*SERAM!! Misteri Suara Hantu Mengira Di Asrama*

Horror & Thriller Series 1041

Bagi sesipa yang pernah tinggal di asrama tentunya pernah mendengar tentang cerita-cerita hantu urban legend yang menghantui setiap asrama. Salah satu daripada kisah hantu asrama urban legend yang sering menjadi buah mulut pelajar-pelajar asrama adalah kisah suara seram yang mengira pelajar yang masih belum tidur pada lewat malam. “Satu dah tidur, dua dah tidur, tiga dah tidur, empat belum tidur lagi??”, begitulah bunyi suara itu. Ikuti kisah seorang pelajar yang pernah mendengar suara hantu mengira di bawah.

Saya pernah mengalami pengalaman seram ketika menuntut di sebuah sekolah di Kuala Terengganu (nama sekolah terpaksa dirahsiakan). Sekolah saya terletak berdekatan dengan kawasan hutan, orang Terengganu mungkin tahu sekolah ini. Saya mula belajar hidup di asrama ketika di tingkatan satu lagi. Memang menjadi perkara biasa di mana-mana sekolah, pelajar senior akan membuka cerita seram di asrama kepada pelajar junior. Lebih-lebih lagi jika pelajar yang baru nak mula tinggal di asrama.

Hari ketiga saya di asrama, pelajar senior mula menceritakan cerita hantu kepada saya dan pelajar-pelajar junior yang lain. Hantu yang mereka cerita ialah hantu mengira. Pada mulanya saya rasa lucu dan nak tergelak sebab terlintas dalam fikiran saya, “Ada pula hantu yang pandai matematik”. Tetapi setelah mendengar cerita itu sampai habis barulah saya tahu, hantu mengira tu ialah hantu yang mengira pelajar yang masih tidak tidur walaupun telah lewat malam.

Pada hari tu juga saya mula berkenalan dengan Julia, kami menjadi rapat sebab masing-masing takut nak pergi ke tandas malam-malam. Kami saling menemani apabila perlu pergi ke tandas tengah-tengah malam. Pada mulanya kami berdua memang langsung tidak percaya akan cerita senior ini sebab sebelum saya mendaftarkan diri di asrama, abang saya awal-awal lagi sudah berpesan supaya jangan dengar sangat cerita hantu ini. Cerita ini biasanya hanya direka-reka oleh pelajar senior semata-mata untuk menakutkan dan mengusik pelajar junior sahaja. Si Julia ini pun sama, awal-awal lagi mak dan ayah dia sudah berpesan kepadanya supaya jangan percaya pada cerita hantu yang diceritakan oleh pelajar senior.

Nak dijadikan cerita, pada satu malam saya memang tidak boleh nak lelapkan mata. Mungkin inilah bahananya sebab saya minum kopi banyak sangat semasa minum petang tadi. Katil Julia ini sebelah katil saya je, saya nampak Julia sudah tidur nyenyak dah, pelajar yang lain pun dah tidur jugak. Saya tengok jam masa tu dah masuk pukul 2 pagi. Saya cuba untuk melelapkan mata tapi tidak boleh, menyesal betul saya minum air kopi banyak-banyak petang tadi. Sekarang dah tak boleh tidur.

Sedang saya bergolek-golek ke kiri ke kanan sambil cuba untuk melelapkan mata, saya terdengar bunyi seperti ada orang yang membuka tingkap bilik saya. Tingkap itu betul-betul terletak di depan katil saya. Saya boleh nampak tingkap itu sebab semua katil dah disusun mengadap ke tingkap, katil saya pula yang keempat dari dinding. Saya tidak berfikir apa-apa lagi masa itu sehinggalah saya terdengar satu suara, “Satu, dua, tiga…”.

Sebaik sahaja saya mendengar suara tu, saya terus teringat cerita pelajar senior semasa mula-mula saya mendaftar masuk asrama. Bulu roma saya mula meremang satu badan dan saya terdengar lagi suara itu, “Satu, dua, tiga…empat tak tidur lagi??”. Saya rasa semakin tidak sedap hati sebab memang katil sayalah yang keempat dari dinding. Dalam ketakutan, saya cuba membaca semua surah-surah yang saya hafal dalam keadaan sebutan yang berterabur. Kemudian kedengaran suara itu mengira lagi, kali ini lebih menakutkan, “Satu dah tidur, dua dah tidur, tiga dah tidur, empat belum tidur lagi??”.

Badan saya memang dah menggigil dah masa tu, saya cuba panggil Julia dengan suara yang terketar-ketar, “Julia!! Ju…Julia…Julia!!”. Tetapi apa yang membuatkan saya semakin menggigil dan menangis apabila saya mendengar benda itu bersuara sambil mengejek, “Julia dah tidur…” dan disertakan dengan hilaian ketawa yang sangat kuat. Tanpa melihat benda itu, saya terus menjerit, “Pergi!!!”. Banyak kali juga saya menjerit kuat-kuat sehingga semua pelajar dalam bilik asrama saya terbangun. Waktu itu saya langsung tidak berani nak pandang pemilik suara itu.

Dipendekkan cerita, keesokan harinya warden asrama mengarahkan semua pelajar perempuan berkumpul di tempat letak kereta berdekatan asrama selepas solat isyak. Warden memberitahu kami bahawa dulu ada satu pokok besar di belakang asrama ini. Namun pokok itu terpaksa ditebang untuk meluaskan kawasan tempat menjemur pakaian. Mungkin disebabkan tempat tinggalnya dimusnahkan, sebagai balasan pelajar asrama pula yang menjadi mangsa kena kacau dengan benda itu.

Kalau nak diikutkan sebelum ini pun dah ramai pelajar senior yang dengar suara mengira ini. Tetapi mereka semua buat tidak tahu saja sebab benda itu tidak kacau atau sentuh mereka. Malam tu semua pelajar membaca surah Yassin kat bilik masing-masing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience