Zabedah atau lebih dikenali sebagai Bedah merupakan seorang kanak-kanak riang dan lasak. Walaupun hanya berumur sepuluh tahun, Bedah suka melibatkan diri dalam aktiviti lasak. Hampir semua penduduk kampung Medan Selamat kenal dengan kenakalannya sehingga Bedah digelar Bedah tomboy.
Bedah tidak kisah dipanggil sedemikian asalkan dia gembira bersama teman-temannya. Teguran ibunya tidak dipedulikan. Baginya itu hanya peraturan yang menyusahkannya. Terngiang-ngiang kata-kata ibunya siang tadi. “Bedah , sudah berapa kali umi pesan…. jangan main dekat lombong sana…. Tempat tu keras…..”
“Ala…. umi ini….. Bedah tak pergi situ pun……” Bedah cuba membohongi ibunya. Namun ibunya jauh lebih masak perangai anak bongsunya itu. “Jangan nak tipu Bedah …. Umi tahu Bedah pergi lombong lama tu….” Bedah tidak berani memandang muka ibunya. Dia hanya memandang ke bawah sahaja sambil memegang bajunya. Sesekali dia melihat ibunya yang sedang marah dengan pandangan ekor matanya.
Dalam hatinya, Bedah berfikir siapa lah yang mengadu pada ibunya. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia bertanya kepada ibunya. Namun dia pasti, ibunya pasti tidak akan memberitahunya. “Siap kau, kalau aku tahu siapa.” Bedah mendengus kemarahannya.
Dia tidak menyedari tindak tanduknya diperhatikan seseorang. Tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Bedah terperanjat bukan main kepalang. Hampir sahaja dia terjatuh dari buaian yang didudukinya hampir dua puluh minit lalu. Rupanya Khalil, rakan sekolahnya. “Kau ni Khalil, hampir jatuh jantungku dibuatnya.” kata Bedah .
“Takkan terkejut kot… Kaukan berani. Lombong puaka, hantu jin semua tu kau tak takut. Ini pula baru disapa sikit,” kata Khalil sambil ketawa. Air matanya hampir keluar kerana menahan ketawa. Bedah hanya mencebik dan membesarkan mata. Dia cukup geram apabila diketawa Khalil. Perasaan marah kerana dimarahi ibunya masih belum hilang. Dah la tu disekat oleh Khalil pula.
“Dah la tu Bedah …. Jangan lah marah…… Aku gurau je. Takkan marah pula. Nanti cepat tua”. Kata Khalil dalam nada memujuk. Khalil tahu walaupun Bedah bersikap seperti tomboy dengan mengenakan pakaian seperti budak lelaki namun naluri hatinya tetap seperti perempuan. Mungkin disebabkan persekitarannya membesar adik-beradik yang terdiri dari lelaki menyebabkan dia berkelakuan seperti budak lelaki.
Lamunannya terhenti apabila terdengar suara Ah Keat dan Maniam meninta maaf. Bedah segera bertanya, “Apasal lambat, dah berkurun aku tunggu sini.”. “Berkurun…… apa lu cakap? gua tak faham…. Ah Keat mengeleng kepala bagi menanda dia tidak faham apa yang dikatakan Bedah . “Dah la tu”, Maniam mencelah. “Kita sudah lambat.”, kata Khalil.
Mereka berempat berjalan meninggalkan tempat tersebut. Destinasi mereka ialah ke hutan kecil berdekatan lombong lama. Mereka hendak mencari spesimen pokok untuk dijadikan kajian bagi projek sekolah.
Bedah tidak memberitahu ibunya arah tujuannya keluar. Bedah cuma memberitahu dia mahu belajar di perpustakaan. Bedah terpaksa berbohong kerana dia pasti ibunya pasti tidak akan membenarkan dia pergi berikutan kepercayaan kawasan lombong lama itu berpuaka.
Bedah asyik mencari sampel-sampel pokok tanpa menyedari dia semakin jauh dari ahli kumpulannya. Sedang asyik membelek, Bedah merasakan seaakan-akan angin sejuk menghembus di tepi telinganya. Bedah terkejut apabila dia merasakan namanya dibisik. Dengan segera Bedah memalingkan tubuhnya ke belakang dan.. “Maniam , jangan main-main la,” bentak Bedah . Tetapi bukan Maniam yang berdiri dibelakang. Seorang budak perempuan Cina bertocang dua sedang memerhatikannya. Bedah tekejut. Jantungnya seperti hendak terjatuh. Kakinya mengeletar.
Budak perempuan itu menghulurkan tangannya. Bedah berasa takut hendak menyambut tangan budak perempuan itu. “Jangan takut,” kata budak perempuan tu. Bedah menghulurkan tangannya. Budak perempuan itu menolong Bedah bangun.
“Kamu siapa”, tanya Bedah . Pertanyaannya tidak dijawab. Budak perempuan itu hanya tersenyum sahaja, “Mari ikut saya,” kata budak itu. “Pergi mana?, tanya Bedah . Budak perempuan tidak menjawab. Bedah berasa curiga untuk mengikut, namun dia tidak berani tinggal situ keseorangan. Terpaksalah Bedah mengikut budak misteri itu.
Bedah merasakan seperti jauh mereka berjalan. “Kita nak ke mana?, tanya Bedah . “Aku penat”. Budak perempuan itu berkata, “pergi rumah aku kat sana”. Bedah memerhatikan ke arah yang ditunjukkan oleh budak itu. Bedah terkejut besar. Setahu Bedah di situ tiada kawasan perumahan, yang ada hanya kawasan lombong lama. Bedah segera mengangkat kaki seribu. Dia tidak sanggup menunggu lagi. Kedengaran suara budak perempuan tadi memangilnya. “Mari ikut saya balik, main anak patung sama-sama.”
Bedah tidak mempedulikan panggilan budak tersebut. Bedah terus berlari sehingga terlanggar Ah Keat. Kawan-kawannya terkejut melihat Bedah yang berlari seperti dikejar hantu. Bedah tercunggap dan cuba berkata, “tolong, budak…. tocang….” Bedah pengsan sebelum sempat menghabiskan ayatnya. Kelam kabut Khalil, Ah Keat dan Maniam dibuatnya.
Mereka segera meninggalkan tempat tersebut. Hasil spesimen dibiarkan begitu sahaja. Bedah sedar semula. Ibunya segera memeluknya. Bedah terpinga-pinga sebentar. Baru dia sedar, Bedah sekarang berada di atas katilnya. Bedah tidak memberitahu apa yang berlaku. Dia tidak mahu ibu bapanya bimbang.
Pada malam itu Bedah didatangi budak perempuan itu lagi. Dari tingkap yang terbuka, Bedah dapat melihat kelibat budak perempuan bertocang dua sedang melambai-lambai ke arahnya. Terdengar sayup-sayup suara memangilnya, “Bedah ….marilah ikut main….”.
Share this novel