Rate

BAB SATU

Fantasy Series 752

16 OKTOBER 2124...

SESI perbincanagan di pejabat Kolonel Jamel Malikius yang terletak di Purple Dome berlanjutan sehingga jam 11.00 malam. Agendanya seperti biasa. Mesyuarat ini antara 5 orang kaunselor yang memegang jawatan penting di Gamma 7 Moon Base Station. Setiap seorang kaunselor mewakili 5 unit penempatan berbentuk kubah atau dome. Kolonel Jamel merupakan Kaunselor Tertinggi di situ.
Kompleks stesen itu selesai pembinaannya sejak 41 tahun lalu. Namun ia hanya mula beroperasi sepenuhnya 4 tahun kemudian iaitu sekitar tahun 2087. Projek raksaksa itu bermula semenjak misi pertama Lunar Crater Observation and Sensing Satellite (LCROSS) pada 2008.
Tujuan utama penubuhan LCROSS adalah untuk mencari punca air di dalam gumpalan bongkah ejekta. Melalui penyelidikan beberapa misi terdahulu, adalah dipercayai bahawa ais terdapat di bawah permukaan 'Far Side', iaitu kawasan bulan yang tidak pernah terkena pancaran cahaya matahari. Misi pertama yang menjelajah sekitar Kutub Selatan bulan itu berjaya setelah melaksanakan operasi penerokaan selama hampir 2 tahun. Ia diikuti dengan misi kedua dan ketiga pada tahun 2012.
Penemuan lapisan ais beku yang sudah berbilion tahun usianya itu meningkatkan keyakinan para saintis di bumi bahawa manusia boleh tinggal di bulan. Melalui proses kimia ais dengan kuasa solar, gas hidrogen dan oksigen diperolehi. Manusia memerlukan oksigen untuk hidup.
National Aeronautics and Space Administration (NASA) milik USA menjadi penasihat induk kepada misi tersebut. Ini berikutan kejayaan Kapal Angkasa Apollo 11 membuat pendaratan di bulan pada 20 Julai 1969.
Bertitik tolak dari penemuan air yang menjanjikan kehidupan itu, setiap negara di dunia bersetuju menubuhkan Artemis masing-masing. Mereka kemudian bergabung pula dalam kesatuan mengikut kedudukan dari segi geografi. Artemis Australia, Asia dan Eropah berganding sama tanpa sempadan politik atau agama bagi memastikan misi membina penempatan di bulan berjaya.
Persetujuan juga telah dicapai bahawa Kaunselor Tertinggi dilantik dengan undian dan setiap Artemis berhak mengemukakan seorang wakil. Namun, kepercayaan masih terus diberikan kepada Kolonel Jamel Malikius. Sehingga kini, beliau telah memimpin selama 20 tahun.
Manakala jawatan pakar serta petugas-petugas lain dalam bidang yang berbeza terbuka kepada semua. Artemis World juga turut dinaungi oleh firma serta organisasi yang berminat dengan projek penerokaan angkasa lepas. Mereka juga bekerjasama dalam menjayakan misi penerokaan ke Marikh serta planet-planet yang lain.
Sejak muda, Kolonel Jamel adalah salah seorang yang terlibat dengan projek tersebut. Walaupun kini berusia 58 tahun, dia masih gagah kerana mengamalkan cara hidup sihat. Lagipun penemuan ubat-ubatan yang lebih baik menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit.
''Jadi, nampaknya kita tiada masalah yang perlukan tindakan segera." Kolonel Jamel bersuara sebaik sahaja semua yang hadir selesai menyampaikan laporan masing-masing. ''Kita sudah berjaya mengatasi banyak rintagan dan kini tiba masanya untuk misi seterusnya."
''Masuk kolonel, misi ke planet Marikh?" soal Sir Matto, wakil Green Dome.
Kolonel Jamel mengangguk.
''Ia sudah lama tertangguh." Komander Vivan pula memberi pendapat.
''Wow! Kita masih hidup untuk melihat pendaratan pertama manusia di Marikh!" Sir Matto tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.
Beratus-ratus misi Viking iaitu sejenis orbiter yang sudah menerokai Marikh sejak awal kurun ke-21 memberikan respons positif terhadap penerokaan planet tersebut. Teknologi yang terkini dalam bidang komputer juga memungkinkan misi ini berjaya.
''Setiap 26 bulan, kedudukan orbit Marikh paling hampir dengan kita," jelas Kolonel Jamel lagi. "Misi ambil masa 180 hari untuk tiba ke sana. Jadi... pasukan yang membina pelantar berlepas itu akan mempunyai masa kira-kira 8-10 bulan."
"Siapa yang mendapat hak untuk projek tu kali ini?" soal Komander Vivan, peneraju White Dome yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan rekreasi dan sukan.
"Artemis Asia."
Mereka saling berpandangan.
"Tidak, tidak dengan bantuan Jepun," terang Kolonel Jamel bagaikan dapat meneka apa yang sedang berlegar-legar di minda mereka.
"Jepun masih belum pulih daripada ledakan berpuluh-puluh gunung berapinya," kata Chang-Diaz, Ketua Pink Dome.
Chang-Diaz bercakap tentang peristiwa lewat tahun 2052. Ketika itu, terjadi perubahan tektonik permukaan bumi yang drastik. Selain dahiripada Jepun dan beberapa negara di lautan Pasifik, turut berlaku letusan Gunung Vesuvius di Itali.
Akibatnya, kejadian tsunami mengorbankan ramai penduduk dunia terutama yang tinggal di persisiran pantai. Peta dunia juga turut berubah kerana berjuta-juta hektar kawasan pendalaman ditenggelami air laut. Kehidupan liar mati dalam jumlah yang tidak terkira banyaknya.
Sir Matto mencelah. "Ada sesuatu dalam diri orang Asia yang tidak boleh ditangani oleh orang lain."
"I rasa kekuatan mereka adalah agama Islam," sampuk Chang-Diaz yang mulai hangat berbicara. "Mereka begitu taksub dan hanya berbuat sesuatu berlandaskan undang-undang agama mereka itu, "tegasnya.
"Jangan buat perbandingan dengan sejarah awal kurun ke-21, "komen Kolonel Jamel. "Keadaan sosial paling teruk. Banyak negara inflasi kerana hanya minyak naik dan tak dapat ditakbirkan dengan telus. "
Setiap kata-kata yang terucap begitu jelas dalam ruang bilik berhawa dingin itu. Sesekali terdengar bunyi kipas yang menyedut campuran gas karbon dioksida yang terhasil daripada proses pernafasan.
"Kita dah menghampiri kurun ke-22. Masyarakat Asia bangkit dengan begitu bergaya ketika masyarakat Eropah bergelut dengan masalah sosial dan ekonomi." Kolonel Jamel yang berdarah kacukan Greek-Arab bercakap tentang orang Asia dengan sedikit megah. Mungkin kerana dia juga orang Islam seperti kebanyakan penghuni di benua tersebut.
"Dan penggantungan Eropah serta Amerika kepada bahan mentah yang datangnya dari sebelah Asia." Sir Matto pula tidak ingin mengalah.
"Adakah perbualan kita ini dirakamkan?" Tiba-tiba wajah Chang-Diaz nampak risau.
Serentak mereka ketawa. Chang-Diaz tersenyum.
"You takkan didakwa kalau setakat cakap hal itu."
Kata-kata Kolonel Jamel membuatkan Chang-Diaz ternganga. Dia kelihatan terpinga-pinga tidak mengerti.
"Kita akan hilang aspek kemanusiaan jika tidak bebas bercakap atau bersuara." Sir Matto pula menambah. "Kita akan jadi seperti robot yang mencuci debu bulan atau melakukan misi ke tempat merbahaya."
"Jika terjadi sesuatu tiada siapa akan tangisi," tambah Mejar Glenn pula.
Namun begitu, riak di wajah Chang-Diaz mencerminkan bahawa kebimbangan adalah prioritinya kini. Haruskah dia meminta maaf? Kemudian memohon supaya komputer memadamkan kata-katanya yang berbaur keagamaan itu?
"Kita pun tahu, bukan?" soal Mejar Gleen tidak kepada sesiapa secara khusus." Semua pergerakan dan perbualan kita di bilik I ini dirakam oleh sistem komputer TR-67. Semuanya, tiada yang terkecuali pun."
Chang-Diaz mulai berpeluh meskipun suasana di situ dingin. Dia nampak menggelabah. Kata-kata Mejar Glenn yang pernah mengepalai beberapa misi angkasa lepas sebelum menjadi ketua Yellow Dome itu memang merisaukannya.
"Macam mana you boleh terlepas cakap?" Komander Vivan pula bertanya.
Kolonel Jamel hanya membiarkan mereka berbual. Dia leka membelek alat komunikasi Needo. Bila alat itu dihidupkan, sebuah skrin hologram akan muncul. Semua maklumatdan data yang diperlukan sangat mudah diperolehi dengan hanya menekan beberapa punat pada skrin sesentuh itu. Alat berteknologi terkini itu juga boleh dipakai pada pergelangan tangan seperti jam.
Pengirim mesej mempunyai pilihan samada mahu menghantar mesej berserta imej ataupun mesej sahaja. Bagi yang tidak gemar menulis atau menaip isi mesej, mereka boleh menyampaikan di dalam bentuk audio.
Kemudian alat itu akan memproses maklumat tersebut ke dalam bentuk tulisan.
"Mungkin I dah terlalu lama di sini." Chang-Diaz tiba-tiba mengakui tentang kedudukannya.
Mejar Glenn dan Sir Matto berpandangan sesama sendiri. Agak terkejut dengan kata-kata lelaki itu.
"Itu juga dirakamkan." Sir Matto mengingatkan.
"Biarkan..." Chang-Diaz bagaikan orang berputus asa.
"Esok pagi I tentu akan terima surat tamat tempoh perkhidmatan dengan tiket sehala ke bumi."
Mejar Glenn menggeleng berulang kali.
"You nak buat apa di bumi?" soal Sir Matto seraya membetulkan kaca matanya yang berbingkai krom.
Chang-Diaz berfikir sejenak. "Memancing!"
"Macamlah masih banyak ikan di laut.." sindir Mejar Glenn geli hati dengan rancangan Chang-Diaz itu.
Mereka di situ terdiam. Kolonel Jamel menekan punat pada Needonya untuk memadamkan skrin tersebut.
"Jika you semua masih ingat, seratus tahun lalu, bumi mengalami kemarau paling dahsyat." jelas Sir Matto. "Hampir separuh benua Afrika jadi kering kontang."
"Ikan di kolam atau tasik banyak mati!" Mejar Glenn menambah dengan memek muka yang sukar ditelah.
Kolonel Jamel menghela nafas panjang. Dia pernah mendengar kisah itu daripada datuknya sendiri. Datuknya pula mendapat maklumat ini daripada moyangnya. Ia juga dicatat di dalam jurnal sesetengah orang. Terdapat juga rakaman di dalam bentuk cakera padat Blu-ray. Ramai orang masih memilikinya sebagai koleksi peribadi. Ia turut disimpan di perpustakaan utama di beberapa buah metropolis.
Manakala datuk Chang-Diaz pula terkorban semasa peningkatan air laut yang mendadak sekitar 2038. Kejadian itu berikutan kepanasan melampau dan ais di kedua-dua Kutub Utara dan Selatan cair. Kota yang sudah terbina di tepi laut atau sungai tenggelam di dalam air yang masin. Perubahan suhu air laut pula memusnahkan hidupannya. Penduduk yang terperangkap tidak dapat diselamatkan lagi.
Pencemaran air laut berlanjutan selama berdekad-dekad sehinggalah letusan gunung berapi pada tahun 2052. Udara turut tercemar dengan habuk, sisa toksik, gas beracun dan bahan mimia lainnya yang sudah sedia ada. Bumi seakan-akan sudah tiba saat penghujungnya. Begitulah catatan yang terdapat di dalam buku-buku sejarah.
Dua dekad kemudian, wabak penyakit pula melanda. Ibu Kolonel Jamel meninggal dunia kerana wabak yang tersebar di dalam udara itu. Bukan itu sahaja, semua adik-beradik Mejar Glenn juga terkorban. Sir Matto pernah bercerita, setiap keluarga mengalami kematian.
Ada juga seluruh keluarga musnah tanpa meninggalkan zuriat langsung. Mereka termasuk ratusan juta orang lain yang rebah dan reput kerana tidak berupaya diuruskan oleh sesiapa jua pun. Ia beratus kali lebih dahsyat daripada SARS yang pernah menyerang penduduk bumi sekitar 2003.
Ternyata bahawa sehebat mana pun teknologi yang dicapai oleh manusia, mereka masih tidak berupaya melawan takdir ALLAH. Hanya yang terkuat atau bernasib baik, selamat. Penduduk bumi berkurangan. Mereka yang masih bernafas terus bangkit membina kehidupan yang baru.
"You nak memancing di mana?" soal Kolonel Jamel.
Wajah Chang-Diaz bagaikan bercahaya semula. ''I akan memancing di alam virtual reality."
''Bagus tu..."
''Ada perisian baru di mana kita sendiri boleh pilih kawasan dan ikan yang kita sukai. Maksud I, kita betul-betul boleh dengar bunyi angin, hirup udara segar dan dengar bunyi ikan menangkap mata kail," jelas Chang-Diaz begitu bersemangat sekali.
Kolonel Jamel dan semua yang ada di situ tergelak.
''Seperti yang kita lihat dalam filem-filem lama?" soal Sir Matto pula.
Mereka sama-sama mengangguk.
''Kalaulah.." Kata-kata Kolonel Jamel terputus bila suara komputer TR-67 tiba-tiba bergema.
Suara yang bernada mendatar itu meminta keizinan daripada Ketua Kaunselor untuk memancarkan siaran hologram daripada Stesen Tindakan di Purple Dome. Wajah Edlon, pakar penganalisis orbital yang bertugas ketika itu kelihatan sangat cemas. ''Kita ada satu masalah, Kolonel."
''Teruskan..." Kolonel Jamel bersuara sambil menyandarkan tubuh pada kerusinya. ''Kebetulan, kita masih belum selesai bermesyuarat."
''Asteroid yang tercampak akibat perlanggaran diimpak galaksi di zon 5H-4 sedang menuju ke bahagian barat daya Oceanus Procellarum." Suara Edlon terketar-ketar. Wajahnya kelihatan pucat lesi.
Oceanus Procellarum adalah lautan tandus bergaris pusat 40km dengan kedalaman 3.6km yang terbentuk berbilion tahun yang lalu. Benarkah? Lautan itu bakal menjadi sasaran asteroid yang sedang bergerak laju!
''Kita masih belum tahu saiznya kerana satelit orbiter tidak berada di zon laluannya," jelas Edlon.
''Kelajuannya?" soal Kolonel Jamel semula.
''Saat ini, kami masih terus kumpulkan data." Nada suara Edlon membayangkan ketidaksabarannya sendiri. Nampaknya dia belum mampu mengawal perasaannya yang berkecamuk. ''Apa... apa kita harus buat, Kolonel? Kita tak boleh duduk diam aje! Kita mesti lakukan sesuatu!"
Mendengarkan suara kalut Edlon yang bagaikan orang hilang akal itu, membuat mata Mejar Glenn dan Komander Vivan terbeliak. Sukar untuk mempercayai apa yang mereka dengar tadi. Wajah Chang-Diaz pula dibayangi rasa cemas. Pelbagai pertanyaan menerjah minda mereka ketika ini.
''Bertenang, Edlon..." Kolonel Jamel cuba memujuk.
Edlon terlompat-lompat kecil. Lagaknya seperti sangat tertekan. Mulutnya kumat-kamit tetapi tiada suara yang keluar. Kaunselor Tertinggi itu memadamkan skrin dan imej Edlon hilang serta-merta.
Adakah kesan asteroid itu bakal membawa bencana buruk? Berapa lama lagi ia akan menghentam permukaan bulan? Semuanya bergantung pada saiz dan kelajuaannya.
Kolonel Jamel menghela nafas panjang. Aku tidak perlu cemas, bisik hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Mengapa Profesor Ebrahem harus berada di bumi pada saat dia sangat-sangat diperlukan di bulan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience