PROLOG I

Adventure Series 10450

HUJAN turun selebat-lebatnya diiringi kilat yang sabung-menyabung. Di kediaman yang terletak berhampiran kawasan hutan belantara itu, terdengar suara rengekan seorang bayi lelaki yang baru sahaja selamat dilahirkan. Syed Idris terus menarik langkah menghampiri mak bidan bersama perasaan gelisah yang masih kencang bertemali di dadanya.

“Bagaimana keadaan anak dan isteriku?” soalnya.

“Kedua-duanya selamat, cuma firasatku mengatakan hujan lebat yang membasahi kampung kita sekarang diiringi khabar yang tidak baik,” jawab mak bidan itu dengan nada yang benar-benar serius.

“Apakah ia ada kena-mengena dengan kelahiran anakku?” Syed Idris menyoal lagi.

“Benar.” Sepatah jawapan yang meluncur dari bibir mak bidan itu mengencangkan lagi perasaan gelisah di hatinya. Kelahiran zuriat yang sepatutnya diiringi rasa gembira dan kesyukuran, berganti dengan perasaan gundah dek memikirkan nasib yang bakal menimpa.

Mak bidan masuk ke dalam bilik, setelah itu keluar semula sambil mengendong bayi yang baru dilahirkan itu lalu diserahkan kepada Syed Idris selaku ayahanda kepada anak berkanaan.

“Ini anak kamu.” Ringkas ucapannya sebelum kembali masuk ke dalam bilik berkenaan.

Syed Idris tanpa bertangguh terus mengalunkan azan dengan lembut ke telinga kanan bayi lelaki berkenaan. Setelah itu, diiqamatkan pula ke telinga kiri zuriatnya seiring dengan hadis yang menyatakan: ‘Sesiapa yang dikurniakan anak lalu diazankan pada telinga kanan dan diiqamahkan pada telinga kiri, pasti tidak akan diganggu oleh syaitan Ummu Sibyan.’

Mulutnya kemudian terkumat-kamit membacakan beberapa potong ayat-ayat suci al-Quran supaya kalimat tentang kebesaran Allah menjadi antara yang pertama didengari oleh anaknya.

“YA ALLAH, peliharalah anakku daripada sebarang kejahatan. Sebagaimana engkau memelihara nabi-nabi utusan-MU, kau peliharalah juga zuriatku ini seperti mereka. Sesungguhnya hanya kepada-MU aku berserah dan memohon pertolongan,” doa Syed Idris bersungguh-sungguh.

Api jamung semakin galak meliang-liuk mengikut rentak angin yang semakin ganas derunya. Jendela rumah juga terbuka tutup dengan sendirinya. Syed Idris yang menyaksikan itu tersentak bukan kepalang. Istigfar tak lepas-lepas menjadi permainan bibirnya.

“Argh!” Jeritan Wan Kalsom memeranjatkan Syed Idris di ruang tamu. Lelaki itu terus menyerbu masuk ke dalam bilik yang dijadikan kamar bersalin isterinya. Dia terkejut melihat keadaan isterinya dan mak bidan yang terkulai dengan keadaan lantai kayu yang sudah dicemari darah.

Hampir pecah empangan matanya, namun ditahan sedaya upaya. Kedua-dua kaki isterinya berlumuran darah, sementara mak bidan pula berjejeran darah di mulut dan hidungnya. Melihat keadaan Wan Kalsom yang sebegitu rupa, tahulah dia bahawa ajal sudah menjemput pergi isterinya. Meninggal dunia seusai melahirkan anak.

“Aku minta maaf, Syed. Aku … gagal melindungi isterimu. Ilmu aku … tidak setanding ‘orang sana’ dan … aku sendiri tewas … di tangannya.” Tersekat-sekat mak bidan menuturkannya. Sesekali dia terbatuk-batuk, darah membuak keluar lagi dari mulutnya.

Syed Idris ingin menghampiri mak bidan, tetapi angin kencang yang menerobos masuk dari tingkap jendela yang terbuka seakan menghalang tindakannya. Angin itu sepertinya bergumpal dengan sesuatu kuasa, yang mengakibatkan Syed Idris terpelanting ke belakang.

Lelaki itu tersungkur, dia terbatuk-batuk kecil. Menjalar-jalar kesakitan pada tubuhnya dek momentum tolakan yang begitu kuat. Anak yang berada dalam dakapannya, akan dilindungi sehabis mungkin meskipun nyawa terpaksa menjadi pertaruhan.

Syed Idris menganggap apa yang menimpa ini adalah ujian daripada ALLAH untuk melihat adakah dia tergolong dalam kalangan orang yang sabar atau kufur dengan nikmat-NYA.

Hatta, Nabi Muhammad SAW sendiri pun, kekasih ALLAH yang maksum daripada melakukan dosa, ALLAH menguji baginda dengan sihir yang dihantar oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq yang berlaku ketika Nabi SAW pulang dari Hudaibiah pada bulan Zulhijjah tahun ketujuh Hijrah.

“Syed Idris …” Mendengar namanya diseru, matanya melilau memandang sekeliling. Di satu penjuru, dia melihat ada satu kelibat berkelubung hitam tercegat di situ. Ada leteretan senyum penuh makna yang terlukis pada wajah berkenaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience