"Adinda...dinda.."
Terasa ada tangan yang menyentuh bahuku mencuba untuk membangunkan aku dari lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Satu sosok lelaki yang berwajah kacak dengan senyuman menatapku dengan kasih dan sayang. Aku tersenyum kerana aku kenal akrab dengan wajah itu. Berkulit putih langsat, halus tanpa noda, hidung mancung, bibir merah, bulu mata yg melentik, alis mata yang rapi, pipi berlesung pipit, matanya jernih berwarna coklat yang kadang kelihatan seperti berwarna emas bila terkena pantulan atau silau matahari.
"Kanda..bila kekanda sampai? Bukankah masih sepekan lagi kekanda berpergian?" jawabku kehairanan dan masih mencuba untuk memahami situasi yang sedang aku alami. Ku usap mata agar hilang kelat tidur yang masih menggoda untuk menarik aku kembali ke dalam mimpi. Ternyata kekanda kesayanganku memang berada di depan mata. Senyumku semakin melebar dan secepat itu juga hilang rasa mengantuk. Jantungku berdebar dengan rasa teruja dan dalam masa yang sama air mataku jatuh seiring dengan terluahnya rasa rindu yang terpendam. Aku segera bangun dan duduk menghadap kekanda. Ku lihat sekali lagi wajahnya, ke sekujur tubuhnya yang segak dan sasa untuk memastikan dia benar-benar ada agar aku tidak tertipu dengan imaginasi dek kerana kerinduanku. Sekali lagi aku dihadiahkan dengan senyuman dan kali ini dengan sebuah kucupan di dahi.
Kekanda tersenyum sambil mencubit pipiku. "Iya dinda. Memang rencananya masih ada sepekan lagi urusan kanda. Tapi tidak ada yang tidak bisa kanda selesaikan secepatnya. Lagipun kanda tak tega tinggalkan adinda terlalu lama. Siapa lagi yang nak layan kerenah adinda tu? Entah berapa lama lah sebelum adinda mula buat hal dan buat pening seisi istana ni nanti?" ujarnya lembut dengan nada bergurau.
Aku mencebik bibir dan mukaku berubah ingin merajuk. Tapi perasaan itu aku ketepikan kerana aku lebih memilih untuk melepaskan rasa rinduku. Kupeluk kanda dan kurebahkan kepalaku ke bahunya. Tubuhnya wangi kasturi dan melati. Masih berlegar di udara nafas segarnya berbau pudina. "Alah kanda ni..kanda balik awal dari seharusnya. Habislah rencana dinda tak tertunaikan lah nampak gayanya" jawabku bercanda.
"Wah..sememangnya apa rencana adinda? Tak habis-habis dengan akalnya.." ujar kekanda tertawa sambil gelengkan kepala.
Perlahan-lahan suara perbualan antara puteri dan putera raja itu semakin menghilang. Aku paksakan diri untuk mendengar lagi perbualan mereka. Tapi, aku terasa seolah-olah ada sesuatu yang menghalang. Ku buka mataku. terkebil-kebil aku di atas tilam yang empuk ni. Bermimpikah aku? Kenapa aku rasa macam kenal sangat dengan putera raja tu? Kenapa perasaan puteri tu kuat sekali aku rasakan? Seolah-olah puteri itu adalah diriku. Setiap yang dia rasakan aku pun rasa. Setiap apa yang aku fikirkan dia pun sama. Masih dapat kurasakan hangatnya dakapan puteri dan putera raja. Masih terasa sakit pipiku dicubit tadi. Cepat-cepat aku berdiri menuju ke cermin panjang yang terletak tak jauh dari katil. Kelihatan pipi kananku merah di tempat dimana pipi puteri dicubit. Apakah yang telah aku alami sebentar tadi?
Share this novel