0 1 | S I L A M

Romance Series 299

2010

PANG !

Satu tamparan yang maha kuat singgah di pipi seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun. Pipinya yang putih mulus itu kini mula kemerah-merahan akibat bekas tamparan si bapa. Air mata mula bertakung di tubir matanya. Hampir sahaja tumpah namun ditahan.

"Aku dah kata, baca buku ini! kenapa kau baca buku ABC tu lagi?" ujar si bapa. Urat-urat hijau mula timbul pada lengannya. Pantas rambut perang kehitaman anaknya itu ditarik kasar sehingga Harraz terdongak.

"Sa... sakit ayah."

"Diam!"

Tangannya menarik kasar buku yang dipeluk Harraz sambil sebelah tangannya lagi masih menarik rambut anaknya. Langkah kaki pantas diatur ke luar rumah. Hujan lebat yang tiada tanda mahu berhenti disertai dengan guruh yang kuat tidak dihiraukan.

"Sini, kau tengok ni. Ini kali terakhir kau boleh tengok buku ABC kau tu. Lepas ni kau kena baca buku yang aku kasi. Kau faham tak?" tengking si ayah. Air mata si anak yang merembes keluar tidak dihiraukan. Asalkan apa yang dia mahu tercapai.

Harraz tidak menjawab. Hanya anggukan sahaja diberi tanpa memandang mata helang milik sang ayah. Kekuatannya hilang jika dia memandang mata ayahnya.

Cengkaman pada rambut milik Harraz dilepaskan dengan kasar. Buku ABC setebal 0.5 cm itu dilempar ke lopak air yang bercampur dengan tanah. Perlahan-lahan helaian buku tersebut menyerap air berwarna coklat itu.

"Kau, jangan berani nak ambil buku tu," ujar si bapa lalu beredar masuk ke dalam rumah.

Harraz memandang sepi. Buku ABC kesayangannya pemberian ibu telah rosak. Buku yang amat berharga buatnya. Pemberian terakhir daripada ibu buatnya. Setelah 5 tahun tinggal bersama, akhirnya ibunya meninggalkan dia sendirian bersama ayahnya. Dia tidak tahu mengapa ibunya meninggalkannya bersama ayah. Dia ingin mengikut ibunya, namun apakan daya.

"Ibu, Harraz nak ibu."

*****

2021

Beg sekolah berwarna hitam dicapai. Pantas kakinya melangkah keluar dari rumah. Kasut sekolah diambil lalu dipakai. Langkah kaki mula diatur menuju ke sekolah yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Pintu pagar sekolah yang baru dibuka sedikit ditolaknya dengan kuat. Tiada lagi pengawas yang bertugas di pintu pagar ini selain dia. Lantas dia mengeluarkan sebuah buku nota dan sebatang pen lalu melaksanakan tugasnya.

Anak matanya melilau melihat keadaan sekeliling sekolah. Jam di tangan dipandang sekilas. Jarum jam yang panjang telah berada tepat di nombor enam. Menandakan pintu pagar harus ditutup sekarang.

Baru sahaja tangannya menarik pintu pagar besi itu, tiba-tiba dia terdengar satu bunyi dentuman yang kuat di bahagian luar kawasan sekolah. Lantaran itu, dia terus menuju ke arah bunyi tersebut.

Kelihatan sebuah motosikal berjenama Honda sudah terbalik akibat dirempuh oleh sebuah kereta Axia berwarna hijau. Penunggang motosikal tersebut terpelanting tidak jauh daripada tempat kejadian.

Pemandu kereta Axia hijau itu pula bergegas keluar dari kereta untuk melihat keadaan remaja lelaki yang dilanggarnya. Melihat kepada jauhnya remaja tersebut terpelanting sudah cukup menggerunkannya.

"Adik, okey ke?" tanya pemandu separuh abad itu. Matanya tidak lepas memandang remaja lelaki tersebut yang sedang meringis kesakitan. Tangannya memegang bahu remaja itu dan cuba untuk membelek badannya jika terdapat kecederaan pada badan remaja lelaki itu.

Wajah remaja lelaki itu serta-merta berubah bengis. Dia paling pantang jika orang memegang badannya. Pantas dia menepis tangan pakcik itu.

"Jangan sentuh aku."

Lantas dia berdiri. Perlahan dia menapak ke tempat motornya berlanggar dengan kereta Axia pakcik tadi. Baru sahaja dia membeli motosikal ini dua hari lepas, tiba-tiba hari ini motosikalnya perlu masuk bengkel.

Dengan kudrat yang masih bersisa, dia mengheret motosikalnya ke dalam kawasan sekolah. Suara pakcik yang memanggil-manggilnya supaya bertanggungjawab terhadap kereta Axia hijau yang agak kemik pada bahagian hadapan tidak dihiraukan. Malas dia mahu bertikam lidah. Sememangnya dia tidak bersalah dalam hal ini. Pakcik itu yang melanggarnya terlebih dahulu.

Baru sahaja setapak kakinya masuk ke dalam kawasan sekolah, lengannya dipegang seseorang membuatkan dia berpaling. Harraz, pengawas berlagak.

"Lepaslah."

Harraz menguatkan cengkamannya. Pandangan matanya tajam menikam wajah kuning langsat remaja lelaki itu. Tag nama pada baju sekolah berwarna putih dipandang sekilas. Ariq Miqdam.

Ariq Miqdam. Siapa yang tidak mengenalinya? Budak paling baran dalam sekolah ini. Sekali dia mengamuk, habis satu sekolah menjadi mangsa tidak kiralah benda hidup ataupun bukan.

Pernah sekali dia mengamuk akibat buku latihannya hilang sedangkan dia telah hantar kepada cikgu matematiknya. Setiap benda yang berada berhampirannya rosak dia kerjakan. Akhirnya cikgu matematiknya menjumpai buku tersebut di dalam bonet keretanya.

Terpaksalah cikgu itu memohon maaf kepada Ariq. Banyak kali juga dia memohon maaf. Hampir lima kali. Namun, Ariq tetap Ariq. Sesiapa sahaja yang mencari masalah dengannya dia akan menyuruh orang tersebut memohon maaf padanya berulang kali.

Harraz menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Kali ini sahaja. Kali ini sahaja dia akan bercakap dengan banyak untuk menyelesaikan masalah ini.

"Aku nak kau pergi minta maaf pada pakcik tu," kata Harraz. Cengkaman pada lengan Ariq diperkuatkan. Bimbang Ariq melarikan diri.

Ariq melemparkan senyuman sinis kepada Harraz dan menyepak lutut Harraz sekuatnya sehingga cengaman Harraz pada lengannya terlepas.

"Aduh, sakitlah!"

"Kan aku dah kata, jangan sentuh aku. Lagi satu, dalam hal ini, bukan salah aku. Salah pakcik tu. Dia yang langgar aku dulu. Kalau kau tak tahu apa-apa jangan menyibuk," balas Ariq lalu beredar dari kawasan tersebut. Motosikalnya diheret sekali dan diletakkan di bangsal motosikal yang disediakan di kawasan sekolah.

Keluhan berat dilepaskan. Terus Harraz menghala ke arah pakcik itu.

"Pakcik, betul ke pakcik yang langgar Ariq dulu?" soal Harraz. Dia inginkan kepastian daripada kedua-dua belah pihak.

Riak wajah pakcik itu mula berubah. Keringat di dahinya mula kelihatan. Bibirnya bergetar dan wajahnya mula berubah kemerahan.

Harraz yang sedar akan perubahan pada riak wajah pakcik itu tersenyum sinis. Dia tahu jika seseorang itu menipu ataupun tidak. Mudah sahaja baginya untuk mengesan perbuatan tersebut.

"Err... sebe... sebenarnya," ujar pakcik itu tergagap-gagap. Baru sahaja dia mahu menyambung percakapannya, Harraz terus mencelah.

"Pakcik tak perlu terangkan pada saya. Sebab daripada riak wajah dan cara percakapan pakcik sudah saya tahu apa yang berlaku sebenarnya. Lagipun, sekolah ini pun ada cctv. Pakcik pengawal baru sahaja hantar rakaman pada saya tadi. Sudah terang lagi bersuluh pakcik yang langgar Ariq dulu. Betul atau tidak?"

Keringat di dahi pakcik itu keluar tanpa henti. Beberapa titik mula menitik ke jalan tar tanpa dia sempat mengesatnya. Kata-kata yang meluncur keluar daripada bibir seorang remaja sekolah amat menusuk kalbunya. Dia menunduk.

"Iya, pakcik yang langgar dia dahulu."

Tidak ada apa lagi yang boleh diselindung apabila remaja di depannya memberitahu perkara sebenar kemalangan ini berlaku. Terpaksalah dia mengaku kesalahannya.

Harraz tersenyum sedikit. Mujurlah pakcik ini mengaku kesalahannya. Kan mudah kerjanya begini. Kereta pakcik itu ditilik sekilas. Keretanya hanya kemik sedikit sahaja. Ariq pula tiada yang cedera melainkan motor kesayangannya.

"Baik, terima kasih pakcik sebab mengaku. Lain kali pakcik kena sentiasa bersikap jujur macam ini. Barulah hidup aman sentosa. Saya masuk sekolah dulu ya. Assalamualaikum," ujar Harraz. Langkahnya mula diatur masuk ke kawasan sekolah. Sungguh dia terlewat masuk ke kelas hari ini. Cikgu Abdul pasti membebel padanya.

"Cis, pakcik botak."

*****

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience