PAGI Ahad, sesudah Subuh, Arman sudah bersiap-siap untuk keluar buat Grab. Letih. Semalam dia sudah seharian buat trip. Hari ini niatnya dia mahu berehat, namun mengingat keperluan yang banyak, dia urungkan niatnya. Tidak ada istilah rehat dalam hidupnya. Selagi ada peluang buat duit, dia akan buat.
Sebelum keluar, sempat dia sediakan nasi goreng untuk sarapan seisi rumah yang masih hanyut di alam mimpi.
Saat dia selesai sarapan, Nadira tiba-tiba muncul dengan wajah baru bangun tidur. Mata sembap, rambut serabai, mulut menguap.
“Arman, adik saya nak mintak tolong sikit. Roadtax motor dia mati. RM150 je. Boleh tolong tak?”
Arman pandang wajah Nadira. Isterinya itu selamba tarik kerusi, lalu mencedok nasi goreng ke dalam pinggan. Seolah-olah permintaan itu tadi cuma hal kecil.
“Saya takde duit... Dah kering dah. Bayar yuran tadika anak, bagi duit dapur, bil api, bil air. Dalam akaun tinggal RM42 je. Kalau tidak, saya takkan keluar hujung-hujung minggu ni buat Grab. Baik saya duduk rumah main dengan anak-anak."
Nadira mendengus. “Ala... RM150 je pun. Takkan tak boleh. Adik saya nak guna motor tu cari kerja. Tak kesian ke?”
“Adik awak dah dua tahun duduk sini. Tak pernah bayar sewa, tak pernah tolong apa-apa. Awak kata dia nak cari kerja, tapi tiap-tiap malam main game. Siang tidur. Cuba suruh dia keluar kerja. Buat Grab ke, kerja stesen minyak ke.”
“Awak kahwin dengan saya, maknanya awak kahwin dengan seluruh ahli keluarga saya. Maknanya adik saya, tanggungjawab awak jugak.”
“Awak kena tahu beza tanggungjawab dengan beban. Dah 27 tahun, dia bukan tanggungjawab sesiapa lagi dah. Dia kena bertanggungjawab pada diri dia sendiri.”
Nadira hempas sudu ke pinggan
Berdenting bunyinya, sebelum dia bangun dan berlalu sambil menghentak kaki. Tidak lama, pintu bilik dihempas kuat.
Arman pejam mata. Dada terasa ketat. Nafas panjang ditarik. Cuba meredakan degupan jantung yang berpacu laju. Entah kerana marah, kecewa atau rasa gagal. Mungkin ketiga-tiganya.
MALAM itu, selepas menidurkan anak-anak, Arman kembali ke bilik. Nadira sedang berdiri di depan cermin, menyikat rambut.
"Sayang..." Perlahan dia menapak ke arah Nadira. Pinggang ramping isterinya dia peluk sebelum wajah dia tenggelamkan pada ceruk.leher Nadira.
Nadira menggeliatkan bahunya. Menolak perlahan tubuh Arman supaya menjauhinya.
"Awak buat apa?" tanyanya.
"Saya kan suami awak. Dah lama kita..."
"Orang lelaki macam ni lah. Fikirkan nafsu je. Tak fikir nak bahagiakan isteri, tak fikir nak pujuk isteri, tak fikir isteri ni sakit hati..."
"Apa yang saya dah buat, yang buat awak sakit hati? Cuba bagitahu..." ujar Arman. Suara dilunakkan, cuba memujuk. Bukan kerana dia mahukan Nadira malam ini. Tetapi kerana tidak mahu pergaduhan kecil berlarut-larut sehingga bermasam muka berhari-hari.
"Duit Nadim. Selagi awak tak bagi duit kat dia, jangan harap boleh sentuh saya," ujarnya lalu merebahkan tubuh ke katil. Kemudian dia memusingkan tubuhnya membelakangi tempat tidur Arman.
Arman tengadah. Dua tangan naik bercekak pinggang. Kecil hati. Sebegitu rendahnya harga dirinya sebagai suami di mata Nadira.
ARMAN sedang menyuap Arash dan Arisha pagi itu apabila Nadira tiba-tiba datang dan duduk di depannya.
“Bang, mak nak minta sikit duit. Nak bayar kutu. RM100 je,” ujarnya.
Arman menoleh. Terkejut. Belum lagi selesai masalah duit roadtax Nadim, Nadira sudah meminta duit lagi.
“Kan saya kata saya dah takde duit. Tinggal untuk belanja hari-hari je. Nak tunggu dapat gaji lagi dua minggu."
“Takkan tak ada langsung. Kerja siang malam, buat Grab… Mana pergi duit awak semua?”
“Semua saya belanjakan untuk rumah ni. Untuk awak, untuk anak-anak. Mak awak, adik awak pun saya yang tanggung.”
“Habis, awak nak kata kitorang ni bebanlah?” Suara Nadira sudah meninggi. Tidak langsung peduli dua anak kecil yang sedang memerhatikan tingkahnya.
"Bukan macam tu..."
"Awak ni berkira sangat dengan keluarga saya. Itu yang rezeki payah nak masuk!"
“Ya Allah..." Arman menggeleng perlahan.
"Kenapa mama marah papa?"
Pertanyaan Arisya membuat perhatian Arman segera teralih kepada anaknya itu.
"Takde apalah. Mama bad mood hari ni," jawab Arman.
"Hari-hari bad mood," ketus Arash.
"Hish, tak baik cakap macam tu. Cepat minum susu tu, kang lewat pergi sekolah."
Arash dan Arisya cepat-cepat menghabiskan susu mereka sebelum melompat turun dari kerusi dan mengambil beg sekolah masing-masing.
MALAM itu, selepas selesai waktu pejabat, Arman aktifkan aplikasi Grab. Dia merancang mahu buat satu dua trip sahaja sebelum balik.
Tidak sampai lima minit, satu notifikasi masuk.
GrabExpress – Dokumen ke Genting Highlands.
Hampir dia batalkan mengingat tempat yang terlalu jauh. Namun melihat jumlah bayaran yang agak tinggi, dia akhirnya tekan Terima.
Beberapa minit kemudian, lokasi pickup menunjukkan Ixora Suites. Sebuah kondominium mewah tidak jauh dari tempat kerjanya.
Pantas dia sarungkan topi keledar lalu menghidupkan motosikalnya.
Hanya mengambil masa 15 minit sebelum dia sampai di depan lobi kondominium itu.
“Arman.”
Suara yang menegur membuat Arman yang baru menanggalkan topi keledar, menoleh.
"Cik Thalia." Arman sedikit kaget. "Cik ke yang buat pesanan?"
"A'ah. Masa saya tengok nama rider tadi saya ingat kebetulan sama dengan nama awak. Rupanya betul-betul awak," ujar Thalia.
“Ya."
"Tiap-tiap hari ke buat Grab?"
"A'ah. Tapi satu dua trip je."
Thalia mengangguk sambil menghulurkan fail dokumen di dalam plastik kalis air. Matanya menangkap wajah Arman yang nampak letih dan lesu. Matanya sedikit merah. Mungkin mengantuk atau terlalu penat.
Tangannya menyeluk dompet di dalam beg tangan. Sekeping not RM50 keluarkan lalu menghulurkannya kepada Arman.
“Eh takpe, Cik. Saya hantar ni pun dapat bayaran." Arman menolak sambil menggawang-gawangkan tangannya.
"Ambiklah..."
Arman masih keberatan. Bukan kebiasaannya menerima pemberian orang.
"Ambik..." Thalia sedikit menekan suaranya. "Bukan untuk awak, untuk anak-anak. Balik nanti beli apa-apa untuk dia orang. Upah tunggu papa balik lambat."
Saat nama anak-anak disebut, perlahan tangan Arman terhulur menyambut duit itu.
“Terima kasih, Cik Thalia…”
Thalia tersenyum. “Sama-sama. Hati-hati ya.”
Arman angguk. Dan untuk pertama kalinya hari itu, dadanya terasa lapang dan ringan. Setidaknya di luar rumah, masih ada orang yang memperlakukannya dengan hormat.
MALAM semakin pekat saat Arman menuruni lebuh raya, menuju semula ke kota yang tidak pernah berhenti menuntut.
Perjalanan ke Genting Highland sudah selesai. Dokumen selamat diserahkan. Namun rasa letih terus mendera. Angin sejuk dan kabus tebal tidak cukup untuk menghentikan otaknya dari terus memikirkan apa yang menanti di rumah.
Sebelum masuk ke kawasan rumah flat mereka, Arman berhenti di Family Mart bawah jejantas. Berniat membeli corn dog untuk Arash dan Arisya. Selalu si kembar itu minta dibelikan setiap kali mereka ke pasar malam, namun harga yang agak mahal membuat dia hanya membeli satu dan meminta mereka berkongsi. Sudahnya, kedua-duanya bergaduh kerana tidak cukup.
"Corn dog dua," ujarnya kepada pekerja.
Sementara menunggu, dia melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan. Perut yang berkeroncong, membuat dia terniat mahu memesan oden. Namun mengingat makan di rumah lebih jimat, dia batalkan niatnya.
15 minit kemudian, dia keluar dengan dua kotak corn dog. Dalam kepala sudah terbayang sorakan anak-anaknya saat melihat makanan kegemaran mereka itu.
Jika mereka sudah tidur, esok dia akan panaskan semula.
DIA sampai di rumah hampir pukul 10:40 malam. Lampu ruang tamu masih terpasang. Nadim masih melepak depan TV dengan game dalam tangan. Ibu mentuanya pula mungkin sudah tidur. Suasana rumah sunyi sepi. Tentu anak-anaknya juga sudah tidur.
Arman melangkah dapur. Corn dog diletak di atas meja. Tudung saji dia buka. Berharap ada sedikit lauk untuk dia mengisi perut. Namun kosong. Mata beralih ke sinki. Penuh dengan pinggan kotor.
Dia melangkah ke bilik. Tubuh yang penat terasa semakin lesu.
Nadira masih di depan telefon. Namun ring light sudah dipadamkan. Mungkin baru selesai Live.
“Awak tak masak ke malam ni?” tanyanya.
“Tak,” jawab Nadira tanpa menoleh.
“Kenapa?”
“Penat. Saya baru lepas buat tiga live. Masak bukan tanggungjawab isteri pun, kan? Zaman sekarang, suami pun boleh masak sendiri.”
"Habis tu apa je tanggungjawab isteri?"
"Berhias untuk suami."
"Masalahnya awak bukan berhias untuk saya je. Awak berhias untuk seisi alam."
Nadira berdecit. "Masalah makan je pun nak bising-bising. Awak boleh je beli makanan waktu hantar Grab tu. Kan ramai je rider makan tengah jalan.”
Arman malas berbalah. Capai tuala, dia berlalu ke bilik mandi. Terlalu letih, dia tidak memasak apa-apa. Terus tidur dengan perut kosong.
Share this novel
klu bini mcm ni, memang patut pn klu laki kna sondol..
mula2 tu takut nak membaca bila tengok tajuknya.....bila dah baca...mmmm....rasa nak lagiiiii
Kalau dah gini isterinya.. Hmm.. Rasanya xsalah nak sokong si penyondol?