Zahra mundar-mandir dihadapan bilik rawatan. Keluarganya ditelefon untuk mengkhabarkan tentang Daniell yang dimasukkan ke hospital. Lama Zahra tunggu, barulah keluarganya tiba. Semuanya dengan riak muka yang jelas menggambarkan kerisauan. Zahra ditanya dengan pelbagai soalan sehingga menyesakkan fikirannya.
“Kenapa Daniell boleh masuk hospital ni?”
“Apa sebabnya?”
“Dia ada makan apa-apa yang salah ke?”
“Dia tertekan ke?”
Zahra hanya mendiamkan diri di dalam pelukkan mak ngah. Tidak mahu menjawab walaupun sepatah perkataan. Semua yang ada di situ seakan faham dengan keadaan Zahra yang mungkin merisaukan Daniell, tidak terus melanjutkan pertanyaan dan hanya menunggu laporan daripada doktor sahaja. Beberapa minit kemudian, doktor keluar dari bilik rawatan dan mereka semua menyerbu ke arah doktor. Zahra tidak turut serta, hanya mendengar daripada jauh saja.
“Sabar ye semua, Daniell keadaannya baik-baik saja. Tetapi menurut saya, dia telah mengambil julap secara berlebihan. Itu punca utamanya. Daniell akan pulih sepenuhnya dalam beberapa hari, insyaAllah.” Ujar doktor kemudian berlalu pergi.
“Kenapa Daniell boleh ambil julap secara berlebihan pula ni? Dia ada masalah buang air besar ke?” soal Encik Madi kepada Zahra yang sedari tadi mendiamkan diri. Lama keadaan sunyi sebelum terdengar esakan halus daripada Zahra. Semua mata tertumpu kepadanya.
“Zahra minta maaf, Zahra yang letakkan julap tu dalam minuman Daniell. Zahra tak berniat pun nak buat Daniell sampai jadi macam ni. Niat Zahra nak kenakan Daniell saja. Zahra minta maaf. Zahra tahu Zahra salah dalam hal ni.” Jawab Zahra dengan suara yang tersekat-sekat. Mak cik Leha yang mendengar sudah mengurut dada menahan rasa terkejut. Tak sangka Zahra akan lakukan perkara itu. Encik Madi sudah menggelengkan kepala mengenangkan sikap anaknya yang seorang itu. Mak ngah masih setia disisi Zahra sambil mengelus lembut belakang Zahra. Tiba-tiba Rizky bersuara.
“Kenapa kau buat abang aku macam tu? Kau nak bunuh dia ke ha?” soal Rizky kasar. Zahra hanya menggelengkan kepala.
“Kau buat semua tu sebab dendamkan? Sebab dia tipu kau? kau tak dapat balas dekat aku dengan mak aku, kau balas dekat Daniell pulakan?” Rizky tidak putus-putus mendesak Zahra. Akhirnya Zahra bersuara.
“Ye. Memang saya pada mulanya bercadang nak balas dendam dekat awak dan mak awak, tetapi setelah saya dapat tahu Daniell tipu saya tentang keluarganya, saya menukar cadangan untuk mengenakan dia, bukan saya nak balas dendam sangat pun. Saya sayang dia tahu tak. Kalau tak sayang saya tak kahwin dengan dia. Saya nak dia rasa apa yang saya rasa je. Saya tak sangka jadi macam ni sekali.” Jawab Zahra sebak sambil menundukkan wajah menekur lantai. Setitik demi setitik air matanya jatuh.
“Kalau awak sayang dia, awak ikut saya sekejap.” Rizky bersuara kembali dengan lebih sopan. Zahra memandang mak ngah dan mak ngah membalas dengan anggukkan. Perlahan Zahra bangun dan mengikut jejak langkah Rizky. Mak cik Leha cuba menghalang tetapi ditahan oleh Encik Madi.
“Saya tahu Rizky takkan buat apa-apa dekat Zahra. Biarlah dia menceritakan hal sebenar kepada Zahra. Doakan supaya Zahra menerimanya dengan hati terbuka.” Encik Madi bersuara lalu melabuhkan duduk di kerusi menunggu.
“Zahra, saya nak ceritakan perkara sebenar kepada awak tentang apa yang telah berlaku. Saya rasa awak salah faham.” Rizky bersuara setelah sampai ke destinasi yang dirasanya sesuai untuk berbincang. Kafe.
“Apa yang membuatkan awak rasa saya salah faham?” soal Zahra senada.
“Pasal kematian ibu awak, bukan mak saya puncanya. Memang ayah awak berkahwin dengan mak saya tanpa pengetahuan ibu awak. Apabila ayah awak menceritakan perkara sebenar kepada ibu awak, memang ibu awak sedih. Tetapi lama-kelamaan ibu awak dapat terima semua tu dan dia meninggal sebab penyakit dia. Doktor telah sahkan yang ibu awak meninggal disebabkan penyakit Alzheimer. Awakkan lama tak balik kampung awak, masa tu ibu awak di saat kritikal. Penyakit dia semakin teruk, sehingga suatu hari dia lupa semuanya dan akhirnya penyakit itu menjadi penyebab ibu awak dijemput Ilahi. Kalau awak tak percaya awak boleh tengok sijil kematian ibu awak. Semuanya sudah tertulis di luh mahfuz tentang takdir manusia. Buat apa kita nak mempersoalkannya lagikan?” terang Rizky panjang lebar. Zahra yang mendengar hanya diam membisu.
“Jadi selama ni saya yang salah faham? Saya yang bertindak melulu? Saya...” Zahra tidak mampu meneruskan bicaranya. Terasa dirinya perempuan yang paling bodoh saat itu.
“Awak tak salah, awak buat semua tu sebab awak sayangkan ibu awak. Tapi nanti, awak kenalah selidik betul-betul suatu perkara sebelum bertindak lebih lanjut. Faham?” tanya Rizky sambil tersenyum senang kepada kakak iparnya. Zahra hanya mengangguk.
“Saya minta maaf sebab dah cakap dekat awak dan mak macam-macam. Saya dah belasah awak teruk.” Zahra berbicara sambil tertunduk malu.
“Tak apa, saya maafkan. Tapi kuat juga awak pukul saya ye. Hehe. Saya pun nak minta maaf sebab terlempang awak hari tu. Saya tak dapat kawal perasaan saya bila orang tuduh mak saya macam-macam.” Rizky buat muka comel dekat Zahra. Zahra gelak perlahan. Sebijik macam Daniell muka dia tadi. Teringat saja pasal Daniell, air mukanya berubah.
“Tak apa, saya maafkan. Saya pun akan buat perkara yang sama juga kalau ibu saya kena tuduh. Tapikan saya tak tahu macam mana nak minta maaf dekat Daniell. Saya banyak buat salah dengan dia, padahal dia baik sangat dengan saya. Saya selalu sakitkan hati dia. Saya takut dia tak maafkan saya.” Zahra meluahkan rasa kepada Rizky.
“Daniell tu kalau marah sekejap je. Kalau dia merajuk ke, terasa hati ke, susah sikit nak pujuk. Awak kena usaha lebihlah. Awak boleh punya dan si Daniell tu takkan benci awak sebabnya dia sendiri cakap dekat saya yang dia sayang sangat dekat awak. Jadi tak payah risau pasal tu, yang awak perlu fikir sekarang adalah cara nak tambat balik hati si Daniell tu.” Rizky memberi semangat kepada Zahra.
“Baiklah, terima kasih kerana bagitahu saya semuanya, bagi saya semangat dan terima kasih untuk segala-galanya. Jomlah kita pergi ke wad Daniell” ujar Zahra dan berura-ura untuk bangun.
Share this novel