Ariq merebahkan badannya ke katil yang bersaiz king itu. Nafas dihembus berat. Peluh di dahi dan badannya tidak henti-henti menitik. Penat seharian di sekolah hari ini. Ditambah pula dia terpaksa berjalan kaki sejauh 7 km akibat motosikalnya yang rosak.
Sebelum tiba di rumahnya, dia menghantar dahulu motornya di sebuah bengkel motosikal berhampiran taman perumahannya. Tidak sampai seminggu pun guna, sudah masuk bengkel.
Lengan kirinya dibelek sedikit. Ada kesan darah kering. Mesti dia dapat luka itu sewaktu dia jatuh tadi. Sudahlah dia jatuh di atas jalan tar. Memang sakit lah jawabnya. Bahagian badan lain juga dibeleknya. Ada. Pada lututnya. Sebenarnya seluarnya terkoyak pada bahagian lutut tetapi tidak nampak sangat.
Ubat antiseptik iodin di dalam laci meja diambil. Dia menyapu ubat tersebut dengan kapas berhati-hati. Sedikit demi sedikit kulit pada kawasan lukanya berubah warna menjadi kuning. Pedih. Namun tidaklah terlalu pedih kerana lukanya itu telah kering.
Tekaknya terasa haus pula. Terus dia bangun untuk ke dapur bagi menghilangkan kekeringan tekaknya. Baru sahaja kakinya memijak tangga terakhir sebelum kakinya menemui lantai bawah, kedengaran pintu rumah dibuka dengan kasar.
Muncul seraut wajah tua menghiasi pandangan matanya. Ayahnya, Encik Kamarul. Dahi Encik Kamarul berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Beg kerja dicampak ke sofa berhampiran. Bukan dia tidak biasa buat begitu. Setiap hari setelah dia pulang dari kerja pasti dia akan meleparkan sahaja beg kerjanya di sofa. Kadangkala dia akan melemparkan di lantai sahaja. Teruk betul perangainya.
"Ariq Miqdam!" jeritnya lantang.
Ariq yang masih belum memijak lantai bawah meneruskan langkahnya. Terkejut dia tiba-tiba ayahnya menjerit memanggilnya. Mujur sahaja dia tidak jatuh tangga.
"Iya, ayah. Kenapa?"
"Mana motosikal kau?" soal Encik Kamarul. Matanya tajam menikam mata berwarna coklat hazel milik Ariq.
Ariq melarikan pandangannya daripada memandang mata helang ayahnya. Matanya memandang lantai rumahnya yang putih berkilat. Tidak sanggup dia mahu bertentang mata dengan ayahnya. Pandangan mata ayahnya amat tajam. Tajamnya sehingga hati juga boleh tertembus.
"Motor rosak kat sekolah tadi. Hantar pergi bengkel," balas Ariq bersahaja.
"Macam mana boleh rosak? Aku baru belikan kau motor tu. Takkan baru guna dua hari dah rosak? Kau ni memang tak reti nak menghargai apa-apa yang aku bagi ke? Hah?" jerkah Encik Kamarul tanpa sebarang amaran.
Tangan kasar lelaki itu menyambar kolar baju Ariq. Tubuh tinggi lampai Ariq ditarik rapat. Mata mereka bertemu pada aras yang sama. Encik Kamarul menjegil. Garang.
Ariq kaku. Air liur ditelan kesat. Terasa berpasir sahaja. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang ini. Mungkin dia hanya perlu menunggu sahaja tamparan padu daripada ayahnya.
"Aku tanya ni, jawablah!"
Bergema suara Encik Kamarul di ruang tamu itu. Wajahnya memerah menahan kemarahan daripada meletus. Dia balik kerja penat-penat, anaknya pula buat hal. Memang meletuslah gunung berapinya. Serentak dengan itu, satu tamparan kuat melekap pada wajah Ariq.
Ariq diam tidak berkutik. Terasa berpijar pipinya. Namun dia sudah biasa menikmati tamparan dan tumbukan daripada ayahnya. Baginya tamparan dan tumbukan Encik Kamarul seperti satu perkara yang wajib setiap hari seperti beg tumbukan untuk melepaskan kemarahan. Kadang kala ibunya akan menghalang perbuatan ayahnya jika ibunya ternampak.
Dia bukan tidak mahu melawan. Dia sudah cukup puas melawan ayahnya tetapi semuanya tidak berkesan. Melawan melalui perbuatan mahupun perkataan. Semua tidak menjadi. Akhirnya, dia merelakan sahaja perbuatan ayahnya itu. Kekuatan untuk melawannya sudah hilang. Terasa tidak berguna.
"Kau pekak ke Ariq Miqdam?"
Ariq meneguk air liur kesat. Parah ini. Parah. Dia ingin menjawab pertanyaan ayahnya tetapi entah mengapa mulutnya tidak mahu memberi kerjasama. Seperti ada gam yang menghubungkan dua bibirnya.
Tangan Encik Kamarul diangkat tinggi. Mahu melempang wajah Ariq lagi. Ariq memejam matanya rapat. Sungguh berbisa tamparan ayahnya tadi. Kali ini pasti lebih berbisa daripada yang tadi.
"Abang Ariq!" jerit seorang kanak-kanak lelaki dalam usia lingkungan 5 tahun. Dia berlari sambil mendepakan kedua-dua tangannya dan pantas memeluk kaki panjang milik Ariq.
Ariq tercengang. Matanya perlahan-lahan terbuka. Wajah putih mulus satu-satunya adik yang dia ada menerpa pandangan mata. Irwan, adiknya itu tersenyum lebar memandangnya. Hingus yang meleleh pada hidung Irwan dikesat pada seluar Ariq. Bijak ini budak. Kesat hingus pada seluarnya.
Tangan Encik Kamarul yang diangkat tinggi dan bersedia untuk menampar wajah Ariq mula jatuh. Niatnya untuk menampar Ariq kali kedua tidak kesampaian apabila kehadiran anak bongsunya Irwan disini. Wajah Ariq dijeling sekilas sebelum langkah kakinya menuju ke tangga untuk ke aras atas.
Ariq menghembus nafas lega. Lega wajahnya diselamatkan adiknya daripada ditampar ayah. Kebas pada pipinya juga masih belum hilang. Mungkin kalau ayahnya menampar sekali lagi boleh bengkak pipinya.
"Abang Ariq, jom duduk kat taman," ajak Irwan sambil tersenyum lebar. Tangan abangnya diraih lalu ditarik tangan itu mengikut langkahnya ke luar rumah.
"Abang duduk sini. Iwan nak ambil ubat."
Disuruh Ariq duduk di kerusi batu yang ada di taman mini rumah mereka. Lantas Irwan berlari masuk ke dalam rumah untuk mengambil ubat.
Ariq tersenyum kecil. Adiknya itu cepat betul matang. Kadangkala dia rasa Irwan Hadiq lebih matang daripadanya.
Tidak sampai lima minit, Irwan kembali ke taman mini. Pada tangannya terdapat sebotol ubat gamat, sekeping kapas muka dan sekeping plaster. Irwan berdiri di atas kerusi batu. Penutup ubat gamat dibuka sebelum cecair berwarna coklat itu diletakkan sedikit pada kapas muka. Perlahan tangannya menyapu ubat gamat pada wajah abangnya.
Sesekali Ariq meringis. Sakit.
"Abang ni, tahan lah sikit. Sakit sikit aje ni. Abang kan lelaki. Lelaki tak boleh menangis. Nanti kucing gelakkan abang. Tengok Mito tu, dia tengah gelakkan abang," ujar Irwan sambil tangannya ditunjuk ke arah Mito yang sedang melihat mereka berdua. Kucing jantan itu berhenti berjalan lalu memandang Irwan dan Ariq. Tikus pada mulutnya perlahan jatuh.
"Tikus!"
Irwan berlari menghala ke arah Mito. Terserlah wajah terujanya melihat tikus yang ditangkap Mito. Tidak sia-sia dia melatih Mito mengutip ranting kayu setiap hari. Berguna juga akhirnya buat menangkap tikus.
Mito yang nampak kelibat Ariq yang menghampirinya pantas mengutip semula tikus yang jatuh tadi. Pantas Mito berlari keluar daripada kawasan rumah melalui satu laluan kecil yang terdapat pada tembok rumah mereka.
"Ala, Mito dah lari." Bibir Irwan memuncung. Sudah seperti mulut itik lagaknya.
Ariq yang melihat tingkah laku adiknya itu tersenyum kecil. Suka betul dia melihat kerenah Irwan yang sentiasa mencuit hati jantannya.
"Irwan, kalau Irwan tahu hal sebenar nanti, abang akan jaga Irwan. Tak kira apa pun," ujar Ariq sendirian. Perlahan, kepalanya disandarkan ke kerusi. Kantup matanya mula memberat sebelum dia terlelap sepenuhnya di kerusi batu.
****
Share this novel