Rate

BAB 2

Drama Completed 260

Alias juga mencapai seulas.

“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Alias .

“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.”

Alias dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Alias . Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’

“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Alias .

Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca.

Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Alias berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Sharil anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Sharil .

Alias kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya.

“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Sharil .

Alias sengih pada wajah Sharil .

“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Sharil lagi.

Alias memandang wajah Sharil .

Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Sharil meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka.
Durian gugur lagi.

Sharil pula yang datang mengambil buah durian itu.

“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Sharil sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu.
Alias sengih pada wajah anaknya.

“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Sharil .

“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Alias .

Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Alias . Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu.

Keluarga Alias terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’
Petang itu tinggal Sharil dalam kebun durian itu. Alias ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Alias merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’

Anak dan cucu-cucu Alias sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Alias dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Alias sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Alias gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.

Alias diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya.

Alias merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak.

“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan.

“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “

“Pakai lastik.”

“Tak sampai.”

“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Alias .

“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”.

“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?”

“Apa daya saya,” kata Alias . Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu.

Buah-buah durian tembaga Alias sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Alias dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Alias tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu.

Dan Alias , sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Alias siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu.

Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur.
Alias tetap menunggu.

Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.
Alias tetap patuh menanti.

Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur.
Alias tetap setia menunggu.

Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur.
Alias tetap taat menanti.

Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Alias mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Alias . Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Alias segera ke tempat itu.

Alias sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Alias menggeleng-gelengkan kepalanya.

Kenapa kamu baru gugur?

Tidak ada harganya lagi.

Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat.

Bau masam kamu menyesak hidung.

Kasihan.

Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu.

Alias menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam.

Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa.

Alias terus menggeleng-gelengkan kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience