Rate

BAB 1

Drama Completed 151

TANGAN kurus dibaluti kulit berkedut seribu itu mengangkat tin bekas minyak tanah lima belas liter yang sudah dibasuh bersih. Air hujan tadahan dalam bekas tong minyak tar setinggi dada diceduk, dituang ke dalam tin tadi yang sudah diisi biji-biji jagung kering, diletak di atas tungku batu bata disusun dalam bentuk tiga penjuru berhadapan. Serpihan kecil papan dan kayu buangan dipungut dari dalam longgokan sampah di belakang dapur kediaman dan deretan kedai di sekitar Jalan Melayu di tengah bandar raya Harimaupura tersohor itu. Mata api yang masih merah sebesar hujung ibu jari tangan pada sebatang beluti separuh hangus sepanjang sehasta yang disimpan dalam abu dapur setiap kali selesai memasak, ditiup penuh kesabaran sehingga menyala.

Ketika menyelongkar raga besar beranyam siatan kulit buluh selebar dua inci setiap keping di luar rumah bertembok tinggi bercat kuning muda itu tadi, tiba-tiba pintu belakang yang hanya jarak lima kaki dari tempatnya berada dikuak. Seorang wanita tercegat memandangnya. Segera dia mencampak semula kertas-kertas renyuk basah dikumpul sepanjang pagi tadi ke dalam raga. Dia tidak mahu disergah apatah pula dimarahi wanita tua kurus ceding itu. Dalam perjalanan hidupnya yang daif, maki hamun bukan lagi asing namun perasaannya masih belum lali. Setiap kata-kata kesat terutama sumpah seranah amat menyakitkan. Menjadi daif dan merempat bukan permintaannya. Dia tidak memilih jalan itu. Pantas dia melangkah meninggalkan bakul sampah separuh diselongkar tadi. Dia lebih rela membuang hasil cariannya pagi itu, biarpun usus kosongnya pedih mengerinyut ditoreh asid. asalkan hatinya tidak dicincang lumat dengan maki hamun orang yang tidak rela sampah buangannya dimanfaatkan.
“Hei, Nek! Mari sekejap!” panggilan itu amat jelas dipendengarannya. Dia mengesat kedua-dua tapak tangan ke paha berbalut kain batik lusuh kerepot di sana sini kesan jahitan jelujur kasar pada rentas yang semakin merebak. Kain batik yang dipungut dari longgokan barang terpakai beberapa bulan lalu.
Dia tidak menjawab panggilan tersebut, sebaliknya menapak perlahan menjauhi kawasan belakang dapur rumah agam itu. Pada langkah ketiga, dia mendengar lagi suara nyaring wanita tadi memanggil.

“Nek! Nek! Tunggu!” suara itu semakin hampir. Namun dia pura-pura tidak mendengar. Dia terus melangkah biarpun kakinya terasa longlai. Hatinya lebih rela membiarkan perutnya keroncong daripada mengisi ruang sempit telinga dengan kata-kata menyayat. “Aku dilahirkan bukan untuk dihina,” gumamnya “biarpun aku ditakdirkan hidup dalam kehinaan.”

Dulu dia pernah senang. Pernah dikasihi dan mengasihi. Dia jatuh hati dengan seorang anak tauke kedai runcit di bandar raya Harimaupura. Aming berbudi bahasa orangnya. Menghormati orang tua. Aming amat mencintainya. Aming minta izin keluarganya mengahwini dia. Ayah dan ibu dia memberi syarat besar “kau mesti memeluk Islam. Anak saya tidak akan berkahwin dengan orang bukan Islam.” Ayah dan ibu Aming juga memberi syarat besar lagi berat. “Kalau kau kahwin dengan perempuan kacukan yang tidak dapat dipastikan asal keturunannya itu, hubungan kita putus!”

Aming tinggalkan keluarga. Aming heret dia ke hulu ke hilir. Demi sebuah cinta terbit dalam ketulusan perasaan dan kemurnian jiwa dia ikut Aming walau merempat tidur menumpang di rumah kawan yang sudi, di masjid atau surau, malah kerap melabuh kepala berbantalkan bungkusan kain baju di mana-mana kaki lima kedai, sehingga Aming dapat kerja mengambil upah mengangkat guni-guni beras dan gula, bawang dan kentang dari lori kontena ke Kedai Runcit Badraii. Kerajinan Aming dan kegagahan tubuhnya yang masih muda menarik hati tauke Badraii. Aming dipelawa menjadi pekerja di kedai itu dengan gaji tetap. Namun hanya dua minggu, Aming meninggal dirempuh sebuah lori baja yang terbabas masuk ke dalam kedai.
“Nek!” hampir terangkat punggungnya dari bonggol akar angsana diduduki. Dia menoleh ke kanan. Wanita yang menyuruhnya ‘tunggu kejap’ tadi berdiri di samping. Tangannya menjinjit sesuatu. Bau enak ayam goreng menyentuh hidung. Dia menelan air liur ketika mata melirik memandang bungkusan di tangan wanita itu.

“Nah!” Wanita itu menghulur. Jika diikutkan hati mahu saja dia menerkam bungkusan kertas dalam beg plastik merah di tangan wanita yang begitu hampir dengan tangannya. Namun dia menahan keinginan. Dia malu kelihatan rakus. Dia memandang anak mata wanita yang masih merenungnya itu. Terpancar warna ikhlas dari bebola jernih yang tidak berkelip memandangnya.

“Nasi untuk nenek. Makan ya.” Wanita yang memanggilnya nenek itu pada perkiraannya mungkin sebaya jika tidak lebih tua daripada usianya. Wanita itu meletakkan bungkusan tadi ke atas ribaannya, lalu berlalu. Dia menoleh dari sebalik pokok angsana tempatnya bersandar. Wanita itu sudah tidak kelihatan. Pintu dapur yang tadi menganga kini sudah ditutup rapat. Tanpa berlengah, dia membuka bungkusan yang masih suam itu. Dia menyuap gelojoh nasi putih berlaukkan sambal tumis kerang dan seketul dada berserta kepak ayam goreng. Sedikit kuah kari menukar putih nasi jadi kekuningan. Aroma nasi itu membuatkan suapannya bertambah rakus. Letak punggung yang hampir melurut dari banir angsana tidak dipedulikan.

Terlalu sedikit nasi itu baginya. Sudah tiga hari perutnya tidak diisi nasi. Selama tiga hari dia hanya mengalas perut dengan sisa roti canai lebihan makan pelanggan yang diletakkan dalam besen di belakang restoran mamak. Pemilik restoran itu sengaja meninggalkan saki-baki yang masih elok itu untuknya. Kenyang makan roti canai tidak sama dengan nasi. Sebiji dua nasi melekat di celah tulang-temulang ayam, dikais dengan jari lalu disuap. Saki baki urat-urat dan kulit ayam yang masih ada di sana sini diunggisnya sehingga bersih. Malah kepala lutut ayam yang mengandungi sedikit urat berlemak tidak dibiarkan begitu saja. Dimamahnya juga sampai lumat sebelum ditelan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience