Rate

BAB 2

Drama Completed 438

Bibik mengambil kain mop dan baldi. Bau masam yang meloyakan itu semakin pekat menusuk hidung ketika dilanyah mop. Hampir terlonjak isi perut Bibik ketika membawa kotoran itu ke bilik air. Bibik sempat menjeling ke bilik sewaktu melewati pintu yang terbuka. Puan Nyonya sudah terbaring di katil besi tempat Bibik selalu tidur. Biarlah Puan Nyonya nyenyak. Mudahlah Bibik bertindak.

“Inilah masa yang paling tepat,” bisik hati Bibik. Jika ditunggu, sebentar lagi tentu Tuan Tauke akan balik. Tuan Tauke itu akan kunci pintu pagar. Bibik sudah tahu benar kebiasaan Puan Nyonya. Dia tidak mengunci pintu pagar rumah. Tuan Tauke yang balik kemudian akan menguncinya. Anjing hitam besar yang berbaring berhampiran pintu itu akan menyalak sapa setiap orang asing yang melewati hampir pintu pagar itu.

Setahun lalu, ketika mula menjejakkan kaki di rumah agam ini, anjing hitam itulah yang diperkenalkan oleh Tuan Tauke. Anjing itu meronta-ronta mahu melepaskan ikatan rantai. Mahu menerkam Bibik. Menyalak hingga berdesing telinga Bibik. Antara gentar terperanjat dan rasa takut, Bibik menghampiri anjing itu. Mengelus-ngelus hangat kepala dan geli tubuh anjing itu. Kata orang, semakin takut kita pada anjing, semakin berani anjing itu kepada kita.

Sungguh, mudah menjinakkan anjing garang itu. Lebih sukar menjinakkan Puan Nyonya dan Tuan Tauke. Puan Nyonya memberi tugas rutin Bibik memandi dan membersihkan tempat tinggal anjing itu. Anjing itu tidak menyalak ketika Bibik keluar masuk rumah yang ditungguinya. Lebih tunak lagi kalau Bibik mencampakkan tulang ba atau tulang apa-apa kepada anjing garang itu.

Bibik tidak hairan lagi dengan daging ba. Dulu dengar sahaja sudah loya. Jijik. Rasa itu sudah tidak ada lagi pada diri Bibik. Resepi pertama yang diminta oleh Puan Nyonya untuk makan malam, sebelum Bibik sempat berkemas bilik pada malam pertama tinggal di sini itulah daging ba. Puan Nyonya tengking apabila Bibik keberatan. Mahu tak mahu, Bibik terpaksa. Bayangkanlah, bagaimana mahu menyentuhnya benda yang dirasa amat jijik dalam hidupnya selama ini.

Selepas itu, Bibik ambil tanah di belakang rumah. Bibik mandi air tanah. Malah, hari-hari Bibik mandi air tanah. Bibik sembahyang. Mengadu kepada Allah dalam sembahyang. Bibik tidak tahu mengadu kepada siapa lagi di bumi asing ini.

Tekad Bibik semakin kukuh. Sudah tidurkah Puan Nyonya? Senyap. Dia perlu cepat bertindak sebelum Tuan Tauke balik. Bila Tuan Tauke balik, pintu pagar akan dikunci. Tak mungkin Bibik panjat pagar yang dua kali lebih tinggi daripada ketinggian Bibik. Malah, bunyi kelengkang-kelengkung pintu pagar besi itu bergoyang mungkin akan mengejutkan isi rumah Tuan Tauke.

Bibik cepat-cepat ke pintu rumah. Masih belum berkunci. Puan Nyonya yang balik lewat malam dengan terhuyung-hayang itu lupa mengunci pintu. Bibik membimbit karung plastik hitam. Mana tahu, tiba-tiba Puan Nyonya menyergah sebelum sempat menyeberang pintu pagar. Bibik akan kata, mahu buang sampah.

Bibik meredah malam. Lampu tepi jalan menyuluh dataran jalan raya. Dia berselindung di belakang pokok tepi jalan ketika lampu kereta menyuluh. Mana tahu kereta Tuan Tauke. Anjing di rumah kediaman tetangga menyalak. Bibik melebarkan langkah. Yang penting jauh dari tempat itu. Bibik tidak tahu ke mana arah tuju di malam pekat begini. Meski siang, dia tidak pernah melalui jalan-jalan ini. Dunianya hanya di rumah agam itu.

Bibik tidak takut lagi kalau ada hantu kopek mengekori. Bibik tidak takut kalau dikeroyok anjing. Bibik tidak bimbang kalau jatuh ke tangan penyangak. Bibik tidak takut kalau kena tangkap polis. Bibik tidak takut apa-apa lagi. Asal bebas dari rumah agam itu. Kalau dicekup pihak berkuasa, lalu dipenjara, Bibik sudah tidak takut lagi. Kalau dunianya habis setakat ini juga Bibik reda.
Bibik berjalan pantas. Berlari-lari anak. Berjalan cepat-cepat. Kadang-kadang terasa juga ada bayang-bayang hitam mengejar. Bibik berlari dan terus berlari sehingga Bibik rasa dunia ini hitam, tiada lagi lampu tepi jalan.

Ketika tersedar siang itu, Bibik berada di sebuah bilik. Ada polis yang berkawal. Bibik dipapah dan duduk di meja pertanyaan. Ketakutan itu bukan apa, bimbang kalau dikembalikan semula kepada Tuan Tauke.

“Tolong, pak. Saya tidak mahu kembali,” Bibik merayu.

“Saya tidak ada dokumen. Semua Tuan Tauke simpan,” jelas Bibik ketika disoal-siasat pegawai polis yang bertugas. Bibik menceritakan segala-galanya tanpa satu pun tertinggal.

Esoknya kisah Bibik tersebar luas. Pegawai kedutaan juga datang menjenguk Bibik. Bibik diberitahu, Puan Nyonya dan Tuan Tauke telah ditahan. Bibik melihatnya di kaca televisyen yang ditunjukkan di tempat tahanan. Sayu dan kasihan juga Bibik melihat Puan Nyonya dan Tuan Tauke digari, digiring ke kenderaan polis. Sayu Bibik tidak dapat menyiapkan yee sang yang telah disiapkan bahan-bahannya termasuk isi ikan segar salamon dalam peti dingin. Tahun lalu, Puan Nyonya yang tunjuk cara masak pada hari ke tujuh Tahun Baru Cina. Tahun ini, sepatutnya Bibik sudah boleh buat sendiri.

Bibik sempat mendengar suara Puan Nyonya ketika diwawancara, “Dia ada bukti, gua ada saksi.”

Bibik meraba luka di dahi. Balutannya telah ditukar dengan kain bersih dan berubat. Bibik terbayang Desa Mediun. Dua orang anak dan orang tuanya. Bibik ingin kembali. Di bumi asing ini, bukan tempat menjanjikan kesenangan hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience