Rate

BAB 1

Drama Completed 260

ALIAS memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Alias mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat.

Lalu Alias menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Alias tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.
Beberapa hari juga Alias menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Alias tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Monyet muncul, monyet ditembaknya.

Tupai datang, tupai ditembaknya.

Kera tiba, kera ditembaknya.

Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Alias akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Alias nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga.
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Alias .

Terima kasih kerana Tuk Ku sudi.

Aku yang patut berterima kasih.

Alias nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis.

Alias bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Alias . Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah.

Alias memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Alias .

Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Alias menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu.

Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Alias tidak punya alasan. Lalu Alias menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Alias tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu.

Lalu Alias , sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam.

Mata Alias kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya.

“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Alias .

Alias senyum.

“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya.

Alias sadin.

“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.”

“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.”

“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.”

“Saya bimbangkan kera.”

“Hammm! Yalah.”

“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Alias .

“Perangai kera.”

Mata Alias pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya.

Janah senyum melihat itu.

“Baru terasa lapar?” Tanya Janah.

Alias sengih.

Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu.

Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu.

Pagi itu setelah selesai solat Subuh Alias sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Alias mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Alias kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Alias segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya.

Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Alias . Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Alias , beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Alias .

Mata Alias segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Alias segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Alias lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Alias tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Alias .

Sepi buat seketika.

Alias balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Alias menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ.

Angin pagi yang lembut menyamankan Alias . Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Alias ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Alias membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya.

Alias pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu.

“Dah gugur? ” Tanya Janah.

“Rezeki awak,” kata Alias sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Alias menghulurkan kepada Janah.

Dengan senyum Janah mencapai seulas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience