BAB 1

Romance Series 160630

LIMA TAHUN KEMUDIAN

SELESAI mandi dan solat Isyak, Luthfi berbaring di katil sebelum mencapai telefon dan membuat panggilan video kepada Eliza. Hanya beberapa deringan sebelum wajah Eliza muncul di skrin telefonnya.

“Lambat dua minit. Abang pergi jumpa perempuan mana dulu tadi?”

Terkekeh Luthfi dengan pertanyaan isterinya itu. Tak habis-habis curiga dengan jurutera perempuan yang berkursus bersamanya di negara yang terkenal dengan jolokan tempat terindah di dunia untuk melihat burung itu. Puncanya Eliza ternampak kelibat jurutera itu ketika dia membuat panggilan video saat makan tengah hari beberapa minggu lalu.

“Mana ada perempuan sini, Za. Perempuan bermisai ada la…”

“Tu Manisah tu.”

“Manisah tu bukan perempuan, Za. Nama asal dia Misman.”

Eliza terkekeh dengan lawak sendu suaminya. Macamlah dia tak boleh beza lelaki dengan perempuan. Sah-sah si Manisah tu bertudung. Mana pula datangnya Misman.

“Tengah buat apa tadi?” tanya Luthfi. Cuba mengalih perhatian Eliza daripada memikirkan Manisah. Satu-satunya jurutera perempuan yang berkursus bersama mereka dan menjadi modal mengumpat.

“Tak ada buat apa. Guling-guling atas katil sambil tunggu abang call.”

“Lusa guling-guling dengan abang.” Luthfi menaik-turunkan keningnya. Sudah lebih dua bulan dia berada di Oman untuk kursus penggerudian gas di padang pasir bersama beberapa jurutera petroleum lain yang bernaung di bawah syarikat yang sama dengannya.

“Abang sampai airport pukul berapa?”

“Dalam pukul satu macam tu.”

“Iza jemput ek?”

“Eh…tak payah jemput. Iza tunggu abang kat rumah je.”

“Kenapa? Abang tak rindu Iza ke?” Eliza sedikit cemberut. Wajah sudah ditekuk tanda merajuk.

“Bukan. Naik airport limo lagi jimat masa.”

“Sama je.”

“Tak sama.”

“Kenapa tak sama?” Suara Eliza terdengar ketus.

“Kalau Iza jemput, nanti kang nak kena tunggu Iza bukak kunci, masuk rumah, bukak tudung, bukak baju...” Meleret suaranya saat menyebut dua perkataan terakhir itu.

"Dah tu, abang nak suruh Iza tunggu kat rumah dengan tak pakai baju?"

"Ha...itulah yang sebaik-baiknya."

Eliza berdecit. "Gelojoh betul."

“Gelojoh tak gelojoh. Dah dekat tiga bulan abang kering kontang kat padang pasir ni. Kat sini memanglah hampir tiap-tiap hari drilling, tapi bukan keluar air. Keluar gas.”

Pecah tawa Eliza dengan kata-kata suaminya. “Tak senonohlah bang.”

“Tunggu abang kat rumah je ya?” Suara Luthfi melunak. Dia lebih suka Eliza menunggunya di rumah. Setelah berbulan-bulan di negara orang, rasanya behagia sekali saat pulang ke rumah dan disambut dengan senyum manis isterinya. Lebih hangat berbanding disambut di lapangan terbang.

“Erm..yalah. Abang nak makan apa? Nanti Iza masak.”

“Masak je apa-apa. Asalkan bukan kari-kari, rempah-rempah. Dah tak lalu nak telan.”

“Okey. Nanti Iza masak sedap-sedap untuk abang.”

“Iza tak masak apa-apa pun dah sedap.”

“Abang ni…mulalah tu…”

Luthfi terkekeh. “Okeylah Za. Lewat dah ni. Pergilah tidur.

“Okey. Abang pun pergi tidur tau. Jangan merayau pulak.”

“Nak merayau ke mana pulak tengah-tengah padang pasir ni Za?”

“Mana tahu kut merayau ke bilik Misman ke.”

Meledak tawa Luthfi. Masih tak habis isu Misman rupanya. “Nanti abang suruh Tara kunci bilik abang dari luar.”

“Suruh dia pakaikan cawat besi sekali.”

“Allah! Bayangkan balik-balik Malaysia, kunci tertinggal kat sini. Naya Za. Satu kerja pulak nak panggil bomba bukak cawat besi. Kang bila dah terbukak, menjunam teruk self esteem abang bomba tu mengenang kekurangan diri dia. Seminggu tak lalu makan.”

Eliza terbahak. Berair matanya membayangkan jika itu benar-benar terjadi.

“Tak payah risaukan Misman tu. Pandailah dia cari jodoh lain. Lelaki handsome, baik dan beriman macam abang ni memang jadi rebutan. Pergi mana-mana pun ramai je perempuan sasaukan abang. Tapi dia orang tu semua bertepuk sebelah tangan je. Apa orang kata, pipi tak mancung hidung tersodok-sodok…”

“Peribahasa mana tu bang?”

“Salah eh?”

“Salah. Tapi hidung tersodok-sodok tu macam kena pulak dengan penyondol ni ek. Mana ada laki orang, situlah ada dia. Kuat betul deria bau dia.”

"Yang disodok tu pun bangkai juga Za. Sesuailah tu. Cuba kalau makhluk hidup yang ada akal, berani tak dia sondol? Tak berani kan?"

Eliza diam sejenak sebelum mengangguk-angguk. "Betul jugak kan?"

"Ha, tahu pun. Abang ni bukan spesis bangkai tau. Abang ni edisi terhad keluaran Mokhtar Abdul Karim. Ada akal yang waras lagi. Takkanlah abang nak tinggalkan isteri yang cantik, baik, beriman, solehah, demi penyondol durjana. Tapi lama-lama kat Oman ni kadang-kadang sasau jugak. Tengok Kelly pun dah macam Iza."

"Siapa pulak Kelly tu?" Eliza kembali cemberut. Luthfi pula tertawa galak.

"Ketawa pulak. Hari tu kata Manisah sorang je perempuan. Ni tiba-tiba muncul Kelly pulak," ketus Eliza.

"Kelly tu memang kat setiap drilling rig dia ada. Memang abang dah kenal lama dengan dia. Daripada zaman belajar lagi."

"Ooo...cinta monyet la ni..."

Besar tawa Luthfi dengan sindiran Eliza.

"Abang boleh ketawa-ketawa ek."

"Alah... walaupun abang macam rapat dengan dia, tapi hubungan abang dengan dia tak melibatkan hati. Abang je yang kenal dia. Dia tak kenal abang pun."

"Kesian...cinta tak berbalas."

"Tu lah...Dah tertulis jodoh abang dengan Iza."

"Mana nak tengok gambar Kelly tu. Cantik sangat ke?"

"Ha...kejap...kejap. Abang cari gambar dia."

"Oh, jadi abang ada simpanlah gambar dia!"

"Mestilah ada. Kejap ek."

Eliza mendengus sebal. Geram pula dengan Luthfi yang lancang menyimpan gambar wanita lain di telefonnya.

"Okey, abang dah sent gambar dia. Cuba Iza tengok," ujar Luthfi. "Tapi...abang nak Iza tahu, yang Iza jauh lebih cantik dari Kelly tu."

Eliza mencebik. Menyampah pula dengar gebang suaminya. Namun dia buka juga gambar yang dihantar ke Whatsappnya.

Luthfi pula sudah kembung pipinya menahan ketawa. Apatah lagi saat melihat wajah bingung Eliza setelah membuka gambar yang dihantarnya.

"Apa benda ni bang?"

"Gambar Kelly la."

"Ni macam gambar benda dekat pelantar je."

"Yalah. Ada Kelly kat situ. Tak nampak?"

"Takde pun. Abang ni tipu Iza ke?" Eliza mula curiga. Dengan Luthfi kadang-kadang tak boleh percaya sangat. Banyak auta. Tapi dah tahu perangai suaminya begitu, tetap juga dia tertipu setiap kali.

"Mana ada tipu. Jap abang hantar gambar lagi clear."

Tidak lama, satu notifikasi masuk ke telefon Eliza.

"Ha cuba bukak yang tu," ujar Luthfi.

Walaupun sebal, Eliza menurut juga. Nak tengok juga sejauh mana cantiknya Kelly tu sampai Luthfi masih menyimpan gambarnya sampai sekarang.

"Kenapa hantar link? Mana gambarnya?" tanya Eliza. Hairan melihat Luthfi menghantar satu pautan. Bukannya gambar.

"Abang tak berani ambik gambar dekat-dekat. Yalah...kita dah berpunya kan. Tu abang curi gambar dari orang lain."

Tidak membalas, Eliza langsung menekan pautan itu. Sesaat, tiada reaksi pada wajahnya. Namun demi melihat gambar dan membaca penerangan pada pautan itu, dia ketap bibir. Geram.

Mana tidak, Kelly yang dimaksudkan Luthfi itu bukan seorang perempuan, tetapi komponen pada drilling rig yang menyambungkan swivel ke paip gerudi.

Kena lagi dia.

"Betul kan abang cakap kan? Iza jauh lagi cantik dari Kelly tu kan?"

"Kalau dah sampai tahap benda ni abang nampak macam Iza, teruk dah sasau abang ni. Bawak-bawaklah berubat."

"Ubat paling mujarabnya Iza je."

"Yalah tu."

"Iyaaa..."

"Tapi kenapa dia letak nama Kelly?" Tiba-tiba Eliza tertanya-tanya pula tentang itu.

"Sebab mat Saleh yang letak nama. Kalau abang yang bagi nama, abang dah letak nama Syarifah Eliza binti Syed Mohamad."

"Kang kalau rosak, panggil orang nak baiki, wei tolong tengokkan Syarifah Eliza binti Syed Mohamad ni. Dah rosak la."

"Punca rosak...No inspection, no repair, crack spreading, hard strata, brutal operation." Luthfi berdecit sambil menggeleng-geleng. "Kesian Syarifah Eliza."

"Sampai rosak sebab lama tak buat inspection," balas Eliza.

"Balik nanti abang buat inspection, repair mana-mana yang patut. Kalau rosak teruk, kena tukar baru agaknya."

"Ha, mulalah tu!"

Luthfi terbahak. Pancing mengena.

"Daripada tukar Syarifah Eliza, baik tukar Luthfi. Cari Luthfi lain yang boleh selalu buat inspection," balas Eliza sengit.

"Eh, Za... jangan kasar sangat gurau tu. Pedih la..."

"Tahu pun!"

"Kalau rosak, kita rosak sama-sama, Za. Biar dua-dua tak boleh guna. You tak boleh guna I, I tak boleh guna you."

"Baru adil. Dua-dua tak berguna," balas Eliza membuat mereka sama-sama tertawa.

“Okeylah sayang. Lewat dah ni. Pergilah tidur. Lusa kita jumpa.”

“Okey.”

“Bye. I love you.”

“Love you too.”

Memutuskan panggilan dengan Eliza, Luthfi berniat menelefon abahnya pula. Namun nombor Sofea yang tiba-tiba berkelip pada skrin membuat dia menjawab panggilan itu terlebih dahulu. Wajah Eshal muncul di skrin selepas dia menggeser ikon hijau.

“Papa!”

.
. .

SEHARI sebelum kepulangan Luthfi, Eliza mengajak Diana ke spa. Menyegarkan tubuh dan membuat sedikit rawatan untuk menyambut suaminya.

“Pukul berapa dia sampai esok?” tanya Diana. Terpejam matanya menikmati urutan pada belakang tubuhnya. Hilang segala lenguh dan pegal dek kepenatan dengan urusan rumah tangga yang tak pernah habis.

“Pukul satu katanya,” jawab Eliza.

“Kau pergi jemput kat airport ke?”

“Tak. Dia suruh aku tunggu kat rumah je.”

“Dia memang macam tu. Dari dulu dia tak suka orang jemput dia kat airport. Masa dia kat asrama dulu pun, dia tak nak abah jemput. Lagi suka naik bas. Katanya feel orang tunggu kat rumah tu lagi best,” ujar Diana.

“Itulah yang dia bagitahu aku.”

“Berapa lama dia kat rumah kali ni?”

“Entah.”

“Kalau dia kursus dalam Malaysia, kau ikut je. Jangan biar dia sorang-sorang. Kang ramai yang masuk jarum nanti. Abang aku tu walaupun muka macam jaga Nepal kilang Fumakilla kat Perai nun, tapi duit dia tu boleh buat ramai perempuan datang menggesel wei.”

“Tak baik kau cakap muka dia macam tu. Abang kau tu handsome apa.”

“Kau dah kena guna-guna dengan dia, memanglah kau nampak dia handsome.”

Eliza terbahak. “Menjadi ek ilmu guna-guna dia.”

“Kau pun kena guna-gunakan dia jugak. Biar dia ke hujung dunia sekali pun, dia asyik ingat kau je. Tak nampak perempuan lain.”

“Memang. Setiap tahun aku renew guna-guna aku tu. Takut tawar.”

“Macam roadtax jugak ek? Kena renew,” balas Diana, membuat dia dan Eliza serentak mengekek.

“Eh…hujung minggu ni Oliq ada tournament. Kau ajaklah Luth datang. Oliq mesti suka kalau Pak Ngah dia ada.”

“Tempat sama macam tahun lepas ke?”

“A’ah. Tempat sama.”

“Boleh je. Nanti aku bagitahu dia.”

“Bawaklah keropok. Nanti aku goreng mihun. Takdelah bosan melanguk kat situ dari pagi sampai petang.”

“Beres.”

SELESAI sesi urutan, mereka melakukan rawatan muka pula sebelum ke salon untuk rawatan rambut.

“Lepas ni nak pergi mana?” tanya Diana. Ketika itu mereka sedang melakukan pedicure dan manicure selepas selesai rawatan rambut.

“Cari baju.”

“Baju apa?”

“Baju apa-apa je, untuk pakai kat rumah, keluar jalan-jalan. Setiap kali abang kau balik dari offshore ke, kursus mana-mana ke, aku mesti beli sepasang dua baju baru pakai depan dia.” Eliza terkekeh. Berkahwin dengan lelaki yang sentiasa bekerja di luar kawasan membuat setiap pertemuan mereka seperti pasangan kekasih yang berjanji temu.

“Bagus…bagus…Isteri macam ni yang kita nak…”

“Aku dengan abang kan takde anak. Jadi…aku kena selalu buat sesuatu untuk tarik perhatian dia.” Suara Eliza berubah perlahan.

“Alah…Anak bukan syarat untuk bahagia dalam rumah tangga. Kalau ada, tu rezeki. Kalau tak ada, itu pun rezeki. Rezeki kau boleh selalu jalan-jalan dengan Luth tanpa perlu fikir nak tunggu cuti sekolah, kena tengok jadual kelas taekwondo, kelas hoki, kelas renang. Sudahnya, tak ke mana-mana. Macam aku…” Diana terkekeh. Pada masa yang sama cuba menghibur sahabatnya itu.

“Tapi kalau ada anak, taklah sunyi sangat hidup aku kalau abang takde kat rumah.”

“Alah kalau nak suasana bising, datang je rumah aku. Tak sampai 10 minit, confirm kau angkat punggung balik.”

Eliza tertawa sebelum perlahan tawa itu sirna. Bukan kesunyian itu saja yang menjadi masalah. Tetapi dia bimbang satu hari nanti, anak akan menjadi alasan Luthfi untuk membawa masuk orang ketiga dalam rumah tangga mereka. Sekalipun sehingga saat ini Luthfi tidak pernah menyinggung tentang itu, tetapi dia bimbang ke depannya nanti, semua kebahagiaan yang dia kecapi sekarang harus dikongsi bersama wanita lain. Katakanlah dia tamak, namun tidak ada satu wanita pun dalam dunia ini yang sanggup melihat suami bersama wanita lain.

“Tak payah fikir bukan-bukan. Lagipun kau dengan Luth dah cek kan. Dua-dua tak ada masalah. Maksudnya, bukan kau tak boleh mengandung. Tapi mungkin belum masanya. Insya-Allah nanti adalah tu. Kalau Tuhan nak bagi, sekejap aje Za.”

“Kadang-kadang aku terfikir…Aku tak ada masalah, abang pun tak ada masalah. Tapi kenapa susah sangat Di?” luah Eliza. Beberapa tahun lalu dia dan Luth pernah bercadang untuk melakukan IVF. Namun saat-saat akhir, Luthfi tidak mengizinkan. Semuanya gara-gara suaminya itu membuat kajian sana-sini dan bertanya beberapa orang yang pernah melakukannya dan kesimpulan yang didapati, proses itu menyakitkan. Malah ramai juga yang keguguran beberapa kali sebelum berjaya hamil. Malah ada yang langsung tidak berjaya. Semua input negatif itu membuat Luthfi mengubah fikiran dan tidak mengizinkannya melakukan IVF.

“Macam nilah…nanti kau cuba slow talk dengan Luth, pujuk dia supaya izinkan kau buat IVF. Abang Faris boleh tolong.” Diana memberi cadangan.

Eliza mengangguk. Menyetujui cadangan itu. Siapa tahu, kali ini Luthfi terbuka hati untuk mengizinkannya melakukan IVF. Lagipun, yang menanggung kesakitan itu dia. Selagi dia mampu, dia akan menahannya. Kesakitan itu pula tentunya tidak seberapa jika dibandingkan kemungkinan Luthfi mencari wanita lain untuk melahirkan zuriatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience