Rate

Keliru

Horror & Thriller Series 2379

Setibanya di lapangan terbang Kuala Lumpur, Nadh mengambil teksi untuk pulang ke kampungnya di Melaka. Teksi yang dipandu oleh lelaki yang berusia dinaiki. Sepanjang perjalanan Nadh berbual dengan Pakcik Hassan yang baru dikenalinya itu. Cerita mengenai politik-politik dan ekonomi Malaysia tidak terkecuali dan mereka berbahas seperti di dalam dewan parlimen. Perjalanan yang mengambil masa selama dua jam setengah berakhir apabila Pakcik Hassan memberhentikan teksi yang dipandu di hadapan sebuah rumah kampung di Kampung Melati.

"Cik Nadh? betul ke ini rumah cik?"

Pakcik Hassan menanyakan soalan kepada Nadh untuk meminta kepastian. Nadh memandang rumahnya itu dan tersenyum. Tidak sabar rasa hatinya untuk bertemu keluarga. Perasaan benci ketika dahulu diketepikan.

"Ya ini rumah saya Pakcik Hassan. Terima Kasih ya. Nah duit tambang. Bakinya pakcik simpan ya"

Nadh menghulurkan beberapa keping not kertas kepada lelaki berusia itu lalu membawa barang-barangnya turun dari teksi. Pakcik Hassan hanya berdiam diri dan membantu Nadh mengangkat barang lalu diletakkan di hadapan pagar rumah.

"Maaf cik Nadh, pakcik tidak dapat membantu untuk membawa barang masuk ke rumah. Cik Nadh pasti ini rumah Cik Nadh? --Sekali lagi soalan diajukan bagi meminta kepastian. Kali ini wajah Pakcik Hassan begitu serius.

"Ya ini rumah saya. Mengapa Pakcik?"
Nad agak keliru mengapa soalan ini ditanya berkali. Mungkin Pakcik Hassan ada mengenali ibu atau ayahnya.

"Tak ada apa-apa. Cik jaga diri ya"

Pakcik Hassan membalas lalu meminta izin untuk pergi. Nadh mengangkat kesemua barang lalu memberi salam. Berulang kali Nadh memberi salam namun tiada siapa yang menjawabnya. Dilihat jam pada tangannya menunjukkan beberapa minit lagi sudah.hendak masuk waktu maghrib. Pelik. Tidak mungkin waktu sebegini keluarganya tiada di rumah? atau mereka menginap di rumah saudara?
Nadh sekali lagi memberi salam dan pada kali ini kedengaran suara yang sudah lama tidak didengarinya menjawab salam itu.

"waalaikumussalam, siapa tu?" Kelihatan wanita yang sudah berusia menjenguk di pintu dan agak terkejut setelah melihat wajahnya. Nadh berlari sambil memeluk ibunya. Air matanya tidak tertahan lagi begitu juga rindunya kepada ibu. Kemaafan dipinta berkali-kali kepada ibu.

"Ibu, Nadh tak kisah pun pasal ibu larang Nadh kahwin dengan Alip. Nadh dah lama maafkan ibu. Mungkin keputusan ibu dan ayah tu betul. Maafkan Nadh sebab terlalu lama membawa diri"

Ibu hanya tersenyum sambil mengesat air mata. Dilihat ayah, abang mael dan adiknya sudah ada di depan sambil semua tersenyum gembira. Nadh masuk ke rumah sambil barang barangnya diangkat oleh abang. Malam itu, ibu memasakan masakan kegemaran Nadh iaitu masak lemak cili api dan ayam goreng berlada. Mereka sekeluarga makan sambil mendengar Nadh menceritakan pengalamannya selama bekerja di Indonesia. Selesai makan Nadh meminta diri sebentar untuk mengerjakan solat.
Selepas menunaikan tanggungjawab sebagai seorang islam, Nadh teringat kembali akan ayat yang diucapkan oleh Pakcik Hassan agar dia menjaga diri. Mengapa ditanya berkali adakah ini rumahnya? Nadh agak keliru apa kaitan jaga diri dengan rumah ibunya ini. Mungkin dia saja yang menganggap perkara ini serius. Telekung dilipat rapi lalu Nadh keluar ke ruang tamu setelah terdengar keriuhan gelak tawa keluarganya. Adiknya Zura dilihat sedang menahan geram akibat disakat oleh abang Mael. Sepanjang malam itu mereka sekeluarga berborak sehingga lewat malam. Nadh meminta diri untuk tidur setelah jam menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Malam itu Nadh tidur dengan begitu lena tanpa bermimpi atau diganggu apa-apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience