Rate

BAB 2

Drama Completed 151

Selama jadi isteri Aming, dia tidak pernah kebulur biarpun hidupnya tidak mewah. Wajah Aming yang manis sentiasa menyenangkan mata memandang. Suara Aming yang lembut amat dirinduinya.

Selesai makan dia keronyok kertas bekas bungkusan nasi itu kemas-kemas, lalu dibuang ke dalam tong sampah majlis bandaran tidak jauh dari situ. Diambilnya beberapa helai daun yang baru gugur, bersih, cantik berkilat dijadikan pengesat tangan.

“Nah!” Dia terperanjat sakan. Khayalan indahnya bercempera. Dia bingkas berdiri. Matanya besar memandang datangnya arah suara. Wanita yang tadi memberinya bungkusan nasi kini menghulur sebotol air mineral bermuatan 500 ml.

Dia malu hendak menyambut. Selepas memandang sekilas, dia tunduk merenung bumi. “Nah,” suara wanita itu kembali menyentuh gegendang. Dia masih pura-pura tidak mendengar. “Ambil. Basuh tangan dulu sebelum makan. Di mana pun kita tinggal, kebersihan mesti dijaga. Kebersihan bermakna kesihatan.” Berdebuk botol air mineral menyentuh sisi pahanya. Dia menengadah wanita yang tercegat di samping. Mata wanita itu kelihatan seperti mahu bicara. Di bawah sedar dia menepuk tiga kali tanah di sebelah punggung.

“Sudikah anak duduk dekat mak cik?” Kadang-kadang dia rasakan tarafnya lebih rendah daripada kucing, ayam dan anjing. Jika ketiga-tiga jenis haiwan tadi yang menyelongkar bakul sampah sarat kotoran dan bau, tiada sumpah seranah dilontarkan. Setelah menghalau haiwan penyelongkar, pemilik bakul buluh senyap-senyap mengemas semula, menutup dengan plastik dan menindih dengan beberapa biji batu bata. ‘Tapi wanita ini pun tidak memarahi aku, jauh sekali menghalau.’ Ada warna kekaguman di matanya.

“Tidak.” Pantas wanita tersebut menjawab. Dia tidak terkejut. Jawapan itu sudah dijangkakan. Siapa yang sudi berada di samping orang merempat jika bukan orang merempat juga?

“Sekarang saya tanya: Sudikah mak cik tinggal dengan saya? Saya ada keluarga. Ada ibu, ada anak-anak seramai enam orang. Suami sudah meninggal. Masih ada ruang jika mak cik sudi tinggal bersama kami.”

Terasa berpinar matanya apabila diserbu genang gembira yang berebut-rebut menerjah keluar dari kelopak layunya. “Betulkah?” Dia menengadah langit yang mengintai di celah-celah rimbun daun lebat angsana. “Betulkah apa yang saya dengar ini?”

“Betul. Tidak salah sedikit pun.”

“Tapi kenapa anak begitu baik? Mak cik tidak ada apa yang boleh dibalaskan. Mak cik kekurangan segala-galanya.”

Waktu itu kedengaran bunyi keriau anak kucing jatuh ke dalam longkang. Sejak semalam dia mendengar jeritan cemas tersebut. Dia ingin membantu namun longkang itu terlalu dalam. Menyamai ketinggian dua lelaki. Jika dia turun, pasti tidak mampu naik. Dinding longkang itu licin berturap simen. Dia sedih apabila kucing itu tidak berbunyi. Dia mengandaikan mungkin sudah mati lemas atau mati kelaparan.

Wanita tadi berpaling, lalu berjalan ke tepi longkang. Dia melihat wanita tersebut berlari-lari pulang, masuk ke dalam pintu belakang yang masih menganga. Bunyi kerentang kerentung besi berlaga dengan batu jalan menarik perhatiannya. Dia menoleh. Wanita tadi dengan segala susah payah membawa sebatang penyauk ikan di tangan kiri dan tangga aluminium putih biru setinggi lima kaki di tangan kanan. Hujung tangga yang terjuntai ke belakang terlantun-lantun tatkala menyentuh aspal.

Melihat kesungguhan wanita itu, hatinya ringan saja membantu. Dia bangun. Tangga tadi diambilnya dari pegangan wanita tersebut. “Terima kasih,” wanita itu melemparkan senyum. Manis. Bersama-sama wanita itu dia menurunkan tangga ke dalam longkang. Semasa turun, wanita itu nyaris tergelincir apabila tersilap pijak anak mata tangga kedua. “Cik naik. Biar saya ambilkan anak kucing itu,” dia menarik tangan wanita itu agar kembali ke atas.

Wanita itu segera membawa pulang anak kucing comot tadi ke rumah. Dia ikut di belakang dengan mengangkat sauk ikan dan tangga. Sampai di dapur, dia sandarkan tangga dan sauk di dinding bilik air. Wanita tadi mengambil tuala kering lalu masuk ke bilik air memandikan si comot. Jerit pekik si kecil bertompok putih hitam di sambut gelak ketawa dan pujukan lunak wanita itu. “Diam sayang. Kita mandi dulu. Dah bersih nanti boleh makan. Ayam ada, ikan pun ada.”

“Mak cik juga mandi. Busuk bau longkang kotor tadi.” Wanita itu menyerahkan sepemeluk pakaian terpakai yang berlipat kemas ke tangannya. Dia bagaikan dipukau. Ikut saja arahan wanita itu. Selepas mandi dia ditunjukkan sebuah bilik bersebelahan ruang makan. Dalam bilik itu ada kipas angin, bantal, katil dan tilam bersalut cadar bersih. “Ini bilik mak cik.” Wanita itu menutup pintu bilik dari luar. Semasa memandang keliling dia melihat ada sejadah dan telekung bersangkut di penyidai ayan berwarna biru putih di sebelah almari pakaian.

Di rumah besar itu dia dilayan seperti keluarga sendiri. Dia bebas menikmati kehidupan. Namun dia tidak biasa bersenang-senang sepanjang hari. Dengan simpuh sopan dan bahasa santun dia minta izin mencari duit sendiri. “Mak cik hendak jual jagung rebus. Badan makc ik rasa sakit-sakit jika duduk diam saja di rumah.” Tanpa menunggu jawapan wanita yang masih bungkam itu, dia pantas mencari semua keperluan bagi melaksanakan impiannya.

Selepas solat Subuh dia mulai merebus jagung yang sudah direndam semalaman dalam besen besar, berhampiran rimbunan sekelompok pisang abu berdaun lebar dan subur. Liuk lintuk lidah api semakin mala.

Sewaktu menyorong puntung kayu di bawah buntut tin dia memandang ke tingkat atas dapur. Seperti biasa pagi itu wanita berwajah mulus membuka tingkap. Dia senyum dan melambai ke arahnya apabila melihat asap nipis bermain angin di bawah daun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience