Rate

1

Short Story Series 2857

Normah duduk termenung melayan perasaan hibanya. Sudah sebulan arwah suaminya, Amirul pergi meninggalkannya. Dan selama itulah juga dirinya seakan hilang arah. Dia hanya makan apabila berasa terlalu lapar dan mandi apabila perlu. Jiwanya dipagut sepi semenjak belahan jiwanya pergi. Air mata yang menitis diseka dengan hujung baju kurung Kedah pemberian arwah suami tercinta setahun yang lalu. Baju lusuh itu dipadankan dengan kain batik yang juga hampir pudar warnanya.

"Sudah-sudahlah termenung tu. Orang mati takkan hidup kembali walau menangis air mata darah sekali pun!"

Pedas sungguh kata-kata Saadah, yakni menantu Normah menerpa halwa telinga tuanya. Setiap kali melihat dirinya termenung di beranda rumah, setiap kali itulah juga dia dilemparkan dengan kata-kata kesat. Air mata diseka lagi untuk kesekian kali yang entah bila akan surutnya.

"Tak habis-habis menangis! Kalau sedih sangat pergilah ke kubur. Gali kubur arwah, tatap puas-puas biar puas hati tu," bebel Saadah lagi.

Normah hanya diam tak berkutik. Jauh sekali membalas kata-kata menantunya. Telinga tuanya sudah lali menerima caci maki Saadah. Begitulah perilaku menantunya bila Fauzi, anaknya tiada di rumah. Lain pula halnya ketika Fauzi ada bersama. Normah ditatang bagai minyak yang penuh. Fauzi dan Saadah menikah dua tahun yang lalu. Namun, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Dahulu, mereka menetap di rumah orang tua Saadah selepas bernikah memandangkan Saadah merupakan anak tunggal pasangan Tuan Ibrahim dan Puan Sadiah. Tetapi semenjak kematian ayah Fauzi, mereka berdua terpaksa berpindah ke kampung halaman Fauzi, bagi memudahkannya menjaga ibunya. Tambahan pula Saadah tidak bekerja. Jadi, dia boleh menemani Normah ketika Fauzi keluar bekerja. Saadah yang pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan Fauzi untuk menetap di kampung terpaksa akur apabila kedua-dua orang tuanya masuk campur.

Dengan keadaan kesihatan Normah yang tidak menentu dan masih meratapi pemergian arwah suaminya, memaksa Fauzi membuat keputusan tersebut. Mujurlah tempat kerja dengan kampung halamannya tidak berapa jauh. Selain Fauzi, Normah dan Amirul mempunyai seorang lagi anak perempuan yang menetap di Sarawak mengikut suaminya yang bekerja sebagai seorang pendidik.

"Nak ke mana lagi tu?" sergah Saadah tiba-tiba saat melihat Normah berensot menuju ke tangga.

Normah agak terkejut. Bahunya terangkat saat mendengar suara petir Saadah bergema dan menyergahnya dengan kuat.

"Mak nak ke belakang rumah. Nak bagi ayam makan." Berhati-hati Normah menyusun kata.

"Haaa... elok la tu. Makan sekali dengan ayam-ayam tu. Mana tahu selera tu ada."

Kasar sungguh bahasa Saadah terhadap ibu mentuanya. Perasaan bencinya tidak dapat dibendung lagi. Dengan kudrat tua yang ada, Normah sedaya upaya menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Mata sebelahnya kabur dek air jernih yang kembali membasahi pipi tuanya.

Saadah hanya memerhati pergerakan Normah. Benci benar hatinya dengan susuk tubuh itu. Hatinya telah hitam hanya kerana satu kisah silam yang terpahat rapi di lipatan memorinya. Waktu itu adalah sambutan harijadinya yang ke lapan tahun. Selesai majlis, dia dan sepupunya iaitu Shila bermain kejar-mengejar di luar rumah. Tiba-tiba Shila berlari memasuki pintu belakang dan cuba mengelak dari terus dikejar. Saadah terus mengejar Shila dan tanpa sedar lantai dapur ketika itu licin. Normah selaku pembantu rumah bagi orang tua Saadah pada waktu itu sedang membersihkan ruang dapur.

Buk!

Sekujur tubuh Saadah terkulai jatuh dan kepalanya terhantuk pada bucu meja kecil di tepi dinding. Lebih parah bila mata kirinya terluka akibat hentakan yang kuat. Normah bergegas keluar dari bilik air setelah terdengar bunyi tangisan yang kuat dari luar. Saadah sudahpun dipangku oleh ibunya. Tangan Saadah yang berlumuran darah sambil menutup matanya membuatkan mereka semua panik. Justeru itu, Saadah dikejarkan ke hospital dengan segera untuk menerima rawatan.

Hampir empat tahun juga Saadah menderita kerana kornea matanya yang tercedera disahkan rosak oleh doktor sehingga dia tidak lagi dapat melihat keindahan dunia. Bermula detik itulah Saadah mula membenci dan menyalahkan Normah atas apa yang terjadi. Baginya, kerana kecuaian Normah, dia terpaksa menanggung akibatnya. Nasibnya baik apabila ada seorang Hamba Allah yang sudi mendermakan matanya.

Dan kini Saadah sudah kembali pulih tetapi kesumatnya terhadap Normah tidak pernah mereda. Walaupun setelah bernikah dengan Fauzi kebenciannya sukar dikikis. Fauzi adalah suami pilihan orang tua Saadah. Mereka sama-sama membesar dan persekolahan Fauzi dan adiknya Noraini ditanggung oleh orang tua Saadah. Bencinya bertambah lagi bila terpaksa menghadap muka Normah saban hari. Dia benci tinggal di kampung berbanding kehidupannya di bandar yang memudahkannya keluar bersama rakan-rakannya. Semenjak duduk di kampung, pergerakannya terbatas. Fauzi asyik sibuk dengan kerja. Apabila cuti sibuk pula melayan karenah si ibu yang nyanyuk bagi pendapatnya. Bencinya semakin menjadi-jadi melihat layanan Fauzi terhadap Normah melebihi layanannya terhadap isteri sendiri. Tetapi semua tu dia tidak dizahirkan di hadapan Fauzi.

"Ibu dah makan?" sapa Fauzi saat melihat Syurganya duduk termenung menikmati angin malam di beranda. Sunyi. Tiada sebarang jawapan dari ibu tercinta.

"Bu!" panggil Fauzi lagi sambil duduk bersimpuh di tepi ibunya. Tangan diletakkan di bahu Normah. Tubuh tua itu dipeluk erat.

"Ya, nak. Tak tidur lagi kamu, Zi?" Normah seakan baru tersedar dari lamunan yang panjang.

"Belum mengantok lagi, bu. Kenapa Ibu tak makan? Mulut ibu luka terkena apa ni?" soal Fauzi terkejut bila melihat ada kesan darah di tepi bibir Normah.

"Sikit je ni... jangan risau. Ibu masih kenyang lagi. Dah lewat ni, pergilah tidur. Ibu nak ambil angin malam sebentar."

"Makan sikit, bu. Nanti perut ibu masuk angin."

Normah memandang Fauzi sambil tersenyum. Fauzi anak yang baik. Begitu juga dengan adiknya, Noraini.

"Nanti lapar ibu makan ya, nak," jawab Normah sekadar menyedapkan hati Fauzi.

Dia tahu Fauzi amat risaukan keadaannya tetapi selera makannya tiada. Hatinya sedih kerana rindunya terhadap arwah suaminya terlalu dalam. Bukannya dia tidak redha dengan pemergian arwah, tetapi jiwanya kosong dan dia dapat merasakan hidupnya bagai tiada erti langsung tanpa arwah di sisi.

Setelah berbual seketika dengan ibunya, Fauzi berlalu ke dalam rumah untuk merehatkan diri. Esok dia terpaksa bangun awal pagi untuk berangkat ke Melaka selama dua hari. Ada kerja yang memerlukan pemantauannya di sana. Bekerja makan gaji sepertinya terpaksa mengikut sahaja arahan dari bos besar. Tinggallah Normah yang masih merenung hamparan bintang di langit. Fikirannya terbang jauh ke masa lalu.

"Mah, jika ditakdirkan abang jadi bintang, Mah nak jadi apa?"

"Emmm... kalau abang jadi bintang, Mah nak jadi langit," balas Normah dengan ketawanya yang nakal sambil melihat riak wajah si suami.

"Sebabnya?" Amirul bertanya pelik.

"Iyalah. Kalau tak ada langit macam mana bintang boleh ada? Mana bintang-bintang tu nak melekat?"

Ketawa kedua-duanya meletus. Jawapan Normah mencuit hati Amirul.

"Kalau abang jadi bulan, Mah pula nak jadi apa? Jawab cepat jangan senyum."

Amirul ketawa sambil mencicip kopi panas yang disediakan Normah setiap kali mereka duduk bersantai di beranda rumah selepas makan malam. Normah mencari-cari jawapan yang sesuai untuk diberikan.

"Mestilah Mah akan jadi burung pungguk. Mah akan sentiasa merindui abang sampai ke akhir hayat Mah."

Ada sendu di hujung ayat Normah. Dan kini segalanya jelas. Tinggallah dirinya umpama pungguk yang merindukan bulannya yang kini telah pergi dan tak akan kembali. Pipi berkedut seribu itu di sapu dengan telapak tangan buat kesekian kalinya. Galau hatinya tidak terperi. Segalanya kini hanya tinggal kenangan.

"Zi jalan dulu ya, bu. Ibu jaga diri. Jangan lupa makan." Fauzi berpesan sebelum bertolak ke tempat kerja pada pagi itu.

"Hati-hati memandu, nak. Jangan risaukan ibu."

"Kalau ibu nak apa-apa, ibu minta sahaja dengan Saadah. Ambil duit ni buat beli apa yang ibu nak makan."

Fauzi menghulurkan wang seratus ringgit ke dalam genggaman Normah. Bukan ibunya tiada wang, tetapi Fauzi sengaja memberikannya kalau tidak digunakan pun, boleh disimpan. Saadah hanya melirik dua beranak di hadapannya. Meluat dia dengan drama yang ditonton.

"Sayang... tolong jaga ibu. Selesai kerja nanti abang balik," pesan Fauzi kepada Saadah.

"Baiklah, bang. Abang tak perlu risau pasal ibu. Tahu la Idah tengok-tengokkan."

Lega Fauzi mendengar janji isteri tercinta. Dengan itu dia tidak khuatir akan diri ibunya lagi. Dia tahu ibunya masih bersedih dengan pemergian arwah ayahnya yang pergi secara tiba-tiba. Arwah meninggal saat semua jemaah menunaikan Solat Fardhu Subuh di Surau Al-Hikmah tidak jauh dari rumahnya. Selesai solat, jemaah mendapati sekujur tubuh ayahnya kaku ketika bersujud. Sejak dari hari itu ibunya dirundung kesedihan. Kesihatannya pun mula merosot. Dalam usia 60 tahun, kudrat tuanya semakin lemah. Mujurlah Saadah ada bagi menemani ibunya sepanjang ketiadaannya nanti.

"Buat apa lagi tercegat kat situ? Pergi masuk sana, pungut kain baju yang nak dibasuh," jerit Saadah dari atas rumah bila masih lagi melihat Normah tidak berganjak dari pangkin di halaman rumah.

Matanya masih tunak ke arah jalan susur keluar ke jalan besar walaupun kelibat kereta Fauzi tidak lagi kelihatan. Hatinya tidak tenteram. Lambat-lambat kaki tuanya dihayun menuju tangga rumah. Satu persatu anak tangga didaki.

Cuaca terik memancarkan sinarnya. Selesai menghadiahkan Surah Yassin buat buah hatinya, seperti kebiasaan Normah cuba berbual seolah-olah Amirul ada di hadapannya.

"Abang! Mah rindukan abang. Mah nak ikut abang. Mah tak boleh hidup tanpa abang." Empangan air matanya pecah lagi. Pipi tua itu sering basah sejak Amirul tiada. Sayu kedengaran suara tangisan Normah memecah sunyi tanah perkuburan pagi itu. Sesiapa sahaja yang melihatnya pasti turut sama merasai kesedihan yang dia rasai ketika itu. Rata-rata orang kampung sedih melihat keadaan Normah.

"Mah, kalau abang pergi dulu Mah jaga diri baik-baik. Jangan rindukan abang terus." Jelas kata-kata suaminya malam sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

"Iss... abang ni. Apa abang merepek ni? Mah tak suka abang cakap macam tu. Kita akan sama-sama sehingga akhir hayat."

"Itu hakikat yang kita kena terima Mah. Bila-bila masa kita akan dijemput oleh-NYA. Ingat pesan abang jaga diri jangan rindukan abang terus." Pesanan Amirul buat hati Normah terusik. Masakan dia boleh tidak merindu teman yang selama ini setia mendampinginya. Teman yang merawat setiap sakitnya dan teman pendamping yang tidak pernah jemu mencintainya.

"Abang! Mah rindukan abang."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience