Sudah beberapa kali kejadian 'penampakan' adegan antara kedua anak raja tu aku alami. Seperti menonton filem di layar kaca. Tapi aku tak pernah ambil endah. Aku anggap semua tu mainan tidur. "Mimpi kan mainan tidur? Biasalah tu.." ujarku dalam hati tiap kali mimpi yg seperti itu berulang lagi.
Aku menjalani kehidupan sehari2 seperti biasa macam kawan-kawan dan orang lain disekitarku seperti biasa juga. Cuma aku tau aku ada kelebihan diri sendiri berbanding mereka. Bukan kelebihan seperti Superman ke, Batman ke, Wonderwoman ke, Fantastic Four tu ke, bukan... Yang aku maksudkan adalah kelebihan yang bersangkutan dengan alam ghaib. Aku mula perasan aku ada kelebihan ni sewaktu aku di Tingkatan 3. Waktu tu tahun kritikal sebab nak ambil ujian PMR la katakan. Antara syarat kelulusan PMR pada waktu tu kami harus mengerjakan sesuatu yang lebih kurang sama macam buat tesis. Subjek Sejarah kalau tak silap aku. So kami satu bilik asrama tu biasa lah bersengkang mata menulis 'tesis' kami tu waktu nak dekat-dekat tarikh akhir hantar tugasan. Mana antara kawan-kawan yang kurang sedikit dalam hal belajar memang terlepas atau tak belajar subjek-subjek lain kerana fokus mengerjakan tugasan tu.
Oh ya..aku sejak lulus ujian UPSR masuk ke Tingkatan 1 di sekolah berasrama penuh aliran agama dimana ayah aku pun guru disitu. Pagi sampai tengah hari kami belajar kurikulum biasa, petang kami ada waktu belajar sendiri dari pukul 2pm sampai 4.30pm. Biasanya 3 hari dalam seminggu akan digunakan untuk aktiviti ko-kurikulum: kelab berpakaian seragam, kelab sukan dan kelab berasaskan minat. Kami diwajibkan mengikuti satu kelab dari setiap kategori. Bagi pelajar-pelajar terpilih yang punya kelebihan dalam bidang al-quran, ada kelas khas untuk mereka untuk belajar ilmu al-quran dengan lebih mendalam lagi yang biasanya diadakan 2 kali seminggu. Mereka biasanya dikecualikan dari mengikuti kelas belajar petang dengan pelajar-pelajar lain. Orang-orang yang dipilih sahaja ikut kelas khas tu. Aku....tak termasuk.. Walau bagaimanapun, selain mata pelajaran agama di kelas, kami juga disuguhkan dengan kelas-kelas tambahan agama secara berkumpulan di surau sekolah pada waktu malam yang diselang-selikan dengan aktiviti keagamaan yang lain seperti ceramah agama sama ada oleh ustaz kami atau ustaz jemputan. Bagi pelajar perempuan pula, ada sessi khas sekiranya topik yang dibangkitkan berkaitan dengan topik perempuan. Selepas 4.30pm, kami bebas untuk beriadah atau melakukan aktiviti-aktiviti lain di sekitar sekolah. Tapi kami digalakkan untuk bersukan. Selepas solat Isya' lebih kurang 8.30pm pula sessi ulangkaji pelajaran yang biasanya diawasi ketua kelas, pengawas sekolah dan dipantau beberapa warden bertugas biasanya sampai 10pm. Kami dikehendaki berada di bilik dan katil masing-masing sebelum 11.30pm dimana semua lampu bilik mesti dipadamkan. Lebih kurang begitulah keseharian kami pelajar di sekolah berasrama tu.
Berbalik ke cerita tadi, di waktu kawan-kawan aku yang lain bagai ayam hilang kepala, aku perasan aku ada kelebihan dimana aku boleh belajar subjek apa saja yang aku rasakan aku perlu dalam waktu aku tidur. Tapi kekurangannya, aku akan rasa seperti tak puas rehat kerana otak sentiasa dipakai. Bila kawan-kawan sebilik ditanya, mereka semua cakap aku tidur lena macam mayat. Hahahaha.. Apa yang terjadi ialah, aku akan niatkan dalam hati selepas baca doa-doa mana yang patut sebelum tidur, untuk belajar subjek mana yang aku nak. Dalam tidur tu nanti, aku seperti duduk menghadap buku-buku rujukan untuk subjek yang aku nak tu dan belajar macam biasa. Bila aku bangun kemudiannya Alhamdulillah aku masih ingat apa yang aku pelajari dalam tidur tu. Tapi kelebihan ni aku cuma ada sampai habis PMR tu sahaja. Bila aku menganjak ke peringkat SPM pula, aku tak dapat ulang belajar macam tu lagi Aku pernah cuba tapi tak pernah dapat. Aku pun tak tau kenapa. Tapi tak pernah aku nak fikirkan sangat dan belajar saja macam biasa. Kat universiti pun sama macam tu juga.
Share this novel