BAB 3

Romance Series 158688

SEPANJANG jalan, Eliza hanya membisu. Tiada lagi aduan-aduan tentang lampu rosak, aircond tak servis, sinki tersumbat, air panas tak berfungsi, dan segala macam masalah yang dihadapi sepanjang ketiadaan Luthfi. Terbang segala keterujaannya mahu bertemu Luthfi dek kemunculan Sofea dan Eshal.

“Za, awak ada masak tak?” Luthfi bersuara memecah keheningan.

“Ada.” Eliza menjawab sepatah tanpa menoleh.

“Masak apa?”

“Nasi ayam.”

“Nasi abang takde?” Luthfi berseloroh. Namun dibalas sendu. Tiada tawa untuk sekadar meraikan lawak bodohnya.

“Lampu-lampu kat rumah semua okey? Ada yang kena tukar?” tanyanya. Terus berusaha untuk mencairkan suasana.

“Takde.”

“Sinki okey? Tak tersumbat?”

“Tak.”

“Suis air panas, okey? Ada rosak kat mana-mana?”

“Takde.”

“Atap rumah semua okey? Ada yang bocor?”

“Takde.”

“Hari tu ribut kuat hari tu, bumbung rumah kita tak terbang?”

“Tak!” Eliza mula jengkel. Garang wajahnya memandang Luthfi. Belum habis lagi marah dan bengang. “Ribut ke, taufan ke, puting beliung ke, gempa bumi ke, tsunami ke, bumbung rumah tu elok je. Kalau babi sondol je bumbung tu boleh tercabut.”

“Nanti abang letak patung harimau depan rumah, biar babi takut nak masuk.”

“Babi sekarang cerdik. Setakat letak patung, dia tak heran.”

“Dah tu nak letak apa? Letak Iza jelah.” Luthfi terkekeh. Namun kekehannya mati apabila lagi-lagi lawak bodohnya tidak mendapat sambutan.

“Za…janganlah macam ni…Dah lebih dua bulan kita tak jumpa. Dah jumpa, takkan kita nak masam-masam muka macam ni.”

Eliza diam. Mula rasa bersalah mendengar suara Luthfi yang lembut memujuk. Mungkin benar Luthfi tidak bersalah. Hanya saja lelaki itu terlanjur berkongsi terlalu banyak info dengan Eshal dan Sofea membuat timbulnya salah faham.

“Abang tak rasa ke, Sofea sengaja bawak Eshal jemput abang kat airport hari ni?”

Luthfi diam. Dia juga rasa begitu namun dia malas terlalu memikirkannya. Otaknya lebih sibuk memikirkan cara untuk memujuk Eliza.

“Budak kecik macam Eshal mana tahu nak jemput kat airport ke apa ke kalau bukan mak dia yang sibuk nak datang.”

Luthfi masih diam. Membiarkan Eliza meluahkan semua yang mendekam di hati.

“Apa niat dia buat macam tu kalau bukan sebab nak tengok kita bergaduh? Kalau Iza tak ada tadi, apa yang abang nak buat? Ikut dia atau terus balik?”

“Terus balik.” Yakin Luthfi menjawab. Bukan membela diri, bukan juga sekadar mengambil hati. Dia benar-benar memaksudkannya. Orang pertama yang dia mahu temui sebaik sahaja pulang ke Malaysia ialah Eliza. Meskipun sudah 8 tahun usia pernikahan mereka, tetapi perasaan rindu itu tetap sama seperti awal perkahwinan setiap kali dia harus keluar negara atau bertugas di pelantar.

“Yalah tu.”

“Iya…”

Eliza malas menjawab. Bimbang akan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung Luthfi. Walaupun marah, dia tidak mahu lancang sehingga menggores hati suaminya.

“Apa yang bau hangit ni Za?”

“Bau abanglah!” balas Eliza ketus.

Luthfi terkekeh. “Takkanlah. Dua hari abang sental badan sebelum balik sini. Takkan hangit lagi.”

Eliza diam. Malas melayan gurauan Luthfi. Dah hilang mood!

“Betul ni Za. Ada bau hangit ni.” Luthfi memberi isyarat ke tepi.

Eliza mula berkerut bimbang. “Baru je hari tu abah bawak pergi servis. Apa pulak yang tak kena?”

“Panas kut,” balas Luthfi sambil memberhentikan kereta di bahu jalan.
“Cepat keluar, Za. Nampak macam nak meletup dah tu.”

Luthfi lekas membuka pintu kereta lalu keluar. Tingkahnya itu membuat Eliza cemas lantas ikut keluar.

“Tak berasap pun,” ujar Eliza apabila tidak melihat kepulan asap dari bonet sehingga mencetuskan bau hangit.

“Bukan kereta yang berasap.”

“Habis tu?”

“Isteri abang.”

“Ish, abang ni!” Satu penumbuk Eliza layangkan ke dada Luthfi.

“Yalah…dari airport tadi lagi…membahang je. Risau takut meletup.”

Eliza tarik muka. “Iza turun dari rumah tadi dengan mood baik. Niat nak surprisekan abang. Nak abang happy tengok Iza. Tapi abang nampak orang lain dulu.”

“Bukan salah abang, dia orang muncul kat situ. Tak adillah Iza marah abang sorang je. Marahlah Sofea tu sekali.”

“Kalau ikutkan hati Iza ni…Bukan setakat marah. Rasa nak kunyah dia hidup-hidup. Laki orang buat macam laki dia. Nak jemput-jemput kat airport bagai. Ish…bencilah! Dia tu memang saja nak jual muka depan abang!”

“Abang tak nak beli muka dia. Muka Iza pun dah penuh dalam hati abang. Bulat macam bulan purnama.”

Eliza berdecit. Geram dengan Luthfi yang masih boleh berlawak dalam keadaan dia yang sedang marah.

“Abang mintak maaf…” Entah sudah berapa banyak kata maaf terluah dari mulut Luthfi. Sungguh, dia benar-benar rasa bersalah yang apa yang dilalui Eliza hari ini.
“Tak ada sekelumit niat pun dalam hati abang nak buat Iza marah, sedih, kecewa macam ni. Abang betul-betul tak sangka yang Sofea akan bawak Eshal pergi airport jemput abang,” sambungnya lagi.

Eliza diam. Cuba memujuk hati supaya melupakan insiden tadi. Nalurinya sebagai isteri yakin yang Luthfi jujur. Sebelum ini pun jika Sofea memerlukan pertolongan, Luthfi akan selalu memberitahu dan membawanya bersama. Mungkin Sofea yang sengaja cuba meraih perhatian Luthfi dengan menggunakan Eshal.

“Tolong percaya abang ya?”

Lambat-lambat Eliza mengangguk membuat senyum terbit di wajah Luthfi.

“Senyum sikit. Dari tadi muka masam je.”

“Dah takde mood nak senyum.”

“Sikit pun tak boleh ke?”

“Ingat senyum ni boleh paksa-paksa ke?”

“Oh…tak boleh eh? Habis tu macam mana ni?”

“Takde macam-macam mana. Kalau Iza rasa nak senyum, Iza senyum,” balas Eliza. Pintu kereta dia buka sebelum menghenyakkan punggungnya ke tempat duduk penumpang.

Luthfi segera menyusul sebelum kembali memandu membelah jalan raya menuju ke rumah. Tiada obrolan sepanjang perjalanan membuat Luthfi mula bosan. Dia rindu dengan ocehan Eliza setiap kali dia pulang. Cerita-cerita biasa yang menjadi halwa telinga dan membuat hari-harinya di rumah tidak pernah sunyi. Otaknya ligat berfikir untuk memancing Eliza berbicara namun entah mengapa hari ini sel-sel otaknya seperti gagal berhubung antara satu sama lain. Sehinggalah saat berhenti di lampu isyarat bersebelahan kubur, dia melihat beberapa lelaki sedang menggali sebuah kubur. Satu idea tiba-tiba melintas di kepalanya.

“Za, pernah dengar tak orang gali kubur tak boleh pakai spender?”

Eliza toleh dengan dahi berkerut. Sepanjang dia belajar agama dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, tidak pernah pula dia mendengar hukum seperti itu.

“Apasal pulak tak boleh?” tanyanya.

“Cuba Iza fikir dulu.”

Eliza berfikir-fikir. Namun dia tidak menemui alasan yang munasabah untuk itu.

“Takkanlah tak pakai. Tak munasabah.”

Luthfi terbahak. Puas dia menahan ketawa. Akhirnya terlepas juga.

“Mana ada orang gali kubur pakai spender Za…”

“Abang tipu!”

“Cuba tengok tu.” Luthfi tunjuk ke arah beberapa lelaki yang sedang menggali kubur. “Semua tak pakai spender tu.”

“Macam mana abang boleh nampak?”

Makin kencang tawa Luthfi dengan pertanyaan polos isterinya.

“Kenapa abang ketawa? Abang kelentong Iza ke?”

“Mana ada tipu. Kan semua pakai cangkul tu. Takde sorang pun yang pakai spender.”

Eliza bingung sejenak sebelum dia mula dapat menangkap lawak bodoh Luthfi. Apatah lagi melihat suaminya itu ketawa sampai tegang urat merih

“Abang ni kan!” Penumbuk dia layangkan ke bahu Luthfi.

“Hahaha! Dah faham dah?!”

“Ingatkan betul-betul orang tu tak pakai spender. Iza dah siap fikir dah. Kalau dia dari rumah, takpelah tak payah pakai siap-siap. Kalau dia dari masjid ke, dari pasar ke, tiba-tiba orang call suruh datang gali kubur, dah satu kerja pulak nak bergegas balik rumah nak bukak spender.”

“Allahuakbar! Jauh perginya Za. Hahaha!”

“Abang tu lah…Dah Iza terbayang dia orang tu semua…” ” Eliza tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila dia ikut ketawa.

“Jangan bayang bukan-bukan Za. Kang gelap hati 40 hari.”

“Abang tu punca…”

“Abang pulak. Fikiran awak tu yang terpesong. Ni mesti sebab dah lama tak jumpa abang kan? Fikiran tu asyik nak melencong je.”

“Time abang takde, elok je fikiran Iza lurus. Abang balik, terus melencong.”

“Abang memang suka melencong. Nak-nak kalau dengan Iza.”

“Lain kali kalau nak ajak melencong, cari tempat best sikit. Ini ke kubur…”

“Nanti-nantilah kita lencong ek? Sekarang abang nak ikut jalan yang lurus. Baiti jannati dah menanti.”

Eliza tersenyum. Sirna segala amarah dan sedih yang membelenggu hati sejak dari lapangan terbang tadi.

Luthfi yang sempat menangkap senyuman itu melalui lirikannya, mendesah lega. Tangan kirinya dilingarkan ke bahu Eliza sebelum satu kucupan dia hadiahkan pada puncak kepala isterinya itu.

“Abang sayang Iza sorang je.”

Hai semua. 4 bab dulu untuk hari ni. next chapter Insya-Allah lusa. novel ni perlu guna coins untuk buka bab 4 ke atas. terima kasih buat yang sudi follow dan baca kisah Luthfi x Eliza ni. Baca sampai tamat tau. haha... happy reading semua..muahxxx

Share this novel

Zahra haniffa
2024-08-25 21:28:22 

cite yg ni per chapter pdk...x cam biasa....sis calyta....paling best cite STPK...per chapter pjg giler puas hati beli coin....tuk yg ni sayang ku elza...maybe lps dulu lah...

Guest User
2024-08-21 17:35:09 

test_account

Suraya Hani
2024-08-12 15:43:03 

aduiii bau2 penyondol dah ade Ni....


NovelPlus Premium

The best ads free experience