corong panggilan menadatangkan tanda tanya. Mengapa pula mencarinya pada tengah malam sebegini? Sekalipun ada perkara penting, bukankah boleh menghubungi pada esok hari.

'Hello?'

"Saya Aileen Wafa. Boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap?"

'Saya Puan Haslinda. Pemilik rumah di Lalalic Hill. Beberapa hari lalu saya ada menerima mesej daripada cik yang bertanya tentang bilik sewa. Kebetulan ada satu kekosongan bilik pada masa sekarang. Jadi, saya nak minta kepastian jika cik masih berminat untuk mencari bilik sewa?'

Bilik sewa? Lalalic Hill? Bukan haritu katanya dah penuh?

"Tetapi haritu saya ada mesej katanya dah penuh." Luah Aileen penuh kecurigaan.

Kedengara ketawa halus dari corong telefon. 'Maafkan saya Cik Aileen. Haritu memang dah penuh. Tetapi baru semalam ada seorang penyewa dah keluar.'

Huh?

'Jadi, bagaimana? Cik Aileen masih berminat? Kalau cik masih berminat, esok kita boleh berjumpa. Saya akan jelaskan secara lebih detail.'

Aileen diam tidak bersuara. Tidak tahu mahu mempercayai atau tidak. Scammer pada zaman sekarang sudah berleluasa.

"Baik."

'Saya akan kirimkan alamat pada Cik Aileen. Selamat malam.'

Usai panggilan dimatikan, lantas aplikasi google dibuka. Perkataan 'Lililac Hill' ditaip laju.

Matanya membuntang dan tidak berkedip. Air liur ditelan payah.

PUAN Haslinda merapikan kertas berisi maklumat tentang Lililac Hill. Lalu mesej ringkas dihantar pada seseorang melalui aplikasi whatsapp mengatakan bahawa semuanya berjalan dengan baik.

"Puan Haslinda?"

Spontan kepalanya terangkat memandang ke hadapan. Seorang gadis yang bertudung litup direnung atas bawah. Serta merta bibirnya menarik senyum manis.

"Cik Aileen?"

Aileen mengangguk kepala, mengiyakan.

"Sila duduk."

Kerusi di hadapan Puan Haslinda ditarik, lalu punggung dilabuhkan di atasnya.

"Saya perkenalkan diri terlebih dahulu. Saya Puan Haslinda, pemilik rumah di Lililac Hill nombor A-176." Puan Haslinda memulakan kata-kata aluan. Fail hitam yang dibawanya diletakkan di hadapan Aileen serta dibuka.

"Beberapa hari yang lalu, saya dimaklumkan bahawa Cik Aileen sedang mencari bilik sewa. Kebetulan pada semalam, seorang penyewa di A-176 telah keluar. Jadi ada satu kekosongan. Jadi, saya nak membuka tawaran pada Cik Aileen jika Cik Aileen berminat."

Mulut Aileen sedikit memuncung ke hadapan, mengangumi penjelasan daripada Puan Haslinda. Tidak menyangka bahawa perihal tentangnya yang mencari bilik sewa telah menyebar. Seingatnya dia hanya pernah mesej beberapa orang pemilik rumah sewa sahaja.

Demi menjaga hati dan menghormati Puan Haslinda, helaian kertas di dalam fail diselak-selaknya. Sekadar mahu melihat rupa rumah di 'Lililac Hill'. Setelah mencari tahu melalui google pada malam semalam, niatnya untuk menyewa di Lililac Hill telah terkubur.

Bagaimana seorang yang hanya mempunyai pekerjaan kecil sepertinya mampu menyewa di 'Lililac Hill' iaitu sebuah kondominium mewah?
Gaji sebulan sahaja sudah cukup-cukup makan sahaja.

"Sebuah rumah ada 3 orang penyewa. Dan sekarang hanya tinggal dua orang penyewa. Mereka berdua juga sama seperti Cik Aileen, sedang bekerja. Saya jamin mereka akan memberikan kerjasama."

Hanya senyuman mampu diukirkan sebagai balasan. Gambar yang disediakan sememangnya menarik perhatian. Tipulah cakap jika tidak berminat.

Susun atur perabot sangat menarik, begitu juga hiasan di dalamnya. Yang paling penting luas dan juga bersih.

Sangat sepadan dengan harga yang bakal ditawarkan. Mungkin mencecah 2k? atau 3k? atau 4k?

"Macam ni Puan Haslinda, sebenarnya saya--"

"Soal bayaran sewa," Pintas Puan Haslinda sebelum Aileen sempat menghabiskan kata-katanya. Helaian kertas dibuka paling belakang yang mana tertera pada kertas putih A4 itu berkaitan bayaran sewa per bulan.

"Bayaran sewa hanya dipungut sebanyak 800 ringgit setiap bulan. Termasuk bil api dan air. Semua ruang dan barang di dalam rumah boleh digunakan penyewa. Kontrak hanya selama tiga bulan. Setelah tiga bulan, penyewa boleh buat keputusan untuk keluar atau tetap menyewa."

Mata Aileen membulat, mulut sedikit ternganga tidak percaya dengan apa yang diberitahu.

800?

Rumah sebagus ini hanya 800 sebulan? Termasuk bil api dan air?

"Ada beberapa kemudahan jika Cik Aileen bersetuju untuk menyewa. Untuk wang pendahuluan, harganya lebih daripada wang bulanan sewa. Rm 1400. Harga ini termasuk dengan sewa pada bulan yang pertama sahaja. Sekiranya berlaku perlanggaran kontrak, penyewa hanya perlu membayar separuh harga. Segala barang keperluan hanya perlu dimaklumkan kemudian pihak kami akan berusaha untuk menyediakannya. Begitu juga jika ada sebarang kerosakan. Para penyewa tidak perlu risau akan hal ini. Rumah dijamin selamat dan bersih." Jelas Puan Haslinda lagi cuba meyakinkan gadis muda itu.

"Macam ini puan, saya bukan tak percayakan puan tetapi..." Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Mencari ayat yang sesuai untuk dinyatakan. "Tetapi... harganya agak tidak masuk akal kan," Aileen menayangkan sebaris gigi putih bersihnya.

"Saya tahu kamu takkan percaya. Kamu boleh baca kontrak terlebih dahulu. Kemudian baru beri keputusan kepada saya. Sebaiknya kamu berfikir dengan tenang. Alasan saya menyewakan bilik dengan harga yang agak rendah daripada penyewa lain bukanlah kerana ada niat yang buruk. Tetapi hanya mahu membantu gadis-gadis seperti awak. Kalau awak masih ragu-ragu, di belakang helaian kontrak tersebut ada dua orang nombor penyewa bilik. Awak boleh buat panggilan untuk memastikan kebenaran kata-kata saya."

Isi kontrak dibaca dan dihadam sebaiknya. Jika tadi kata-kata Puan Haslinda agak membingungkan, namun isi kontrak lebih jelas dan syarat-syaratnya lebih terperinci. Disertakan juga beberapa feedback daripada beberapa orang para penyewa. Mungkin sudah tahu bahawa akan muncul
masalah seperti ini.

Bukanlah dia mahu mengatakan bahawa Puan Haslinda adalah seorang penipu, tetapi lebih berhati-hati. Zaman kini lebih bahaya dan perlu berwaspada. Lagipula jika dilihat daripada wajah dan tindak tanduk Puan Haslinda, sepertinya jauh sekali daripada seorang yang berniat buruk.

"Kalau kamu tidak berminat, saya akan buka tawaran ini pada orang lain. Sebab ada beberapa orang baru mesej saya tanya tentang bilik sewa ni."

Gelabah dibuatnya Aileen. Walaupun dia tahu itu hanyalah taktik yang digunakan Puan Haslinda supaya dia menerima tawaran tersebut. Tetapi jika benar apa yang dikatakan Puan Haslinda, dia juga yang akan berputih mata pada akhirnya.

Di mana lagi boleh mencari rumah atau bilik sewa pada sekarang ini. Semua yang pernah ditanya, hanya satu jawapan yang diterima.

'Penuh'

Jika ada sekalipun, harga yang ditawarkan agak tinggi seperti tiga bulan makan. Mahu botak hujung tahun. Mahu menerima tawaran ini, hati pula menghalang. Firasatnya kuat mengatakan bahawa rumah tersebut memiliki sejarah yang tersendiri sehinggakan harga disewakan sangat rendah. Mungkin seperti di dalam filem yang mana--

Tiba-tiba sahaja suasana bertukar seram sejuk. Bulu romanya menegak.

Tidak masuk akal.

Bunyi deringan telefon bimbit menyentakkan Aileen. Terbang habis lamunannya dibawa udara.

Puan Haslinda mengerling Aileen sekilas sebelum telefon bimbit dilekapkan pada telinga.

"Ya ya. Betul. Saya Puan Haslinda."

"Setakat ini masih ada kekosongan satu bilik."

Bebola mata Aileen melekat pada Puan Haslinda. Perbicaraan wanita itu dengan seseorang didengar dengan teliti.

"Macam ni, kalau penyewa itu tak jadi tanda tangan kontrak saya akan hubungi awak semula. Lepastu baru tengok rumah."

"Ya, betul."

"Apa-apa saya maklumkan pada awak semula."

Setelah mematikan panggilan, pandangan Puan Haslinda tertumpu pada Aileen semula. Senyuman 'penuh makna' diukir. "Macam mana Cik Aileen? Dah ada keputusan?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience