Rate

Bab 2

Mystery & Detective Series 1394

Tentera pemburu yang entah datang dari mana dan untuk apa? Fatima dan Wafa berpandangan sesama sendiri. Tetapi apa yang mereka tahu dan pasti, tentera pemburu itu masih berjalan di sekitar mereka.

"Sudah kau periksa di bawah kolong ini? Tanya seorang tentera pemburu yang mempunyai tanda tiga baris di kedua-dua bahu lengan bajunya kepada seorang lagi tentera pemburu yang tidak mempunyai sebarang tanda di lengan bajunya.

"Sudah Sarjan!" Tegas suaranya menyahut soalan tersebut. Sambil itu, ia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bawah jambatan daripada senjata raifal automatiknya.

Lelaki itu berdiri hampir tepat bersebelahan Fatima di sebalik belukar rumput. Andai tiada rumput liar tumbuh tinggi di situ, sudah pasti lelaki itu akan menjumpai Fatima, Wafa dan bayi lelaki itu.

Untuk saat ini, mereka sungguh bersyukur kerana masih mempunyai tempat bersembunyi di kota Nablus yang sedang dalam kancah pembantaian perang.

Kubangan kotor sungai mati dengan bau selut bercampur darah itu setidaknya sudah menyelamatkan nyawa mereka sampai ke detik ini.

Seorang lagi tentera pemburu sedang berjalan di jambatan tepat bersebelahan dengan persembunyian Fatima, Wafa dan bayi lelaki itu.

Kemudian ada beberapa orang ikut turun ke dalam sungai. Seseorang yang suaranya terdengar di sisi lain dari sungai berbicara dalam bahasa asing yang entah apa dan tidak difahami. Barangkali bahasa Hebrew.

Bunyi derap langkah seperti berlari terdengar dari arah belakang mereka dan secara tiba-tiba berhenti. Suaranya lantang berbicara dalam bahasa asing yang sepertinya arahan bagi memberhentikan operasi mereka untuk sekarang.

Kemudian, terdengar beberapa pekikan kasar dari lelaki yang dipanggil Sarjan tadi. "Berundur!" Tidak berapa ketika, terdengar langkah yang banyak itu meninggalkan kawasan sungai itu.

Sudah cukup lama mereka berada di sana. Tubuh rasanya semakin lemah. Nafas semakin lelah. Kaki mereka sudah kesemutan sejak tadi dan Fatima sendiri sudah hampir tidak tahan. Dia cuba untuk keluar dari tempat persembunyian di sebalik rumput liar itu, tapi segera ditegah oleh Wafa yang berada di sebelahnya. "Jangan! Kita biar suasana reda dan tenang dahulu". Perlahan bisikan suara Wafa kepada Fatima. Tetapi cukup jelas dan difahami oleh Fatima.

Wafa risau dan ragu serta kurang percaya bahawa tentera pemburu itu sudah meninggalkan mereka sepenuhnya. Diangkatnya tangan tanda diam dengan telunjuk yang menyentuh bibir pada gadis kecil tadi.

Disandarkannya punggung ke kayu berlumut penyangga jambatan. Rasa jijik dan mual melihat dan merasai kotoran di bawah jambatan itu sepertinya sudah pergi terusir oleh ketakutan dan kepenatan yang mereka alami. Wafa kelihatan benar-benar lelah. Tangannya sedikit ke bawah dalam posisi memeluk bayi itu. Ia menandakan bahawa tenaganya kian berkurangan.

Posisinya sungguh tidak selesa. Tetapi entah sudah berapa minit matanya telah terpejam. Melayan kelelahan tubuhnya.

Hari sudah benar-benar gelap saat Fatima menarik hujung lengan jubah hitam membangunkannya. Gadis kecil itu langsung tidak bersuara. Ia yakin gadis itu tidak bisu. Tetapi hanya merasa keadaan ketika itu memaksanya untuk terus diam. Ia juga tiada keinginan untuk berbicara kecuali jika ingin cari mati.

Kini telinganya ia tajamkan, matanya berkilat dan dikecilkan. Seluruh panca inderanya dipaksa bekerja lebih keras dan teliti demi mencari jalan untuk keluar dengan selamat.

Wafa perasan, gadis kecil itu merenung dan menatapnya dengan penuh harapan. Seolah-olah meletakkan sepenuh keselamatan diri pada dirinya yang bahkan namanya pun ia tidak tahu.

Bayi lelaki dalam pelukan Wafa masih berada dalam belaian mimpi. Bunyi nafasnya teratur seperti langsung tidak terganggu dengan keadaan persekitaran. Ia langsung tidak ambil peduli dengan keadaan hidup mati yang ia alami. Sesuai dengan fizikalnya selaku seorang bayi yang masih tidak lagi mengenal dunia.

Otak Wafa itu terus berputar mencari berbagai cara yang mungkin dilakukan untuk keluar dari kawasan persembunyian tersebut. Kini setiap langkahnya menentukan hidup mati mereka bertiga. Ia tidak yakin tentera pemburu yang menduduki kota ini sudah pergi. Sebaliknya ia yakin dan percaya bahawa mereka telah bersedia untuk menghadapi pasukan Briged Al-Qassam yang akan sedaya upaya untuk kembali merebut kota ini.

Bagaimanapun, mereka bertiga tidak mungkin terus bertahan di tempat itu tanpa sebarang sumber makanan dan minuman. Selain itu, mereka juga boleh tertangkap dan dibunuh pada bila-bila masa sahaja.

Wafa mula membuat penilaian kemungkinan tentera pemburu itu masih berkeliaran di sekitar meraka tempat mereka. Setelah cukup lama dirasakannya suasana sunyi itu, mulailah dia marangkak ke bahagian luar dari persembunyian mereka di sebalik rumput liar itu.

Dilemparkannya sebuah batu ke arah air sungai di luar tempat persembunyian mereka itu. Setelah dirasakan tiada tindak balas, kepalanya ia julurkan keluar dari rimbunan rumput liar untuk melihat dan memastikan keadaan persekitaran.

"Hmmm, kelihatannya keadaan sunyi dan tiada tanda tentera pemburu". Monolog Wafa sendiri di dalam hatinya. Keadaan juga aman di sekitar sungai itu dan ia kelihatan sudah bersih dari tentera pemburu.

Sepanjang pandangan matanya di atas jambatan itu hanya kelihatan mayat yang bergelimpangan dan dihurung lalat. Wafa, masih memberi isyarat pada gadis kecil itu untuk menahan diri keluar dari persembunyian.

Keraguan masih tampak kelihatan di wajahnya yang kotor, berkeringat, dan ketakutan. Tetapi ia terus berusaha membangun keberanian itu sekuat tenaga. Wafa sekilas pandang merenung bayi lelaki di dalam pelukannya, kemudian melihat ke arah gadis kecil yang masih terus menatapnya penuh harap.

Dengan keberanian yang mungkin tidak sampai satu perseratus pun, ia mempertaruhkan nasib mereka bertiga. Wafa memberi isyarat pada Fatima untuk segera keluar dari persembunyian.

Gadis kecil itu merangkak keluar perlahan-lahan tetapi penuh hati-hati dari rimbunan rumput liar itu. Fatima kemudian cepat-cepat mengekori di belakang gadis muda yang berjalan mengendap dengan langkah cepat. Mereka masih berjalan menyusuri sepanjang aliran sungai di mana terdapat banyak semak.

Fatima kelihatannya nampak jauh lebih ketakutan sekarang. Langkahnya berat dan perutnya terasa amat lapar sekali. Namun, ia sebaik mungkin berusaha untuk menyamakan langkahnya dengan gadis muda di hadapannya. Dia benar-benar tidak tahu untuk berbuat apa, tetapi tiada pilihan lain selain terus mengikuti gadis muda dan bayi lelaki di depannya itu.

Entah bagaimana, dengan suasanan keheningan itu, bunyi angin pun kedengaran sangat menakutkan bagi mereka.

Kini mereka kembali berjalan ke arah kota Nablus di mana mungkin mereka menemui sumber makanan dan minuman bagi mengisi perut yang sudah seharian tidak berisi.

Fatima tiba-tiba menarik hujung jubah Wafa beberapa kali hingga gadis muda itu menoleh ke arahnya dan memberi perhatian. Kemudian dengan perlahan gadis kecil itu mengarahkan telunjuk kirinya ke arah kanan di mana terdapat deretan kedai yang kelihatan musnah dihujani peluru raifal dan dibedil mortar. Arah mata Wafa nampak lebih terarah ke papan iklan yang keadaan sudah rompong dan jatuh begitu saja.

Ya. Kini Wafa tahu maksud gadis kecil tadi. Kelihatan di hujung deretan kedai tadi ada sebuah lorong jalan keluar dari kota ini.

Meskipun masih berbelah bahagi samada mahu kekal tinggal di kota ini atau keluar, tetapi akhirnya mereka bergerak dengan hati-hati menyeberang jalan menuju ke lorong di hujung deretan kedai itu.

Wafa tiba-tiba mulai panik apabila dirasakannya bayi lelaki itu bergerak aktif menunjukan tanda ia telah terjaga dari tidurnya. Langkahnya semakin dipercepatkan hingga kadang-kadang terasa seperti sedang berlari anak. Perasaanya bercampur baur. Ia merasa ketakutan dan bimbang jika bayi itu tiba-tiba menangis.

Fatima di belakangnya semakin sukar untuk mengimbangi langkahnya yang besar dan semakin cepat itu. Gadis kecil itu tiba-tiba terjatuh tersungkur akibat kepenatan yang teramat sangat. Wafa yang menyedari kejadian itu memberhentikan langkah dan cuba membantu Fatima untuk berdiri kembali. Saat itu juga, secara tiba-tiba bayi lelaki itu telah terjaga dan mengeluarkan bunyi tangisan yang boleh membangunkan siapa sahaja yang telah tidur.

Walaubagaimanapun, Wafa masih boleh mengatasi kerisauannya kerana semua manusia yang berada disitu kelihatan sudah tidak lagi bernyawa. Namun, kerisauannya muncul kembali saat didengarnya bunyi tapak kaki berderap entah datang dari mana.

Dengan tergopoh-gopoh, Wafa segera menggenggam erat tangan Fatima setengah menyeret, dengan sebelah tangannya lagi menggendong bayi lelaki itu. Secepat mungkin ia berlari cuba memasuki sebuah kedai untuk dijadikan tempat bersembunyi. Mereka berlari dengan rasa tidak tentu arah dan ketakutan yang amat sangat.

Entah apa yang membawa mereka pada sebuah kedai yang runtuh di mana mereka sekarang bersembunyi. Wafa kelihatan jelas berada dalam keadaan yang amat panik. Dengan keadaan bayi lelaki di dalam pelukannya yang sedang menangis dan Fatima yang kelihatan sangat keletihan.

Tubuhnya Fatima kelihatan menggigil kuat. Wafa yakin anak kecil ini tidak lagi mempunyai tenaga untuk berlari kerana menahan lapar dan dahaga yang teramat sangat. Idea bodoh atau nekad, mereka bersembunyi di bawah meja di sebuah kedai perabot yang sangat gelap dengan longgokan barang dan mayat yang jelas bergelimpangan di sana sini.

“Mungkin dia haus.” Wafa berfikir pendek mengenai sebab bayi lelaki itu terjaga dan menangis. Wafa tiba-tiba terfikir idea gila dalam situasi buntu itu. Ia harus menyusui bayi itu untuk mengelakkan bayi tersebut menangis. Dia tidak tahu bagaimana, tapi nampaknya ia tidak ada cara yang lain. Setidaknya dia sedikit tahu bagaimana cara menyusui bayi walaupun mengetahui tiada susu yang akan keluar. Dia bukan seorang ibu. Dia masih anak dara yang belum pernah menikah dan hamil. Setidaknya, tindakan ia cuba menyusui bayi tersebut dapat mengelakkan bayi itu daripada terus menangis. Tidak ada idea lain yang berjaya difikirnya ketika itu.

Fatima kelihatan nampak pelik dengan kelakuan perempuan itu. Air mukanya kelihatan ketakutan dan aneh seperti ingin tertawa dan ngeri. Ia seperti tidak yakin dengan tahap kewarasan perempuan yang menolongnya itu. Dia terus memerhatikan tindakan perempuan yang sedang menyusui si bayi tersebut dihujung matanya. Kerana ia berasa tidak selesa dan sedikit malu melihat buah dada perempuan tersebut.

Fatima menatap gadis kecil di sampingnya dan sedikit menggerakkan dagunya sendiri seolah bertanya, "Kau kenapa?" Kerana berasa kelakuannya melihat aksi Fatima menyusui bayi itu disedari, gadis kecil itu hanya menggelengkan kepalanya dan memalingkan wajahnya ke arah sudut lain.

Tiba-tiba, Wafa sedikit menjerit akibat menahan kesakitan kerana putingnya digigit oleh bayi tersebut. Wafa sedar bahawa bayi tersebut sedang cuba menghisap air susu dari putingnya. Semakin lama bayi itu menghisap semakin kuat dan Wafa hampir menangis dibuatnya. Sekuat tenaga dikerah agar rasa sakit dapat dikurangkan, sambil ia memikirkan jalan keluar daripada masalah ini.

Entah kerana yakin, nekad, atau tidak tahan, Wafa segera menarik tangan Fatima dan meninggalkan tempat mereka bersembunyi sekarang. Sambil masih menyusukan sang bayi, dia memimpin Fatima. Kini mereka hanga berjalan menghendap secara perlahan-lahan. Mereka terus melangkah dengan sangat hati-hati dan berwaspada.

Wafa mendapati jalan yang dipilihnya seperti menghala keluar dari kota Nablus. Di hujung lorong, kelihatan sebuah pasar mini yang sudah musnah hampir tidak berupa. Mereka mempercepat langkah demi memanfaatkan tenaga yang masih tersisa.

Sesampainya di sana mereka terua masuk tanpa perlu membuka pintu kaca yang sudah hancur lebur. Gadis kecil itu kemudiannya terus menuju arah rak makanan mengambil sebungkus roti dan memakannya dengan rakus sekali. Sementara itu, Wafa sempat mengambil bag tangan dari salah satu mayat perempuan yang bergelimpangan di depan pasar mini tersebut dan membawanya masuk ke dalam. Sebelum menggunakan bag tangan tersebut, dia mengeluarkan isi bag itu dan hanya mengambil beberapa benda yang difikirnya berguna.

Gadis kecil tadi sedang sibuk dengan rotinya dan sebotol kecil air mineral. Wafa yang sedang menyusui dan menggendong bayi, sedang sibuk di rak susu formula. Bagaimanapun, ia berasa bingung sebentar dengan beberapa pilihan susu bayi yang harus ia pilih. Setelah itu, ia memutuskan untuk mengambil seberapa banyak susu bayi yang boleh dan dimasukkan ke dalam bag tangan. Kemudian, ia menuju ke ruangan peralatan bayi dan mengambil beberapa botol susu, lampin pakai buang, beberapa helai baju dan seluar serta beberapa lagi peralatan bayi yang diperlukan.

Saat itu juga, Fatima kelihatan mula mencari dan mengumpulkan berbagai jenis makanan serta minuman dan dimasukkan ke dalam sebuah bag plastik besar yang ditemuinya.

Kemudian, Wafa dan Fatima memilih beberapa lagi keperluan tambahan dan dimasukkan ke dalam bag plastik. Bukan mereka tidak tahu ini adalah penjarahan, tapi mereka langsung tidak mempunyai pilihan selain berbuat demikian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience