“Sama-sama. Takkanlah saya nak biarkan keadaan ni tegang sampai bila-bila tanpa ada setitik air yang menyejukkan.” Balas Rizky sambil mengangkat kening sebelah kiri dengan senyuman bangga sebelum menyaingi Zahra berjalan ke wad yang menempatkan Daniell. Zahra hanya menggelengkan kepala.
Daniell tersedar dan orang pertama yang dia lihat adalah Zahra. Laju matanya dilarikan dari melihat Zahra. Zahra yang terperasan pantas memegang tangan Daniell, tetapi pantas juga Daniell menepis pegangannya. Zahra sedikit tersentak akan tindakan Daniell.
“Kenapa awak yang ada dekat sini? Mana yang lain?” soal Daniell tanpa perasaan.
“Diaorang dah balik, esok pagi diaorang datang. Saya suruh diaorang tinggal dekat rumah kita. Biar saya yang jaga awak.” Balas Zahra lembut dan dalam masa yang sama, dia dapat rasa yang nada Daniell berbeza dengan sebelum ni. Daniell yang membelakanginya dipandang sepi. ‘Aku tak nak dia berubah.’ Hati Zahra meronta sedih.
“Saya tak nak awak yang jaga saya. Awak boleh balik, saya boleh jaga diri saya sendiri. Nanti tak pasal-pasal terus mati saya awak kerjakan.” Daniell seakan menghalau Zahra tanpa menoleh ke arah Zahra. Penglihatan Zahra semakin kabur dengan air mata.
“Saya minta maaf, saya tak sengaja buat awak macam ni. Saya cuma nak kenakan awak.” Zahra berbicara sayu.
“Saya tak nak tengok muka awak dekat sini. Awak pergilah balik. Saya tak perlukan orang yang tak perlukan saya.” Suara Daniell semakin keras. Zahra bangkit dari duduk dan menghampiri Daniell. Tangan Daniell digenggam kemas.
“Saya minta maaf Daniell. Saya betul-betul tak sengaja. Saya dah tahu cerita sebenar dari Rizky.” Zahra sudah merembeskan air mata. Daniell masih keras seperti tadi.
“Saya cakap balik, balik jelah. Serabutlah!” Daniell menolak Zahra kasar. Zahra hanya mampu melangkah pergi dengan hati yang sayu. Tetapi Zahra tidak terus pulang, dia melabuhkan duduk pada kerusi di luar wad Daniell. Lama-kelamaan Zahra terlelap bertemankan air mata.
“Zahra, kenapa tidur dekat sini? Kenapa tak tidur dekat dalam?” soal mak cik Leha apabila ternampak kelibat Zahra yang tertidur duduk di luar wad Daniell.
“Mak, Daniell dah bencikan Zahra. Dia tak nak tengok Zahra dah.” Zahra terus memeluk tubuh tua mak cik Leha setelah sedar dari lena. Tadi selepas Rizky menerangkan semuanya, Zahra terus memohon maaf kepada mak cik Leha dan ayahnya. Untungnya, mak cik Leha terus memaafkannya.
“Shhhh. Jangan nangis Zahra. Mana mungkin Daniell bencikan Zahra. Dia merajuk je tu. Tak apa, nanti mak ajarkan cara-cara nak pujuk Daniell tu ye. Dah jangan sedih-sedih lagi.” Pujuk mak cik Leha sambil jarinya ligat menyapu air mata yang mencemari pipi Zahra.
“Terima kasih mak, Zahra minta maaf sebab dah tuduh mak macam-macam dulu.” Zahra kembali memeluk mak cik Leha.
“Dah lah Zahra, mak faham. Tadikan dah minta maaf. Kita lupakan hal dulu-dulu ye, sekarang kita dah jadi keluarga.” Mak cik Leha tersenyum senang dengan kelakuan Zahra.
Dua hari Daniell ditahan untuk dirawat di hospital, dan sekarang dia telah kembali menjejakkan kaki ke rumah. Zahra pun sudah tersedia dengan pelbagai idea untuk menambat kembali hati Daniell. Semuanya hasil gabungan idea antara Zahra dengan mak mentuanya sendiri, Rizky adalah masuk campur sikit-sikit, banyak idea yang tak boleh pakai je dari Rizky tu. Harapannya, hati Daniell kembali terpujuk. Dah masuk dua hari juga Zahra dengan Daniell tak berbicara. Hari ni apabila Daniell dengan dia kembali berdua, dia akan melaksanakan misinya yang terbaru bermula pada malam ini.
Setelah yakin dengan dirinya, barulah Zahra keluar dari bilik air. Melihat baju yang dipakai, Zahra termalu sendiri. Ini semua Rizky punya idea, suruh goda Daniell. Paksa dijadikan misi pertama pula tu. Sabar jelah. Adik dengan abang sama je. Zahra perlahan-lahan berjalan mendekati katil sebelum merangkak naik. Daniell di sebelah sudah menelan liur apabila terbau wangian yang dipakai Zahra. Zahra semakin mendekati Daniell sehingga badannya bersentuhan dengan belakang badan Daniell, lalu terus dipeluk Daniell geram sebelum bersuara.
“Daniellllll, pandanglah sini.” Zahra memulakan aksi menggoda. Daniell memekakkan telinga.
“Abangggg, tengoklah sini.” Daniell menelan liur buat kesekian kalinya. ‘Nasib baik iman aku kuat lagi, kalau tak dah lama aku terkam si Zahra ni. Berani dia panggil aku macam tu.’ Daniell menepis tangan Zahra. Tetapi Zahra bukan seorang yang mudah berputus asa, dipeluknya Daniell sekali lagi. Pantas Daniell menolak tangan Zahra, kali ini lebih kasar sebelum memusingkan tubuh. Terpandang saja baju yang dipakai Zahra, automatik matanya dilarikan.
“Dah kenapa pakai baju macam ni? Nak goda saya? Tak payahlah awak buang masa. Kan saya dah cakap dulu yang saya ‘tak akan’ ulangi benda yang sama. Nanti bila saya ulang benda tu, cakap satu kesilapanlah, lakukan kerana tanggungjawablah.” Daniell selamba menyindir Zahra untuk melepaskan rasa di hati.
“Tapi sekarang saya betul-betul ikhlas. Hari tu saya main-main je, kalau saya tak rela dulu, dah lama saya tolak abang tahu.” Zahra masih lagi memujuk dengan suara yang sengaja dimanjakan.
“Dahlah Zahra, saya tak peduli semua tu dah. Awak buat perangai macam ni, nampak sangat macam murah. Baik awak pergi tidur.” Tersentap Zahra dengan bicara Daniell. ‘Murah? Aku cuma buat apa yang isteri-isteri lain buat. Salah ke? Aku tahu dia sengaja nak sakitkan hati aku, tapi aku tetap sedih.’ Zahra berbicara sendiri, tanpa sedar air mata mengalir bersama esakkan halus. Daniell di sebelah dihimpit rasa kesal kerana telah membuat Zahra menangis. Tetapi cuma sebentar sebelum perasaan itu dibuang jauh.
Daniell yang sedang memarkingkan kereta di garaj dipandang sayang. Segala perlakuan Daniell diperhatikan satu persatu. Daniell yang melonggarkan tie, Daniell singsingkan lengan kemejanya hingga paras siku, Daniell yang berjalan bersama peralatan kerjanya, semuanya mampu membuat hati Zahra kembang setaman. Daniell yang terasa dirinya diperhatikan pantas meliarkan mata memandang sekeliling rumah dan berakhir pada tubuh Zahra yang tidak berkelip memandangnya. Daniell pelik tetapi dalam hati sudah berbunga-bunga. Laju kaki melangkah masuk ke dalam rumah. ‘Tergodalah tu dengan aku’ ujar Daniell perlahan.
Share this novel