Rate

BAB 1

Drama Completed 191

HIDAYAH dan iman itu bukannya milik manusia. Ia bergantung kepada kehendak dan kudrat Tuhan. Sukar untuk menerangkan bagaimana seorang pemuda yang sungguh-sungguh tidak percayakan wujudnya Tuhan – atau ateis sebetulnya boleh tiba-tiba jatuh cinta pada agama tauhid. Dia sendiri kehilangan kata untuk menerangkan bagaimana dia menjumpai jalan kebenaran.

Baiklah, Rodrigo memang seorang yang tidak mempercayai bahawa Tuhan itu wujud dan ada. Tetapi itu tidak bermakna bahawa dia seorang yang langsung tidak mempunyai jiwa kemanusiaan. Didasari atas sifat ihsan, belas dan juga kemahiran perubatan dimiliki, Rodrigo menyertai sebuah pasukan sukarelawan antarabangsa. Lama dahulu.
Jauh dia berkelana menghulurkan rasa simpati dan bantuan. Dari Xinjiang dia mudik membantu mangsa gempa di Tehran. Mengubati mangsa banjir lumpur di Lima hinggalah ke tempat dia berpijak kini – daerah Sukkur di wilayah Sindh. Membantu penduduk yang sedang berada dalam keadaan putus harapan di lebih kurang 126 kem. Dalam kekalutan mengurus pesakit, tanpa disangka ada satu peristiwa menarik menimpa Rodrigo . Ini, ialah satu kisah tentang Rodrigo yang berjumpa Tuhan.

Rodrigo menarik nafas panjang, mengelus rambut panjang tanpa punya masa yang mencukupi untuk merapikan. Jambangnya dibiar meliar tanpa perhatian. Matanya ligat memandang deretan pesakit yang sedang beratur di luar khemah perubatan.
Terikat dalam tugas yang cukup berat dan melelahkan memang memerlukan upaya yang luar biasa. Tidak menang tangannya melayan dan merawat pesakit yang datang meminta belas bantuan. Di wilayah Sindh ini sahaja, seramai 600,000 sudah berada di kem-kem perlindungan sejak banjir mula melanda sebulan yang lalu. Rodrigo sendiri sudah tidak terkira berapakah bilangan pesakit yang telah dikendalikannya. Barangkali angkanya mencecah ratusan – atau ribuan mungkin.

Pundaknya memikul tanggungjawab bukan sahaja untuk mengubati, tetapi juga memastikan agar mereka terus tabah dalam bala yang merengkuh. Dalam keripuhan semua itu, tidak pernah tersangka mahupun terlintas di benaknya – untuk menemui gelintar cahaya. Di sini, di daerah Sukkur yang terletak di dalam wilayah Sindh – yang sedang diduga Tuhan dengan curahan banjir besar yang maha dahsyat. Maka bermulalah kisah menarik Rodrigo berjumpa Tuhan. Pertemuan di satu malam yang hening, disinari balam cahaya rembulan.

Rodrigo merayau-rayau melihat keadaan mangsa antara khemah-khemah yang berceracakan. Udara yang sedikit lembab mengapungkan kedinginan yang cukup membuatkan tubuh sedikit menggigil. Angin lembab yang berhembus nipis membuatkan tubuh hampir-hampir kejur sejuk. Tidak ada yang terlalu teruk pada hematnya. Selesema dan batuk merupakan penyakit kebiasaan yang dialami oleh penghuni kem perlindungan mangsa banjir. Selagi tidak ada tanda-tanda wabak seperti taun, dia sudah lega. Dalam keadaan begini, taun mudah merebak. Kalau sudah timbul satu kes, maka akan berbibit-bibitlah menjengah satu khemah ke satu khemah yang lain.
Langkahnya terhenti apakala melihat kelintar seorang budak lelaki menyusun sila tanpa alas. Pandangannya mendongak jauh langit. Menekuni kehadiran rembulan. Entah mengapa, Rodrigo rasa terpanggil untuk menegur. Perlahan, Rodrigo menghampiri dari belakang. “Sinar bulan yang mengambang memang indah, bukan? Pesonanya bak rupawan.”

Budak lelaki dalam lingkungan usia sesudah baligh sedikit terkejut namun kembali tenang melihat lencana palang merah di jaket Rodrigo . Mengangguk setuju sebelum terbit senyuman di ulas bibir yang merekah. Dibalas mesra oleh Rodrigo sebelum meminta izin duduk bersebelahan.

Rodrigo mula membuka bicara di bawah simbahan sinar purnama, “Di mana-mana sahaja aku pergi, sinaran bulan tidak pernah mengecewakan. Sentiasa menyinar terang – memegun dan mententeram.” Rodrigo memperkenal diri. Tangannya dihulur sebagai salam perkenalan. “Namaku Rodrigo – Rodrigo Quentanila . Kamu?”

“ Farzan .” Pendek dia membalas sebelum menyambut tangan Rodrigo . Sepi menyelit masuk. Derit cengkerik mengambil alih suasana. Bunyi keriut daripada perut Farzan mengambil tempat sesudah itu. Rodrigo mula tersentak. Tidak perlu menilik lanjut, dia bertanya, “Kau sudah makan?”

Farzan menggeleng kepalanya perlahan. Pandangannya dilarikan deretan khemah. Ujarnya dengan suara yang tertahan, “Melihat adik-adik, ibu dan nenekku makan sudah cukup untuk membuatkan perutku kenyang.”

Rodrigo menggeleng, meneguk liur sebelum menyeluk tangan ke dalam poket.
Beberapa keping roti yang tersimpan kemas dalam bungkusan plastik lutsinar disuakan kepada Farzan . Belum sempat tangan Farzan mahu menolak pemberian itu, Rodrigo lebih dahulu menegah. “Ambil kalau kau mahu terus melihat mereka kenyang. Kepada tangan siapa perlu mereka menadah kalau kau sudah mati kebuluran nanti?”

Farzan menyambut pemberian tersebut dengan muka yang dipaksa-paksa. Kepingan roti tersebut dibahagi dua sebelum diberikan sebahagiannya kepada Rodrigo . Farzan bingkas memberi penjelasan sebelum sempat Rodrigo menduga, “Usah menolak. Rezeki Tuhan bukan untuk saya seorang.”

Dahi Rodrigo kedut mengerut sebelum kepalanya menggeleng. “Aneh sekali pemikiran kau, ya? Dalam keadaan sebegini rumit juga kau masih lagi mahu mendahulukan orang lain.”

Farzan tidak menghiraukan soalan tersebut. Dia leka menguliti makanan di tangan. Kepingan roti dikoyak dalam cebisan kecil sebelum disua ke dalam mulut satu-persatu. Secebis terjatuh ke atas tanah. Farzan mengambil, ditiup beberapa kali sebelum disuakan ke dalam mulut. Mengunyah perlahan, pandangan Farzan tidak lekang memandang langit.

Rodrigo mula bertanya, “Sejak tadi lagi aku lihat kau asyik memerhatikan bulan tanpa jemu. Kenapa?” Nadanya sedikit mengusik. “Agaknya kau ini pemuja bulan?”
Farzan menggeleng perlahan. Angin lembab sedikit dingin bertiup halus menimbulkan gelora di hati Farzan yang mula didatangi curiga dengan ramah dan keterbukaan yang dihulurkan pemuda tinggi lampai di sebelahnya ini. Anak mata Farzan terpegun menyeluruhi wajah putih kemerahan dihiasi rambut kerinting halus Rodrigo . Susuk normal jejaka benua Eropah yang mewah dengan hidung yang tercatuk tinggi.

Farzan menoleh sepenuhnya kepada Rodrigo sebelum berkata, “Bulan bukan untuk dipuja. Tetapi menjadi satu bukti maha kuasa Tuhan.”

Tawa halus Rodrigo menyusul. “Aneh, sedang kaummu dilanda bencana sekalipun kau masih mampu bersangka baik kepada Tuhan. Memang kau masih mentah budak.”

Gesit Farzan membantah dengan kening yang berkerut. “Ibu saya mengajar untuk tidak terpukul dengan bencana. Tuhan sekadar memberi ujian. Kami diajar untuk menginsafi dan belajar daripadanya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience