Rate

BAB 1

Drama Completed 438

INILAH masa yang paling tepat. Inilah masa yang paling benar. Tiba-tiba hatinya berdebar-debar. Apakah benar pilihanku? Bibik masih maju mundur. Bungkusan plastik hitam yang dibimbit digenggam erat. Di dalamnya ada sepasang pakaian dan kain tebal. Dia melangkah penuh hati-hati. Langkah menjinjit. Langkah hujung jari kaki menapak ke lantai. Tapak kaki tidak menyentuh lantai. Biar langkah itu tidak didengar oleh sesiapa. Dia menyentuh balutan di dahi. Sakit. Kesakitan itu menguatkan tekad Bibik. Inilah masa paling tepat.

“Bibikkk ...!” suara Puan Nyonya beralun dari ruang tengah. Sewaktu ditinggalkan tadi, Puan Nyonya pejam mata tersadai di sofa. Mungkin keletihan. Alunan suara keras Puan Nyonya itu mengesahkan dia tidak tertidur. Lalu, ini bukanlah masa yang paling tepat, bisik hati Bibik.
Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah beberapa kali Bibik sebenarnya membuat perhitungan yang maju mundur. Setakat ini tidak pernah tepat. Dia sudah nekad. Tapi, bila memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menggodam ketakutan, dia menarik keputusan itu.
Dulu, ketika di Desa Mediun, selepas enam bulan menjadi ibu tunggal, tidak betah menyara dua orang anak, dia mengambil keputusan nekad. Tiada maju mundur lagi. Dia membayar dua juta kepada agensi, bertekad bulat demi masa depan anak-anak. Keputusan itu, biar berat untuk meninggalkan dua orang anak, tapi keyakinan masa depan, mendorongnya membuat keputusan itu. Tanpa gusar ragu. Anak-anak dititipkan pada orang tuanya.

Kali ini, bukan kerana takut kemungkinan, tapi ternyata Puan Nyona itu tidak benar-benar lena. Ternyata Puan Nyona tidak alpa. Bukan sahaja pintu pagar sentiasa terkunci, malah setiap gerak dalam rumah itu digambar.

“Mau ke mana, Bibik?” pertanyaan itu sukar diduga. Apakah Puan Nyonya curiga? Mungkin juga, Puan Nyonya melihat gerak-gerinya dari gambar CCTV. Tapi, Puan Nyonya tadi terpejam di sofa. Tidak mungkin dia mengawasinya dari CCTV.

“Mau buang sampah, Puan Nyonya,” suara Bibik agat terketar. Dia mengangkat tinggi plastik hitam agar dilihat Puan Nyonya. Debar hatinya masih kencang. Walaupun cuba dikawal agar tidak terkesan Puan Nyonya. Debar itu tetap ada. Kadang-kandang memang sukar untuk menyembunyikan ketidakjujuran.
“Apa jengkit-jengkit? Sakit kaki? Nanti gua tambah kasi sakit,” Puan Nyonya menyandarkan kepala di sofa. Berat benar agaknya kepala Puan Nyonya. Namun, ancamannya tetap menggerunkan Bibik. Setakat tampar terajang sudah jadi basahan Puan Nyonya. Bila tega melayangkan pisau sayur ke dahi, Bibik semakin ngeri. Tidak mustahil, suatu masa melayangkan nyawa.

“Bukan Puan Nyonya. Saya tidak mahu ganggu Puan Nyonya lagi tidur di Sofa,” kecut perut Bibik. Seolah-olah Puan Nyonya yang berbadan gempal dengan rambut keriting diwarnakan perang itu dapat membaca hati Bibik. Bertambah kecut Bibik. Puan Nyonya selalu buat apa yang dia cakap. Kalau dia kata katuk, katuklah. Dia tidak teragak-agak mengayunkan apa-apa yang dipegang ke tubuh Bibik. Kalau ke punggung, kenalah punggung. Kalau dihayun ke muka, kenalah muka. Bibik meraba balutan luka di dahi. Pedihnya mengatasi sakit lebam-lebam di bibir dan di badan. Puan Nyonya menggarit pisau sayur ke dahi Bibik. Darah menintis-nitis. Puan Nyonya bertambah-tambah kemarahan. Sedikit pun tidak risau Bibik yang hampir pengsan.

Bibik sendiri menekup luka itu dengan kain buruk. Kemudian Bibik membasuh darah di bilik air. Bibik membalut luka itu. Puan Nyonya tidak ambil peduli. Dia sudah membayar khidmat Bibik. Sakit derita, malah kalau mati sekali pun, dia tidak ambil peduli.

“Siapa cakap gua tidur,” Puan Nyonya membuka mata lebar-lebar. Mata sepetnya itu menonjolkan hitam merah biji matanya. Macam biji mata patung singa yang dibuat main anak lelaki Puan Nyonya yang berumur lima tahun, menjelang sambutan Tahun Baru.

Budak terjal itu masih membuku di hati Bibik. Puan Nyonya tidak mahu mendengar penjelasan Bibik langsung. Ketika mendengar bunyi sesuatu jatuh di bilik budak terjal itu, Bibik sedang menyapu sampah. Tanpa menyampakkan penyapu, Bibik meluru ke bilik. Padan muka. Bibik mengacu batang penyapu pada budak terjal yang tersungkur. Bibik tidak sangka perbuatannya itu digambar CCTV. Puan Nyonya meluru lalu memukul Bibik. Konon Bibik mendera anak Puan Nyonya dengan batang penyapu.

“Ini,” Tuan Nyonya menunjuk arah lantai mar-mar. Bau masam sudah menyedak hidung Bibik sebelum melihat lambakan cecair kekunigan itu. “Kasi bersih cepat, sebelum Tuan Tauke balik.”

Puan Nyonya bangun. Terhuyung-hayang. Dia berpaut pada dinding. Bibik berkejar mahu menyambut Puan Nyonya. Walau benci, Puan Nyonya itu tetap majikannya. Hati kemanusiaannya tidak tega melihat Puan Nyonya jatuh terduduk atau jatuh tersungkur. Kalau Puan Nyonya luka parah, nanti tuduh Bibik mendera pula.
Bibik menyembunyikan kebencian itu saat ini agar tidak terkesan rancangan yang telah separuh bulat. Dia masih dipagut serba salah untuk bertindak. Takut kalau gagal, lebih dahsyat penangannya. Hari itu, mujurlah pisau dihayun ke dahi. Kalau dikelar ke leher, alangkah ...!

“Gua bukan mabuk. Gua boleh jalan sendiri. Cepat. Bersihkan. Jangan keluar rumah. Itu pagar, gua sudah kunci,” Puan Nyonya menepis tangan Bibik, lalu melangkah ke bilik Bibik. Sepatutnya Puan Nyonya naik ke biliknya di tingkat atas. Sesat bilik lagi, keluh Bibik. Bermakna, Bibik terpaksa tidur di luar lagi malam ini. Itu tidak mengapa, pastinya akan meninggalkan lambakan lendir kekuningan yang masam di tempat Bibik selalu membentangkan sejadah. Terpaksalah Bibik basuh air tanah tempat itu esok. Kalau tidak, bau seminggu tidak hilang. Basuh sembunyi-sembunyi. Kalau Puan Nyonya nampak, pasti kemarahannya akan membuak-buak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience