Rate

Prolog

Fantasy Series 752

Suasana di kediaman keluarga Dr. Sheikh Muszaphar Al-Masrie Sheikh Mustapha kelihatan terang-benderang malam itu. Lampu-lampu kecil terpasang di sekeliling pagar. Di halaman, beberapa buah khemah telah tersedia untuk para tetamu. Kenderaan bersusun di kiri dan kanan jalan raya menghala ke rumah tersebut.
Langit malam itu kelihatan cerah dengan bulan mengembang dan kerlipan bintang-bintang. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup menggoyangkan dahan-dahan pokok mangga yang menyempadani kawasan sekeliling rumah itu.
Kenduri doa selamat sedang berjalan khas untuk Dr. Sheikh Muszaphar, anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Dia bukan hanya menjadi kebanggaan keluarganya tetapi bagi seluruh rakyat Malaysia. Bau nasi beriani, dalca tulang lembu, kurma ayam dan puding suji sungguh menyelerakan. Kini para jemputan yang terdiri daripada saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga mengerumuni meja buffet untuk menikmati hidangan.
Mereka semua kelihatan riang meraikan pemergian Dr. Sheikh Muszaphar ke International Space Station (I.S.S.). Tiga minggu lagi, lelaki itu akan berada kira-kira 350km jauhnya dari paras bumi. Inilah kemuncak segala latihan dari aspek fizikal, fisiologi dan psikologi yang telah ditempuhinya selama setahun di Yuri Gagarin Space Centre di Star City, Moscow, Russia.
''Bila kamu berangkat, Mus?" Seorang kenalan ayahnya, Sheikh Mustapha menyoal.
''Seminggu lagi," jawab lelaki. ''Insya-Allah pada 6 Oktober nanti."
Perjalanan dengan Soyuz TMA-11 dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan itu akan mengambil masa kira-kira 48jam. Sebelum itu, kapal angkasa akan melalui fasa pendakian ke angkasa selama 8 1/2minit.
Beberapa orang tetamu lain yang turut mendengar, mengangguk sama. Sungguhpun wajah mereka kelihatan ceria, tidak kurang juga di kalangan teman rapat dan ahli keluarganya yang lain tidak mampu menyembunyikan rasa sayu dan sedih dengan pemergian lelaki itu.
Kesedihan sudah pasti dirasai kerana ekspedisi Dr. Sheikh Muszaphar melibatkan perjalanan yang jauh ke angkasa lepas sehingga ke tahap sifar graviti. Namun, itulah hakikat yang terpaksa diterima dengan tabah. Persediaan yang cukup rapi menjadi tonggak kejayaan misi itu kelak.
''Pakcik doakan kamu selamat pergi dan pulang, Mus,"celah salah seorang jiran Sheikh Muszaphar.
''Terima kasih, pakcik."
Bukan sahaja saudara-mara yang mendoakan pemergian lelaki itu tetapi juga hampir 20juta rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara. Mereka telah mengikuti perkembangannya melalui media cetak dan elektronik selama ini.
Mereka sama-sama tumpang bangga dengan kejayaan jejaka yang berperawakan tinggi dan kacak itu. Inilah juga perjuangan kecil mereka untuk melihat kejayaan seorang anak muda pertama dari Asia Tenggara.
Perpisahan yang bakal menjelang, mengukir pelbagai rasa gundah dalam jiwa Zuraidah Datuk Sheikh Ahmad, ibu yang melahirkannya. Meskipun begitu, hanya doa seorang ibu yang akan mengiringi perpisahan itu. Alangkah sedihnya hati, namun demi melihat anak mencapai impiannya sejak berusia 10tahun, Zuraidah merelakan jua.
''Mudah-mudahan you berjaya di sana," bisik seorang kenalan yang sama-sama berkhidmat di HUKM. ''Kami menyokong dari belakang sejak you mula-mula terpilih dulu. You dah tunjukkan prestasi baik, teruskan hingga ke akhirnya, ya? "
Dr. Sheikh Muszaphar hanya mengangguk sambil tersenyum. Dalam hati dia melafazkan rasa syukur.
''You kebanggaan kami, doktor, "celah teman lama, kini seorang guru, yang datang dari Kota Bahru untuk mengalu-alukan pemergian hero negara itu. ''You jadi inspirasi pada anak-anak sekolah untuk belajar lebih tekun. Bila ditanya apakah cita-cita, kata mereka, ingin menjadi angkasawan macam you. Mereka mahu ke angkasa lepas."
Sesungguhnya, jejaka berlesung pipit di pipi kanan itu berasa terharu. Terbayang di matanya, selama lapan hari tinggal di I.S.S. Pelbagai kajian akan dilakukan di makmal kompleks di orbit yang selama ini menjadi tempat tumpuan saintis membuat penyelidikan dari segi tanaman, perubatan, kejuruteraan dan seumpamanya. I.S.S. yang bergerak pada kelajuan 18,000sejam di sekeliling orbit bumi itu umpama terapung-apung di udara.
Dr. Syeikh Muszaphar, yang lahir pada 27 Julai 1972 adalah seorang doktor orthopedik dan pensyarah pelatih di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia telah terpilih di antara 11,000 pemohon dari seluruh negara.
Dia cukup terharu kerana pengorbanan keluarga dan dirinya selama ini berbaloi. Tidak lama lagi, sejarah bakal tercipta. Dan seorang anak Malaysia bakal menjejakkan kaki ke I.S.S. yang diberikan jolokan sebagai 'Window to Space' atau 'Tingkap ke Cakerawala'.
Semangatnya cukup tinggi. Dia mendokong harapan rakyat Malaysia. Dia menjadi tonggak pada impian untuk melihat seorang rakyat Malaysia menjejakkan kaki ke angkasa lepas. Kejayaannya merupakan aspirasi rakyat seluruhnya dan meneruskan kesinambungan pencapaian umat Islam dalam bidang sains angkasa.
Bukan hanya keluarganya yang berasa teruja tapi seluruh warga Malaysia amat menanti-nantikan peristiwa bersejarah itu. Semuanya bagaikan tidak sabar lagi. Mereka rasa begitu dekat kerana mereka sering mengikuti laporan perkembangan di televisyen dan media cetak dari detik pencarian angkasawan sehinggalah pemilihan akhir.
Mereka turut berasa bangga, bersyukur dan rasa bertuah kerana mampu menyaksikan peristiwa paling bersejarah ini. Kejayaan ini lebih manis kerana Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-50 pada tahun 2007 ini.
Inilah detik permulaan penerokaan Malaysia ke angkasa lepas. Usaha ini bakal menyaksikan pencapaian lain pada tahun-tahun akan datang. Ia adalah langkah pertama. Tiada sesiapa dapat meneka sempadan kecemerlangan yang akan dapat diwarisi oleh generasi seterusnya menuju cakerawala yang tiada bersempadan...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience