Rate

BAB 2

Drama Completed 191

Rodrigo menelan liur. Dia mulai sedar soalan itu terhunjam mengenai hidungnya. Ah, budak ini terlalu mentah untuk memahami sama ada Tuhan itu ada atau tidak. Bisik hati kecilnya.

“Kalau benar Tuhan kamu itu ehsan, mengapa pula ditimpakan lebih 20 juta orang daripada kalangan kaummu dengan bencana banjir ini? Memberikan kepada mereka bencana dan memporak-perandakan hidup?” Lorongan pertanyaan daripada Rodrigo berbau provokasi.

Tenang Farzan menjawab, “Tuhan cuma mahu mengingatkan. Bagaimana pula dia mahu memberikan nikmat yang lebih seandainya tidak bersyukur pada yang sedikit?”

Wajah Rodrigo menceber, “Optimis kau hanya mahu meredakan hati yang bergalau, Farzan . Sedangkan kau tidak punya pilihan lain untuk melawan kehendak Tuhan selain daripada duduk berteleku. Kau tiada upaya apa-apa!”

Farzan tersenyum sinis. “Manusia tanpa Tuhan seperti kamu tidak akan sentiasa faham. Kamu tidak mempunyai arah yang jelas untuk memahami dan mentafsir sesuatu kejadian. Dalam benak kamu hanyalah sains dengan basis logik semata-mata tanpa ada kesedaran mahu mengerti bahawa sains tanpa agama adalah sesuatu kebutaan ilmu yang nyata.”

Rodrigo sedikit tercabar dengan kata-kata yang menikam ke ulu hati. Namun segera mengingatkan diri bahawa dia sedang berhadapan dengan jiwa malang yang sedang kacau dengan kerenah alam. “Kalau benar Tuhan itu ada, cuba kau terangkan kepadaku mengapa kau merenung bulan ketika ini? Mengapa tidak sahaja kau meminta ke arah Tuhanmu agar terlepas daripada sengsara banjir ini?”

Farzan membacakan ayat 61 daripada surah Furqan, “Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga padanya matahari dan bulan yang menerangi.”

Kening Rodrigo berkerut tanda tidak memahami.

Tersenyum Farzan sebelum lanjut menerangkan, “Perkataan Arab bagi menunjukkan makna bulan ialah qamar dan dalam ayat ini ianya dihuraikan sebagai muneer – yang bermaksud sesuatu yang diberikan cahaya. Hal ini begitu selari dengan fakta sains yang mengatakan bahawa cahaya bulan adalah cahaya yang dipantulkan. Sehinggakan dalam al Quran bulan tidak pernah disebut sebagai siraaj, wahhaj ataupun diyaa atau matahari sebagai nur dan muneer.”

Farzan mencuri jeda untuk meneguk liur membasahkan tekak sebelum menyambung, “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit petala langit yang bertingkat-tingkat? Dan Allah menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai lampu iaitu yang terang benderang.”
Rodrigo tambah tidak mengerti.

Tanpa dipinta Farzan menambah, “ Itu ayat daripada surah Nuh ayat 15 dan 16. Dalam ayat ini, Tuhan memberi penerangan akan kekuasaannya yang terzahir melalui penciptaan bulan. Sains moden mengesahkan keadaan ini bahawa sinar bulan bergantung kepada sinar mahatahari. Perkara yang golongan seperti kamu baru sahaja tahu – sedangkan kami yang berpegang kepada ajaran langit sudah mengetahuinya lama dahulu.”

Cengang Rodrigo tambah-tambah lagi. “Jadi?”

Farzan makin galak menyerlahkan kebijaksanaan. “Tuhan itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana pula. Mengapa perlu merungut atau bersedih sedangkan Tuhan sudah berjanji bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu – meskipun perkara buruk – terselindung hikmah di sebaliknya.”

Rodrigo sudah kematian kata. Bingung hendak berkata-kata di hadapan remaja ini yang tampak akalnya sudah tinggi melepasi usia.

“Kamu percaya adanya Tuhan?” Farzan menghulurkan pertanyaan.

Rodrigo terasa canggung seketika. Tidak pernah seumur hidupnya ditanya soalan yang melintasi daerah rohani sebegini. Apatah pula datangnya daripada seorang anak remaja yang taraf pendidikannya entah setakat mana – langsung tidak menandinginya yang mendalami ilmu perubatan di kolej perubatan terkemuka di Dublin. “Tidak – tidak sama sekali. Aku lebih percaya sains dan teknologi. Ia lebih logik dan sudah terbukti.” Jawabnya ringkas.

Farzan menghampiri Rodrigo lalu meletakkan telapak tangannya di dada Rodrigo . Lalu menyampaikan pesan, “Kalau begitu, lebih baik kamu tanamkan percaya bahawa sains dan kuasa Tuhan itu berkait bermula daripada sekarang. Lambat laun kamu juga akan percaya.” Matanya berkaca-kaca.

Rodrigo mula bungkam. Debar kencang mula memenuhi dadanya secara tiba-tiba. Nafasnya terasa sesak. Entah mengapa pula dia perlu rasa tersinggung.

Bangun daripada duduk, Farzan menggumam pendek. “Semoga berjaya dalam perjalanan untuk mencari Tuhan.” Ujarnya sebelum pergi meninggalkan Rodrigo , kebingungan. Benarkah dia, seorang pemuda Eropah yang bijak, matang dan seorang ahli perubatan pula – masih belum lagi berjumpa Tuhan? Atau dia belum benar-benar mencari?

Belum sempat Rodrigo menoleh, susuk anak itu sudah menghilang entah ke mana.
Kibaran langsir ungu yang ditiup angin malam menyentak lamunan Rodrigo . Buku terlepas daripada pegangan. Rintik hujan menitis air, menimpa lengan. Haru hatinya memandang rembulan di kelam malam. Memorinya mengimbas detik keripuhan membantu mangsa banjir di Sindh – tidak lama dahulu. Juga wajah polos Farzan yang cerdas.

Pernah dia bertanya kepada penghuni kem, sama ada mereka mengenali Farzan .
Tetapi semuanya hampa. Seorang nenek tua memberitahu ketika Rodrigo mengadu tatkala memberikan rawatan, “Usah bimbang, kau sepatutnya gembira, wahai anakku. Kau sebenarnya telah berjumpa dengan wali Sindh!”

Rodrigo tambah keliru dan terpukul dengan untaian kata-kata itu. Pun, putus asa bukanlah penamatnya. Sesudah meninggalkan Sindh, dia terusan pulang ke Catania. Diberanikan dirinya berjumpa imam-imam dan ahli agama. Digagahkan dirinya untuk menerima dan menelan hakikat kebenaran. Terasa dirinya terheret kepada cahaya, Rodrigo pasrah tanpa tentangan. Dia faham dan menyedari, sudah tiba masa untuk beruntung.

Hari ini, Rodrigo menjadi manusia kembali. Rodrigo merasakan bahawa dirinya nirmala. Disucikan cahaya rembulan sama yang tenggelam di Sindh, satu masa dahulu. Bulan kini dipandang dengan jiwa baharu. Jiwa tersulam nama Muhammad Rodrigo Quentanila .

Disaksikan cahaya rembulan yang menyuguh sukma, air matanya menitis tanpa disedari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience