BAB 2 | BELAJAR SILAT

Adventure Series 10466

[RUJUKAN UNTUK PEMBACA]

(1) JENGEK: Mengejek; mentertawakan; memperolok-olok

(2) GENCAR: Tangkas; sangat cepat; tidak putus-putus; terus-menerus (bunyi tembakan, ombak dll)

* * *

PETANG itu redup, lagi menyenangkan. Bau segar pokok-pokok dan hutan belantara menambah bening. Dama dan Syed Arjuna bersama-sama melakukan regangan otot dengan berlari sejauh dua batu.

Kemudian, memanjat pokok yang menjulang tinggi hingga ke puncak untuk memperkuat tangan dan kaki.

Kesungguhan Syed Arjuna jelas terpamer. Desah nafasnya langsung tidak diiringi keluhan apabila sering dikerah melakukan latihan yang berat.
Di sebelah malam seusai mengerjakan solat fardhu Isyak secara berjemaah di mesegit , barulah latihan bermula.

Malam itu, cahaya jamung menerangi halaman rumah Dama yang dijadikan gelanggang latihan. Syed Arjuna diajar cara memanfaatkan senjata-senjata asli pada anggota tubuh untuk membela diri dan membalas serangan musuh.

Ia merangkumi kaedah pukulan dan tangkapan supaya lawan dapat ditumbangkan tanpa menggunakan sebarang senjata.

Kaedah membuka buah kuncian serta teknik membuat serangan balas yang lebih rapi dan berbahaya turut sama menjadi pelajaran Syed Arjuna pada latihan malam itu.

“Ilmu persilatan ialah kuasa. Kuasa itu tanggungjawab. Sama ada kita bertanggungjawab atau tidak, itu pilihan kita. Tetapi, apa yang dipilih itu ada kesan dan akibatnya.” Dama mengucapkannya ketika mereka duduk melepas lelah di bawah sepohon pokok yang rendang.

“Dan kita perlu bertanggungjawab terhadap kesan dan akibatnya. Jika kita berani melakukannya, maka kita perlulah berani menanggungnya juga.” Syed Arjuna menyambung, lembut dan sopan.

Meskipun gurunya adalah Dama sendiri, tetapi adab perlu menjadi keutamaan supaya segala ilmu yang dicurahkan kepadanya diberkati.

Seulas senyum meniti di bibir Dama, “Benar. Nampaknya kamu benar-benar memahami apa yang aku cuba sampaikan kepadamu.”

Bintang-gemintang yang bergemerlapan di dada langit, menjadi penghias indah di bingkai pandangan mata. Tenggelam dalam kelekaan menghayati kebesaran-NYA dan tanpa sedar, di pohon itu juga Syed Arjuna terlelap.

“Kepenatan agaknya,” bisik Dama sendiri.

Tubuh anak muda itu terus diangkat lalu dibawa masuk ke dalam rumah.

* * *

SUDAH tiga bulan Syed Arjuna menuntut ilmu di Sekolah Menengah Kota Jenggala ini. Dia merafak syukur kerana pelajar lelaki dan perempuan adalah berasingan kelasnya, tidak bercampur.

Serba-sedikit, dia berasa selesa dan tidak selalu diancam oleh pelajar perempuan yang cuba menggodanya.

Goda.

Ya! Itulah dugaan yang perlu dihadapinya setiap kali masuk dan keluar sekolah, ketika waktu rehat, ke bilik-bilik khas malahan tandas.

Tersimpul juga persoalan dalam fikirannya; mengapa dia sahaja yang seringkali menjadi sasaran ramai pelajar perempuan? Di sekolah ini, pelajar lelaki yang sama tampan sepertinya ramai sahaja. Dia tidak faham!

“Hei, Syed Arjuna!”

Langkah kakinya terhenti sebelum kepalanya dikalih ke arah datangnya suara itu. Seorang budak lelaki yang berbadan sedikit tegap, meluru menghampirinya.

Tag nama berwarna hijau yang tersemat di kemaja itu, jelas menunjukkan bahawa budak berkenaan adalah pelajar tingkatan dua.

“Ap-” Tidak sempat Syed Arjuna menyempurnakan ayatnya, lehernya terlebih dahulu dicekak oleh pelajar berkenaan. Dia meronta-ronta, cuba melepaskan tangan itu daripada terus mencekiknya.

“Kau memang jahanam! Disebabkan engkau, aku ditinggalkan kekasih! Aku dihina dan dicerca, dan engkau pula dipuji-pujinya. Sekarang, engkau akan terima pembalasannya!” jerkah pelajar berkenaan.

Pelajar itu menggepal penumbuk, kemudian menyasarkan ia ke wajah Syed Arjuna. Tumbukan itu dielak, kemudian ia dibalas dengan tendangan. Tetapi, sebelum melakukan itu Syed Arjuna berpusing 180 darjah untuk menghasilkan momentum tendangan yang kuat, tepat ke leher lawannya itu.

Pelajar berkenaan melayang jatuh menyembah tanah. Bunyi erangan mencorak suasana, leher yang kesakitan dek dihinggapi tendangan diusap-usap untuk mengurangkan rasa sakit yang mulai menjalar.

“Aku sebaiknya tidak mahu mencederakan sesiapa. Lebih baik engkau berhenti di sini sahaja jika engkau tidak mahu kesakitan yang engkau alami menjadi semakin parah.” Syed Arjuna bersuara, mendatar nadanya.

“Engkau fikir, aku akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja?” Pelajar itu melaung sambil membangkitkan dirinya.

“Adakah engkau tahu sebelum ini kami telah bersumpah taat setia hingga ke jinjang pelamin? Kami juga sudah berhubungan untuk menguatkan lagi sumpah yang telah dipateri!”

‘Astagfirullah al azim …’ Syed Arjuna beristighar dalam hati. Dia langsung tidak menyangka telinganya akan disogok dengan pengakuan sedahsyat itu.

Maka benarlah kata mu’alimnya sebelum ini yang mengatakan bahawa perbuatan dosa dan maksiat seakan telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat muslim hari ini. Seolah-olah manusia sudah tidak takut dengan kemurkaan ALLAH SWT.

Hakikatnya, segala perbuatan jahat seperti berjudi, berzina, membunuh tanpa sebab, berprasangka buruk, membuat tuduhan palsu, memfitnah, mengadu domba, mencari kesalahan orang lain, mencaci dan menghina orang dengan gelaran yang buruk serta perbuatan jahat yang lain wajib dihindari kerana ia merupakan pengkhianatan yang besar kepada ALLAH SWT.

“Tahukah engkau melakukan hubungan sebelum bernikah itu salah dan berdosa besar? Insan semuda kita sepatutnya digunakan untuk menambah ilmu agama, bukan menodai diri sendiri dengan perkara yang terkutuk dan dilaknat ALLAH.” Lembut Syed Arjuna mengungkap kata, menyampaikan peringatan.

“Dan Rasulullah SAW pernah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan.” Dia menyambung.

“Ah, engkau itu cakap tidak serupa bikin. Nampak sahaja tinggi keimanan, sedangkan maksiatmu sebenarnya lebih menggunung daripadaku!” Pelajar itu membentak, melemparkan tuduhan melulu terhadap Syed Arjuna.

Terlerai segugus nafas daripada dada Syed Arjuna. Apabila dinasihat, ia disanggah. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Seakan sia-sia sahaja peringatan yang diberi laksana mencurah air ke daun keladi, kerana hati itu sudah dipenuhi titik noda yang berakar umbi.

“Jika engkau sudah berkeras kepala sebegitu, aku tidak boleh berbuat apa-apa melainkan berhadapan sahaja dengan engkau.”

Syed Arjuna menyinsing lengan kemejanya ke paras siku sebelum dia bersiap sedia untuk menerima serangan daripada pihak lawannya itu.

“Huh, jantan kecut lagi lemah seperti engkau pastinya akan tumbang di tanganku,” jengek pelajar itu, menguji had kesabaran Syed Arjuna.

Pelajar itu mula menyerang, tetapi ketangkasan Syed Arjuna tiada tolok bandingnya. Pergerakannya begitu gencar dan sangat terlatih, menyukarkan pelajar itu untuk membaca arah serangannya.

“Hiyargh!” tempik pelajar itu sambil melompat dengan kaki kanan, sejurus itu ditujah ke arah lawannya.

Syed Arjuna tangkas mengelak, menyambar kaki yang melurukan tendangan ke arahnya sebelum ia dikunci dan dikumpulkan sepenuh tenaga untuk membaling pihak lawannya ke arah tembok berhampiran.

Pelajar itu mengerang kesakitan dek dihempas ke tembok yang tidak terlalu kukuh itu. Ia sudah retak menanti runtuh, membuktikan bahawa kekuatan Syed Arjuna berada di tahap maksima ketika menghempas tubuhnya ke tembok itu.

“Aku min … ta maa … aff ….” Terketar-ketar suara pelajar itu, disela-sela erangan kesakitan yang kini semakin deras mengalir dalam tubuhnya.

Syed Arjuna sekilas memandang lawannya yang telah cedera parah itu. Pakaiannya yang berwarna putih habis dikotori debu tanah. Dia melangkah pergi meninggalkan pelajar itu.

Semakin lama langkahnya semakin laju menuju ke satu destinasi, yakni Madrasah al-Huffaz.

* * *

“ASSALAMUALAIKUM …,” ucapnya tatkala sudah melewati pintu masuk madrasah berkenaan. Berhampirannya, ada sebuah pondok wakaf yang sedang diduduki oleh seorang lelaki.

“Waalaikumussalam.” Lelaki itu menjawab.

Syed Arjuna terus menerpa ke arah lelaki berkenaan. Tubuh itu dipeluk erat sambil melampiaskan air matanya yang tiada tertahan lagi. Tindakan spontan itu mengejutkan lelaki bernama Sayyid berkenaan.

“Mengapa, Syed Arjuna? Apa yang telah berlaku?”

“Aku telah memukul seseorang ketika pulang dari sekolah sebentar tadi.”

“Adakah sengaja kamu memukulnya?” Sayyid ingin tahu.

“Tidak. Aku memukulnya kerana dia mengancamku,” jawab Syed Arjuna dalam esak tangis yang masih tersisa.

Dirungkai pelukannya, kemudian melabuh duduk di sebelah Sayyid seraya mengesat sisa juraian air mata menggunakan lengan uniformnya.

Sayyid mengerut dahi, “Jadi, mengapa kamu perlu menangis? Tindakan kamu untuk mempertahankan diri itu adalah benar, bukan kerana sengaja ingin mencederakan manusia lain.”

Syed Arjuna terdiam, seakan terpaku kelu lidahnya.

Selama ini, hidupnya hanya disaluti kuah penderitaan, berulamkan tragedi yang tragis. Diculik, ‘dipermainkan’, diperlekehkan, dicederakan, malah hampir dikoyakkan maruahnya oleh seorang perempuan yang sudah pastinya dirasuk nafsu serakah yang menggila.

Tetapi, apabila dia bertindak mempertahankan diri, terkuntum pula rasa keserbasalahan.

“Tidak mengapa. Kamu mungkin belum biasa dengan situasi sebegitu sehingga timbul rasa bersalah dalam diri kamu,” ujar Sayyid yang mengerti akan situasi yang dialami oleh Syed Arjuna tika itu.

Syed Arjuna sekadar melekukkan senyuman nipis pada wajahnya. Tatkala Dama tiada di sisinya kerana pergi berkelana mencari rezeki, Sayyid menjadi tempat untuknya meluahkan segala masalah dan meminta nasihat, malah menjadi mu’alimnya untuk memantapkan ilmu agama di dadanya.

* * *

KESAKITAN ditahan-tahan, dengan payah dia mengheret langkah menuju pulang ke rumah. Kesan lebam dan bengkak akibat dibelasah oleh Syed Arjuna, masih menyengat pada tubuhnya.

Meskipun begitu, dia tidak mengambil iktibar. Malah, dendam kesumatnya semakin membara!

Wajah Arwa Arinah terconteng resah yang bukannya kepalang. Sepatutnya pada waktu sebegini, anakanda bongsunya sudah pulang dari sekolah.

Sesekali, dia mengerling ke arah anak sulungnya yang sedang mengimpal besi untuk menghasilkan sebilah pedang. Keluarganya merupakan pengimpal besi yang cukup dikenali di Kota Jenggala sejak turun-temurun.

“Ya Tuhanku! Apa yang telah terjadi kepada kamu, Kailani?” Arwa Arinah terkejut melihat keadaan anakandanya yang baru pulang itu.

“Ku dibelasah, malah kekasihku si Na’ifah telah meninggalkanku. Kesemuanya gara-gara Syed Arjuna. Dia jugalah yang memperlakukanku sebegini rupa.”

Arwa Arinah membengis mendengarkan nama Syed Arjuna yang diungkapkan oleh anaknya itu. Dia bukannya tidak mengenali akan budak yang seorang itu, yang sering mengundang musibah dan bencana di Kota Jenggala.

Tatkala berlaku kemelut dalaman, nama itu pastinya akan terungkap sebagai punca tercetusnya hal berkenaan.

Dia melempar pandang ke arah anakanda sulungnya yang sedang menajamkan pedang. Khaizuran yang memahami maksud pandangan ibundanya, menganggukkan kepalanya tanda mengerti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience